Jumaat, 6 Februari 2015

JEBAT ~ HERO HIKAYAT CINTA bab 3

BAB 3



Usai solat maghrib, Dira ke dapur menolong emaknya menyediakan makan malam untuk mereka sekeluarga. Ayahnya baru saja pulang daripada kerja, manakala abangnya masih di hadapan, menonton televisyen. Setelah siap semua terhidang di atas meja, dipanggilnya mereka, sebelum dia sendiri menghilangkan diri ke dalam bilik.
           
Mereka begitu faham dengan perangai Dira. Mana mahunya makan malam dan abangnyalah yang menjadi mangsa menghabiskan lauk-pauk itu. Dira yang berada di pintu bilik bergerak ke ruang tamu; menjengah- jengah ke luar rumah apabila seakan terdengar namanya diseru-seru. `Isk… maghrib pun tak habis lagi,  dah nak menakutkan  aku’ ngomel Dira sendirian. Melingas matanya.

“Oii! Akulah Aizat,” seru Aizat sekali lagi. Terkejut Dira bukan main. `Buat apa pulalah mamat ni… dah malam pun nak ganggu orang kah?’ sekali lagi dia bersuara perlahan.

“Dira, sinilah. Tolong aku. Pasal pementasan  tu…” rayu Aizat.

“Ya, sabarlah… nak tutup dulu televisyen ni. Membazir elektrik pula nanti,” balasnya. Lantas, tangan Dira sudah menekan suis yang menyambungkan televisyen. Sedang dia terjengket-jengket menuju ke beranda rumah, terdengar suara parau berdehem.

“Dira, dengan siapa pula kamu bercakap tu?” tanya ayahnya dari arah dapur.

“Dengan Aizat, ayah… kami kat beranda rumah ni,” balas Dira dengan lantang sambil melangkah ke beranda. Terhenti langkahnya kala suara ayah kedengaran semakin nyaring.

“Dah malam ni. Tak boleh tunggu esok ke?” separuh amaran separuh sindir daripada ayahnya. Dira terdiam. Tidak tahu hendak menjawab. Ada sahaja yang tidak kena pada mata ayahnya jika Aizat bertandang ke rumah.

“Dira…cepatlah,” gesa Aizat yang tak sabar di luar rumah. Dira melangkah lemah menuju kepada Aizat. Hanya berbaju t-shirt dan berseluar trek, Dira memerhati wajah monyok di hadapannya. Seperti berat sungguh beban yang ditanggung Aizat waktu itu.

“Mengapa, kanda… wajahmu bermuram begitu rupa? Hingga seram tubuh dinda melihatnya,” mendayu suara Dira menyoal dalam gaya bahasa berima. Bukan main lagi tangannya tergawang-gawang di udara.

“Isk… kau ni, aku serius tau tak? Kau buat lawak bolehkan. Aku taulah, aku tak cekap. Menghayati watak kah, buat mimik muka kah. Nak… nak, masa bersandiwara dengan kata-kata cinta…” keluh Aizat yang masih lagi berdiri di anak tangga.

“Kalau ya pun, naiklah dulu. Kerusi kat beranda rumah aku ni banyak. Pilih yang mana nak duduk. Lepas tu barulah bercakap… tenang gitu,” pelawanya sambil berseloroh.

Dia masih tersenyum dan dalam waktu yang sama hairan dan bertambah pelik dengan sahabatnya itu. Ditenungnya wajah Aizat dalam simbahan samar cahaya lampu jalan. Dalam diam dia mengakui dirinya dan Aizat bagai hempedu lekat di hati. Acapkali bila Aizat susah hati atau menghadapi masalah, pasti dirinya yang akan dicari. Begitulah sebaliknya, mereka akan mencari antara satu sama lain untuk melepaskan tekanan yang dihadapi. Sekali lagi dia mencuit bahu Aizat dalam masa yang sama bahunya dijongketkan.

Sambil meramas rambutnya yang tebal tersisir rapi,  pemuda akhir sembilan belas tahun itu meluahkan isi hatinya. “Bukan apa Dira, minggu depan kan latihan teater…”

“Kenapa dengan minggu depan? Kau tak yakin kah? Cuba terangkan kat aku, bahagian mana yang buat rasa susah sangat tu?” belum habis diluahkannya,  Dira terus memotong kata Aizat.

“Itu, okay Dira. Cuma bila masa kita berpadu suara tu… aku tak yakin boleh menjiwai atau tak? Lagi satu… suara ni, bukannya merdu pun. Hendak samakan dengan suara Jamal Abdillah, pulak tu. Lagilah jauh panggang dari api,” terang Aizat sambil menunjukkan anak tekaknya.

Ketawa Dira mengekek hingga terlimpah butir-butir mutiara. Cepat disekanya dengan hujung jarinya. Aizat menarik muka empat belas sambil menjuihkan bibirnya. Dalam masa sama memalingkan wajahnya mengintai waktu yang terlekat di dinding ruang tamu rumah Dira.

“Aizat, apa kata kalau esok pagi… kita pergi berjoging. Itu salah satu aktiviti menambah stamina bila berlagu nanti,” cadang Dira.

Mengalih pandangan tanpa sebarang jawapan. Dia terdiam. Tidak tahu apa yang terlintas di fikiran Aizat. Tin biskut yang sedari tadi berada di atas meja di beranda rumah segera dicapainya. Lalu dibuka penutupnya dan mengambil sekeping biskut lemak manis, langsung dihulurkan kepada Aizat. Dalam diam huluran itu disambut dengan senyuman.

“Biskut saja kah? Milo kah, kopi kah, tak ada? Pergilah ambil, dari tadi bersembang dah naik  kering  tekak aku ni. Dah macam Gurun Sahara dah ni!” Arah Aizat tanpa rasa malu. Merah merona wajah Dira dibuatnya. Kelam kabut dia bangun dan terus menuju ke dapur. Di pertengahan jalan bertembung pula dengan Abang Nazim. Daripada lagak abangnya itu, dia sedar kunjungan hormat Aizat itu tidak disenangi olehnya.

“Ke mana…?” tegurnya dengan wajah kelat.

“Dapur, ambil air,” jawab Dira acuh tak acuh.

Sedang dia membancuh air di dapur, terdengar suara bertingkah. Meskipun sayup-sayup, dia tahu suara itu milik siapa. `Aduh! Mereka berdua ni… memang tak boleh jumpa. Ada aja hal yang hendak dibawa bergaduh,’ ngomel Dira lagi. Air yang telah siap ditatangnya keluar.

“Abang! Dengan Aizat pun nak bergaduh ke? Malam ni tajuknya apa pulak?” soal Dira sambil menghulur air kepada abangnya dan juga Aizat.

“Tajuknya, nak tahu ke?” Belum sempat Dira menjawab, “tajuknya Tak Malu Datang Rumah Anak Dara Orang Malam-Malam,” sambung Abang Nazim lagi sambil menghembus asap rokoknya ke muka Dira. Muka Dira menjadi merah. Malunya pada Aizat dengan keceluparan abangnya itu tidak tergambarkan. Mahu disorok sahaja mukanya.

“Apa abang cakap ni?” Dira terasa membahang dengan sikap abangnya. Abang Nazim berdiri mendekati Dira.

“Betul apa. Kau tu anak dara. Nanti tak manis orang tengok berdua-duaan kat beranda rumah pula tu. Nanti orang kata mak ayah tak pandai jaga anak.”

“Kami tak buat apa pun. Bincang pasal teater dan nak pergi jogging aja,” bentak Dira tak senang hati melihat sikap abangnya. Malah, bertambah malu mahu menghadap muka Aizat. Aizat pula sudah mula menggaru kepala yang tak gatal pun.

“Macamlah orang kampung nak tanya kamu bincang apa? Mulut mereka bukan boleh ditutup,” balas Abang Nazim

“Abang, saya takkan usik Dira…”

“Aku cakap dengan adik aku. Kau jangan masuk campur. Dan kau pula Dira, kau tu tanggungjawab aku. Jaga kehormatan keluarga sikit. Macamlah kamu tu budak kecil lagi,” tegur Nazim berbaur amaran. Telunjuknya mengarah ke arah Aizat dan matanya membutang.

“Dahlah Dira, senak perut aku dengan ceramah malam-malam ni. Aku balik dululah. Esok pukul berapa?” soal Aizat.

“Lebih kurang pukul tujuhlah, kau datang sini dulu. Lepas tu baru kita joging,” terang Dira. Langsung tidak mempedulikan kata-kata abangnya. Dia tahu dia tidak melakukan kesalahan apa pun. Mengapa harus berasa takut? Aizat terus meninggalkan mereka dua beradik tanpa pamitan. Geram sungguh dia dengan sikap Nazim. Entah mengapa abangnya itu selalu tidak setuju angin bila melihat Aizat bersama dengannya.

“Abang! Kenapa buat macam tu. Salahkah kami nak berbual? Bukan bual kosong pun? Ni fasal teater muzikal kat sekolah,” terang Dira saat melihat pandangan mata abangnya menikam tajam.

“Tak habis-habis dengan teater. Keputusan STPM esok-esok ni, tak tahulah tu berapa.” sindir abangnya.

“Insya-Allah, abang. Dira yakin, akan lulus dengan cemerlang. Tak usahlah abang risau. Cuma satu aja, abang jangan buat Aizat macam musuh. Kitakan dah lama berjiran. Takkanlah kerana cinta tak sampai, habis semua orang abang marahkan,” tegur Dira.

Terdiam Nazim. Ditenung wajah mulus di hadapannya. Dira, adik yang satu-satunya menjadi harapan keluarga agar dapat menyambung pengajian ke menara gading. Itulah harapan mak dan ayah. Dira telah lama menghilang ke dalam rumah, yang kedengaran hanya suara dari corong pembesar suara televisyen. Tidak pasti siapa yang menontonnya. Nazim masih lagi di luar. Kata-kata adiknya sebentar tadi terus membuai rasa. Satu-demi satu kenangan itu kembali terbentang di hadapannya.

Watie, Rosmawatie. Suatu masa dahulu pernah bermukim di hati. Cinta sejak zaman sekolah. Hanya Watie, idaman hati. Bertahun lamanya cinta bersemi. Segala lafaz janji termaktub dalam satu ikatan suci. Namun tidak siapa menduga. Cinta tiba-tiba beralih arah. Ikatan pertunangan diputuskan.
Walaupun dia menerima dengan hati yang terbuka, namun masih ada kesan yang terpalit di jiwa. Luka yang tiada parutnya. Luka yang tidak tampak di mata. Cuma hati dan perasaan menanggung derita. Namun terkadang masih meramas jantungnya. Masih terbayang diingatannya, setiap awal bulan dia akan ke Bandar Kangar menghiburkan buah hati yang tersayang.

“Watie, abang kerja kilang aja. Harap Watie sudi terima abang seadanya. Kita bertunang dulu ye,” tutur Nazim lembut sambil mengunyah mee goreng yang masih panas berasap.

“Watie tak kisah bang. Cuma Watie risau mak dan ayahlah. Bukan abang tak tahu sikap ayah Watie? Bila datang angin puting beliung habis semua berterbangan. Tambah pulak dia memang tak suka kita berkawan sejak sekolah lagi.” balas Watie.

“Sabar Watie, selagi kita jujur sesama kita. Ikhlas dalam perhubungan, abang yakin impian kita pasti nyata. Doakan sahaja,” lirih Nazim bersuara sambil menyedut teh ais yang sudah cair aisnya.

Merenung bulan yang mengambang, diri menjadi bimbang. Hingga kini masih bujang, sedangkan Watie sudah punya anak sepasang. Sesekali bila pulangnya Watie ke kampung, Nazim pasti menghilang. Tidak sanggup dia melihat insan yang pernah disayanginya bermesra di hadapan mata.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan