Selasa, 16 September 2014

AMPUNKAN DOSANYA DAN DOSAKU, YA ALLAH.

`SESUNGGUHNYA ALLAH MENERIMA TAUBAT HAMBANYA SELAGI MASIH BELUM 

SAMPAI KE HALKUMNYA’

(Hadis di riwayatkan oleh Al-Tarmizi)

`Bagaimana jika aku mati dalam keadaan dosa dan masih belum bertaubat?’

`Apakah aku akan mati dalam keadaan tenang atau dosa-dosaku sedang menghambat aku ke pintu neraka?’

`Ampunkan aku Ya ALLAH, ampunkan dosa-dosaku.’

`Panas! Panasss, pedih, pedih! Ya ALLAH!!  Hidupkanlah aku Ya ALLAH.  Aku janji Ya ALLAH, hanya jalan kebaikan yang akan kupilih’

`Mak! Mak! Kenapa mak nangis?’

`Mak, mak. Ayu kat mana ni, kenapa bilik Ayu semua warna putih? Mana cadar merah Ayu, mak?’

`Mak… mak, kenapa mak diam? Mak marah Ayu, ya?’ terkelip-kelip kelopak mata Ayu memandang wajah emaknya.

*******

Hujan sejak malam tadi membuatkan pagi ini terasa dingin. Saodah tidak keluar menoreh, kerana subuh tadi hujan masih lagi membasahi bumi. Saodah perhati sekeliling rumahnya. Kampungnya, Kampung Pasir yang sudah bertahun lamanya dia menetap. Di rumah ini  jugalah kelahiran anaknya dan di rumah inilah juga kembali suaminya ke negeri abadi.

Seperti hari-hari sebelumnya, jika tidak menoreh dia pasti akan termenung di muka pintu rumahnya. Setia menanti kepulangan anak gadis yang amat dia rindui. Terkelip-kelip matanya memandang jalan kecil di hadapan rumahnya. Dia tidak punya anak lain, selain si genit itu. Namun kini hanya Ateh sahaja yang sudi menemani dirinya siang dan malam.

"Ateh, mana ya, anak mak. Sampai sekarang dia tak pernah balik. Mak rindu sangat kat dia, Ateh. Ateh tak rindu dia?” soal Saodah sambil membelai kepala  Ateh. Ateh kalih pandang apaila namanya disebut.  "Ateh,  Ateh  pun jangan tinggalkan mak, ya. Kalau Ateh  pun pergi, siapalah yang nak temankan mak lagi.” Sekali lagi Saodah bersuara. Tangannya tak henti membelai Ateh. Terkelip-kelip mata Ateh. Mengesel-gesel kepalanya di riba Saodah.

Masih tebal diingatannya. Setahun yang lalu, sekembalinya dia dari menoreh getah di kebun belakang rumahnya. Satu-satunya harta peninggalan suaminya. Kelihatan anak gadisnya duduk di anak tangga sambil menongkat dagu. Sayu wajahnya. Sejak beberapa hari yang lepas begitulah sikap anaknya. Ini semua gara-gara dia tidak setuju dengan keinginan untuk mencari pekerjaan di kota besar, Kuala Lumpur.

Saat dia menghampiri anaknya, Saodah meletakkan bakul yang sarat dengan perkakas menoreh dan bekas makanan di bucu tangga rumah. Duduk di sebelah Ayu. Jari jemari anaknya digamit sambil digenggam, Saodah mulakan tutur bicaranya.

“Ayu, kenapa ni nak. Dari jauh mak perhati Ayu, termenung saja?” soal Saodah walaupun dalam hatinya sudah tahu jawapan anaknya.

“Mak, Ayu nak kerja kat K.L. Boleh ye mak?”

“Ayu, setahu maklah, K.L tu luas. Boleh dapatkah? Sedangkan kelulusan Ayu tak sehebat mana,” jelas emaknya.

“Ala mak ni. Cuba mak tengok, Iffah. Anak Mak Cik Senah tu, kerja kat K.L cuma sebagai kerani biasa saja, tetapi dah boleh pakai kereta. Sesekali pulang ke kampung, macam-macam yang dia bawa pulang untuk maknya. Ayu pun boleh mak. Ayu pun nak lihat mak hidup senang. Tak payah susah-susah menoreh getah lagi,” pujuk Ayu panjang lebar.

“Ayu, jangan lihat kemewahan orang, nak. Iffah tu ada kelulusan. Belajar pun pandai. Ayu... apa yang ada,” balas emaknya.

“Ya Ayu tahu tu mak. Tapi, kalau kita tak cuba. Kita tak tahu di mana untung rugi nasib kita, mak. Boleh ya, mak,” rayu Ayu sekali lagi.

“Ayu… mak.”

“Alaaaa mak ni. Lagipun Abang Mail dah janji nak carikan Ayu kerja. Minggu depan dia balik. Katanya kalau ada kerja nanti dia bagi tahu Ayu. Kalau ada, Ayu pergi ya mak. Boleh ya,” rayunya lagi. Boleh ya.” Sekali lagi dia memujuk sambil mengenggam erat jari-jemari emaknya.

“Kamu percaya sangat dengan Abang Mail kamu tu? Jangan mudah percayakan orang nak. Kita tak tahu apa niat dia,” terang Saodah.

“Mak, Ayu kenal Abang Mail tu. Takkanlah dia nak buat benda-benda tak elok kat Ayu. Dahlah mak, tak baik tau buruk sangka kat orang. Lebih-lebih lagi, anak kampung ni juga… kan mak.”

Saodah tenung wajah anak gadisnya dalam-dalam. Ayu membalas pandangan emaknya dengan pandangan sayu. Saodah lemah, apalagi yang harus dia katakana. “Entahlah Ayu. Kalau itu kata Ayu, pergilah nak,” balasnya  sayu. “Tapi Ayu, ingat pesan mak ya,  jangan pula tinggalkan solat. Biar macam mana pun, solat tu penting ya, sayang,” pintanya lagi. Tangan kasar tuanya meraba-raba di segenap raut wajah anaknya.

“Mak… janganlah risau, Ayu ingat. Insya-ALLAH, mak. Ayu janji, setiap bulan… Ayu akan balik jenguk mak. Mak jangan risau, ya…”  janji si puteri.

*******

Kelab Dangdut Kiambang yang terletak di Jalan Dewan Sultan Sulaiman sentiasa dipenuhi pelanggan apabila malam menjelma. Ayu dengan rambutnya, dibiarkan lepas ala-ala Ziana Zain dengan calitan gincu nipis di bibirnya kelihatan anggun berdiri di pentas. Ayu mengalunkan lagu Madah Berhelah nyanyian asal daripada artis yang popular, Ziana Zain sambil menggoyangkan badannya mengikut rentak melodi.

Lontaran suara yang jelas sebutannya serta lenggokan tubuh badannya menjadi  tumpuan  setiap mata yang memandang dan menjadi kesukaan setiap pengunjung di situ. Boleh dikatakan hampir tujuh puluh peratus pengunjung di tempat itu adalah dari lelaki melayu. Semuanya amat meminati suaranya yang lunak merdu. Ada juga yang meminatinya lebih daripada itu.

Dari jauh di satu sudut yang suram, diam seorang lelaki yang sering bersamanya selama ini, yang telah menghancurkan impian seorang gadis, juga yang telah membawanya ke lembah kemaksiatan. Siapa lagi, kalau bukan jejaka yang amat dia sayangi, Abang Mail. Lantas kenangan itu datang kembali menerjah mindanya.

Pertama kali dia menjejakkan kakinya ke Kuala Lumpur. Dia di tempatkan di sebuah hotel mewah. Tersentap tangkai hatinya, kehairanan kenapa dia berada di situ. Namun kerana terlalu percayakan Abang Mail, dia turutkan sahaja.

“Ayu, dalam beg ni ada baju. Pakai ye, malam ni abang bawa Ayu  jumpa bos abang.”

“Abang Mail, nak pegi mana. Kerja apa malam-malam ni?” soal Ayu. Tangannya mengeluarkan isi kandungan di dalam beg itu. Saat sorotan matanya melabuh, melopong mulutnya. Menggeleng lantas terduduk di sebelah jejaka yang begitu asyik memandangnya. “Abang, gila apa nak suruh Ayu pakai baju macam ni?” soalnya sambil menunjukkan baju yang masih lagi di dalam genggamannya. Lantas membalingnya ke pangkuan jejaka itu.

"Ayu, Ayu kata nak kerja kan. Abang nak bawa Ayu pergi kerjalah ni. Dah, pakai cepat!" arah Abang Mail. Matanya mencerlung memandang Ayu. 

"Tapi... Abang Mail, kerja apa malam-malam ni? Lepas tu nak suruh Ayu pakai baju macam ni, macam tak cukup kain..." balas Ayu. Masih lagi berdiri menghadap Abang Mail.

“Kau kata nak kerjakan, jadi ikut aja apa yang aku suruh! Kau dengar tak?” jerit Abang Mail tiba-tiba. Berubah rona wajah Ayu. Daripada senyum manis bertukar pucat lesi. "Cepatlah!" jerkah Abang Mail lagi. Terkocoh-kocoh Ayu menuju ke bilik air, menukar baju. "Jangan lupa, gincu sikit bibir tu, bedak sikit muka tu," arah Abang Mail dari luar.

Dalam kereta Abang Mail, Ayu keresahan. Sudahlah baju yang dipakainya  itu mencolok mata. Dia sendiri tidak sanggup melihat dirinya sendiri, apatah lagi orang lain yang melihat keadaan tubuhnya. Namun apakan daya, arahan Abang Mail membuat dirinya kecut perut. Ayu tunduk ketakutan. Dia menelan liur berkali-kali.

       Kereta jejaka kesayangan berhenti di hadapan sebuah bangunan.  Tercangak-cangak dia  memerhati di sekelilingnya. Lantas matanya terpandang papan tanda yang bertulis Kelab Dangdut Kiambang, Jalan Dewan Sultan Sulaiman. `Hah! Dia tipu aku,’ desah hatinya. Dia pejam matanya. Terbayang wajah emaknya.

Pintu kereta dibuka, wajah Abang Mail masam mencuka. “Eh! Keluarlah,” arahnya. “Eh, aku cakap keluar, keluarlah! Kau nak aku tarik tangan kau lagi!” jerkah Abang Mail.

Ayu yang mendengar jerkahan itu terpisat-pisat keluar dari perut kereta.  Seram sejuk tubuhnya tiba-tiba. Dalam hati tidak lepas-lepas memanggil emaknya. Abang Mail terus menarik tangannya. Dia merentap tangannya kembali, tetapi pengangan tangan Abang Mail begitu kuat.  Sekali lagi dia cuba merentap tangannya, tetapi tidak mampu melawan tenaga daripada seorang lelaki. Akhirnya dia hanya mampu berdiri lemah di sisi Abang Mail. Lantas perlahan-lahan dia membontoti rentak kaki Abang Mail.

Dia melihat di sekelilingnya. Begitu ramai manusia tidak kira muda mahupun yang sudah berumur. Terkinja-kinja mengikut alunan muzik. Tangannya masih lagi digenggam erat, sehinggalah mereka bertemu dengan sekelompok pemuda.

“Mail, mana you pergi.  Lama tak nampak?” tegur pemuda bermata sepet yang berada di dalam kelompok itu.

“Ada hal sikit la, Vincent,” balas Abang Mail.

“Mail, ini siapa. Cantik,” puji pemuda tadi yang bernama Vincent. “Mana you dapat ini amoi, wah… banyak pandai arr you sekarang. Dia punya badan pun manyak `solid’. Ini kali, berapa you mau gua bayar sama lu, Mail?” tegurnya pemuda itu lagi. Mata sepetnya begitu galak memerhatikan tubuh Ayu. Dalam masa yang sama, Ayu menarik-narik skirt pendek yang dipakainya.

“Oooo, ini kali gua tak mau jual sama lu, tapi kali ini gua mau dia kerja sama lu, dia milik gua dan lu jangan kacau sama dia. Boleh? Gua sudah banyak tolong lu maaaaa,” balas Abang Mail sambil menarik Ayu rapat ke dalam pelukannya.

“Wahhh, Mail, okay.  Kalau lu mau itu macam, tapi kita ada satu syarat ooo… dia punya `servis income’ kita kasi sama rata. Kalau you setuju itu macam… okay, gua set” balas cina itu sambil menepuk-nepuk bahu Abang Mail.

Mail menyeringai sehingga menampakan barisan giginya yang kekuningan sambil sebelah tangannya memeluk Ayu dengan rakus. Keputusan telah pun termeterai dan malam itu, Ayu menjadi mangsa kepada jejaka pujaannya selama ini. Jejaka yang dia cintai dalam diam, jejaka yang selama ini dia sanjungi dan hormati. 'Mail… kau sial! Kau jahanam Mail! Aku benci kau!!!’ jeritnya ke arah lelaki yang dia panggil abang selama ini.

Malam kedua dia mula berkerja. Dia cuba mengintai-ngintai peluang untuk melarikan diri. Dia berjaya menemui satu jalan di belakang hujung tandas. Namun saat dia ingin meloloskan dirinya di celahan papan yang berteraburan, orang suruhan Vincent terlebih dahulu mengidu perbuatannya. Dia berjaya, namun kejayaannya tidak sampai ke mana. Orang-orang suruhan Vincent sempat menangkapnya dan dibawa bertemu Vincent. Sekali lagi tubuh Ayu dijadikan santapan mereka. Hanya deraian air mata yang mengalir saat itu. Wajah emaknya serta-merta menerpa di pandangannya yang semakin kabur dan kelam.

Semenjak kejadian malam itu, dia tidak lagi berani untuk melarikan diri. Arahan demi arahan daripada Mail, dia turuti tanpa sedikit pun membantah. Semakin lama, Ayu semakin lali dengan pekerjaan itu. Malah wang saku dan tip yang dia dapati dari pelanggan telah mengaburi matanya. Dari satu tangan ke satu tangan, tubuhnya dalam dakapan mereka. Segala jenis minuman semuanya dia teguk, yang penting baginya kini wang kertas berwarna ungu mesti berada dalam gengamannya. 

Dia semakin bijak melayan pelanggannya  dan mereka pula semakin menyukai layanan daripada dirinya. Malah dia juga tidak lagi dikongkong oleh Mail. Kawan baiknya, Vincent pun tidak lagi menganggunya. Dia bebas melakukan apa saja kini. Tambahan pula Mail sudah pun mendapat pucuk muda yang lebih menarik dengan lenggoknya yang menggoda.  Dia pula semakin hanyut dalam kemewahan dan lupa pada janjinya. Janji seorang anak untuk emaknya yang sentiasa menanti dan terus menanti kepulangannya.

*******

Dari jauh kedengaran sayup suara azan subuh berkumandang. Ayu menarik selimutnya, mengiring memeluk bantal. Terasa ada tangan yang menepuk bahunya berulang kali.

"Ayu, bangun sayang. Solat subuh, Ayu. Ayu, Ayu..."panggil suara berulang kali. "Ayu, bangun sayang... . Ayu tak kesian tengok mak. Tak kesian kat arwah abah, Ayu..." kata suara itu lagi.

Ayu tersedar, meliar matanya memandang sekeliling. `Mak! Ya ALLAH, dah pukul berapa ni?' soal Ayu, lantas bangun dari pembaringan. Melorot kain selimutnya. Ayu berjalan ke tingkap. Diselaknya kain langsir. Terasa cahaya matahari meraba wajahnya. Menyentuh kulitnya, perit. Segera dilepaskan kembali kain langsir. Ayu kembali ke sisi katil, duduk dan menunduk wajahnya. Seketika, kedua-dua tangannya meraup wajahnya. `Mak... Ayu rindu sangat, Ayu nak balik mak. Ayu nak balik!' jeritnya dalam hati.

Rumah teres tiga bilik itu direnungnya. Tempat tinggal dia dan juga rakan-rakannya begitu sunyi tika ini. Masing-masing sudah ke tempat kerja, yang tinggal hanya dirinya. Akhir-akhir ini dia merasai kelainan kepada dirinya, lemah dan sentiasa tidak bermaya. Malah dia juga sering bermimpi, didatangi seorang lelaki tua menghampirinya sambil di tangan lelaki tua itu ada sepasang kain telukung dan senaskah Al-Quran, menghulur ke arahnya. Ingin disambut tetapi terhalang dengan julungan api yang menjulang tinggi. Saban malam mimpi itu semakin kerap mengganggu tidurnya. Dia  kebinggungan, dan pada siapa harus dikongsikan cerita ini.

“Mail, aku nak sambung cuti sehari dua lagi. Aku tak sihatlah. Nak pergi klinik pulak?” pintanya di hujung talian.

“Okaylah, nanti aku cakap kat Vincent. Kau rehat saja kat rumah. Kalau perlu apa-apa bantuan, jangan lupa telefon aku, tau!” balas Mail.

Talian terus dimatikan. Mungkin sibuk dengan tugasnya atau mungkin sibuk dengan gadis-gadis montok, berkulit putih gebu, kegilaan ramai jejaka di kelab itu.

            Seluar jeans lusuh, dikenakan dengan blaus labuh begitu bergaya di pandangannya, dicalit sedikit gincu merah ke bibirnya. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, dia lantas keluar. Pintu keretanya dibuka dan menghidupkan enjin keretanya. Seketika kemudian deruan engin keteranya meluncur laju menuju ke klinik yang berdekatan dengan rumahnya.

         Klinik Bandaraya, klinik yang sering dia kunjungi kala sakit peningnya. Setelah pendaftaran dibuat, dia menanti dengan penuh sabar sehingga namanya dipanggil.

“Ayu Kirana Ahmad” terdengar namanya di panggil, dan segera dia berjalan  ke arah gadis yang berbaju serba putih sedang menantinya dengan senyuman. “Duduk sana ye kak,” kata gadis itu lagi.

Perasannya berdebar saat doktor muda di hadapannya menegur, “Ya, sakit apa cik” tanya doktor lelaki itu. Lama, dia perhati wajah doktor itu. Daripada wajah hinggalah ke tanda nama doktor itu. “Cik, sakit apa. Boleh saya tahu?” sekali lagi doktor itu bertanya.

         "Isk, doktor ni, tanya aku sakit apa? Kalau aku tahu, aku sakit apa. Buat apa aku datang jumpa kau, doktor?" ngomel Aayu dalam hati. 

            "Ayu, Cik Ayu..."

Dia tersentak. Dalam debar dia menceritakan segalanya.  Terangguk-angguk doktor muda itu. Doktor muda itu melemparkan senyuman sambil menyuruh Ayu melakukan ujian air kencing bagi memudahkan penyakitnya di kesan. Tanpa membuang masa, dia melakukan tanpa rasa wasangka di dalam dirinya.

 “Emmm, tahniah puan, puan disahkan mengandung. Bila kali terakhir puan uzur?"

Ayu yang mendengar khabar berita daripada doktor itu terkedu tanpa kata. Tiada sedikit pun riak gembira di wajahnya. 

“Puan, puan… ada masalah ke?” tanya doktor  muda itu sekali lagi.

“Oh… maaf doktor, kali terakhir 25 hb Januari, ya… itulah tharikhnya,” balasnya.

        Ayu segera meninggalkan Klinik Bandaraya itu dengan penuh tanda tanya, dalam fikirannya masih memikirkan setiap kata-kata doktor muda itu. Mana mungkin ini terjadi, tak mungkin. `setiap hari aku makan ubat yang dibeli di farmasi, tak mungkin’ bisik nya dalam hati sambil dia berjalan menuju ke keretanya. Sesekali dia mendengus dan menggeleng.

Perlukah dia memberitahu kepada Mail, apakah dia mahu bertanggungjawab dan apakah dia percaya yang anak di dalam kandungannya ini anaknya?

Dia leka, kepalanya sarat dengan berita yang diterimanya. Percaya dengan tidak. Hakikat yang dia harus terima, dan anak siapa pula di dalam kandungannya. Apakah anak Mail? Sanggupkah Mail menikahinya? Sanggupkah Vincent membenarkan dia bekerja di situ dengan keadaan perutnya yang memboyot? Dia memikirnya tanpa sedar bahaya di sekeliling persekitarannya. Semasa dia melintasi jalan untuk menuju ke keretanya, dia tidak sedar, sebuah kereta yang meluncur laju sedang menuju ke arahnya dan satu bunyi yang kuat kedengaran. ` BOOMM’.

*********

            Lot 124, Kampung Durian Daun, Rembau. Negeri Sembilan.  Polis itu memerhatikan alamat yang tertera di kad pengenalan dan juga di peti surat di hadapan rumahnya yang sunyi sepi.

            “Assalamualaikum!” jerit salah seorang anggota polis itu.

         “Terkocoh-kocoh seorang perempuan tua keluar dari dalam rumah dengan sekeping gambar yang berada di tangannya, sambil memandang ke arah anggota polis itu dengan pandangan kehairanan.”

            “Maaf ya mak cik. Nama mak cik ni Saodah binti Kassim?” tanya salah seorang anggota polis itu.

            “ Ye nak, kenapa ni. Ada apa? Tanya Mak cik Saodah penuh curiga.

            “Mak cik kenal Ayu Kirana binti Ahmad?”

            Mak cik Soadah tidak menjawab soalan polis itu. Dia  cuma mengiyakan sahaja. Mana mungkin dia lupa pada anak gadisnya yang amat dirinduinya.

            “Kalau begitu sila ikut kami segera ke hospital, kerana anak mak cik perlukan mak cik sekarang”

            “Kenapa dengan dia, apa dah jadi padanya?" soal Saodah. Tanpa menunggu jawapan dari anggota polis itu, dia segera ke dapur, kain selendang dicapai, kemudian menutupi rambutnya yang keputihan. Lalu  mengikut polis yang seramai tiga orang itu menuju ke kereta. Kereta pacuan empat roda itu segera meninggalkan rumah Saodah menuju ke Hospital Selayang, Kuala Lumpur.

            “Mana anak saya doktor, mana?” laung Mak cik Saodah.

       Mai, kebetulan berada di situ segera menghampiri Mak cik Saodah dan  mententeramkan diri Mak cik Saodah. Kala matanya tertumpah kepada Mail, terus-terusan dia menanyakan apa yang berlaku sebenarnya. Tiada kata yang dapat Mail rungkaikan, hanya gelenggan tanda dia sendiri tidak tahu. Malah dia juga terkejut dengan berita yang dia terima melalui panggilan telefon bimbitnya. Kata polis, nombor dia yang terakhir digunakan oleh Ayu.

            Seketika kemudian keluar seorang lelaki berbaju biru dari bilik kecemasan.  Belum sempat dia membuka mulutnya untuk bertanya siapakah waris terdekat kepada mangsa.  Mak cik Saodah terlebih dahulu meluru mendapatkan lelaki itu.

            “Doktor, anak saya… macam mana keadaannya?” tanya Mak cik Saodah sambil menyeka air matanya dengan kain kecil yang berada di dalam gengamannya.

            “Anak puan masih koma, hentakan  yang belaku di bahagian kepalanya menyebabkan darah beku berlaku dan kami telah melakukan sebaik mungkin. Selebihnya kita hanya mampu berdoa agar dia selamat. Oh satu lagi, siapa suami dia. Saya perlu berjumpa dengannya untuk berbicara dengannya sebentar. Tak apa, mak cik boleh masuk ke dalam sebentar lagi untuk melihat pesakit. Tunggu mereka pindahkan ke wad ICU ya, mak cik.”

            Mak cik Saodah tidak bersuara, melopong mulutnya kala doktor menanyakan suami anaknya. Siapa? Sedangkan dia sendiri tidak tahu malah jumpa pun tidak. Dia memandang ke arah Mail, mungkin Mail mengetahui siapa suami anaknya.

            “Mail, kau tahu siapa suami Ayu. Pergilah cari dia Mail… mungkin kali terakhir,” pinta Mak cik Soadah. Kali ini tiada lagi air mata yang mengalir di wajah tua itu.

            Mail berlalu meninggalkan Mak cik Saodah. Segera dia mendekatkan dirinya ke sisi doktor dan memperkenalkan dirinya sebagai suami Ayu. Mak cik Saodah yang berada berhampiran mereka sekali lagi melopong mulutnya. Lalu di angkat kedua-dua tangannya memohon keampunan buat anaknya.

`Ya ALLAH, andai ini takdir pengakhiran hidupnya, KAU  lapangkanlah kesengsaraannya. Aku ampunkan dosanya dan kuhalalkan segala makan minumnya selama dia membesar di hadapanku. Amin’ doa Mak cik Saodah.

            “Encik Ismail, maafkan kami kerana tidak dapat menyelamatkan kandungannya.”

Terlopong mulutnya dan terkaku tanpa suara. `Ayu, kenapa kau rahsiakan daripada ak,’ bisik Mail. Mak cik Saodah yang mendengar perkhabaran itu terus terduduk diam di kerusi sambil mengesat air matanya yang kembali berguguran tanpa henti. `Ya ALLAH anakku,’

            Mereka berdua berjalan menuju ke bilik yang menempatkan Ayu, menangis Mak cik Saodah melihat keadaan anaknya. Kepalanya berbalut, kaki dan tangannya juga bersimen. Ayu terbaring kaku. Mail yang berdiri di sebelah emak Ayu segera merapatkan mukanya ke telinga Ayu sambil bersuara, "Ayu, maafkan segala dosa aku terhadap kau. Selama hidup kau, aku menzalimi hidup kau. Aku, aku bersalah Ayu. Maafkan perbuatan aku, Ayu. Kau kuatkan semangat kau. Aku sedia menunggu kau, aku sedia mengahwini kau. Kita bina hidup baru, Ayu. Kau dengar tak? Ayu..." rayu Mail. Tangannya meraba keseluruh wajah Ayu. Mail meratap di sisi Ayu yang terbaring kaku. 

                Terdengar pintu bilik dikuak. Mail memandang doktor yang merawat Ayu. Mail yang duduk menghadap Ayu perlahan-lahan bangun. Longlai tubuhnya saat matanya terpaku melihat dua orang anggota polis di sebelah doktor itu.

                "Encik Ismail, maaf encik. Encik terpaksa kami tahan untuk siasatan," terang salah seorang anggota polis itu.

                 Emak Ayu yang melihat situasi itu, hairan dan mula menyuara kegusaran di hatinya kepada anggota polis yang berdiri di sebelahnya. "Tuan, boleh saya tahu... apa masalah sebenarnya. Kenapa menantu saya ditahan?" 

       "Kami terpaksa menahannya mak cik. Pihak kami mengesaki Encik Ismail terlibat di dalam jenayah memperdagangkan manusia," balas anggota polis itu. Melopong emak Ayu. Terkelip-kelip matanya memandang menantunya. Hendak menjerit memarahi pun tidak berguna lagi.

Mail menyerah diri. Sebelum keluar dari bilik itu, dia menghampiri emak Ayu. "Mak cik, Mail minta maaf. Ampunkan salah-silap Mail. Mak cik tolong jaya Ayu. Kalau dia sedar, sampaikan salam saya dan pesankan kepadanya, saya akan kembali," pinta Mail sebelum dirinya ditolak keluar oleh anggota polis itu.


Di dalam bilik tahanan. `Ya ALLAH, sesungguhnya KAU lebih mengetahui, ampunkanlah kesilapannya dan ringgankanlah kesakitan yang ditanggung olehnya. Ya ALLAH, ampunkan juga dosanya dan ampunkan juga segala dosa-dosaku.  Amin.' tangisan Mail memecah kesunyian malam.


MENGHINDARI KESESATAN ~ ALI-IMRAN 8:
RABBANA LA TUZIGH QULUBANA BA’DA IZ HADAITANA WAHAB LANA MIL LADUNKA RAHMAH, INNAKA ANTAL WAHAB.
“YA TUHAN KAMI, JANGANLAH ENGKAU JADIKAN HATI KAMI CONDONG KEPADA KESESATAN SESUDAH ENGKAU BERI PETUNJUK KEPADA KAMI, DAN KARUNIAKANLAH KEPADA KAMI RAHMAT DARI SISI ENGKAU; KARENA SESUNGGUHNYA ENGKAU-LAH MAHA PEMBERI (KARUNIA)”.




1 ulasan: