Khamis, 17 April 2014

Tempua Bersarang Rendah (18/4/14)

Tempua Bersarang Rendah
Karya : Nur Dila.

“Weh! Nampak E tak?” tegur Ridzuan ketika menghampiri kedai Pak Abu di hujung Kampung Seberang Alor yang menjadi tempatnya menghabiskan waktu.

“Entah! Tak tahu… dari siang tadi tak nampak langsung kelibatnya. Mungkin kat kargo ayah dia kot?” jawab salah seorang rakannya yang berada di situ.

Ridzuan meneruskan perjalanan, melangkah perlahan meniti di jambatan kayu yang menjadi jalan utama penduduk Seberang Alor hendak ke pekan Kuala Perlis. Bertembung pula dengan Rozain dan rakan-rakannya yang lain, sekali lagi Ridzuan bersuara.

“Weh! Nampak E tak?” tegur Ridzuan sekali lagi.

“E… kat kargo ayah dia kot?” Suara sumbang kawan-kawan mencari dirinya. Panggilan nama ‘E Kargo’ sudah melekat dalam diri. Diperolehi hasil daripada pertanyaan kawan-kawan apabila tidak melihat kelibat Mohd Nazri bin Mohd Noh, sekiranya mereka bertembung antara satu sama lain, tiada lain yang dipersoalan. Ayat yang sama, berulang kali disebutkan.

Di situ jugalah tempat dirinya dan beberapa kawan menyembunyikan diri sekiranya mereka gagal menghadirkan diri ke sekolah. E Kargo, bertubuh tinggi sekitar 5’7”, berkulit hitam manis dan anak seorang nelayan yang terkenal di sekitar pekan Kuala Perlis, Encik Mohd Noh. Lebih dikenali sebagai Pak Noh. Salah seorang nelayan yang mempunyai bot besar.

Suara sang unggas berkicauan riang, melekakan pandangan mata. Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis, Perlis yang kelihatan sunyi tanpa penghuni mula kedengaran riuh di sana-sini. Ardila, seorang penolong pengawas yang baru dilantik beberapa minggu yang lepas… masih lagi berdiri di tepi pagar sekolah mencatit nama pelajar yang melakukan kesalahan-kesalahan kecil atau hanya memandang mereka dengan senyuman tak pernah lekang dari bibir mulusnya. Dari jauh kelihatan segerombolan pelajar lelaki, menghampiri pagar sekolah dengan keadaan yang tidak kemas. Dengan bawah baju tidak diselitkan ke pinggang, rambutnya tidak bersikat sehingga sakit mata bila memandang.

“Eh, E Kargo! Kau nak masuk sekolah dengan pakaian macam tu? Baik kau kemaskan sekarang baju kau tu? Tak nampak? Tu… budak perempuan yang kau bengang sangat dengan dia, jaga pintu masuk pulak hari ni?” tegur Ridzuan rakan sekelasku.

“Biar, aku nak tengok… setakat mana dia berani nak tegur aku. Baru datang sekolah ni dah nak tunjuk lagak. Setakat anak polis, aku tak heranlah,” balas E Kargo dengan angkuh.

Mereka mempercepatkan langkah, namun belum sempat menyelinapkan diri… terdengar mereka laungan suara Ardila, “nanti dulu! Ridzuan, Hisyam, Wan Asri, Rozain dan kamu E Kargo, tunggu situ.”

Mereka segera berhenti pabila mendengar jeritan Ardila. Berdiri sambil tolak-menolak antara satu sama lain. Ardila menghampiri mereka dengan wajah selamba sambil mencatit sesuatu di dalam buku yang sentiasa berada digengamannya. Satu persatu dilepaskan sehinggalah di hadapan E Kargo, Ardila terpaksa menahannya.

Geram bukan kepalang apabila E Kargo  melihat rakan-rakannya berlalu meninggalkan dirinya terkontang kanteng berdiri di tepi pagar. Bertambah pedih pabila namanya sekali lagi dicatitkan di dalam buku nota pengawas. `Jaga kau, Ardila. Ada ubi ada batas, ada hari akan aku balas semua perbuatan kau,’ ngomel E Kargo dalam hati.

Setiap hari, saban minggu namanya sering meniti di bibir semua guru. Baik guru biasa, guru disiplin sehinggalah guru besar sekolah. Terkenalnya dia mengalahkan juara pidato sekolah dan adatikanya pula mengalahkan olahrawagan terbaik sekolah. Dari sekecil-kecil kelakuan sehinggalah sebesar-besar perbuatan. Sekira tidak dibendung dari sekarang, sedikit demi sedikit akan menjadi darah dagingnya bila tamat sekolah nanti. Di luar sana masih besar lagi dugaannya. Ardila yang masih belum  mengenali keadaan suasana di sekolah berasa pelik dengan sikap E Kargo. ` Mesti ada sesuatu yang menyebabkan dia menjadi begini? Apakah dia ingin mencuri perhatian guru-guru di sekolah ini?’ bermonolog Ardila sendirian.

“Mohd Nazri bin Mohd Noh!” laung Cikgu Shahidan selaku guru disiplin di sekolah itu. Bergema nama aku melalui corong mikrofon sekolahnya.

Bergegas E Kargo keluar dari barisan kelas dan berlari menghadap Cikgu Shahidan dan Cikgu Hassan selaku guru besar di sekolah itu. Sempat lagi dia menjeling ke arah Ardila yang berdiri di barisan pengawas. Ardila yang perasaan akan jelingan itu hanya mendiamkan diri. Dia tidak gentar dengan cara E Kargo memandangnya. Walaupun mereka berdua satu kelas, setakat ini belum lagi berlaku pergaduhan yang besar antara mereka berdua.

Berdiri di hadapan Cikgu Shahidan, sambil tersenyum simpul tanpa rasa gentar hanya menunggu perintah hukuman sahaja dari mulut guru besar sendiri. E Kargo memandang ke lantai dewan sekolah sambil bermain-main dengan jarinya.

“Mohd Nazri, tahun ini tahun terahkir kamu di sekolah ini… apakah kamu tidak  punya keinginan untuk berubah? Tidak terfikirkah kamu bila melihat begitu susahnya, ayah dan ibu kamu mencari wang untuk sekolahkan kamu?  Berubahlah, ini semua untuk masa depan kamu.” Nasihat Cikgu Shahidan.

E Kargo kehairanan, selalunya Cikgu Shahidan tidak banyak soal dan tidak mahu pendengar penjelasan. Hukuman tetap hukuman, tiada lagi masa untuk memohon maaf atau menerima penjelasan. Namun kali ini berlainan sekali, aku tidak menerima pukulan tapi nasihat demi nasihat dilimpahkan. Ibarat mencurah air di daun keladi, nasihat yang diberi ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Selepas dilepaskan dan perhimpunan pun bersurai, bermulalah agenda di fikiran aku. Dalam hati ini terdetik niat jahat ingin mengenakan Ardila, pengawas yang paling aku benci abad ini.

Di dalam kelas Tingkatan 5B, Ardila yang duduk di bahagian depan terasa terganggu dengan keadaan kelas yang begitu bising sekali. Mengalahkan pasar pagi atau `nut’ yang di sebut oleh penduduk kampung di situ. Cikgu Rasidah gagal mengawal keadaan, beberapa kali dia menyuruh anak muridnya dari membuat bising. Namun semakin ditegur, semakin galak mereka menjerit dan ketawa. Terutamanya E Kargo. Ardila, duduknya terasa panas… mukanya yang tadi tenang bertukar kemerah-merah menahan geram yang tak terhingga. Ingin sahaja dia bangun kala itu dan memintal-mintal telinga E Kargo sepuas-puas hatinya.

Perasaan marahnya semakin meluap-luap, ditenung wajah Cikgu Rasidah dalam-dalam. Turun naik nafasnya menahan sabar, peluh dingin mula membasahi tapak tangannya. Kedengaran suara yang begitu menyakitkan telinganya. Suara yang sedang mengejek-ngejek namanya. Ardila tanpa melihat siapa orangnya sudah dapat meneka siapakah hero itu. Buku teks Bahasa Malaysia yang berada di hadapannya dicapai pantas, dengan sekali nafas balingan yang dibuat tepat mengena sasaran.

“Oiiii minah! Kau main kasar nampak?” jerit E Kargo sambil mengambil buku yang terkena batang hidungnya lalu terus jatuh di atas meja tempat dia berdiri.

“Siapa main kasar? Cikgu suruh kau diam, yang kau memekak dalam kelas buat apa? Eh! Kalau kau tak nak belajar, jangan datang sekolah. Baik kau pergi duduk dalam bot kargo ayah kau tu dan buat apa yang kau rasa suka?” Balas Ardila sambil membetulkan hujung tudungnya yang di tiup angin. “ Sini, dalam kelas ini… tempat orang nak belajar. Nak cari ilmu dan yang penting nak berjaya,” sambung Dila lagi sambil memalingkan muka ke luar tingkap kelas.

“Oiii minah! Nama keluarga jangan sebut, pantang aku. Kau tau? Aku punya sukalah nak belajar ke, nak menjerit ke, nak melalak ke… kau susah hati kenapa?” balas E Kargo semakin galak marahnya.

Keadaan tadi yang riuh dengan bunyi suara-suara sumbang tiba-tiba bertukar rupa. Sunyi seperti ada malaikat yang melalui di dalam kelas mereka. Cikgu Rasidah cuba meredakan kemarahan anak muridnya. Dia tahu benar dengan sikap anak muridnya seorang ini,  yang pantang dicabar. Ardila masih lagi berdiri di mejanya. Memalingkan wajahnya dan mencerlung matanya memandang E Kargo. Tidak berkelip kelopak matanya saat itu. Menanti tindakan seterusnya, andaikata dia diserang nanti.

Kemarahan E Kargo semakin menjadi-jadi bila soalan yang diajukan kepada Ardila hanya dipandang sepi. Menolak meja dengan kasar dan berjalan menuju ke arah Ardila. Keadaan semakin tidak dapat dikawal. Ardila masih lagi berdiri, manakala E Kargo semakin menghampiri. Dadanya berombak kencang, tiba-tiba tanpa diduga oleh sesiapa `panggggg’. Satu tamparan yang kuat hinggap di pipi Ardila. Terhoyong-hayang Ardila lalu terjatuh di pelusuk kerusi tempat duduknya sendiri.

Masing-masing kaku tanpa suara. “Mohd Nazri! Apa yang telah kamu buat ni? Dengan budak perempuan pun kamu nak bergaduh? Tak cukup lagi ke dengan budak-budak lelaki di sini yang kamu hendak buli. Hah!” tiba-tiba terdengar suara Cikgu Shahidan menengking Mohd Nazri dari pintu kelas mereka.

“Kamu berdua, sila ikut saya ke bilik guru. Sekarang juga!” arah Cikgu Shahidan kembali. “Cikgu Rasidah, puan pun ikut sekali,” sambung Cikgu Shahidan lagi.

Merah pipi Ardila menahan kesakitan. Tidak menangis malah tidak pula tersenyum. Rakan-rakan yang lain kembali duduk di tempat masing-masing. Cikgu Rasidah, Ardila dan E Kargo meninggalkan kelas 5B dan melangkahkan kaki mereka ke bilik guru disiplin. Setiba di di sana… tanpa mendengar penjelasan dari E Kargo, mahupun Ardila atau Cikgu Rasidah… hukuman telah pun dijatuhkan. Ardila dan Cikgu Rasidah hanya menjadi pemerhati. Timbul perasaan kesian dalam diri Ardila. Tapi demi pengajaran, Ardila membiarkan sahaja perkara itu berlaku di hadapan matanya.

Tiga kali libasan di punggung E Kargo, dengan pembaris panjang sedepa dan tebalnya lebih kurang satu inci. Tak sanggup Ardila meyaksikannya. E Kargo cuba memandangnya, namun dibuangkan pandangannya ke arah luar jendela. Cuba menyembunyikan kesedihannya dengan melihat ombak yang sedang memukul pantai. Bagi E Kargo, hari ini adalah hari yang begitu buruk baginya. Sudahlah dipukul depan Ardila. Malah mendapat pula surat arahan digantung sekolah selama dua minggu dari guru besarnya, Cikgu Hassan.

Peristiwa E Kargo dimarahi dan digantung sekolah oleh pihak sekolah diketahui juga oleh ayahnya.  Segala perbuatannya yang melanggar disiplin sekolah telah disampaikan sendiri oleh Cikgu Shahidan. Mak Munah, ibu E Kargo hanya tunduk diam bila Cikgu Shahidan meluahkan segala yang berlaku di sekolah pagi tadi.  Pak Noh hanya menunggu malam saja, hendak berbicara dengan anak sulungnya.

Malam yang sunyi, sesekali terdengar suara cengkerit bersahutan. Di luar sana, langit kelihatan gelap. Lagaknya seperti ingin turun hujan lebat.  Pak Noh, sengaja melintas di depan bilik E Kargo.  Pintu bilik E Kargo nampak renggang tidak berkunci.  Pak Noh menjengulkan kepalanya.  Lampu bilik masih terpasang.  E Kargo  sedang termenung di meja tulisnya.  Wajahnya kelihatan sugul.

“Mohd Nazri, ayah ada hal sikit nak cakap,”  kata Pak Noh, masih berdiri di belakang E Kargo sambil kedua-dua belah tangannya mengusap-ngusap bahu anaknya.

E Kargo tidak menoleh.  Dia masih termangu di kerusi.  Dia tidak peduli teguran ayahnya. Dia amat memahami sikap ayahnya. Nama penuh akan dipanggil apabila kemarahannya berada di puncak. Kalau tidak ayah lebih suka memanggilnya `along’.

“Ayah, ada pekara yang ingin dibincangkan dengan kamu?.  Kenapa nak biadap dengan ayah?”  suara Pak Noh keras meninggi. Lantas dia mencapai sebuah kerusi kecil lalu duduk menghadap anak sulungnya.

Melihat ayahnya yang sudah berada di hadapannya, E Kargo baru menoleh.  Mukanya masam kelat.  Dia sudah dapat mengagak bahawa ayahnya akan memberi hadiah yang agak lumayan atas perbuatannya di sekolah tadi.

“Kenapa Mohd Nazri nak malukan, ayah?  Tak bolehkah Mohd Nazri menjadi seorang anak remaja yang baik.  Mohd Nazri tak berasa malu ke, bila kena rotan di hadapan rakan-rakan lain. Mohd Nazri bukan anak kecil lagi? Sudah menjangkau tujuh belas tahun? Kenapa Mohd Nazri degil? Kenapa masih hendak malukan ibu kamu? Kesianlah ibu, Mohd Nazri,”  suara Pak Noh lembut. 

E Kargo tidak menjangka yang kata-kata itu yang lahir dari bibir hitam ayahnya. Luar jangkaan E Kargo. Lalu, dengan perlahan dia mengangkat wajahnya sambil menatap wajah ayahnya. Ada butir-butir jernih di tubir matanya. Begitu juga dengan E Kargo. Berkaca matanya, menahan telaga itu dari pecah melimpah. 

”Along minta ampun ayah.  Along janji tak akan buat lagi,”  Mohd Nazri tanpa diduga memeluk ayahnya,Pak Noh.  Telaga yang penuh dengan air ahkirnya melimpah juga.

”Kali ini, ayah ampunkan.  Untuk akan datang kalau along  buat lagi, ayah tak akan diam.  Ingat pesan ayah,”  tegas Pak Noh.  Matanya sayu memandang anaknya yang dirasakannya ada sikap hendak berubah.  Telah banyak perkara yang dia dengar dari mulut jiran-jiran mereka mengenai Mohd Nazri.

”Along Janji ayah.  Along janji.” balas Mohd Nazri sambil memengang kedua-dua tangan ayahnya.

”Ayah nak along berubah.  Along bukan budak-budak lagi.  Dah tingkatan lima.  Tidak lama lagi akan menduduki peperiksaan SPM. Sekurang-kurangnya ayah nak anak ayah lulus peperiksaan. Jangan biarkan  ayah malu.  Emak pun malu.  Ayah mahu along, mesti berubah.  Jangan buat nakal lagi.  Ayah juga mahu along berjaya dan buktikan pada cikgu serta jiran-jiran kita yang along boleh berjaya,”  pujuk Pak Noh. Mak Munah hanya mendengar di balik pintu bilik anaknya sambil mengesat airmatanya yang mengalir dengan hujung lengan bajunya.

Semenjak kejadian hari itu, E Kargo semakin kerap memencilkan diri di bot ayahnya. Dua minggu digantung dari sekolah, benar-benar menginsafkan dirinya. Bayangan ketika dia menampar Ardila masih jelas terbayang di ruang matanya. Dia ingin memohon maaf dari Ardila apabila habis edahnya digantung oleh pihak sekolah nanti.

Lima belas tahun kemudian.

Sebuah kereta Naza Citra memasuki jalan yang sudah diturapkan dengan tanah merah dan juga tar. Menyusuri Kampung Seberang Alor yang sudah banyak berubah. Tiada lagi sawah padi, yang kelihatan rumah-rumah teres tersusun cantik. Kampung Seberang Alor yang dulunya tidak boleh kenderaan memasukinya, kini sudah boleh menerima kenderaan. Terasa bangga dia menjadi anak jati Kuala Perlis. Sedang dia leka dengan kisah lamanya, terarah pandangannya kepada seorang pakcik tua yang sedang terbongkok-bongkok membetulkan rantai basikalnya.

Dia memberhentikan keretanya di bahu jalan. Lalu melintasi jalan dan menuju ke arah lelaki tua itu. Diamatinya penuh khusyuk. Tahulah dia kini siapa pakcik tua itu. Pakcik tua yang tidak sedar ada anak muda di sebelahnya terus-terusan membetulkan rantai basikalnya. Dengan sekali bismillah, dia menegur pakcik tua itu.

“Assalamualaikum.  Cikgu apa khabar?” tegur anak muda itu sambil terbatuk-batuk. Batuk yang sengaja dibuat-buat.

Pakcik tua itu yang dalam lingkungan 65 tahun lebih, mendongak memandang wajah anak muda yang baru saja menegurnya.  Dia tersenyum kehairanan.

“Cikgu masih ingat saya tak?”  tanya anak muda itu lagi.  Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Ditenungnya wajah pakcik tua itu.

”Maaf anak,  pakcik tidak berapa ingat.  Siapa anak ini sebenarnya?”  kehairanan masih bermain di wajahnya.

“Cikgu tak ingat?”  anak muda itu terus sahaja menarik pakcik tua itu ke kerusi yang kebetulan ada di situ, disuruhnya pakcik tua itu duduk dan dia berdiri menghadap pakcik tua itu.

Pakcik tua itu hanya menggelengkan kepalanya.  Kemudian mukanya ditundukkan.  Matanya memandang hujung kasutnya yang berlubang kecil.  Pakaiannya agak comot.  Rambutnya tidak terurus.

”Baiklah.  Saya ceritakan kisah saya, manalah tahu cikgu mungkin ingat,”  ujar anak muda itu.

”Cikgu ingat tak, masa di bilik guru di sekolah, cikgu rotan saya di hadapan cikgu Rasidah dan seorang lagi pelajar perempuan, Ardila namanya... tanpa belas kasihan.  Masa itu saya minta ampun.  Minta maaf tapi cikgu tak peduli.” terang anak muda tadi.

”Maafkan pakcik, nak.  Pakcik memang tak ingat.  Entah bila berlaku?”  suara Cikgu Shahidan bergetar.  Rasa takut datang membalut dirinya.

“Mana boleh cikgu lupa.  Dulu cikgu guru disiplin sekolah tempat saya belajar.   Cikgu suka bertindak tanpa soal siasat.  Siapa betul, siapa salah.  Kenapa cikgu pukul saya depan orang?”  anak muda itu tiba-tiba meninggikan suaranya.

“Betul.  Pakcik tak ingat.  Murid pakcik bukannya sikit. Ramai.   Siapa anak ini sebenarnya?”  getaran suara Cikgu Shahidan masih belum reda.  Dia tidak berani menentang tenungan anak muda itu, yang bertubuh sasa.

“Kalau cikgu nak tahu, sayalah Mohd Nazri bin Mohd Noh atau lebih dikenali dengan panggilan E Kargo oleh kawan-kawan saya.  Pak Noh, nelayan yang dikenali ramai dahulu.  Pak Noh, juga pernah menjadi kawan cikgu.  Masih tak ingat lagi?”  Mohd Nazri bercekak pinggang.

“Hah! Kamu anak Pak Noh yang baru meninggal dunia dua tahun lepas?  Ya Allah, maafkan pakcik, nak.  Siapa nama kamu?” soalnya sambil mengangkat kopiah di kepala dan mengaru-garu. Mungkin keliru.

Mohd Nazri tiba-tiba memeluk Cikgu Shahidan.  Dia menangis gembira.  Pelukannya semakin kemas.

”Terima kasih cikgu kerana merotan saya.  Kalau cikgu tidak rotan saya ketika itu, mungkin saya tidak lagi menjadi manusia.  Saya minta maaf cikgu kerana sengaja berkasar dengan cikgu tadi.  Cikgulah semulia-mulia manusia yang berjaya mendidik saya.  Maafkan saya cikgu,”  Mohd Nazri melepaskan pelukannya.  Dia kembali duduk menghadap Cikgu Shahidan.

”Pakcik tak faham.  Apa yang terjadi ke atas kamu.  Siapa nama kamu tadi?” ulang pakcik tua itu lagi. Direnungnya wajah Mohd Nazri tanpa kerdipan. Disapu-sapu matanya berkali-kali dengan tapak tangannya.

”Mohd Nazri, cikgu.  Selepas mendapat keputusan SPM, saya terus memohon menyertai  Angkatan Tentera Malaysia. Hasil berkat kata nasihat yang cikgu berikan kepada saya dan disiplin yang diterapkan oleh Angkatan Tentera Malaysia. Dari menjadi seorang rekrut biasa hingga kini saya menjadi seorang mejar. Sekarang ni, saya digelar Mejar Mohd Nazri, Askar Melayu Di Raja.  Kerana rotan cikgulah saya berjaya dalam hidup ini.  Cikgu banyak merubah kehidupan saya.  Terima kasih cikgu.”  Mohd Nazri menggenggam erat kedua tangan Cikgu Shahidan.



Tersenyum Mohd Nazri, bila mengingati kisah lamanya. Ingin sekali dia berterima kasih kepada Ardila. Namun sayang, selepas kejadian dia menampar Ardila. Keluarga Ardila mengambil keputusan dengan memindahkannya ke sekolah lain. Manakala dia pula dilantik menjadi ketua kelas oleh Cikgu Rasidah selaku guru kelasnya.  Puas dia cuba mencari Ardila dengan menyoal beberapa kawan baik Ardila. Namun tiada seorang pun yang tahu ke mana dia dipindahkan. Cuma, seminggu sebelum mereka menghadapi peperiksaan, dia menerima sepucuk surat daripada Ardila. Dia masih terkenang kata-kata semangat yang diberikan oleh Ardila di dalam suratnya itu. Nasihat yang memberi keyakinan kepadanya untuk terus berubah. Dia sungguh berasa terkilan kerana tidak sempat memohon maaf kepada Ardila. Impiannya hingga kini, moga suatu hari nanti dia dapat bertemu dengan Ardila. Seorang gadis yang benar-benar berani menentangnya suatu ketika dulu. 






Sabtu, 5 April 2014

TEMPUA BERSARANG RENDAH


Karya : Norfadzila Mahauddin.

SEKOLAH MEN.  KEB. KUALA PERLIS, PERLIS. Sebuah sekolah menengah yang terletak di pekan Kuala Perlis, Perlis. Sebuah sekolah yang berdekatan dengan pantai dan juga sawah padi yang terbentang luas. Sesekali bila ombak yang menghempas tinggi memukul tepian pantai yang di penuhi dengan bongkah-bongkah batu , pasti tempias air laut memasuki celahan tingkap kelas. Akan terasa melekitnya wajah dihujani  dengan air laut. Pohon mangga yang di tanam di tepian pagar sekolah  melambai-lambai daunnya pabila di tiup angin.  Sesekali bila duduk di bangku yang disediakan di bawah pohon mangga terasa aman dan damai. Munculnya warna pelangi indah, menghiasi dada langit tatkala gerimis hujan seiring terbitnya sinaran matahari pagi.

E Kargo, Bertubuh tinggi sekitar 5’7”, berkulit hitam manis, anak seorang nelayan yang  terkenal di sekitar pekan Kuala Perlis, Encik Mohd Noh. Lebih dikenali sebagai Pak Noh. Salah seorang nelayan yang mepunyai bot besar.  Dia merupakan anak sulung dalam keluarganya dan  mempunyai dua orang lagi adik perempuan yang berusia 15 tahun dan yang kecil berusia 12 tahun.

Dia seorang pelajar tingkatan 5B atau nama sebenarnya Mohd Nazri bin Mohd Noh, lebih gemar menghabiskan masanya di dalam bot besar ayahnya. Dia lebih berminat dengan dunia perkapalan. Bagaimana cara mengemudi ketika air pasang ataupun surut. Tahu di mana kawasan yang terdapat banyak ikan dan dia boleh menghabiskan masanya berhari-hari di dalam perut kapal.PanggilanNama yang dia perolehi, hasil daripada pertanyaan kawan-kawannya. Apabila mereka tidak melihat kelibat E Kargo lebih daripada dua hari dan bila mereka bertembung antara satu sama lain, tiada lain yang dipersoalan. Ayat yang sama, berulang kali disebutkan,

“Weh! Nampak E tak?”

“E… kat kargo ayah dia kot?”

Di situ jugalah tempat dia dan beberapa kawannya menyembunyikan diri sekiranya mereka gagal menghadirkan diri ke sekolah.

Tinggal di Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis. Sebuah perkampungan nelayan, yang letaknya di muara pantai. Kampung yang kelihatan seperti pulau kecil, rumah-rumah didirikan di atas air laut. Bila tiba air pasang akan kelihatan begitu rapat dengan lantai rumah. kebiasaannya rumah di situ hanya di perbuatan dari papan. Kampung yang terpisah oleh muara pantai dan untuk ke pekan harus berjalan mengunakan titi papan atau pun menaiki sampan yang di bawa oleh penduduk kampung sebagai salah satu pekerjaan di masa lapang mereka. Titi yang agak tinggi yang mana di bawah titi itu adalah laluan bot-bot besar untuk di jadikan tempat pemunggahan hasil tangkapan ikan, udang dan sotong.

Pagi yang dingin, tinggal berdekatan dengan muara memang mengasyikkan. Daun pokok kelapa yang beralun-alun bila di tiup sang bayu. Malah sampan-sampan kecil terumbang ambing di pukul ombak kecil yang ditambatkan di kayu-kayu yang dipacakkan sebagai tempat mengikat sampan.  Kelihatan beberapa anak-anak kampung keluar berjalan kaki untuk ke sekolah termasuklah  E Kargo dan beberapa rakannya baiknya. Mereka selalu akan keluar berjalan beriringan ke sekolah dan  akan singgah terlebih dahulu di tengah-tengah titi sambil di hujung jari terdapat sebatang rokok yang masih menyala. Acapkali dibiarkan di jarinya bila yang ada yang mengenalinya ketika melintasi dihadapannya.

Suara sang unggas berkicauan riang, melekakan pandangan mata. Sekolah yang kelihatan sunyi tanpa penghuni mula kedengaran riuh di sana-sini. Ardila, seorang penolong pengawas yang baru di lantik beberapa minggu yang lepas… masih lagi berdiri di tepi pagar sekolah mencatit nama pelajar yang melakukan kesalahan-kesalahan kecil atau hanya memandang mereka dengan senyuman tak pernah lekang dari bibir mongelnya. Dari jauh kelihatan segerombolan pelajar lelaki, menghampiri pagar sekolah dengan keadaan yang tidak kemas. Dengan bawah baju tidak di selitkan ke pinggang, rambutnya tidak bersikat sehingga sakit mata bila memandangnya.

Setiap hari saban minggu namanya sering meniti di bibir semua guru. Baik guru biasa, guru disiplin sehinggalah guru besar sekolah. Terkenalnya dia mengalahkan juara pidato sekolah dan adatikanya pula mengalahkan olahrawagan terbaik sekolah. Dari sekecil-kecil kelakuan sehinggalah sebesar-besar perbuatan. Sekira tidak dibendung dari sekarang, sedikit demi sedikit akan menjadi darah dagingnya bila tamat sekolah nanti. Di luar sana masih besar lagi dugaannya. Ardila yang masih belum  mengenali keadaan suasana di sekolah berasa pelik dengan sikap E Kargo. ` Mesti ada sesuatu yang menyebabkan dia menjadi begini? Apakah dia ingin mencuri perhatian cikgu-cikgu?’ bermonolog Ardila sendirian.

“Eh, E Kargo! Kau nak masuk sekolah dengan pakaian macam tu? Baik kau kemaskan sekarang baju kau tu? Tak nampak? Tu… budak perempuan yang kau bengang sangat dengan dia, jaga pintu masuk pulak hari ni?” tegur Ridzuan rakan sekelasnya.

“Biar, aku nak tengok… setakat mana dia berani nak tegur aku. Baru datang sekolah ni dah nak tunjuk lagak. Setakat anak polis, aku tak heranlah,” balas Mohd Nazri dengan angkuh.

Mereka meneruskan perjalanan sehingga di hadapan pintu pagar sekolah. Ridzuan dan beberapa lagi rakan yang lain sudah nampak kemas tersengeh memandang E Kargo yang ditahan di pintu pagar sekolah. Geram bukan kepalang E Kargo melihat rakan-rakannya berlalu meninggalkan dirinya terkontang kanteng berdiri di tepi pagar. Bertambah sakit hatinya bila namanya sekali lagi dicatitkan di dalam buku nota pengawas. `Jaga kau, Ardila. Ada ubi ada batas, ada hari akan aku balas semua perbuatan kau,’ ngomel E Kargo dalam hati.

Memandangkan hari ini hari Ahad, perhimpunan di dewan akan di adakan. Pada masa itu setiap pelajar yang namanya tercatit di dalam buku nota pengawas akan dipanggil seorang demi seorang oleh guru disiplin dan guru besar sendiri akan menjalankan tugas menjatuhkan hukuman samaada merotan mereka atau menjatuhkan hukuman ringan seperti menyuci tandas atau mengutip sampah di sekitar kawasan sekolah.

“Mohd Nazri bin Mohd Noh!” laung Cikgu Shahidan selaku guru disiplin di sekolah itu. Bergema nama E Kargo melalui corong mikrofon sekolahnya.

Bergegas dia keluar dari barisan kelasnya dan berlari menghadap Cikgu Shahidan dan Cikgu Hassan selaku guru besar di sekolah itu. Sempat lagi dia menjeling ke arah Ardila yang berdiri di barisan pengawas. Ardila yang perasaan akan jelingan itu hanya mendiamkan diri. Dia tidak gentar dengan cara E Kargo memandangnya. Walaupun mereka berdua satu kelas, setakat ini belum lagi berlaku pergaduhan yang besar buat mereka.

Berdiri di hadapan Cikgu Shahidan, sambil tersenyum simpul tanpa rasa gentar hanya menunggu perintah hukuman sahaja dari mulut guru besar sendiri. E Kargo memandang ke lantai dewan sekolah sambil bermain-main dengan jarinya.

“ Mohd Nazri, tahun ini tahun terahkir kamu di sekolah ini… apakah kamu tidak  punya keinginan untuk berubah? Tidak terfikirkah kamu bila melihat begitu susahnya, ayah dan ibu kamu mencari wang untuk sekolahkan kamu?  Berubahlah, ini semua untuk masa depan kamu.” Nasihat Cikgu Shahidan.

Hairan E Kargo, selalunya Cikgu Shahidan tidak banyak soal dan tidak mahu pendengar penjelasan. Hukuman tetap hukuman, tiada lagi masa untuk memohon maaf atau menerima penjelasan. Tapi kali ini berlainan sekali, E Kargo tidak menerima pukulan tapi nasihat demi nasihat. Namun ibarat mencurah air di daun keladi, nasihat yang diberi ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Selepas dilepaskan dan perhimpunan pun bersurai, bermulalah agenda di fikirannya. Dalam hatinya tersimpan niat jahat ingin mengenakan Ardila, pengawas yang paling dibenci olehnya.

Di dalam kelas Tingkatan 5B, Ardila yang duduk di bahagian depan terasa terganggu dengan keadaan kelas yang begitu bising sekali. Mengalahkan pasar pagi atau `nut’ yang di sebut oleh penduduk kampung di situ. Cikgu Rasidah gagal mengawal keadaan yang bising itu, beberapa kali dia menyuruh anak muridnya berkelakuan baik dan diam. Semakin ditegur, semakin galak mereka membuat bising. Terutama E Kargo. Ardila, duduknya terasa panas… mukanya yang tadi tenang bertukar kemerah-merah menahan geram yang tak terhingga. Ingin sahaja dia bangun kala itu dan memintal-mintal telinga E Kargo sepuas-puas hatinya.

Perasaan marahnya semakin meluap-luap, ditenung wajah Cikgu Rasidah dalam-dalam. Turun naik nafasnya menahan sabar, peluh dingin mula membasahi tapak tangannya. Kedengaran suara yang begitu menyakitkan telinganya. Suara yang sedang mengejek-ngejek namanya. Ardila tanpa melihat siapa rupanya sudah dapat meneka siapakah hero itu. Buku teks Bahasa Malaysia yang berada di hadapannya di capai pantas, dengan sekali nafas balingan yang dibuat tepat mengena sasaran.

“Oiiii minah! Kau main kasar nampak?” jerit E Kargo sambil mengambil buku yang jatuh di hadapannya.

“Siapa main kasar? Cikgu suruh kau diam, yang kau memekak dalam kelas buat apa? Eh! Kalau kau tak nak belajar, jangan datang sekolah. Baik kau pergi duduk dalam bot kargo ayah kau tu.” Balas Ardila sambil membetulkan hujung tudungnya yang di tiup angin.

“Oiii minah! Nama keluarga jangan sebut, pantang aku. Kau tau? Aku punya sukalah nak belajar ke, nak menjerit ke, nak melalak ke… kau susah hati kenapa?” balas E Kargo semakin galak marahnya.

Keadaan tadi yang riuh dengan bunyi suara-suara sumbang tiba-tiba bertukar rupa. Sunyi seperti ada malaikat yang melalui di dalam kelas mereka. Cikgu Rasidah cuba meredakan kemarahan anak muridnya. Dia tahu benar dengan sikap anak muridnya seorang ini,  yang pantang dicabar. Ardila masih lagi berdiri di mejanya. Tidak berkelip pandangannya. Menanti tindakan seterusnya, andaikata dia diserang nanti.

Kemarahan E Kargo semakin menjadi-jadi bila soalan yang diajukan kepada Ardila hanya dipandang sepi. Menolak meja dengan kasar dan berjalan menuju ke arah Ardila. Keadaan semakin tidak dapat dikawal. Ardila masih lagi berdiri, manakala E Kargo semakin menghampiri. Dadanya berombak kencang, tiba-tiba tanpa diduga oleh sesiapa `panggggg’. Satu tamparan yang kuat hinggap di pipi Ardila. Terhoyong-hayang Ardila lalu terjatuh di pelusuk kerusi tempat duduknya sendiri.

Masing-masing kaku tanpa suara. “Mohd Nazri! Apa yang telah kamu buat ni? Dengan budak perempuan pun kamu nak bergaduh? Tak cukup lagi ke dengan budak-budak lelaki di sini yang kamu hendak buli. Hah!” tiba-tiba terdengar suara Cikgu Shahidan menengking Mohd Nazri dari pintu kelas mereka.

“Kamu berdua, sila ikut saya ke bilik guru. Sekarang juga!” arah Cikgu Shahidan kembali.

Merah pipi Ardila menahan kesakitan. Tidak menangis malah tidak pula tersenyum. Rakan-rakan yang lain kembali duduk di tempat masing-masing. Cikgu Rasidah, Ardila dan E Kargo meninggalkan kelas 5B dan melangkah kaki mereka di bilik guru. Setiba di bilik guru disiplin tanpa mendengar penjelasan dari E Kargo. Ardila dan Cikgu Rasidah hanya menjadi pemerhati. Timbul perasaan kesian dalam diri Ardila. Tapi demi pengajaran, Ardila membiarkan sahaja perkara itu berlaku di hadapan matanya.

Tiga kali libasan di punggung E Kargo, dengan pembaris panjang sedepa dan tebalnya lebih kurang satu inci. Tak sanggup Ardila meyaksikannya. E Kargo cuba memandangnya, namun dibuangkan pandangannya ke arah luar jendela. Cuba menyembunyikan kesedihannya dengan melihat ombak yang sedang memukul pantai. Bagi E Kargo, hari ini adalah hari yang begitu buruk baginya. Sudahlah di pukul depan Ardila. Malah mendapat pula surat arahan digantung sekolah selama dua minggu dari guru besarnya, Cikgu Hassan.

Peristiwa E Kargo dimarahi dan digantung sekolah oleh pihak sekolah diketahui juga oleh ayahnya.  Segala perbuatannya yang melanggar disiplin sekolah telah disampaikan sendiri oleh Cikgu Shahidan. Mak Munah, ibu E Kargo hanya tunduk diam bila Cikgu Shahidan meluahkan segala yang berlaku di sekolah pagi tadi.  Pak Noh hanya menunggu malam saja, hendak berbicara dengan anak sulungnya.

Malam yang sunyi, sesekali terdengar suara cengkerit bersahut. Di luar sana, langit kelihatan gelap. Lagaknya seperti ingin turun hujan lebat.  Pak Noh, sengaja melintas di depan bilik E Kargo.  Pintu bilik E Kargo nampak renggang tidak berkunci.  Pak Noh menjengulkan kepalanya.  Lampu bilik masih terpasang.  E Kargo  sedang termenung di meja tulisnya.  Wajahnya kelihatan sugul.

“Mohd Nazri, ayah ada hal sikit nak cakap,”  kata Pak Noh, masih berdiri di belakang E Kargo sambil kedua-dua belah tangannya mengusap-ngusap bahu anaknya.

E Kargo tidak menoleh.  Dia masih termangu di kerusi.  Dia tidak peduli teguran ayahnya. Dia amat memahami sikap ayahnya. Nama penuh akan dipanggil apabila kemarahannya berada di puncak. Kalau tidak ayah lebih suka memanggilnya `along’.

“Ayah, ada pekara yang ingin dibincangkan dengan kamu?.  Kenapa nak biadap dengan ayah?”  suara Pak Noh keras meninggi. Lantas dia mencapai sebuah kerusi kecil lalu duduk menghadap anak sulungnya.

Melihat ayahnya yang sudah berada di hadapannya, E Kargo baru menoleh.  Mukanya masam kelat.  Dia sudah dapat mengagak bahawa ayahnya akan memberi hadiah yang agak lumayan atas perbuatannya di sekolah tadi.

“Kenapa Mohd Nazri nak malukan, ayah?  Tak bolehkah Mohd Nazri menjadi seorang anak remaja yang baik.  Mohd Nazri tak berasa malu ke, bila kena rotan di depan budak-budak lain. Mohd Nazri bukan anak kecil lagi? Sudah menjangkau tujuh belas tahun? Kenapa Mohd Nazri degil? Kenapa masih hendak malukan ibu kamu? Kesianlah ibu, Mohd Nazri,”  suara Pak Noh lembut. 

E Kargo tidak menjangka yang kata-kata itu yang lahir dari bibir hitam ayahnya. Luar jangkaan E Kargo. Lalu, dengan perlahan dia mengangkat wajahnya sambil menatap wajah ayahnya. Ada airmata di tubir matanya. Begitu juga dengan E Kargo. Berkaca matanya, menahan telaga itu dari pecah melimpah. 

”Along minta ampun ayah.  Along janji tak akan buat lagi,”  Mohd Nazri tanpa diduga memeluk ayahnya,Pak Noh.  Telaga yang penuh dengan air ahkirnya melimpah juga.

”Kali ini, ayah ampunkan.  Untuk akan datang kalau along  buat lagi, ayah tak akan diam.  Ingat pesan ayah,”  tegas Pak Noh.  Matanya sayu memandang anaknya yang dirasakannya ada sikap hendak berubah.  Telah banyak perkara yang dia dengar dari mulut jiran-jiran mereka mengenai Mohd Nazri.

”Along Janji ayah.  Along janji.” balas Mohd Nazri sambil memengang kedua-dua tangan ayahnya.

”Ayah nak along berubah.  Along bukan budak-budak lagi.  Dah tingkatan lima.  Tidak lama lagi akan menduduki peperiksaan SPM. Sekurang-kurangnya ayah nak anak ayah lulus peperiksaan. Jangan biarkan  ayah malu.  Emak pun malu.  Ayah mahu along, mesti berubah.  Jangan buat nakal lagi.  Ayah juga mahu along berjaya dan buktikan pada cikgu serta jiran-jiran kita yang along boleh berjaya,”  pujuk Pak Noh. Mak Munah hanya mendengar di balik pintu bilik anaknya sambil mengesat airmatanya yang mengalir dengan hujung lengan bajunya.

Semenjak kejadian hari itu, E Kargo semakin kerap memencilkan diri di bot ayahnya. Dua minggu digantung dari sekolah, benar-benar menginsafkan dirinya. Bayangan ketika dia menampar Ardila masih jelas terbayang di ruang matanya. Dia ingin memohon maaf dari Ardila apabila habis edahnya digantung oleh pihak sekolah nanti.

Lima belas tahun kemudian.

Sebuah kereta Naza Citra memasuki jalan yang sudah diturapkan dengan tanah merah dan juga tar. Menyusuri Kampung Seberang Alor yang sudah banyak berubah. Tiada lagi sawah padi, yang kelihatan rumah-rumah teres tersusun cantik. Kampung Seberang Alor yang dulunya tidak boleh kenderaan memasukinya, kini sudah boleh menerima kenderaan. Terasa bangga dia menjadi anak jati Kuala Perlis. Sedang dia leka dengan kisah lamanya, terarah pandangannya kepada seorang pakcik tua yang sedang terbongkok-bongkok membetulkan rantai basikalnya.
Dia memberhentikan keretanya di bahu jalan. Lalu melintasi jalan dan menuju ke arah lelaki tua itu. Diamatinya penuh khusyuk. Tahulah dia kini siapa pakcik tua itu. Pakcik tua yang tidak sedar ada anak muda di sebelahnya terus-terusan membetulkan rantai basikalnya. Dengan sekali bismillah, dia menegur pakcik tua itu.

“Assalamualaikum.  Cikgu apa khabar?” tegur anak muda itu sambil terbatuk-batuk. Batuk yang sengaja dibuat-buat.

Pakcik tua itu yang dalam lingkungan 65 tahun lebih, mendongak memandang wajah anak muda yang baru saja menegurnya.  Dia tersenyum kehairanan.

“Cikgu masih ingat saya tak?”  tanya anak muda itu lagi.  Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Di tenungnya wajah pakcik tua itu.

”Maaf anak,  pakcik tidak berapa ingat.  Siapa anak ini sebenarnya?”  kehairanan masih bermain di wajahnya.

“Cikgu tak ingat?”  anak muda itu terus sahaja menarik pakcik tua itu ke kerusi yang kebetulan ada di situ, di suruhnya pakcik tua itu duduk dan dia berdiri menghadap pakcik tua itu.

Pakcik tua itu hanya menggelengkan kepalanya.  Kemudian mukanya ditundukkan.  Matanya memandang hujung kasutnya yang berlubang kecil.  Pakaiannya agak comot.  Rambutnya tidak terurus.

”Baiklah.  Saya ceritakan kisah saya, manalah tahu cikgu mungkin ingat,”  ujar anak muda itu.

”Cikgu ingat tak, masa di bilik guru di sekolah, cikgu rotan saya di hadapan cikgu Rasidah dan seorang lagi pelajar perempuan, Ardila namanya... tanpa belas kasihan.  Masa itu saya minta ampun.  Minta maaf tapi cikgu tak peduli.” terang anak muda tadi.

”Maafkan pakcik, nak.  Pakcik memang tak ingat.  Entah bila berlaku?”  suara Cikgu Shahidan bergetar.  Rasa takut datang membalut dirinya.

“Mana boleh cikgu lupa.  Dulu cikgu guru disiplin sekolah tempat saya belajar.   Cikgu suka bertindak tanpa soal siasat.  Siapa betul, siapa salah.  Kenapa cikgu pukul saya depan orang?”  anak muda itu tiba-tiba meninggikan suaranya.

“Betul.  Pakcik tak ingat.  Murid pakcik bukannya sikit. Ramai.   Siapa anak ini sebenarnya?”  getaran suara Cikgu Shahidan masih belum reda.  Dia tidak berani menentang tenungan anak muda itu, yang bertubuh sasa.

“Kalau cikgu nak tahu, sayalah Mohd Nazri bin Mohd Noh atau lebih dikenali dengan panggilan E Kargo oleh kawan-kawan saya.  Pak Noh, nelayan yang dikenali ramai dahulu.  Pak Noh, juga pernah menjadi kawan cikgu.  Masih tak ingat lagi?”  Mohd Nazri bercekak pinggang.

“Hah! Kamu anak Pak Noh yang baru meninggal dunia dua tahun lepas?  Ya Allah, maafkan pakcik, nak.  Siapa nama kamu?” soalnya sambil mengangkat kopiah di kepala dan mengaru-garu. Mungkin keliru.

Mohd Nazri tiba-tiba memeluk Cikgu Shahidan.  Dia menangis gembira.  Pelukannya semakin kemas.

”Terima kasih cikgu kerana merotan saya.  Kalau cikgu tidak rotan saya ketika itu, mungkin saya tidak lagi menjadi manusia.  Saya minta maaf cikgu kerana sengaja berkasar dengan cikgu tadi.  Cikgulah semulia-mulia manusia yang berjaya mendidik saya.  Maafkan saya cikgu,”  Mohd Nazri melepaskan pelukannya.  Dia kembali duduk menghadap Cikgu Shahidan.

”Pakcik tak faham.  Apa yang terjadi ke atas kamu.  Siapa nama kamu tadi?” ulang pakcik tua itu lagi. Direnungnya wajah Mohd Nazri tanpa kelip. Di sapu-sapunya matanya berkali-kali dengan tapak tangannya.

”Mohd Nazri, cikgu.  Selepas mendapat keputusan SPM, saya terus memohon penyertai  Angkatan Tentera Malaysia. Hasil berkat kata nasihat yang cikgu berikan kepada saya dan disiplin yang diterapkan oleh Angkatan Tentera Malaysia. Dari menjadi seorang rekrut biasa hingga kini saya menjadi seorang mejar. Sekarang ni, saya digelar Mejar Mohd Nazri, Askar Melayu Di Raja.  Kerana rotan cikgulah saya berjaya dalam hidup ini.  Cikgu banyak merubah kehidupan saya.  Terima kasih cikgu.”  Mohd Nazri menggenggam erat kedua tangan Cikgu Shahidan.


Tersenyum Mohd Nazri, bila mengingati kisah lamanya. Ingin sekali dia berterima kasih kepada Ardila. Namun sayang, selepas kejadian dia menampar Ardila. Keluarga Ardila mengambil keputusan dengan memindahkannya ke sekolah lain. Manakala dia pula dilantik menjadi ketua kelas oleh Cikgu Rasidah selaku guru kelasnya.  Puas dia cuba mencari Ardila dengan menyoal beberapa kawan baik Ardila. Namun tiada seorang pun yang tahu kemana dia dipindahkan. Cuma, seminggu sebelum mereka menghadapi peperiksaan, dia menerima sepucuk surat daripada Ardila. Dia masih terkenang kata-kata semangat yang diberikan oleh Ardila di dalam suratnya itu. Nasihat yang memberi keyakinan kepadanya untuk terus berubah. Dia sungguh berasa terkilan kerana tidak sempat memohon maaf kepada Ardila. Impiannya hingga kini, moga suatu hari nanti dia dapat bertemu dengan Ardila. Seorang gadis yang benar-benar berani menentangnya suatu ketika dulu.



















Selasa, 1 April 2014

ASSALAMUALAIKUM CHINTA.

Hari pertama berada di Institut Kemahiran Mara, Sungai Petani. Kedah begitu mengembirakan Chinta. Dapat bertemu dengan rakan-rakannya setelah hampir dua bulan bercuti.  Kini Chinta sudah berada di semester ketiga tahun akhir di dalam kursus yang diambilnya. Kursus Kejuruteraan Awam. Sedang leka dia menyusun baju ke dalam almarinya, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering membawa mesej. Tanpa berlengah dia membacanya.
Assalamualaikum Chinta.
Aku mengerti kini Chinta, tiada rasa cinta di hatimu yang dapat aku selitkan sedikit rasa bahagia. Untuk apa aku mengharapkan kasih, sayang dan cintamu? Untuk apa aku cuba untuk merebut kasihmu? Untuk apa Chinta? Sedangkan di hatimu sedikit pun tiada rasa seperti mana yang aku rasa. Baik aku pergi, dari terus menagih cintamu. Cuma mengertilah Chinta yang aku masih lagi menaruh harapan agar suatu hari nanti, dirimu tetap akan menjadi milikku. Mungkin akan tiba saat itu walaupun bertahun. Aku tetap menanti.~Nazrul
Sebaik sahaja membaca mesej yang dikirimkan olah Nazrul. Entah kenapa hati Chinta  menjadi gelisah dan  resah. `Apakah yang Chinta harus katakan lagi Naz?’ dengan segera dibalasnya mesej itu.
Waalaikummussalam Naz.
Malam  yang masih panjang membuat hatiku tiba-tiba menjadi rindu pada kenangan lalu. Mengapa kau masih menyintai aku Naz? Sedangkan telah ku perjelaskan segalanya. Bukan aku tidak mahu memiliki cintamu Naz, tetapi aku tidak mahu mengecewakan hati orang lain yang begitu menyintaimu. Demi persahabatan, biarlah aku mengundurkan diri. Itulah yang aku janjikan kepadanya. Mengapa kau tidak mahu mengerti Naz?~Chinta.
Selepas membalas mesej dengan segera dia mematikan talian telefon bimbitnya. Masih jelas terbayang di depan matanya, bagaimana Asmidar dengan muka masamnya datang berjumpa dengannya pada suatu malam. Masih ingat, bagaimana menangisnya Asmidar merayu agar dilepaskan Nazrul kepadanya. Pengorbanan apakah ini? Dia sendiri tersepit antara dua hati. Seorang kawan dan seorang lagi, insan yang mulai bertahta di hatinya. Malam makin larut dalam kegelapan… mata kian tertutup dengan seribu sesalan.
Jam loceng berbunyi seperti biasa. Chinta masih lagi dipembaringan, rasa malas menyelubungi dirinya. Sedang dia berangan-angan, tiba-tiba terdengar suara manis di hujung kepalanya.
            “Hai Kak Chinta, tak ada kelas ke pagi ni… kau nak kena lagi ke dengan Encik kesayangan kau tu…” kedengaran suara Nani mengejutkan Chinta yang masih lagi dibuai mimpi. Tanpa sepatah kata, Chinta terus bangun dan mengambil kain tuala dan bakul kecil terus menuju ke bilk mandi. Masih sempat matanya menjeling jam di dinding bilik mereka. `Arrr… dah 7.30 pagi. Alamak! Melepas lagi la aku nak sarapan macam ni.’ Merungut Chinta sendiri.
            Dalam tergesa-gesa Chinta mengatur langkah, satu persatu anak tangga Chinta turuti. Sehinggalah anak tangga yang terahkir. Berada di depannya kini, Nazrul. Chinta cuba menepis tangan yang sedang menghadang perjalanannya. Dengan pantas tangan diraih oleh Nazrul. Chinta cuba menariknya, tapi semakin sakit pula yang dirasainya.
            “Chinta, dengar dulu apa yang Naz nak cakapkan…” sambil menarik tangan Chinta supaya dekat padanya.
            “Apa lagi Naz, semua sudah Chinta katakan. Chinta dah putuskan yang kita tiada apa-apa hubungan” sambil memandang tepat ke arah Nazrul.
            “Okay! Baik, Naz boleh terima semua itu. Cuma Naz berhak untuk tahu apa sebabnya, dan kenapa dari semester satu hingga sekarang Chinta begitu baik dengan Naz. Malah kemana sahaja Naz pergi, pasti ada Chinta menemani. Tak pernah Chinta menolak tetapi kenapa baru sekarang…” belum sempat Naz menghabiskan katanya, kedengaran suara memanggil namanya.
            “Oiii Naz, cepat lepaskan tangan Chinta, As sedang menuju ke sini. Cepat Naz!” Jerit manja Azrul.
            Sambil menunjukkan jari telunjuknya sebagai isyarat tanda amaran Nazrul bersuara “Naz perlukan penjelasan. Petang ini, di tempat biasa. Perlu!” segera lengan Chinta di lepaskan, sebaik sahaja di lepaskan tanpa menoleh belakang terus Chinta meninggalkan tempat itu. Sempat lagi telinga Chinta mendengar suara Asmidar, kawannya. Sebaik melangkah kaki melewati pintu kelasnya terdengar Chinta suara Encik Shahrin menegurnya.
            “Okay Chinta. Apa alasan awak pagi ni? Sakit perut lagi ke?” pertanyaan Encik Shahrin mencetuskan hilai tawa di kalangan pelajar lain. “Tak mengapalah Chinta, malas dah saya nak denda awak lagi. Ini dah semester ketiga. Harap awak serius sedikitnya, Chinta. Ingat! Ini tahun akhir awak?” 

`Aku tahu Encik Shahrin’ bisik Chinta dalam hatinya. Sedang leka melukis pelan susun atur tingkat satu sebuah rumah yang di sebut dalam bahasa Englishnya `Layout Plan’, Chinta di datangi dua sahabat baiknya. Su dan Zita.
            “Oii minah, tadi kau jumpa Nazrul kan? Berapa kali nak cakap, jangan layan mamat tu. Kau ni degillah Chinta!” Su yang ada di sebelah kirinya bersuara. Zita yang ada di sebelah kanannya pula hanya mampu menganggukkan kepala.
            “Oii Su, cakap jangan ikut sedap mulut je ye. Bukan aku yang jumpa dia, dia yang datang sekat perjalanan aku pagi tadi kat tangga hujung sana. Eh! Su, kalau aku nak dia, dah lama aku tarik dia duduk sebelah aku. Tak kan aku biar dia duduk di sebelah As tu?” tukas Chinta kembali.
            Sedih perasaan Chinta dengan sikap dan kata-kata sahabatnya itu. Sudah berapa kali Chinta membuat pengakuan antara dia dan Nazrul hanyalah teman sekuliah. Tak lebih dari itu, tapi tak tahulah kalau lain pula yang di sampaikan oleh Nazrul. Kata putus sudah Chinta bulatkan, sesuatu mesti dilakukan demi persahabatan mereka. Dia tidak mahu disebabkan dirinya, mereka bermasam muka. Cukuplah, dia pun sudah malas hendak membuat pengakuan. Andai benar Nazrul cintakan dia, biar masa yang menentukan. Tetapi untuk merebut-rebut ini bukan kerja dia. Kerja gila namanya.
            Jam loceng berbunyi lagi tanda kelas akan tamat sebentar lagi. Dia ingin segera pulang ke asramanya. Ingin bertemu sahabat baiknya Nani. Kepada Nani nanti, akan diterangkan segalanya. Keputusan harus dibuat.
            Sampai sahaja Chinta di asramanya, dia segera bertemu Nani. Nani yang sedang terbaring di atas katil terkejut dengan kehadiran sahabatnya itu. Dengan muka yang berkerut di dahi sambil bangun dari pembaringan, Nani mula bersuara “Kenapa dengan kau ni Chinta, macam cacing kepanasan je?”
            “Jom, temankan aku kejap. Penting ni… dengan kau aje, aku rasa benda ni cepat dapat di selesaikan.” Terang Chinta pada Nani dan dalam masa yang sama menarik tangan Nani untuk mengikutnya.
            “Oiii… oiii… oiii… nanti jap. Tunggu dulu, aku pakai tudungla makcik. Sabar sikit. Nak jumpa siapa ni…?”
            “Nazrul!  Aku nak kau terangkan kat dia bagi pihak aku. Tolonglah Nani, aku dah malas nak fikir benda ni. Makin lama, makin macam-macam yang mereka kata pada aku. Gossip ni buat aku sakit hati. Kau pun tahukan?” Terang Chinta sambil memandang Nani yang sedang menyarungkan tudung ke kepalanya.
            “Betul kau nak aku terangkan kepada Nazrul?”
      Tanpa sebarang kata, Chinta hanya mengiyakan sahaja. Dia menyerahkan bulat-bulat kepada Nani. Dalam pada masa yang sama, kedengaran bunyi suara sang cicak seperti mengiyakan. “Aaaa… kau tengok, cicak pun setuju… bila aku suruh kau?” sambil memberikan senyuman pada sahabat baiknya itu.
            “Okay, kalau macam tu… kau tak perlu ikut. Biar aku aje yang pergi. Kau duduk diam-diam kat sini.” Jawab Nani. 

              Dengan segera Nani keluar dari bilik tanpa menunggu jawapan dari Chinta. Sebelum pergi sempat lagi Nani bermain mata dengannya.
            Sementara menunggu Nani, Chinta membelek-belek buku kerja Nani. Resah gelisah dirinya. Sekejap duduk, sekejap bangun. Dipandangnya jam dinding di penjuru bilik Nani. `His… dah hampir 6.00 petang ni’ bisik Nani sendirian. Sejenak pintu di buka dari luar, tersembul kepala Nani… ada garis senyum dibibirnya. Sambil tersenyum dia membuka tudungnya, lalu mengambil air mineral yang memang tersedia ada di atas rak almarinya. Chinta membiarkan apa saja kelakuan sahabatnya itu sambil berdebar menantikan  penjelasan.
Seraya menatap wajah sahabat baiknya itu, Nani kemudiannya bersuara. “Chinta, semua sudah selesai. Jangan tanya apa yang aku beritahu pada Nazrul. Dia dah dapat menerimanya.” “Tapi…” belum sempat Chinta bersuara, Nani memotongnya. “kan aku dah kata, jangan tanya… kau faham?”
“Okay… terima kasih Nani, kaulah sahabatku.” Sambil berpelukkan Chinta meminta diri untuk pulang ke biliknya. Ketika ingin menutup pintu bilik Nani, sempat lagi Chinta bergurau sambil berkata “ terima kasih daun keladi ye… lain kali boleh tolong lagi…” Nani hanya mampu memberi senyuman manis buat sahabatnya itu
Belum pun sempat Chinta sampai ke biliknya, kedengaran bunyi nada mesej melalui telefon bimbitnya. Segera dia memerhatikan siapakah gerangan yang menghantarnya.
Assalamualaikum  Chinta.
Biar resah di dada,biar gelora mencengkam di jiwa. Chinta tetap akan Naz ingati. Agar cinta awak terus melekap di hati.
Selamat malam Chinta. Hanya awak cinta hati saya.~Nazrul
            ***********
Beberapa tahun kemudian. Di sebuah Pusat Membeli Belah Selayang Mall, Selayang. Nazrul, sedang memilih pakaian untuk anak kecilnya, terpandang pada seraut wajah yang amat dikenalinya. Chinta., di gosok-gosok matanya… `Arrrhhh, benarkah dia.’ Tanpa membuang masa Nazrul segera mengejar wanita itu. Sambil bernekad di dalam hati nama itu akan ku panggil.
“Chinta… Chinta… Chintaaaa!” sekuat daya Nazrul menjeritnya, sehingga menjadi tumpuan mata yang memandang. Chinta yang baru tersedar seperti ada suara yang memanggil namanya segera berpaling ke belakang. Alangkah terperanjatnya Chinta pabila melihat lelaki yang amat dikenali berada di hadapannya.
“Naz… Nazrulkan. LKA 26. Jejaka macho dan poyo.” Sahaja Chinta berkata begitu mengingatkan kembali zaman mereka di IKMSP dulu. Dengan termengah-mengah sambil mengurut dadanya Nazrul bersuara.
“Jadi, dah kenalkan siapa saya. Saya tahu awak mana boleh lupakan saya. Walaupun sudah hampir tiga tahun awak tinggalkan saya. Betul tak?”
Chinta tidak mampu berkata. Lidahnya kelu tanpa suara, melilau mata Chinta memerhati sekeliling.  Apa yang di cari oleh Chinta membuatkan Nazrul terpinga-pinga.
“Chinta cari siapa? Macam ni lah, Naz tak boleh lama… boleh Naz minta nombor talefon. Nanti… senang boleh Naz telefon?” sambil mengeluarkan telefon bimbitnya dan menghulurkan kepada Chinta agar menyimpan nombornya terus ke dalam talefon Nazrul. Tanpa melengahkan masa Chinta mengisi nombor telefon bimbitnya dan segera menyerahkan semula kepadanya.
“ Mana Asmidar…?”
“Awak tak akan dapat berjumpa dengan dia, Chinta. Tak akan jumpa? Okaylah… saya dah lambat ni, nanti saya telefon awak ye. Malam ni… boleh?”
Jawapan yang diberikan oleh Nazrul tadi sedikit mengejutkannya dan sekali lagi dia terkejut di saat Nazrul menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya.
“Maaf… mana mungkin kita bersalaman. Kita bukan muhrim?” di saat itu, Chinta cuma membongkok kan sedikit dirinya tanda hormat kepada Nazrul. 

`Sabarlah engkau wahai hati, jika ia milikku… pasti akan tetap menjadi milikku’ bisik hati kecil Nazrul.
Sekembalinya Chinta di rumah dengan segera dia mencapai telefon dan menghubungi sahabatnya, Nani.  Ingin segera dia bercerita dengan Nani dengan siapa dia bertemu tadi. Taliannya tidak dijawab. Sesekali Chinta mengalihkan pandangannya ke arah jam dinding di ruang tamu rumahnya. `Ermmm… masih awal lagi, tak kan dah masuk tidur…’ Tiba-tiba nada mesej pula yang berbunyi di hujung talian telefon bimbitnya. Segera Chinta membacanya.
`Seraut wajahmu yang manis berseri, kembali bertaut kasih yang pergi. Janji tetap janji, biar berperang mati, kau tetapku miliki. Andai kasih tetap di hati, kau kan ku miliki.’ ~ Nazrul
Terbuntang biji mata Chinta tatkala membaca mesej yang dikirimkan oleh Nazrul. `Eh! Siapa pulak yang berjanji-janji bagai ni…’ pelik Chinta seketika. `His… kalau tahu dek Asmidar ni, mahu teruk diserangnya.’ Dia tahu dan dapat merasakan kini yang Nani mungkin tahu semuanya. Nani…
Chinta kembali ke kamarnya, cuba melelapkan mata namun tidak mahu  terpejam. Fikirannya masih melayang, terkenang kisah di siang hari saat dia bertemu Nazrul.  Apakah makna pertemuan ini? Mana Asmidar? Apakah Asmidar sudah tiada lagi? Benarkah dia mengidap penyakit barah otak yang dia sendiri pernah ceritakan kepada Chinta saat dia meminta melepaskan Nazrul kepadanya.
Di Kampung Nelayan, Perlis. Nazrul memberhentikan keretanya di kawasan Tanah Perkuburan Islam, sambil mengendong anak kecil yang masih belum mengerti apa-apa. Mencari pusara isterinya Asmidar. Tiba di pusara, sambil mencangkung dan dengan sebelah lagi tangannya membersihkan rumput-rumput yang naik tumbuh di atas tanah. Sambil memandang wajah anaknya, Nazrul menadah tangan lalu berdoa, agar kehidupan isterinya di sana di tempatkan di sisi orang-orang yang beriman.
`As, abang sudah jumpa orang yang sangat As ingin jumpa. Dan izinkan abang membawa anak kita untuk berjumpa dengannya. Biar semuanya terungkai, andai masih ada lagi sayangnya pada abang, abang akan terima jika tidak pun abang akan terima. Selamat tinggal sayang.’
Melangkah kaki meninggalkan kawasan itu, segera Nazrul menalefon Chinta. Pada Chinta dikhabarkan pertemuan itu. Persetujuan telah dibuat tanpa melengahkan masa Nazrul memulakan pemanduannya. Anak kecil yang baik, mengerti kasih ayahnya terlena di kerusi kanak-kanak di bahagian depan bersebelahan dengan ayahnya.
Perjalanan yang mengambil masa selama lima jam memang memenatkan Nazrul. Tambahan pula dengan melayan anak kecilnya, namun sedikit pun tidak Nazrul mengeluh. `Sabar ye sayang… esok kita jumpa mama baru ye. Doakan papa, ye sayang?’ bisik Nazrul ke telinga anaknya itu. Esok penentu segalanya. Sambil memejamkan mata nazrul bermohon agar impiannya menjadi kenyataan.
*********
Di Restoran D Chief Tomyam Seafood, menanti Chinta dengan penuh debar. Siapa yang ingin Nazrul perkenalkan kepadanya. `Tak kan Asmidar’ detik hatinya. Dilihat jam di dinding restoran itu, sudah hampir dua petang. `Mungkin jalan sesak ni…’ teka Chinta sendirian.
Sedang leka membelek novel yang baru di belinya tadi, melilau matanya memerhatikan kelibat Nazrul. Terpandang pada sesusuk tubuh seperti sedang mengedong anak kecil. Segera Chinta mendapatkannya, lalu diambilnya anak kecil itu dari kendongan Nazrul. Dibiarkan Nazrul membetulkan duduknya. Terdiam seketika tanpa sebarang kata.
“Naz, mana orang yang nak awak kenalkan pada saya… dan sekali lagi mana Asmidar?” tanya Chinta meminta kepastian.
“Maafkan Naz… Chinta. Asmidar sudah meninggal dunia. Sudah lebih setahun dia pergi meninggalkan kami. Penyakit barah otaknya yang merebak ke peringkat yang keempat tidak dapat di selamatkan lagi.” Terang Nazrul.
Terkaku Chinta menerima perkhabaran itu. Sambil memandang anak kecil yang berada di dalam pangkuannya. Chinta bersuara.
“Naz, siapa nama anak awak ni… comel”
“Chinta Ardila. Nama yang Asmidar sendiri pilih. Katanya sebagai lambang pengorbanan seorang kawan kepadanya. Untuk pengetahuan awak juga… saat akhir hayatnya hanya nama awak yang disebut. Dia memohon maaf Chinta. Dalam pada masa yang sama Nazrul tanpa membuang masa terus meluahkan isi hatinya yang di simpan sekian lama. Sambil meraih jari jemari Chinta… Nazrul mengeluarkan kata isi hatinya.
“Chinta… demi anak kecil ini sudikah awak menjadi suri hidup saya. Saya tidak akan lepaskan peluang ini… saya tahu awak masih sendirian. Saya tahu semua tentang awak Chinta. Cuma saya tidak yakin dengan diri saya sendiri. Saya bimbang cinta saya ditolak seperti dulu. Namun Nani… sahabat awak yang telah membangkitkan semangat saya semula.” panjang lebar Nazrul menerangkan segalanya.
“Chinta… kalau diam tandanya setuju. Apa awak setuju dengan lamaran saya?” sekali lagi Nazrul bersuara. Dipandangnya wajah Chinta tanpa kelip.
Tiada kata yang dapat Chinta tuturkan saat itu. Hanya sepasang matanya memandang anak kecil itu tanpa kerdipan. Sesekali kedengaran rengekkan anak kecil itu namun Chinta tetap berdiam diri. Lama kemudian.
“Naz, saya masih ada keluarga di kampung. Dipersilakan awak ke sana… dan saya akan menunggu awak di sana bersama anak kecil ini.” Balas Chinta sambil di perhatikan oleh Nazrul. Sesekali diacahnya anak kecil yang berada di atas ribaan Chinta. Tahu dia kini, bahagia sedang menghampirinya.
“Eh… kenapa tak order makanan lagi ni…? Tak nak makan ke?” tegur Nazrul.
“Ohhh… tak apa awak nak makan, order la… saya tolong jagakan `sayang’ ni dulu.” Balas Chinta sambil memanggil budak pelayan di restoran itu.
Leka Chinta bermain dengan `sayang’nya itu. Tidak perasaan oleh Chinta ada mata yang leka memerhati tingkah lakunya tika itu. Bagi Nazrul pula, rasa bertuah bukan kepalang kerana dia bakal bersama dengan insan yang paling dia sayangi dan yang penting kini kehidupan anak kesayangannya juga akan terbela.
*************
            Seperti yang dijanjikan oleh Nazrul kepada Chinta. Kedatangan Nazrul di sambut baik oleh ahli keluarga Chinta. Bersama keluarga Nazrul, kata sepakat telah diambil. Tiada majlis pertunangan, namun diteruskan dengan majlis pernikahan dan persandingan. Pada Nani dikhabarkan berita gembira itu.
            Hari yang di nanti penuh debar oleh Chinta. Akhirnya impian Chinta tercapai kini. Hanya beberapa saat sahaja lagi Nazrul akan menjadi miliknya. Chinta Ardila, masih bersama dengan Chinta. Sedang enak di buai mimpi anak kecil ini. Mulus wajahnya persis ibunya. Asmidar, kau tetap sahabat aku.
            Terdengar suara Nani sahabatnya mengatakan majlis akad nikah akan bermula sebentar lagi. Chinta di dalam kamar hanya mampu tersenyum sambil berdebar menunggu.
            Tatkala mendengar suara tok kadi `Nazrul… aku nikahkan akan dikau Nazrul bin Ahmad dengan Chinta Karmila binti Sulaiman sebanyak Tiga Ratus Ringgit Malaysia… tunai’
            `Aku terima nikahnya Chinta Karmila binti Sulaiman sebanyak Tiga Ratus Ringgit Malaysia… tunai’
            “Sah…”
            “Sah…” kedua dua saksi mengiyakan. Lalu doa pun dibaca oleh tok kadi buat pengantin.
            `Baarokallaahu laka wa baaroka alaika wa jama’a bainakumaa fii khoirin.’
            `Mudah-mudahan Allah memberkati engkau dalam segala hal (yang baik) dan merpersatukan kamu berdua dalam kebaikan.’
            Seluruh ahli keluarga mengaminkan doa yang dibaca oleh tok kadi sebentar tadi. Ahkirnya impian mereka menjadi nyata. Betapa bahagianya Chinta saat Nazrul menyarungkan cincin di jari manisnya serta kucupan pertama kali dari seorang lelaki bernama suami di dahinya.
            Di luar jendela, Chinta perhatikan ramai tetamu yang menghadirkan diri di majlisnya. Hati Chinta berdebar tatkala terdengar bunyi gelas jatuh di sudut almari soleknya. `Kenapa ni… tiba-tiba bagai ada yang tak kena aje’ berkata Chinta pada dirinya sendiri. Dipandang jam dinding biliknya… hampir jam 1.30 tengahari. `Mana mereka ni… kata sampainya sebelum zohor, ni dah lebih waktu ni…’
            Segera Chinta mendail nombor talefon bimbit Nazrul, tapi tiada jawapan. Gelisah tiba-tiba menghantui dirinya. Apakah mimpi semalam menjadi realiti. `Ya Allah, kau jauhkanlah malapetaka kepadanya juga kepada keluarganya. Amin.’
            Kedengaran ketukan bertalu-talu di luar pintu kamar Chinta. Segera Chinta membukanya, kelihatan ayahnya mengesat airmata.
            “Chinta, cepat kita ke Hospital Selayang… ayah baru dapat berita… Nazrul dan keluarganya terlibat dalam kemalangan jalanraya ketika hendak ke sini.” Kata ayahnya dalam nada cemas. Chinta terus rebah tak sedarkan diri. Suasana menjadi kelam kabut seketika. Saat itu juga Chinta Ardila menangis tanpa henti. Chinta yang tersedar dari pengsan terus bangun mendapatkan anak kecil itu. Dipeluknya Chinta Ardila.
            Setibanya mereka di pengkarangan Unit Kecemasan. Dengan bantuan polis yang berada di situ. Meraka dapat berjumpa dengan doktor yang merawat mangsa kemalangan dan khabar yang paling duka dalam hari bersejarahnya Chinta. Nazrul serta keluarganya maut dalam kemalangan tersebut. Kereta yang dipandu oleh adik Nazrul terbabas semasa ingin memotong lori di hadapannya. Kejadian masih lagi disiasat.
            Terduduk diam di penjuru kamar di tepi katil, Chinta menatap wajah mulus anak kecil itu. Hanya itu yang sempat Nazrul tinggalkan buatnya sebagai kenangan. Selebihnya hanya ingatan selama mereka bersama. Chinta merenungi kamar pengantinnya yang sepi, sesekali airmatanya mengalir sambil menatap kiriman mesej yang Chinta terima kali terahkir sebelum berlakunya kemalangan itu.
`Terima kasih Chinta, kerana sudi menerima abang dan anak abang. Chinta, berjanjilah dengan abang… andai abang sudah tiada, jagalah Chinta Ardila demi abang. Besarkan ia menjadi anak yang soleh dan bijak sana. Abang sayang kamu berdua.’
Assalamualaikum Chinta ~ Nazrul
            Menitis lagi airmata ini. Diangkatnya Chinta Ardila, didakap dengan penuh kasih sayang. `Mama akan cuba besarkan sayang seperti mana yang papa mahukan. Papa akan sentiasa bersama kita.’ Berbisik Chinta ke telinga anaknya Chinta Ardila.
Berkorban apa saja,
Harta atau pun nyawa,
Itulah kasih mesra,

Sehati dan sejiwa.