Sabtu, 20 September 2014

KISAH RUMAHTANGGA (Keliru Dialek)

Teks : Norfadzila Mahauddin
Gambar : Carian Google

Al-kisah. Sepasang suami isteri yang baru sahaja mendirikan rumahtangga. Tinggal di sebuah rumah teres di Taman Selayang Jaya. Suaminya berasal dari pantai timur manakala isterinya pula anak jati Kuala Lumpur. `Orang Ka'el' panggil orang zaman sekarang.

Hujung minggu adalah hari bersantai bagi pasangan ini. Masih lagi dalam suasana berbulan madu. Adam bersiul-siul di luar rumah sambil mencuci Kereta Kancil  yang baru dimilikinya dua minggu lepas. Aida pula, begitu tekun  membelek helaian demi helaian Majalah Mingguan Wanita yang dibelinya semalam, di Stesen Komuter Kepong semasa menunggu kedatangan suami tercinta menjemputnya pulang dari kerja. Sedang leka menatap ruang resepi di dalam majalah itu, dia terkejut apabila suaminya sudah berada di sebelahnya dengan separuh kaki seluar jean yang dilipat hingga ke paras betis basah kuyup.

"Abang, basah-basah ni terus duduk kat sofa. Lembablah nanti sofa tu," rungut Aida.


Tanpa mempedulikan rungutan isterinya, Adam terus bersuara.


"Ayang, sibuk ke?" tegurnya sambil menarik-narik majalah yang sedang ditatap oleh cinta hatinya. 

"Taklah sangat. Kenapa abang ni?" soal Aida sambil memandang wajah kumbang yang sentiasa menemaninya siang dan malam. Seketika kemudian  matanya kembali menatap ruang resepi yang begitu menarik perhatiannya.

Adam diam, dalam masa yang sama, tangannya terus menarik-narik majalah yang dibaca oleh isterinya. Aida tidak peduli dengan perbuatan suaminya terus membelek majalah itu. Melihat sikap isterinya yang bena tak bena itu, Adam dengan kasar merampas majalah yang masih dalam pegangan isterinya. Cemburut muka Aida, lantas dia bersuara.

"Abang nak apa? Ayang nak tengok resepi tu... nanti boleh buat,"terang Aida lagi. Kembali mengambil semula majalah yang berada di dalam genggaman suaminya. Ruangan resepi dibelekya semula. Resepi Ikan Siakap Masak Lima Rasa dibaca lagi.

Wajah isterinya terus dipandang. Adam buat muka monyok. "Ayang, abang nak makan,"pinta Adam tanpa segan silu.

Aida pandang sekilas wajah monyok suaminya. Kemudian meletak semula majalah yang dibacanya tadi dan terus membidas permintaan suaminya. "Laaa, baru pukul berapa ni. Kan tengahari tadi abang dah makan. Siap tambah sampai dua kali. Ni, baru pukul berapa?" soal Aida sambil melirik pandangannya ke arah jam yang terletak di almari hiasan di ruang tamu. Kembali memandang suaminya. "Abang nak makan apa, kalau setakat goreng pisang, goreng cempedak... tu, dekat simpang depan rumah kita ni ada yang menjual. Abang beli ajalah." Sekali lagi Aida bersuara.

Adam yang duduk di sebelah isterinya mula berbicara manis sambil melaga-lagakan bahunya ke bahu isterinya yang tercinta.


"Ayang, cantik ayang hari ni. Comel."

Aida yang mendengar teguran suaminya mula mencebikkan bibirnya. Dia mengalihkan tubuhnya lalu memandang arjuna hatinya. Wajahnya di hadapkan di hadapan wajah suaminya. Dia mengerakkan kedua-dua keningnya ke atas sambil berkata.

"Yes my dearI memang comel. Sejak dulu lagi kan. You nak apa ni, sebenarnya?" soal Aida. Masih dengan gayanya.

"Abang kan, dah lama tak makan nasi manis. Teringinlah. Boleh ayang buatkan?"

"Nasi manis? Eeee, abang ni mengada-ngadalah," balas Aida. 


"Boleh tak? Tak boleh? Tak apalah, abang buat sendiri," rajuk Adam lalu bangun menuju ke dapur. Aida juga turut membuntuti suaminya. 

"Ala, ala... majuk pula. Dahlah, tepi. Sini, I buatkan. You pergilah depan. Tengok t.v ya. Nanti dah siap, I panggil."

"Thanks my sweet love," jawab Adam. Spontan pula mengucup dahi isterinya. Tersipu malu Aida dengan tingkah laku suaminya.

Adam dengan wajah riang terus ke ruang tamu sambil menonton televisiyen. Dia membiarkan isterinya di dapur. Berangan dia akan nasi manis yang diidamkan olehnya.

Setengah jam kemudian terdengar suara isterinya memanggil. Dia menghampiri meja makan dan terkejut melihat apa yang terhidang di hadapannya.


"Ayang, ni apa?"

"Nasi manislah. I tanak nasi lepas tu I letaklah gula merah. You kata nak nasi manis kan. Itulah. Makanlah,"sambil menghulur sepiring nasi manis kepada suaminya. Kopi yang masih lagi berasap turut juga disediakan dihulurkan kepada suaminya.

Adam garu kepala. Merenung wajah isterinya. Setahu dia, selama dia membesar, nasi manis buatan emaknya berasaskan beras pulut. Kenapa yang ini kelihatan seperti nasi. Bukan kelihatan lagi, memang nasi. `Alamak... orang sini panggil Wajik,' ngomelnya dalam hati. Baru dia teringat yang isterinya orang Ka'el. Aida yang melihat sikap suaminya mula menyoal.


"Abang, kenapa. Makanlah? Tadi nak sangat makan. Dah ada depan mata, terkulat-kulat pula tengok."

"Ayang, bukan yang ni la. Maksud I, nasi manis tu, kalau tak silap I... orang Ka'el panggil WAJIK,"terang Adam sambil ketawa tak henti.

"Laaaa, kenapa You tak cakap," sambil menumbuk-numbuk manja bahu suaminya. 


Hilang selera Adam melihat isterinya berkelakuan begitu. Merona merah wajah Aida menahan malu. 

"Tak apalah, I buat lain ya,"pujuk Aida. Mula bergerak semula ke almari dapur dan mengeluarkan sebekas `tupperware' yang berisi beras pulut.

"Eh... tak payahlah. Biarlah, nanti I cari kat pasar malam ajelah. Malam ni pasar malam kan."

Aida angguk. Lalu duduk sebelah suaminya. Sebelum itu masih sempat lagi tangannya mengambil tin biskut lemak manis di dalam almari dapur. Aida hulur kepada suaminya. Adam sambut dengan senyuman.

"Biskut pun biskutlah ayang," kata Adam sambil menyambung ketawanya. Aida juga turut ketawa di sisi suaminya.




TAMAT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan