Jumaat, 15 Ogos 2014

DOA SEORANG IBU

Cerpen : Doa Seorang Ibu.
01/01/14~9/05/14
(Edit 01/08/14)

Mira leka termenung di jendela, memikirkan bagaimanakah  nanti keputusan SPMnya yang bakal diketahui esok pagi.  Masih berkira-kira mahu bertemu Intan atau tidak? Intan sahabat baiknya yang tinggal di hujung Kampung Pasir, Kerling. Menjeling memandang jam bulat yang terletak di atas meja tulisnya. `Isk… mana Zaki ni, orang nak keluar dia tak balik lagi.’ Ngomel Mira sendirian. 
Gelisah Mira tidak menentu. Sekilas terdengar salam diberi dari luar, melulu Mira keluar dari biliknya. Melihat adiknya Zaki, kelam kabut Mira ke bilik dan mencapai tudung bawalnya dan mengenakan ke kepalanya. Bergegas pula mengambil kunci pintu dan segera keluar hingga ke beranda rumahnya. Zaki yang masih lagi berdiri di beranda terkebil-kebil memandang kakaknya sebegitu rupa.
“Akak! Akak nak pergi mana?” soal Zaki kehairanan.
“Zaki, akak nak ke rumah Intan kejap. Kau jaga rumah ya. Tunggu sampai akak balik. Basikal tu akak guna sekejap,” pinta Mira lalu bergegas turun dan dan mengambil basikal adiknya lalu dengan perlahan dia mengayuh menyusuri jalan menuju ke rumah Intan. Hajat hatinya  agar dapat bertemu dengan sahabat baiknya itu.
“Intan...! Intan...!” 
Wajah Intan tersembul di balik jendela rumahnya. “Hah! Kenapa Mira. Macam orang kena kejar dek hantu aku tengok kau ni? Kenapa?” soal Intan sambil menjemput Mira naik ke rumahnya.
            Mira turun dari basikalnya. Disandarkan ke tepi pohon mangga. Tercungap-cungap dia bersuara. “Intan, mesti kau tak sabarkan? Esok keputusan SPM akan keluar. Aku yakin, kau pasti lulus dengan cemerlang,” kata Mira yang terus duduk di bangku bersebelahan Intan sambil membelek-belek novel yang baru diletak Intan. `Pasti novel baru.  Aduh! Bergetar Jantungku… kelakar juga tajuk novel Intan kali ini,’ bisik hati kecil Mira.
            “Alaaaa… Mira, kau kata aku… kau tu apa kurangnya… pandai jugakan. Lagipun selama ini kau yang banyak bantu aku dalam pelajaran. Aku tahu kau juga pasti berjaya nanti,” balas Intan. “Kau nak baca novel tu ke? Kalau nak baca, ambillah…aku dah,” terang Intan lagi sambil membetulkan tudungnya yang ditiup angin.
            Bersinar anak mata Mira memandang Intan, terasa ingin sangat dia memiliki dan membacanya. Namun… mana mungkin dia dapat bersenang-lenang kalau di rumah. Ada saja pekerjaan yang harus dilakukan olehnya.
            “Tak apalah Intan, masa bila aku nak membacanya,” balas Mira lagi sedangkan di dalam hatinya  membuak-buak perasaan ingin membaca novel tersebut. Lantas dia menyimpan niat di dalam hatinya, suatu hari nanti dia pasti akan datang dan meminjam daripada Intan.
            “Eh! Apa rancangan kau, nanti? Nak minta kat mana-mana pusat pengajian tinggi, tak?” soal Intan kembali.
Mira hanya menggelengkan kepala. “Siapa aku Intan,  hendak berangan sekolah tinggi. Kau tahu abah aku macam mana. Hendak dibagi atau tidak abah aku tu,” balas Mira sambil membelek-belek lagi novel tadi.
“Insya-ALLAH Mira, kalau ada usaha pasti akan beroleh hasilnya. Kalau keputusan kau bagus, pasti akan dapat biasiswa. Alaaa, jangan risaulah. Aku yakin kau pasti dapat keputusan yang bagus,” balas Intan menyakinkan Mira.
“Baiklah Intan, aku nak baliklah dulu. Esok kita pergi sama-sama ye!”
Intan hanya mengangguk. `Mira, Mira, datang sekadar nak bertanyakan itu sahaja? Bukannya dia tak boleh menelefon atau menghantar SMS.' Tersenyum dia melihat sahabat baiknya itu. Tangannya yan memegang novel itu bergoyang-goyang di hadapan Mira. "Mira! Kau tak nak pinjam ke?" sahut Intan lagi.
Geleng Mira mendengar pertanyaan Intan.  Intan membalas dengan senyuman.

Di rumah, jam 8.00 malam.
“Mira, Mira… apa kau buat dalam bilik tu? Keluarlah tolong emak kau ni, kutip ikan kering yang dah siap dibungkus ni. Simpan dalam bakul ni?” terdengar suara abah menjerit memanggil namanya dari luar bilik.
Mira yang leka termenung tersedar dari lamunan, segera berlari anak membuka tombol pintu bilik dan ke ruang tamu rumah. Adiknya Zaki begitu leka menonton talevisyen. `Bukan hendak menolong emak…’ ngomelnya dalam hati.
Emak melemparkan senyuman dan Mira membalasnya dengan perasaan jengkel. Segera Mira mengutip bungkusan kecil  itu dan memasukkan ke dalam bakul. Lalu diletakkannya ke tepi dinding. `Senang esok abah hendak bawa ke kedai runcit Pak Abu,’ sekali lagi dia mengomel dalam hati.
Sambil duduk bersimpuh menghadap emaknya, Mira bersuara “Emak, esok keputusan SPM dah nak keluar, boleh tak Mira tidak ikut emak pergi menoreh? Mira dah janji dengan Intan nak pergi ambil keputusan SPM.” Mira menjeling ke arah abah.
Emak diam tidak bersuara. Abah yang sedang menghisap rokok di depan pintu terus memalingkan mukanya ke arah Mira. Abah juga tidak bersuara, sesekali Mira melihat abah melirikkan anak matanya ke arah emak.
“Pergilah Mira,” balas emak. “Tapi kalau boleh balik cepat ya, siapa nak masak makan tengahari nanti, kesian adik kau tu. Balik sekolah tak ada makanan. Emak mungkin lambat sikit. Mak cik Senah kau tu… dia minta  mak, urutkan kakinya. Hari tu dia jatuh tangga di dapur rumah.” Terang emak lagi.
 Mira tatap wajah emak, lantas memeluk dan mencuim lembut pipi itu. `Terima kasih emak!’ Mira membisikkan ke telinga emaknya. Lantas emak membalas pelukkan Mira. Terasa kasar tangan emak. Mira beralih ke arah abah, meraih tangannya dan mencium kedua tangan abahnya. `Terima kasih abah!’ Mira bersuara lembut. Abah hanya menganggukkan lesu. Bertakung air mata di kelopak mata Mira. Ditahan juga supaya tidak berderai di hadapan mereka.

Jam 6.30 pagi.
Mira bangun dengan semangat membara. Melihat wajah emak yang tidak pernah lekang dengan senyuman membuatkan Mira lebih bersemangat. Melantunkan pandangannya ke atas meja makan yang sudah tersedia sarapan pagi. Emak memang tidak pernah lupa untuk menyediakan sarapan pagi walau sesibuk mana pun dia. Mira segera menolong emak, dengan menyediakan minuman untuk mereka semua.
Selesai sarapan, emak yang sudah siap sedia hendak ke kebun getah belakang rumah mereka  datang menghampiri Mira, lalu dihulurkan wang belanja kepadanya.  
“Terima kasih, emak,” ucap Mira.
“Emmm, jangan lupa ya Mira. Masak nasi, tu tadi abah kau pesan. Ikan pari dalam peti sejuk tu… disuruhnya kamu masak asam pedas. Sudah lama tak makan masakan kamu tu.” Pesan emaknya lagi.
Mira membalas pesanan emaknya dengan senyuman. Mira mengemas sepantas mungkin sambil melirik matanya ke arah jam di dinding rumahnya.  Zaki telah lama pergi sekolah. Adiknya Zaki terpaksa keluar pagi hari ini, hairan Mira. Adiknya bersekolah petang… tiba-tiba hari ini pagi lagi perginya. `Ahhh, mungkin ada hal lah tu, agaknya.’ Ngomel Mira lagi.
Mira segera meninggalkan kerja mengemas yang cuma tinggal sedikit sahaja dan berlari ke bilik. Baju kurung merah, Mira sarungkan ke badan dan dikenakan dengan tudung bawal putih berbunga merah jambu. Mira memusing-musingkan badannya di hadapan cermin. Sambil tersenyum sendirian. Setelah memastikan pintu rumah di kunci. Mira mengambil basikalnya dan menyorong hingga ke luar jalan.
Mira mengayuh basikalnya dengan berhati-hati, hujan renyai malam tadi membuatkan jalan sedikit licin di tambah pula dengan jalan yang berlopak itu bertakung dengan air tanah. Dari jauh kelihatan Intan sedang menunggu Mira. Di samping Intan berdiri Puan Mona, ibu Intan. Segera Mira menyimpan basikal di garaj kereta, dan berlari anak masuk ke dalam perut kereta yang sedang menanti dengan deruan engin. Puan Mona melemparkan senyuman manis ke arah Mira, sambil menganggukkan dan berbalas senyuman.
Dalam perjalanan, Mira dan Intan lebih banyak berdiam diri. Begitu juga dengan Puan Mona . Sehinggalah sampai di hadapan pagar sekolah. Sekolah Menengah Kuala Kubu Baharu,  Hulu Selangor. Selangor. Sekolah yang banyak meninggalkan kenangan manis buat Mira, dengan pantas Mira keluar dari perut kereta, begitu juga Intan. Lalu, kereta Puan Mona pun meluncur pergi. Mira dan Intan berjalan ke arah sekumpulan pelajar. Kelihatan kelibat sahabat mereka, Nani, Susan, Kamal dan yang lainnya turut berada di situ. Mereka kawan sekelas Mira dan Intan.
Kesemua pelajar berkumpul di dalam dewan. Riuh-rendah suara pelajar-pelajar yang lain.  Begitu jugalah Mira dan Intan serta beberapa rakan mereka. Tidak sabar mendengar keputusan dari guru besar. Berdebar hati Mira. Begitu juga dengan Intan. Sedang leka berbual dengan beberapa orang pelajar lain, terdengar namanya dipanggil.
“Tahniah Mira! 8A1. Saya bangga dengan kamu Mira, saya tahu betapa susahnya kehidupan kamu dan kini, segala penat lelah kamu dah berbaloi. Tahniah sekali lagi,” kata Puan Asmah, guru besar sekolah Mira. Mengucap syukur Mira. Tiba giliran Intan. Alhamdullilah… keputusan Intan pun turut sama seperti Mira. Mira dan Intan berpelukan kegembiraan.
Dalam perjalanan pulang, Mira dan Intan yang berjalan kaki ketawa riang sambil bercerita tentang cita-cita masing-masing. Intan memang ingin menjadi seorang doktor, tapi Mira…`entahlah’. Intan yang mendengar keluhan Mira, segera menyabarkan Mira sambil memengang tangannya, kuat dan erat.
“Insya-ALLAH Mira. Selagi kita boleh berusaha dan berdoa kepada-Nya , pasti ada jalan untuk kita raih kejayaan.” Kata Intan sambil memandang Mira. Ada garis senyum di bibirnya.
“Terima kasih, Intan.” Balas Mira.
Tanpa mereka sedari, mereka telah pun sampai di hadapan pagar rumah Intan. Intan menjemput Mira untuk melepaskan lelah sebentar, namun bila teringat tentang janjinya dengan maknya, Mira batalkan saja niatnya itu.
Mira mengambil basikalnya dan mengayuh pulang ke rumah dengan hatinya berbunga riang. Tercapai sudah impiannya ingin melihat emak dan abahnya gembira dengan keputusannya nanti.  Sampai di rumah,  Mira melihat jam di dinding yang menunjukkah sudah hampir jam 12.30 tengahari. Segera Mira ke dapur dan mengeluarkan  ikan pari  dari peti sejuk. Begitu juga dengan bahan-bahan yang lain. Teringat dia pesanan emaknya pagi tadi. `Mira, masakkan asam pedas ikan pari kesukaan abah,kau! Bahan-bahannya semua sudah emak sediakan. Ada dalam peti sejuk tu…’ Tersenyum Mira bila teringat pesanan maknya.
Bermula dengan Bismillah, Mira memulakan masakannya. Satu persatu siap terhidang di atas meja makan. diperhatinya satu persatu… asam pedas ikan pari, kangkung tumis ikan bilis, telur dadar dan sedikit sambal belacan. Tidak lupa, pucuk ubi yang dikutip emaknya petang semalam segera dicelur dengan air panas lalu diletakkan ke dalam piring dan diletaknya ke atas meja bersama hidangan tadi. Pasti selera abah bertambah nanti dan emak pasti tersenyum bangga melihat anak daranya yang begitu pandai memasak. Tersenyum Mira sendirian.
Mira kembali menyambung angannya di dalam bilik. Sambil terbaring memandang siling, dia berangan-angan ke mana langkahnya selepas ini. Adakah ke menara gading atau hanya ke tingkatan enam sahaja. `Ahhh, akan aku pujuk emak… nanti.’ Bisiknya lagi.
Sedang leka mengenangkan nasib diri selepas ini, kedengaran adiknya memberi salam. Zaki, tanpa membuang masa terus ke meja makan, Mira hanya perhatikan adik kesayangannya dari balik pintu biliknya. Mira berjalan menghampiri adiknya yang sedang enak menjamu selera tanpa menoleh ke arahnya.
“Ehm… ehm… cuba makan tu tertib sikit, jangan gelojoh. Kalau tersedak nanti siapa susah… Zaki jugakan,” tegur Mira sambil mengambil air minuman untuk adiknya.
“Kak, mana emak… abah? Tak balik lagi ke mereka?” tanya Zaki sambil meneguk air yang diambil Mira tadi.
“Kejap lagi lah tu,” balas Mira lembut.
“Kak, tadi kat sekolah kecoh kata akak dapat 8A1. Betul ke kak?”
Mira membiarkan soalan Zaki tanpa jawapan. Zaki yang faham dengan sikap Mira terus bangun dan membawa pinggan serta gelas ke singki dan ditinggalnya sahaja. Itulah sikap Zaki.

Jam 8.00 malam di ruang dapur.

“Abang, petang tadi Mira tunjukkan  keputusan dia, Alhamdulillah bang… 8A1.” Terang emak kepada abah.
Mira yang berada di dalam bilik cuba memasang telinga. Tapi yang kedengaran cuma suara mak. Mira merapatkan telinganya ke dinding bilik. Kali ini Mira dengar emak bersuara lagi. Mira cuba memberanikan diri dengan keluar dari biliknya berjalan ke arah dapur, sehinggalah berada di balik pintu dapur, Mira terdengar emaknya bersuara lagi.
“Kesian dia bang, dia nak belajar… kita nak sekat pula niat dia. Tak baik, bang?”
“Kita tak mampu Mah. Nak hantar dia belajar kat universiti tu… banyak pakai duit Mah.” balas abah. “Tambahkan kuahnya tu… anak awak ni kalau masak asam pedas, kalah masakan awak tau tak?” abah menyambung katanya sambil ketawa kecil.
Mira yang bersembunyi di balik pintu dapur tersenyum dengan pujian abah. Abah memang gemar dengan masakan asam pedasnya. `Katanya, emak masak pun tak sesedap masakannya.’
“Nantilah aku fikirkan macam mana, tapi sebelum tu kau cakapkan kat dia yang Pak cik Ahmad tuan kedai makan kat sebelah kedai runcit Pak cik Abu nak kan pekerja sebagai tukang masak lauk nasi campur. Bagi tahu kat Mira tu, pergi la kerja sementara menunggu mana-mana panggilan untuk belajar.” Terang ayah lagi.
Mira yang masih bersembunyi di balik pintu dapur seakan ingin menangis mendengar kata abah. Jelas, tidak sedikitpun terpancar keriangan di wajah abah. Wajahnya yang tadi gembira terus bertukar keruh. Lemah kakinya melangkah masuk semula ke dalam biliknya. Cuba menguatkan semangat. `Emmm, mungkin sementara aje kot. Tak apalah, sekurang-kurangnya boleh aku kumpul duit. Andai ada rezeki aku, duit tu nanti boleh aku gunakan untuk keperluan aku.’ Angan Mira. 
Malas Mira ingin menonton bersama adiknya di luar. Bangun dari pembaringannya lalu berjalan menuju ke jendela dan dibukanya sedikit. Menderu angin memasuki biliknya. Kemudian dia menutup kembali.
Sedang enak membuai perasaan, Mira terdengar suara emaknya memanggil. Kelam kabut Mira membuka pintu. Hairan, selalu emak tidak pernah menganggunya kecuali jika ada ikan masin yang hendak dibungkus. `Arhh, mungkin mak hendak meminta aku memicit badannya, atau mungkin abah perlukan bantuannya,’ berteka-teki Mira sendiran. Apabila pintunya terbuka, yang berada di hadapannya bukan emak tetapi Intan.
 “Intan! Apa kau buat datang rumah aku malam-malam ni? Datang dengan siapa?” soal Mira tanpa henti.
“Oh, ini Puan Hidayah. Kawan ibu aku. Dia banyak menolong orang susah untuk melanjutkan pelajaran,” terang Intan memperkenalkan perempuan yang sebaya emak.
 Mira bersalaman dengan Puan Hidayah. Tapi, masih kehairanan. ‘Kenapa pula Intan bawa dia datang rumah aku,’ Mira sekadar bertanya dalam hati.
“Emak aku suruh dia tengok slip keputusan SPM kau tu. Lepas tu, kau dengarlah apa yang Puan Hidayah boleh lakukan nanti,” Intan memberitahu.
Mira segera masuk ke bilik. Tidak lama kemudian, Mira keluar semula dan menunjukkan slip keputusan SPMnya kepada Puan Hidayah. Puan Hidayah kelihatan tersenyum. Mira dan Intan hanya berpandangan. Menunggu reaksi Puan Hidayah yang asyik membetulkan cermin matanya. Matanya tertancap pada slip keputusan SPM Mira.
 “Beginilah. Saya boleh tolong. Ini ada borang pinjaman pengajian tinggi dari Pusat Zakat Selangor . Isi borang ini dan saya akan pastikan Mira dapat masuk mana-mana universiti  di dalam Malaysia.” Katanya dengan kepastian.
Terkebil-kebil mata Mira kurang percaya dengan berita baik ini. Intan sudah menepuk-nepuk bahu Mira. Dia lebih gembira berbanding diri Mira sendiri.
“Lepas ni, kita boleh masuk universiti yang sama. Soal pembiayaan kau tak perlu risau lagi. Puan Hidayah akan uruskan.” Intan juga yakin sangat-sangat.
Mira sudah terlonjak kegirangan. Mereka berdakapan. Emak muncul dari dapur bersama minuman. Mira berlalu dan terus memeluk emaknya.
“Mak, sekarang emak jangan susah hati. Puan Hidayah akan bantu Mira untuk membayar semua yuran pengajian. Ini semua atas doa emak. Terima kasih, mak,”
“Betul? Mira sudah boleh sambung belajar? Mak macam tak percaya,” emak sungguh terharu. Dia mendapatkan Puan Hidayah dan memegang tangannya erat-erat. “Terima kasih Puan. Terima kasih sebab tolong anak saya. Saya mahu dia berjaya. Saya tiada duit. Tapi, saya boleh berdoa untuk kejayaannya setiap masa,” air mata emak sudah tumpah.
Puan Hidayah terharu sambil berkata, “Doa itulah yang paling berharga untuk seorang anak. Tanpa doa seorang ibu, tidak mungkin seorang anak akan berjaya dalam apa pun.”

Mira mengalih pandangannya ke ruang dapur. Kelibat abahnya masih ada di situ. Pasti abahnya mendengar apa yang dikatakan oleh Puan Hidayah. Mira perhati, abah tersenyum memandangnya. Air mata Mira tumpah lagi tanpa henti. `Ya ALLAH, terima kasih segalanya.’ Doa Mira dalam hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan