Jumaat, 6 Februari 2015

JEBAT ~ HERO HIKAYAT CINTA bab 4


BAB 4



Dira yang sedari tadi mematikan dirinya, tatkala melihat abangnya mengelamun jauh turut bersimpati dengan nasib abangnya. Memang pada mulanya keluarga mereka marah juga kepada keluarga Aizat. Senang-senang memutuskan pertunangan anak mereka dengan abangnya tanpa sebarang alasan, sedangkan mereka bercinta dan suka antara satu sama lain. Dira hingga kini tidak mengerti kenapa semua itu berlaku. Doanya semoga suatu hari nanti abangnya bertemu pengganti.

“Abang, abang… sudahlah merenung bulan. Takkan jatuh walau abang memanahnya,  yang pergi tu biarkan. Bunga bukan sekuntum bang…” tegur Dira sambil mencuit bahu abangnya yang berusia dua puluh lima itu. Terperanjat Nazim.

“Dira ni, suka buat abang terkejut tau, mujur tak terbakar abang,” balas Nazim sambil mengibas habuk rokok di atas riba sambil membuntangkan matanya.

“Abang, janji dengan Dira… jangan marah-marah kat Aizat lagi. Kami satu sekolah, satu kelas… dahlah dia tu tak ramai kawan. Kawan dia cuma Dira aja, yang tinggal di kampung ni, bang,” bicara Dira perlahan.

Nazim renung wajah adiknya. Adik yang dia sayangi, bimbang dia kalau Dira  menerima nasib yang sama. `Apakah adiknya itu sekuat dirinya? Isk… yang aku fikir pasal mereka kenapa? Tak nampak pun mereka macam orang bercinta?’ Ngomel Nazim sendirian.

“Dahlah dik, pergilah masuk tidur. Dengar kata kau nak joging esok kan?”  kata abangnya. Dira membalas kata-kata abangnya dengan senyuman. Mak dan ayah sudah lama menghilangkan  diri dalam bilik tidur mereka.

“Abang… jangan berembun lama di luar. Nanti tolong tutup lampu dan jangan lupa kunci pintu rumah,” pesan Dira sebelum dia juga menghilangkan diri ke dalam bilik.

Di dalam bilik, Dira seperti cacing kepanasan. Entah kenapa dia juga tidak selesa dengan teater muzikal kali ini. Kisah percintaan Penyair Bidasari yang hanya sebagai teman pengiring Tuan Puteri Lemah Gemalai yang akhirnya jatuh cinta dengan panglima yang dikenali ramai sebagai Hang Tuah. ‘Hang Jebat ~ Hikayat Sri Cinta’ Itulah tajuk pilihan mereka tahun ini. `Apakah benar Hang Jebat hero di hatiku? Arhhh…’ rengus Dira dalam hati.

Rasa cinta yang mekar di hatinya kala rindu jika tidak bertemu.  Apakah disebabkan meraka membawa watak itu, hingga timbul perasaan sayang dalam diam? `Arhhh, entah-entah aku sahaja yang rasa begitu. Orang di sana entah apa yang difikirkan.’ Tersenyum Dira sendirian.

Dira masih lagi termenung di meja tulisnya, bangun dan melangkah menuju ke jendela. Daun jendela lalu dibuka seluas-luasnya. Menderu angin malam menerjah wajahnya. Dalam kepekatan malam, Dira mendongak melihat bulan, seakan tersenyum melihat dirinya. `Oh bulan, apakah benar bunga kasih mulai tumbuh dalam hati ini?’ soalnya.

Melirik ke arah jam dinding di biliknya, Dira kembali menutup jendela rapat-rapat. Menghayun langkah menuju ke pembaringan, merebahkan tubuhnya ke tilam empuk sambil meluruskan kakinya dan merenung siling biliknya yang mulai kekuningan warnanya. Semakin lama kelopak matanya semakin rapat terkatup.

Enak Dira dibuai mimpi, tersedar bila kedengaran pintu bilik diketuk dari luar. kelam kabut Dira bangun dan menuju ke pintu bilik. Tercongok mak di depan muka pintu. Terkebil-kebil Dira melihat emaknya tersenyum sambil mengosok kedua-dua matanya dengan telapak tangan. Dira bersuara.

“Mak, kenapa kejutkan Dira pagi-pagi ni… Dira cuti. Uzur mak…” rengek Dira manja.

“Dira lupa ya. Semalam, janji apa dengan Aizat?” soal Mak Tom. . “Dah! Pergi siap. Aizat ada kat luar tu,” sambung emaknya lagi.

Mak Tom terus meninggalkan Dira yang masih lagi kebingungan. Menggaru kepalanya dan kembali masuk ke dalam bilik, mengambil tuala dan terus menuju ke dapur. Dira melihat ayahnya sudah bersiap-siap untuk  keluar bekerja.  Begitulah ayah, tak pernah kenal erti lelah. Selagi boleh berkerja, selagi itulah dia akan bekerja. Ayah hanyalah pemandu teksi. Tersenyum Dira melihat ayahnya. Tersenyum bangga Pak Samad dengan anak gadisnya. Cantik. Persis muka isterinya.

Pak Samad bersuara, “awal pagi dah nak keluar? Nak ke mana, ni?” soal Pak Samad dalam masa yang  sama menghirup baki kopi di dalam cawannya.

“Nak pergi joging ayah, dengan Aizat,” jawab Dira jujur.

“Tak habis-habis dengan budak Aizat tu. Apa, dah tak ada kawan lain ke kamu ni, Dira?” soal ayah, sedikit meninggi suaranya. “Ayah tak sukalah, kau berkawan rapat dengan budak lelaki ni, Dira. Lebih-lebih lagi dengan budak Aizat, tu…” sambung ayahnya lagi.

“Kawan perempuan pun ramai, ayah. Tu… Dayah, Liza, Yati dan dua tiga orang lagi,” jawab Dira. Masih lagi berdiri menghadap ayahnya.

“Dah tu! Kalau dah ramai kawan perempuan, kenapa lelaki itu juga yang tercegat kat depan rumah ni?” soal ayah lagi, wajahnya mencuka.

“Biarlah bang, biarlah Dira ni berkawan dengan sesiapa pun. Esok-esok ni dah dapat keputusan peperiksaannya, masing-masing pasti akan membawa haluan mereka. Tak jumpa juga nanti,” terang emaknya kepada ayah. Sayu hati Dira apabila mendengar ucapan yang lahir dari emaknya. Belum terfikir yang dia dan Aizat akan berpisah. Seangkan baru semalam dia baru sahaja menyimpan angan-angan untuk sentiasa bersama.

“Tak tahulah aku, Dira. Sebelum tidur, muka dia yang aku nampak? Bangun tidur pun, muka dia juga yang aku tengok? Apa, dah tak ada budak lelaki lain ke kat kampung kita ni!” dengus ayah sambil menggeleng tidak puas hati. Berubah air muka Dira. Kendur wajahnya apabila mendengar leteran serta soalan dari ayahnya. Tanpa memberi jawapan, dia terus menuju ke bilik air.

Segera Dira berlari-lari anak menuju ke biliknya. `Ala kadar sudah,’ bisik Dira dalam hatinya. Sempat lagi dia membuka jendela. Menjenguk ke luar, dapat dia melihat susuk tubuh sahabat baiknya itu. `Tak sangkakan Aizat, dari kecil kita berkawan. Dah besar kau… tampan pulak tu.’ Lagi sekali hati Dira berkata sambil tersenyum bangga.

“Maaf ya, Aizat. Lambat bangun. Mujur mak kejutkan,” terang Dira. Sehabis mungkin cuba dia sembunyikan wajahnya yang lagi berduka di atas kata-kata ayahnya tadi.

“Tak apa… janji dapat berjoging bersama Dira,” balas Aizat. “Jom, Dira…” ajak Aizat.

“Nanti jap Aizat. Dira hendak tunjuk sesuatu yang istimewa sangat. Tertumpah kasih Dira tau, kat dia…” terang Dira sambil berjalan menuju ke dapur.

Dira kemudian datang kembali sambil di tangannya terdapat sebuah kotak. Hairan Aizat. Namun apabila Dira menunjuk kepadanya isi di dalam kotak itu, Aizat turut tersenyum.

“Cantiknya Dira, tengok warna matanya… biru,” terang Aizat lagi sambil tangannya meraba-raba bulu anak kucing itu. “Siapa nama dia?” tanya Aizat lagi.

“Entah, tak terfikir lagi? Aizat ada cadangan tak?” soal Dira.

“Apa kata kita namakan dia Boboy?” jawab Aizat laju.

“Baiklah, senang nak panggil, kan… Boboy,” balas Dira tersenyum riang.

“Jom…” ajak Aizat sekali lagi, sambil menarik tangan Dira tanpa sedar. Terhoyong-hayang Dira mengimbangi badannya.

“Nantilah Aizat, Dira pergi simpan Boboy ni,” pinta Dira sambil meninggalkan Aizat di luar rumah. Seketika kemudian Dira kembali menghampiri Aizat. Aizat membiarkan Dira memakai kasut jogingnya.

Aizat mengikut Dira dari belakang. Jelas tergambar keriangan di wajah Aizat. Biarpun letih namun masih mampu tersengih memandang Dira yang ketinggalan di belakang. Angin pagi yang dingin, suara unggas menyanyi merdu membuat Dira terfikir sesuatu. Menghampiri Aizat yang sedang duduk di kerusi, dia mendepangkan tangan sambil menghadap ke arah bukit dan menjerit, “ Sayaaaa! Bahagiaaaa!” jeritnya sekuat hati.

“Wey… Dira, kau cakap apa tadi tu?” soal Aizat. Lalu bangun dan mendekati Dira yang masih belum habis dengan senaman ringannya.




Dihayunkan kedua tangannya ke atas dan ke bawah. Berlari-lari setempat, sehingga Aizat yang tadinya diam berdiri turut mengikuti pergerakan Dira. Selang beberapa minit, Dira dengan perlahan-lahan memberhentikan pergerakannya. Melepaskan lelah nafasnya dan mula melabuhkan punggungnya di kerusi yang telah tersedia ada.

“Aizat, mulai hari ini… aku rasa kau kena kurangkan minum minuman sejuk,” cadang Dira termengah-mengah.

“Alaaa, kenapa pula?” tanya Aizat ringkas. Anak matanya tidak lepas memandang Dira.

“Ya laa, supaya nafas tu tak semput. Tak terbatuk-batuk bila berlagu,” terang Dira, dalam masa yang sama terus bangun dan memulakan langkahnya semula. Dira masih bersemangat untuk meneruskan larian. Namun ditahan oleh Aizat. Butir-butir jernih jelas kelihatan di dahinya. Perlahan-lahan mengalir membasahi raut wajahnya. Dira yang sudah biasa berjoging ketawa melihat Aizat yang keletihan. Masakan lari yang tidak sampai satu jam sudah kelihatan tidak berdaya. Sedangkan dirinya masih bertenaga.

“Kenapa? Dah semput. Baru saja lari. Tak sampai satu jam pun. Tu… Gua Kelam pun jauh lagi,” tegur Dira sambil mengatur langkah perlahan-lahan.

Aizat yang mengikuti dari arah belakang, tidak bersuara. Cuma melangkah perlahan. Dibiarnya rakan sekelasnya itu di hadapan. Dia harus kuat seperti semangat Dira. Berlari-lari anak, Dira sempat berlagu. Lagu untuk teater muzikal mereka. `Boleh tahan juga suara budak ni,’ bisik Aizat dalam hati.

Melihat keadaan Aizat yang semakin jauh ketinggalan di belakang. Dira memperlahankan lariannya. Indah terasa waktu pagi begini. Apatah lagi berada di lereng bukit Gua Kelam. Sawah padi yang luas terbentang saat padi masak menguning, begitu ceria sekali. Di bahu jalan Dira melabuhkan punggungnya sambil bernyanyi, lagu yang bakal mereka dendangkan nanti.

`Pergilah kandaku sayang
Pergilah nyawa
Dinda tetap menanti penuh setia
Demi ibu pertiwi
Perjuangan kanda
Dinda doa sejahtera
Dan berjaya….’

Tanpa disangka Dira, sambil berdiri mendepangkan tangannya, Aizat menyambung lirik lagu itu dengan penuh semangat. Melemparkan pandangan terus ke tengah sawah. Suara yang lantang dan jelas begitu terkesan di hati Dira.


`Pilu sebak dada
Meninggalkan dinda bersendirian
Namun aku berjanji
Engkau dewi
Sanjungan di jiwaku…’

Sehabis mungkin Aizat berlagu, menjiwai watak. Dira yakin teater kali ini akan meletup seperti tahun-tahun yang lepas. Dira kembali bangun bila Aizat menghabiskan senikata lagu itu.

“Okay pun suara tu…” tegur Dira.

“Okay ke macam tu… betullah cakap Dira. Rasa puas bila Aizat laungkan tadi. Wah… macam ni tiap-tiap minggu kita kena berjoginglah ya,” balas Aizat sambil menyeringai berlari meninggalkan Dira.

“Aizat! Nak pergi mana lagi tu? Jomlah balik. Dah jauh kita ni…” laung Dira bila melihat Aizat dengan lagak seorang pelari handalan meninggalkannya.










Tiada ulasan:

Catat Ulasan