Selasa, 16 September 2014

SEBALIK KISAH ADA RESAH YANG MENGHIMPIT




Kampung Rasa, Hulu Selangor. Selangor

Rumahnya berlantaikan papan. Beralaskan tikar mengkuang. Atap berbumbung rumbia. Dindingnya papan bertindih kasih dan tiang serinya tegak berdiri tidak berpaku. Tangga pula hanya bertapak pohon kelapa. Di sisinya ditemani tempayan penuh berisi air. Daun tingkap pula tergelohok. Aman dan damai suasananya berserta bunyi keroncong sang ungas merata alam.

Dia. Dia yang cuma berkain batik lusuh, berbaju kurung kedah yang pudar warnanya. Duduk di penjuru dinding, sambil menggodek-godek gobeknya yang telah diisi dengan daun sirih sehingga lumat digodeknya, lalu dikeluarkan melalui bontot gobek, pantas pula disumbatkan ke dalam mulutnya. Masih lagi termenung sambil mengunyah sirih.

Matanya melingas ke kiri kanan.  Sesekali memandang suaminya yang leka duduk menyandar di tiang seri rumah mereka sambil jari jemari menggulung daun rokok.  Dibawa ke bibir, lalu dibakar hujungnya dengan mancis. Perlahan-lahan suaminya menghisap dan menghembus. Berkepul-kepul asap memenuhi di hadapan matanya yang bundar.

Suara geluduk kedengaran garang. Raut awan kelihatan muram. Seakan berat menanggung mutiara. Pasti entah bila akan gugur satu persatu membasahi bumi yang kian gersang. Pejam celik matanya, tergaru-garu sambil membetulkan kopiah putih yang kian kekuningan. Rokok daun tadi yang sudah mati baranya dibuang di celahan papan.

Dia bangun, berjalan terhenjut-henjut merapati suaminya, lalu duduk di hujung pintu .

“Tok wan oii, tak boleh macam ni. Esok selepas subuh kalau tak pergi menoreh atau menjala,  mana kita nak dapat duit.  Buang beli sekopi beras pun tak apa," tok jang menegur suaminya.

“Aku bukan tak mau pergi, hang tengok sajalah cuaca la ni. Kadang-kadang panas terik, kadang-kadang sejuk menggigit tubuh,” balas suaminya perlahan.

“Tok wan, minggu depan musim cuti sekolah. Aku bukan apa, risau cucu kita yang sorang, tu. Pasti muncul tiba-tiba.Tersengih depan pintu ni,” ngomel tok jang sambil meluruskan kakinya. Digosoknya perlahan dari lutut hingga ke hujung ibu jari kaki. Naik pula dari hujung ibu jari kaki hingga ke lutut. Begitulah berterusan.

“Tengok esok pulak, kalau tak hujan… aku pergilah menoreh. Tu, sakit lagi ka… kaki tu? Minyak angin yang Jenab bagi kat hang kelmarin mana? Sapulah,” arah suaminya.

Perlahan tok wan bangun. Berjalan menghala ke tingkap dan menutup tingkap yang sedari tadi ternganga luas. Kemudian menuju masuk ke dalam bilik, dikuaknya kain kelambu. Lalu baring di atas tilam, ditariknya gebar menutupi tubuhnya. Perlahan menutup matanya sambil berdoa dalam hati agar subuh esok tidak lagi hujan. “jang oiii, udahlah. Tidurlah,” arah tok wan.

      Di luar rintik-rintik hujan sudah kedengaran. Tok jang hanya mengeleng. Di dalam hatinya hanya mampu berdoa, `Ya ALLAH, andai hujan itu rahmat buatku dan keluargaku, limpahkanlah rezeki yang melimpah ruah buatku dan seluruh umatmu. Amin.’ Dia mengikut arahan suaminya, sambil menggelintang di sebelah suaminya. “Tok wan, kalau hujan jugak besok, macam mana?” soalnya. Dia pasti yang suaminya masih belum lena tidurnya.

      “Jang…, rezeki di tangan ALLAH. Insya-ALLAH, selagi kita yakin kepada-NYA. Pasti DIA juga akan menolong kita. Dahlah, tidur.”

       Terkebil-kebil mata tok jang. Dalam samar cahaya lampu dapur yang dibiarkan terpasang, dia tersenyum. Betul kata suaminya, moga esok mentari pasti bersinar cerah. Secerah harapannya yang menggunung. Cucu kesayangannya pasti akan datang. Pasti.

*********

Dia, duduk sambil menyandarkan badannya ke pokok getah. Terhenjut-henjut badannya sambil sebelah tangannya menekan dada. Tertunak-tunak batuknya dan semakin kuat. Sehingga meleleh air matanya. Sesekali air mukanya diraup dengan kedua tangan sambil mengesat air matanya. Matahari kian meninggi, terasa perit bahangnya mencecah kulit tubuhnya yang hanya diselimuti baju kemejanya yang lusuh.

`Isk… mana tok wan, ni. Tak kanlah tak habis lagi mengutip getah,’ rungutnya. 

Lenguh menanti tok wan, sekotak kotak berwarna merah hati dikeluarkan dari poket baju kemejanya. Dikeluarkan sepuntung. Diletaknya dicelah bibirnya. Dinyalakan api, seketika, sambil memejamkan mata. Dia menyedut perlahan. Hembus. Berkepul-kepul asap di awangan. Leka dia menatap asap yang berlegar dipandangannya. Tidak sedar tok wan sudah berdiri di hadapannya sambil bercekak pinggang. Kelat muka tok wan.

“Kamu merokok lagi?” soal tok wan.

Diam. Puntung rokok yang masih bersisa. Ditenyehnya ke pokok getah. Bangun sambil mengibas-ngibas seluar jeans yang sudah lusuh. Beg sandangnya digalas semula. “Jomlah tok wan. Hari dah tinggi. Lapar dah ni…” katanya sambil berjalan meninggalkan tok wan.

Tok wan geleng kepala. Langkahnya semakin gesit menjejaki langkah Asri yang sudah ke hadapan. Perasan yang tok wan berada di sebelahnya, Asri bersuara.

“Tok wan, Aju cakap… minggu depan sekolah dah cuti. Agak-agak, cucu tok wan balik sini tak?” soal Asri.

“Tak tahulah tok wan, Asri. Kenapa?” soal tok wan.

“Tok Wan, jangan bagitau dia, ya. Janji ya… . Kalau dia tahu, mesti dia marah. Mesti berleter dari pagi sampai petang. Terus otak pun berbintang-bintang,” bebel Asri. Dari pandangan sipi, tok wan makin melebar senyumannya.

Terkumat-kamit mulut tok wan ingin mengatakan sesuatu. Namun kala melihat wajah anak muda di sebelahnya. Tersekat butir suaranya. Seraya melemparkan keluhan, Tok wan mengangguk. Setuju. Perjalanan diteruskan.

Teringat setahun yang lalu.

     “Tok wan, siapa tu? Selalu Asri datang sini… tak pernah nampak pun dia. Nampak mesra dengan tok jang?” soalnya ketika tok wan leka membetulkan jalanya yang tercarik ketika menjala semalam.

         Tok wan segera berpaling. “Tu…” tunjuk tok wan . “Ohhh,  cucu aku. Sebaya kamu tu. Pergilah kalau nak kenal,” arah tok wan.

     Dia menggeleng. `Siapalah yang sudi kenal aku, budak kampung, selekeh dan miskin ni,’ bisik hatinya. Dari jauh dia melihat gadis itu berjalan menuju ke arah mereka. Serta merta dia menjarakan sedikit dirinya dari tok wan. Namun telinganya masih lagi dapat menangkap butir bicara mereka.

    “Tok wan, tok wan. Hari ni tak menjala ke? Dah lama Su tak makan ikan sepat. Buat gulai lemak cili api campur belimbing buluh. Fuh! Sedap tuuu,” katanya  mencangip sambil duduk sebelah tok wannya.

Tok wan membalas pertanyaan gadis itu dengan keluhan. Si manis seakan memahami keadaan orang tuanya terus duduk di sebelah sambil menekup hidungnya dengan telapak tangan. Segera si manis  menoleh memandangnya. Dia tersipu malu lantas mematikan diri. Dengup jantungnya makin kencang tatkala terpandang bibir itu yang tidak lekang dengan senyuman.

“Isk, bau apa ni, tengit…” si gadis memuntahkan suaranya. Lantas mendekatkan bibirnya ke telinga tok wan, seraya berbisik. “Tok wan, siapa dia. Busuk baunya, tok wan.”

Asri yang duduk di sebelah tok wan juga serta merta berubah air mukanya apabila mendengar patah bicara cucu tok wan. Hatinya tiba-tiba panas. Saat dia menoleh, cucu tok wan sudah pun berdiri di sisinya. Tergencat bibirnya yang tadi seperti ingin memuntahkan lava kepanasan.

Dia ingin membalas sindiran itu. Namun bibirnya terkatup rapat tatkala terdengar suara tok wan memarahi mulut cucunya yang lantang bersuara.

“Su, jaga sikit mulut tu. Tak baik cakap macam tu. Busuk-busuk pun dia, dialah yang banyak menolong tok wan tau?” bebel tok wan sambil menepuk-nepuk bahu jejaka yang dikatakan bau busuk oleh cucunya.            

Teguran tok wan tidak dapat menghalang gadis itu daripada menyoalnya.

 “Siapa nama awak? Eh! Awak merokok ya. Bahayalah merokok ni… . Awak tak sayang nyawa awak, ya…” sindir si manis.

         “Awak siapa ya, nak tegur saya sesuka hati. Diri saya,  suka hati sayalah nak buat apa,” balas Asri tanpa mempedulikan tok wan yang sedang memerhati mereka.

         “Suka hati kata awak? Eh! Awak tahu tak? Merokok ni akan menjadikan awak letih dan lesu sepanjang hari. Lepas tu, satu lagi… saya pernah terbaca dalam satu artikel ni. Katanya, kalau sebatang awak menyedut asap rokok… awak akan kehilangan lima minit hayat nyawa awak, tau tak!” terangnya dengan nada geram. “Kalau tak sayang nyawa awak tu pun… fikirlah nyawa orang lain sama. Orang di sekeliling awak yang terhidu bau asap tu,” bebelnya kembali.

Tok wan tersengih hingga menampakkan tahi lalat tercongol di tepi bibirnya. `Orang muda, begitulah kalau tidak sekepala,’ rungutnya perlahan. Asri panggung kepalanya memandang tok wan.  “Dahlah Asri, jangan ambil hati dengan kata cucu tok wan ni. Dia memang begini. Suka berterus terang.”

Asri angguk. Matanya melirik tajam ke arah cucu tok wan. `Isk, baru kenal dah berani tegur dan nasihat aku. Aku punya sukalah. Nak hisap ke, nak sakit ke, nak mati ke… kau peduli apa?’ bentaknya dalam hati.

 “Asri, Asri, kau bau tak apa yang aku bau ni?” tegur tok wan. “Asri!!” laungnya lagi seraya menepuk belakangnya. Tersentak dia. Serta merta batuknya menyinggah lagi.

“Kamu ni, sambil jalan pun boleh khayal. Ingat siapa?” soal tok wan. Tangan kanan tok wan tidak henti-henti membelai belakangnya.

*********

      Kebun getah tok wan tidaklah jauh, cuma seberang sungai sahaja. Untuk ke sana mereka cuma menggunakan titi gantung.  Bumbung dapur rumah tok wan kelihatan di balik pokok-pokok langsat. Bau gulai masak lemak cili api semakin menyengat kedua-dua batang hidung mereka. Mata mereka bertentang. “Su…” serentak pula mereka bersuara.

“Tok wan! Asri!” suara Su memanggil mereka. Terkocoh-kocoh dia mendekati atok dan sahabatnya.

“Eeee, tok wan,” tegur Su sambil menunduk menyalami orang tuanya.

“Asri…” seraya menegur jejaka itu sambil menghulurkan tangan. Seketika kemudian dia kembali bersuara, “tahu, bukan muhrim...” katanya sambil menarik kembali huluran tangannya. Meletus ketawa mereka bertiga.

Tersipu-sipu Asri memandang wajah gadis di hadapannya. Baru sebentar tadi dia menyoal tok wan. Harap tok wan ingat pesanannya.

“Bila sampai?” tanya tok wan. “Baru aje, Asri sebutkan kamu tadi…” sambung tok wan lagi.

Pertanyaan tok wan hanya dibalas dengan senyuman.

“Saya balik dululah tok wan,” kata Asri sambil membetulkan beg sandangnya. 

“Ala… Asri, singgahlah makan dulu. Tok jang masak gulai lemak cili api ikan sepat,” pujuk Su.

Tok wan tarik tangannya. Hendak tak hendak dia turutkan juga. Su dan Tok jang sudah sibuk menghidangkan makanan di atas tikar mengkuang. Tok wan pula sudah menyelinap ke dalam biliknya. Asri yang barusan keluar dari bilik air duduk bersila di tepi tangga yang memisahkan antara ruang tamu dengan dapur.

Dalam diam Asri melihat tingkah laku gadis yang sentiasa dinantikan kehadirannya.

“Asri, sini,” arah tok wan tiba-tiba. “Isk, bermimpi pulak dia. Makan Asri, rezeki depan mata,” ajak tok wan.

Asri kerling jam di pergelangan tangan kirinya. Kecur air liurnya melihat makanan yang terhidang di depan mata. Lantas teringat keluarganya. Teringat pesanan emaknya tentang barangan dapur yang sudah semakin surut.  Asri pejam mata. Nasi di dalam mulut dikunyah lemah.

Selesai makan. Dia tidak terus pulang. Tok wan mengajaknya ke atas ruang tamu. Ditinggalkannya Su dan tok jang mengemas pinggan mangkuk yang mereka makan sebentar tadi. Asri duduk di tepi pintu yang terbuka luas. Sementara menunggu tok wan yang masuk ke bilik. Sekali lagi Asri menghisap rokok.

“Asri,” panggil tok wan. Kelam kabut Asri memadam api rokoknya. “Ambillah, buat belanja,” kata tok wan. Asri pandang tok wan. Anak matanya meluncur turun ke tangan tok wan. Dua keping kertas berwarna biru direnung. Lalu diambil dan disimpan ke dalam poket seluarnya. Dia salam tangan orang tua itu. Meminta izin untuk pulang. Tiba di pintu dapur, dia terdengar suara halus memanggilnya.

“Asri, nanti kejap,”arah gadis itu lagi.

Dia menoleh memandang gadis itu. Kaki yang tadi mula mengatur langkah, terhenti. Sebaris senyuman terukir di bibir gadis itu. Manis. Pejam celik matanya memandang gadis yang sedang berjalan menghampirinya.

“Asri, tadi tok wan kata… awak baru je sebut nama saya. Ngumpat eaa?” soalnya sambil tersengih lalu menjuihkan bibirnya yang mongel itu.

Asri membalas dengan ketawa kecil. Sambil membetulkan beg sandangnya dia membalas pertanyaan si manis itu.

“Mana ada. Saya tanya awak… balik sini tak? Tok wan cakap dia pun tak tahu. Alih-alih awak dah ada depan mata kami.”

“Ooo… baiklah. Saya percaya,” akur si manis lagi.

“Terima kasih. Saya balik dulu ya. Yang di atas tu, dah semacam nak menangis,” sambil mengacungkan jari telunjuknya ke atas. Gadis manis di hadapannya tersenyum lagi.

Awan yang berarak kelihatan mendung. Angin yang tadi sesekali menyapa, kini semakin ganas menyerbu. Asri langkahnya semakin laju. Air mata langit menitik satu persatu di atas baju. Asri berlari. Laju dan maju. Namun, nafasnya tiba-tiba turun naik. Dadanya berombak kencang. Batuk menyerang. Kuat. Terhenjut-henjut badannya dalam kebasahan.

Langkah semakin lemah. Tangan kanannya ditekapkan ke dadanya. Dia bulatkan hati. Anjung rumahnya sudah kelihatan. Di hadapannya kelihatan adiknya Aju menanti menyambut kepulangannya dengan kerisauan.

“Abang, abang sakit lagi. Cepat masuk dalam bilik. Nanti Aju ambilkan minyak angin. Cepatlah, sebelum mak nampak,” arah adiknya.

Segera Asri menuju ke dalam biliknya. Baju dibuka, kain pelekat segera disarungkan ke badannya. Baju sejuk yang sering digunakan segera pula dia menyarungnya. Batuknya semakin menjadi-jadi.

Dengupan jantungnya semakin kuat berdenyut. Dia memejam mata menahan sakit. Ya ALLAH, kabur pandanganku. Adik, cepat adik. Dada abang sakit…’ rayunya. Dia rebah di sisi katil. Saat adiknya melangkah ke pintu bilik, dia sudah terjelepok di situ.

“Makkkkk!”

Hospital Besar Kuala Kubu Baharu. Selangor

             Asri tersedar dari lenanya. Mungkin dari kesan ubat yang disuntikkan ke badannya sejak semalam membuatkan dia lemah. Dia pandang kiri kanan. `Su…’ detik hatinya. Di penjuru katilnya kedengaran suara tok wan.

            “Aku ni Kiah, dah habis segala daya dan upaya memujuk. Tapi, tulah… masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Ikut tekak dia aje. Kau tengok sekarang. Dia juga yang sakit,’ rungut tok wan kepada emaknya. Tok jang diam tak terkata.

            Sambil mengesat air mata, emaknya bersuara. “Entahlah tok wan, ayahnya dulu mengidap sakit yang sama. Kini penyakit TIBI ni dah berjangkit kat anak dia pula,” sayu suara emaknya.

            Dia mendengar. Dia sedih. Semua orang tidak tahu kenapa dia merokok. Dia kecewa, kenapa dia tidak dapat melanjutkan pelajarannya. Perlahan-lahan dia merapatkan kelopak matanya. Sesaat dia kembali terbayang kisah lalu.

            “Mak, abang dapat sambung belajar ke tingkatan enam. Boleh tak mak, abang nak sekolah lagi,” pintanya ketika dia menolong emaknya meraut lidi kelapa untuk dijadikan penyapu lidi.

            “Abang, kita orang susah. Kalau abang sekolah, siapa nak tolong mak cari duit. Tu, adik kamu pun masih lagi sekolah. Kalau kamu ada, boleh tolong ringankan beban di bahu mak ni. Sekurang-kurangnya tolong tok wan tu, menoreh getahnya. Ada juga hasilnya,” ngomel emak panjang lebar.

            Jelu hatinya dengan kenyataan emak. Tanpa pamitan dia lantas membawa diri turun ke tanah. Basikal tua peninggalan abah dia usung ke laman. Mula mengayuh tanpa mengabah. Sehinggalah dia bertemu rakan-rakannya yang lain, yang senasib dengannya. Tanpa disuruh dia menghampiri mereka yang sedang leka dengan kepulan asap menerawang di hadapannya.

            “Asri, nah! Ambillah sebatang. Hisap, aku tahu kau lagi runsing. Sudahlah Asri. Cari kerja, cari duit poket sendiri sudah. Tak payah nak penat-penat fikir pasal sekolah,” kata kawannya.

            Dia pada mulanya bena tak bena akhirnya terpengaruh juga. Sejak itulah dia semakin seronok dengan kawan-kawannya. Dari sebatang kini merangkak sekotak. Dari gelisah kini semakin jinak pula dia membantu tok wan. Langsung tidak fikirkan lagi mengenai impiannya. Namun apabila sesekali keinginannya datang melangit, rokok itulah yang akan disedutnya bagi mengusir ingatannya.

            Semenjak mengenali benda itu, badannya sering kali lesu dan tidak bermaya. Batuknya pula semakin parah. Hingga kadang-kadang batuknya mengeluarkan kahak yang keperangan warnanya.Tok wanlah yang banyak membantunya membawa ke klinik. Kerana sering sakit dan batuk yang tidak henti-henti dan kedegilannya mendengar nasihat tok wan. Akhirnya inilah hadiah yang dia kecapi. Air matanya mengalir. Dadanya berombak dan semakin kasar batuknya kedengaran.

“Asri, Asri. Bangun. Duduk Asri, minum ubat ni,” arah Su yang sedari tadi berada di sebelahnya. Kelihatan emaknya dengan wajah kerisauan. Begitu juga dengan tok wan dan tok jang. Adiknya Aju pun turut berada di situ. Di sisinya.

Dia yang mendengar arahan si manis mula mengerakan tubuhnya, ingin duduk. Si manis yang melihat tanpa segan-silu membetulkan duduk si jejaka. Sambil itu sempat pula si manis memberi nasihat.  “Asri, saya nak cakap dengan awak ni. Mungkin agak pedas dan menyakitkan. Tapi saya tak peduli, saya nak cakap juga. Jauhilah rokok, Asri. Apa yang awak dapat dengan semua ni?” soalnya.  “Asri, dengar ni.  Cinta ibarat sepotong kek aiskrim coklat. Enak dan manis. Rokok pula, bagi saya cuma sekadar mendapat asap dan abu. Jadi, awak pilihlah. Kek atau rokok?”

            Terkulat-kulat Asri yang dipembaringan memandang gadis itu di hadapannya. ‘Kek, rokok, cinta,’ getusnya. “Isk! Peninglah. Cinta dan kek dia samakan dengan rokok,” rungutnya lagi.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan