Selasa, 25 Februari 2014

Kisah Kasih



              `Arrrr… sunyinya’ bisik Kasih.  Kasih bergerak ke jendela bilik tidurnya.  Angin yang sepoi-sepoi bahasa seakan-akan menggamit memori silamnya.  Ia muncul satu persatu dalam fikirannya.  Dedaun yang kering berterbangan ditiup angin.  Kasih terpandang kepada seorang lelaki tua bersama seorang anak kecil, sedang bermain di halaman rumah.  Mungkin cucunya.  Lantas, Kasih mula teringat cerita lama.
              Suatu hari di remang senja, kasih bersama-sama abah duduk berdua di ruang tamu. Manakala abang-abangnya dan kakaknya sibuk di bilik tidur masing-masing. Mak pula di dapur, menyediakan juadah makan malam nanti. Kasih tiba-tiba bangun dan membetulkan duduknya lalu mengadap abah. Abah kehairanan melihat perilaku Kasih.
              “Abah, awat nama adik bin dia nama lain, pasai apa tak sama dengan nama abah?” Sengaja Kasih menanyakan kepada abahnya.
              “Kasih, abah kan polis. Polis kenalah banyak nama. Polis kan nak tangkap orang jahat.” Balas abah sambil memandang Kasih.
              “Tapi… pasai apa Abang Sudin cakap kat adik, yang adik ni cuma anak pungut abah. Kutip kat tepi longkang?” Balas Kasih lagi.
              “Allah adik… Abang Sudin tu saja aja, dia nak usik adik tu.  Dah… tak mau dok pikiaq  sangat.  Jom kita pi beli satay mau…?” Jawab  abah sambil tersenyum memandang Kasih.
              Begitulah abah, setiap kali pertanyaan Kasih mengenai identitinya yang sebenar, pasti abah akan memujuknya.  Berbagai-bagai alasan akan abah berikan. Abah akan cuba menghiburkan Kasih dengan perbagai cara, sehingga Kasih lupa dan tidak lagi menyoalkan perkara tersebut.     Saban hari Kasih akan termenung memikirkannya, walaupun ketika itu umur kasih baru sahaja 8 tahun. Manakala Abang Sudin pula berusia 12 tahun.  Mungkin juga di sebabkan guru-guru memanggil nama Kasih dengan nama yang penuh, jadi tersebutlah nama ayah kandung kasih.  Mungkin di sebabkan itulah Kasih menjadi anak kecil yang sering menanyakan soalan yang sama, tak kira dengan sesiapa pun. Suatu hari, ketika berdua sahaja bersama maknya, Kasih sekali lagi bersuara.
              “Mak… mak tahu tak pasai apa nama abah adik Syamsudin, bukannya Nordin?”
              “Kasih, kan abah dah cakap… abah kerja polis.  Polis kena ada banyak nama. Supaya senang nanti hendak tangkap penjahat.”
              “Tapikan mak, Abang Sudin selalu cakap yang Kasih ni cuma anak pungut ja. Kutip kat tepi longkang?”
              “Pandai betui Abang Sudin hang kan. Nanti mak marahkan dia na?” jawab mak sambil membelai rambut Kasih.  Kasih memandang wajah maknya.  Lalu kasih memeluk maknya dan mak pula mencium kedua-dua belah pipi Kasih.
              Saban hari, saban waktu dan di setiap ketika, Abang Sudin sentiasa mencari sebab untuk membuli Kasih. Ada ketikanya, Kasih akan menangis, tak tahan dibuli oleh abangnya.   Bukan abangnya saja yang mengusik, nanti habis kawan-kawan Abang Sudin pun turut sama mengusiknya. Bila disergah oleh jiran-jiran, barulah mereka berhenti. Tidak lama kemudian, mereka mulakan lagi.  Namun begitu Kasih tetap mahu bermain bersama abang, serta kawan-kawan abangnya.
              Kasih masih ingat lagi… pernah suatu malam, ketika kasih, Kak Liya dan Abang Sudin mengaji Al-Quran di rumah tok wan yang berada di tingkat satu.  Sedang leka tok wan mengajar Kak Liya mengaji, tiba-tiba Kasih menangis sekuat hati.  Sehingga tok wan terpaksa berhenti mengajar Kak Liya mengaji.  Tergesa-gesa tok  wan dan Kak Liya datang menjenguk Kasih dan menanyakan kepadanya kenapa dia menangis.  Kak Liya pula datang memeluk Kasih, dibelainya Kasih.
              “Huu… huu… huu… Abang Sudin jahat… Abang Sudin jahat. Kasih nak habaq kat mak, kat abah. Biaq Abang Sudin kena pukui.”  Mengadu Kasih kepada tok wan.
              “Sudin! Hang mai sini… awat yang hang dok ketegaq sangat ni! Hang tau tak, ni adik hang? Yang hang sibuk dok pi kata dia anak pungut tu pasai apa? Dia ada dok usik hang ka?” marah tok wan.
              “Mana ada tok wan. Memang dia anak pungut apa? Masa mak ngan abah pi Kuala Lumpoq, perut mak kempis.  Tup, tup… bila balik mai, abah ngan mak dok dukung budak kecik.? Budak ni lah.” Jawab Abang Sudin sambil memandang Kasih dengan mata yang terbuntang besar.
              “Dah naa… Kasih, jom kita balik. Kita pi habaq kat abah naa… abah sayang kasihkan. Biaq abah pukui Abang Sudin” nasihat Kak Liya.
              Bagi Abang Sudin dia masih belum berpuas hati. Masih sempat lagi mengusik adiknya.  Di angkatnya kedua-dua tapak tangan dan di letaknya di tepi telinga.  Dikibas-kibasnya tangan ibarat telinga gajah yang sedang mengibas sambil menjerit.
              “Kasih anak pungut yeh… Kasih anak pungut yeh… jumpa tepi longkang yeh.” Diulangnya beberapa kali sehinggakan kawan-kawan Abang Sudin pun ikut sama berlagu.
              “Hang tak pa Sudin.  Hang tengok sat ni, aku habaq kat abah kot hang tak sempat nak pi menyorok kot.  Biaq hang kena pukui ngan tali pinggang hitam abah tu. Baru hang nak tau kot, hang tak ingat ka… apa abah dok pesan kat kita?” berleter Kak Liya sepanjang menaiki tangga untuk balik ke rumah kami. Kami tinggal di tingkat 3. Blok yang sama dengan tok wan.
              Sepanjang menaiki tangga, Kasih menangis tersedu-sedan.  Puas dipujuk oleh kakaknya tapi tak mahu juga Kasih berhenti menangis. Habis semua jiran menjenguk dari pintu rumah mereka.  Sampai saja di rumah dan belum sempat Kak Liya hendak memanggil mak, terdengar suara abah dari dalam bilik menjerit menanyakan kepada Kak Liya mengapa Kasih menangis.
              “Ni… awat yang dok teriak macam orang kena tibai ni.  Sapa pulak yang dok usik adik hang ni, Liya?” tanya abah.
              “Sudin abah, yang dok usik Kasih, orang dok elok-elok mengaji dia pi dok ejek Kasih.   Kasih bukan dok usik dia pun.  Dia tu dok sibuk kata Kasih anak pungut. Sampai tok wan marah pun Sudin dok ejek abah.” Ngadu kak Liya.
              Abah yang memang panas hati dengan perangai Abang Sudin terus masuk ke dalam bilik. Keluar saja dari bilik di tangan abah ada seutas tali pinggang hitam.  Tali pinggang itu, abah selalu guna bila abah berpakaian seragam polis.  Digulungnya tali pinggang itu sambil menjerit memangil Abang Sudin.  Nampak saja kelibat Abang Sudin, abah dengan lantangnya bersuara.
              “Hey… Sudin! Hang mai sini sat.  Berapa kali aku nak habaq kat hang.?  Berapa kali hang nak kena pukoi ngan aku?  Hang tak serik no… awat yang hang dok ketegaq sangat ni? Hang tau dak, Kasih tu adik hang? Bukan sesiapa pun?” Sambil menghayun tali pinggang itu ke belakang Abang Sudin.
              “Aduh… sakit abah!” Jerit Abang Sudin.
              “Abah… sakit, mak tolong Sudin mak!” Jerit Abang Sudin lagi.  Merintih suara Abang Sudin ketika itu.
              “Hang nak ejek adik hang lagi? Hang nak kata yang bukan-bukan kat dia lagi? Hang habaq mai kat aku la ni, Kasih tu sapa?” laung abah.
              Masih terdengar esakkan mak di penjuru bilik sambil berkata… “sudahlah abahnya… depa budak kecik lagi, tak tau apa-apa.”
              Kasih, walaupun masa itu masih kecil… tapi Kasih tetap dapat menangkap apa yang di maksudkan dengan `depa budak kecik lagi, tak tau apa-apa’.   Kasih menyimpan niat, satu saat akan dirungkaikan juga apa yang dimaksudkan oleh maknya itu.  Begitu juga dengan dendam Abang Sudin, sehingga kini tetap mengatakan yang dia anak `pungut’.
              Masih kuat  di ingatan Kasih, saat mak meninggal dunia.   Di mana waktu itu abah ada di sebelah mak.   Abah tundukkan mukanya dan rapatkan telinganya ke mulut mak.   Kasih melihat abah mengangguk-ngangukkan kepalanya sambil matanya tak lepas memandang Kasih.   Mak pergi ketika usia kasih 12 tahun.   Dan apa yang membuatkan Kasih berasa hairan ada sepasang suami isteri yang dari awal pagi lagi asyik leka memandang Kasih. `Isk… sapa depa tu, dari tadi dok pandang kat aku nih…’ bisik hatinya.
              Kasih juga masih ingat, seminggu selepas maknya meninggal dunia.  Suasana di rumah, masih sepi diselubungi duka dan rasa sedih.  Abah memanggil Kasih.  Terbatuk batuk abah di atas kerusi.  Selepas pemergian mak, sakit abah semakin menjadi-jadi.  Kencing manis abah ditahap kritikal.  Abah sudah tidak mampu lagi berjalan, kini abah hanya mampu duduk di atas kerusi rodanya.
              “Kasih… boleh Kasih janji dengan abah?” kedengaran sayu suara abah.
              “Janji apa abah?”
              “Janji dengan abah, besaq nanti Kasih jadi polis na. Pegawai Polis.” terbatuk-batuk abah untuk menghabiskan perkataan yang hendak disampaikan.
              “Insya Allah abah…” jawab Kasih sambil memandang abahnya.  Sedih Kasih melihat abahnya.  Dalam hati kasih berbisik `andai Kasih bukan anak abah pun, akan Kasih sayang abah sampai bila-bila.
              Hari berganti hari, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun. Kasih membesar sama seperti anak gadis yang lain.  Ketika umur kasih menjangkau 17 tahun, hidup Kasih seakan terbiar.  Kasih kekurangan kasih dan perhatian.  Bukan kerana kesempitan hidup, cuma terpaksa berpisah kasih.  Abah dan Abang Sudin tinggal bersama Kak Liya dan Kasih terpaksa tinggal bersama Abang Tam di utara.
              Suatu hari, Abang Tam membawa Kasih pulang menjenguk abah di rumah Kak Liya di Kuala Lumpur.  Gembira bukan kepalang Kasih, dipeluknya abah.  Menitis airmata abah begitu juga Kasih.  Sudah susut tubuh badan abah.  Sedang leka Kasih bersama abah, tiba-tiba rumah Kak Liya, didatangi sepasang suami isteri.  Kasih perhatikan dari bawah ke atas, ke atas dan ke bawah.  Kasih pandang wajah abah, seakan ada rahsia di situ.  Tiba-tiba abah bersuara.
              “Kasih… mai kat abah sat…” Kasih yang tidak jauh dari situ datang menghampiri abahnya sambil memberi senyuman kepada pasangan suami isteri tersebut.  Dalam hati Kasih terdetik `ehh… bukan depa ni ka…  yang ada sama masa mak meninggal, awat sebelum ni tak dak pun?’
              “Kasih… abah minta maaf na, mungkin apa yang abah hendak habaq kat Kasih akan mengguriskan hati dan perasaan Kasih…” sambil memandang abah memegang tanganku dengan kuat sekali.  Kasih terdiam, begitu juga yang lain. Kak Liya dan Abang Tam juga diam.  Dari jauh kelihatan Abang Sudin sedang memandang Kasih. Sinis senyumannya.
              “Abah, habaqlah.  Janganlah buat Kasih rasa bersalah dengan abah.  Abah ada rahsia,hendak beritahu Kasihkan?” Balas Kasih. Berkerut sahaja wajah abah.  Seperti besar masalah abah.  Kasih perhatikan juga pasangan suami isteri itu.  Jelas, raut wajah mereka juga kelihatan keresahan.  Rahsia apakah ini?
              “Kasih… sebenaqnya depa  berdua ini…” belum sempat abah menghabiskan ayatnya, Kasih terlebih dulu bersuara.
              “Depa ni, mak bapak Kasihkan? Depa ni, yang buang Kasihkan? Depa ni, yang buang Kasih tepi longkangkan? Selama ni, memang betoila… apa yang Abang Sudin dok habaq kat Kasihkan?” Bercucuran airmata Kasih. Tersekat-sekat suara Kasih menahan getar airmata yang mengalir. Semuanya terdiam. Ternganga mulut Abang Sudin. Entah dari mana, Kak Liya datang menghampiri Kasih, dipeluknya dan diciumnya pipi Kasih.
              “Astarafirullah Kasih… jangan dok kata lagu tu, tu semua tak betoi.” Abah kembali bersuara. “Sebenaqnya, Kasih cucu abah… dan lelaki ni… “ sambil menunjukkan lelaki yang berdiri sebelah abah, “lelaki ini anak abah dan perempuan ini pula menantu abah”  jelas abah. Penjelasan abah itu membuatkan semua yang berada di dalam rumah itu terperanjat. Termasuklah Kak Liya, Abang Long, Abang Ngah, Abang Tam dan juga Abang Sudin. Masing-masing terkejut dengan penjelasan abah.
              “Anak dengan perempuan mana pula ni abah? Arwah mak tau dak?” Tiba-tiba Kak Liya bersuara.  Abah mengganggukkan kepalanya sambil bersuara abah berkata.
              “Arwah mak hang pa tau, dan dia juga sebenaqnya isteri kedua abah.  Isteri abah yang pertama abah tinggaikan dia di Parit Buntaq, Perak.  Panjang ceritanya.  Sudahlah.  Eh! Mana pi Kasih?”
              “Kasih… Kasih…” tiba-tiba terdengar suara perempuan memanggil Kasih dari luar biliknya. `Ya Allah, mengelamun  rupanya aku…’ bisik Kasih.   Di luar biliknya, Kasih masih lagi terdengar suara perempuan memanggil namanya. `Mesti Ibu ni’ bisik Kasih lagi.  Lalu Kasih menolak kerusi rodanya, pusing dan menghala ke pintu biliknya. Dipulasnya tombol pintu bilik dan kelihatan susuk tubuh ibunya. Ibu kandungnya.
              “Kasih… cuba lihat siapa yang datang?” sambil ibu menunjukkan ke arah seorang lelaki yang berbadan tegap sedang berdiri bersebelahan ibunya dan seorang perempuan yang agak gempal badannya, berdiri di sebelah lelaki itu.
              “Kak Liya! Abang Sudin!” Jerit Kasih.  Bergegas mereka berdua menerpa ke arah Kasih pabila mendengar suara Kasih menyebut nama mereka. Berpelukan mereka sambil airmata bercucuran dari tiga saudara. Lama… setelah itu terdengar suara abang Sudin.
              “Kasih… maafkan segala kesalahan abang kepada Kasih selama ini.  Hati abang runsing kerana dibayangi kisah silam.” Terang Abang Sudin kepada Kasih.
              “Eh! Sudin.  Apa yang hang dah buat kat Kasih sampai dok minta maaf ni?” Tanya Kak Liya sambil memandang Kasih.
              “Kak Liya, kalau hang nak tau… akulah yang tolak Kasih dari tangga atas sampai jatuh ke bawah dan menyebabkan dia tidak sedarkan diri.”
              Ternganga mulut Kak Liya, terkejut dengan berita yang baru didengarnya.  Terdiam Kasih tidak terkata. Padahal Kasih sudah tahu dan sengaja dia tidak mahu berterus terang kepada Kak Liya.  Bimbang dendam Abang Sudin terhadapnya berpanjangan.  Kak Liya cuba mengingati kisah lima tahun yang lepas.
              “Kak Liya! Kak Liya! Cepatlah… Kasih jatuh tangga!” Jerit Abang Sudin.
              “Ya Allah Sudin, lagu mana boleh jadi macam ni. Sudah! cepat telefon ambulan.”
              Kasih dikejarkan ke Hospital Besar Kuala lumpur dan dihantar ke bahagian unit Pakar Perunding Ortopedik.  Kak Liya resah menanti di luar pintu pembedahan.  Tiba-tiba kelibat seorang doktor keluar dari bilik pembedahan.
              “Maaf, boleh saya jumpa ahli keluarga pesakit yang bernama Kasih binti Syamsudin.”
              “Ye, saya doktor.  Bagaimana dengan keadaan adik saya doktor?”
              “Maaf puan.  Saya Doktor Azmi, kami sudah melakukan yang terbaik buat adik puan.  Kejadian yang berlaku mungkin menjadi trauma kepadanya.  Buat masa ni dia masih belum sedarkan diri.  Saraf tunjangnya mengalami kecederaan yang serius yang di sebut sebagai `spinal cord injury’ yang bermaksud kecederaan sekunder, kerosakkan lanjut pada saraf tunjang selepas trauma. Ini akan menyebabkan kedua-dua kaki adik puan akan lumpuh.  Apa lagi yang harus Kak Liya lakukan, dia hanya mampu berdoa agar suatu masa nanti Kasih akan dapat berjalan seperti biasa. `Ermm, mujur abah sudah tiada…’ Bisik Kak Liya.
              Seminggu selepas kejadian, barulah Kasih sedar dari koma.  Pada awalnya Kasih menangis meratapi nasib dirinya.  Namun setelah doktor dan Kak Liya memberikan nasihat dan kata semangat buat Kasih barulah dia dapat menerima hakikat yang dia kini sudah lumpuh. 
               “Abang Sudin… Kasih sudah maafkan segalanya kesalahan yang pernah abang lakukan kepada Kasih. Sedikitpun Kasih tidak marah malah Kasih bersyukur kerana kita dapat berbaik-baik semula. Allah sudah makbulkan doa Kasih.” Balas Kasih sambil tersenyum memandang abangnya dan juga Kak Liya.
              “Ermmm… Kasih cuba tengok kat luar tu… siapa? Kata Kak Liya sambil menolak kerusi roda yang Kasih duduki.  Rupa-rupanya anak-anak buah Kasih atau mungkin juga sepupu Kasih.  Kasih memandang wajah Kak Liya minta diberikan penjelasan.  Sambil tersenyum Kak Liya bersuara.
              “Cuba Kasih pandang, apa yang ada di tangan mereka?” Kasih memandang, lalu   tersenyum sendirian.  Mengertilah Kasih kini.
              “Itu novel Kasihkan?  Saat Hati Merindu. Kak Liya beli bulan lepas. Selepas Kak Liya baca, Kak Liya dapat rasakan yang ini hasil karya Kasih.”
              “Macam mana Kak Liya boleh tahu, sedangkan tiada siapa pun yang tahu? Malah orang dalam rumah ni pun tidak tahu?”
              “Kasih, ingat tak? Kak Liya pernah jumpa diari Kasih. Kak Liya sudah pun membacanya. Tu… nama Cendrawasih tu, kan nama tu… yang Kasih selalu tulis dalam diarikan?”  
              Kasih tersenyum memandang Kak Liya, lalu dia memanggil anak buahnya atau mungkin juga sepupunya.  Mereka menghampiri Kasih dan menghulurkan kepada Kasih novel Saat Hati Merindu untuk ditandatangani olehnya.  Tersenyum Kasih.  Dalam masa yang sama abang Sudin menyuarakan keinginannya.
              “Kak Liya, apa kata kita semua pi melawat kuboq mak ngan abah kat Parit Buntaq? Rasanya sudah lama kita tak pi kan? Nanti kita habaq kat Abang Long, Abang Ngah dan Abang Tam.”
              “Okay juga tu… memandangkan Kak Liya masih lagi bercuti bolehh kita pi.  Hang talefonlah depa.   Kalau boleh esok kita pi?” Balas Kak Liya. Lalu Kak Liya meminta kebenaran dari ibu Kasih yang juga merupakan kakak ipar Kak Liya, untuk membawa Kasih bersama.   Alhamdulillah, ibu memberi kebenaran.
              Hari yang di nantikan pun tiba.  Gembira hati Kasih.  Perjalanan yang mengambil masa selama lima jam, sedikit pun tidak menjemukan Kasih.  Malah Kasih amat gembira, ya lah… selama ini semenjak kemalangan itu Kasih hanya memerap di dalam rumah sahaja.
              Abang Sudin memandu kereta, sampai sahaja di kampung tok saudara mereka… Abang Sudin terus ke tanah perkuburan.  Di parkirnya kereta di tepi jalan.  Kak Liya menurunkan Kasih sementara Abang Sudin mengambil kerusi roda Kasih.  Dari jauh kelihatan Abang Long, Abang Ngah dan Abang Tam menanti mereka.  Rupanya mereka lagi awal sampai dan bermalam di rumah Pak Su E. Anak kepada adik abah. Ini bermakna Pak Su E adalah anak buah arwah abah.
              Abang Sudin menolak kerusi roda Kasih menghampiri kubur arwah abah begitu juga arwah mak.  Kebetulan jasad mereka di kebumikan bersebelahan.  Masing-masing berdiam diri.  Membaca al-fatihah kepada kedua orang tua mereka.  Bagi Kasih pula, mereka tetap abah dan maknya walaupun hakikatnya mereka adalah datuk dan nenek Kasih.
              `Ya Allah! Sampaikanlah seumpama pahala bacaanku kepada roh atok dan nenekku. Ampunkanlah dosa mereka, kasihani dan sejahterakanlah mereka, maafkanlah kesalahan mereka, muliakan kedatangan mereka, lapangkanlah kubur mereka, terimalah kebaikan mereka, hapuskanlah kesalahan mereka, dengan rahmatmu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih.’ Doa Kasih.  Menitis airmata Kasih.  Rindu kasih kepada kedua orang tuanya yang sentiasa menjaganya dengan begitu baik ibarat menatang minyak yang penuh.  Tak pernah dijentik oleh atok atau neneknya.  `Arrr… kenangan akan terus terpahat di ingatan.’ Bisik Kasih.
              `Abah, Kasih minta maaf… Kasih tak dapat tunaikan janji Kasih kepada abah.  Fizikal Kasih tidak seperti dulu. Tetapi Kasih sudah dapat apa yang Kasih impikan.  Abah ingat tak, Kasih pernah bisikkan kepada abah dulu. Kalau Kasih tidak dapat menjadi seorang pegawai polis, jadi seorang penulis pun tak apakan.’
              Gerimis senja dan diselang-seli dengan hembusan angin itu seakan-akan mengerti apa yang dibisikkan oleh Kasih. Dan Kasih perasaan seperti ada yang memerhatinya lalu terdengar bisikkan suara yang berkata. ` Tidak mengapa sayang, asalkan kamu bahagia.’  Kasih terkesima.
              `Andai Kasih bukan anak abah pun, akan Kasih sayang abah sampai bila-bila.  Kasih sayang abah tetap akan Kasih kenang.  Terima kasih abah.  Terima kasih mak. Bisik Kasih di dalam hatinya.
              Sebelum mereka pulang ke Kuala Lumpur, mereka bermalam di rumah Pak Su E semalaman. Pada malam itu juga sedikit kenduri tahlil di jayakan oleh saudara mara terdekat.  Semoga abah dan mak aman di sana.
              Saat hati merindu, pada siapa harus kudakap.

Hasil Nurkilan.
Anak Seni.

Nur Dila. 8/12/13 4.00 am.

                                                                                                                           





Tiada ulasan:

Catat Ulasan