Jumaat, 6 Februari 2015

JEBAT ~ HERO HIKAYAT CINTA bab 7

BAB 7.




Terlalu berhati-hati agar tidak menyinggung baginda Raja Iskandar atau seisi istana Kerajaan Temasik. Sebaliknya, Raja Iskandar sudah bangun serta-merta. Begitu juga dengan barisan panglima diraja.

            “Apa maksud Hang Tuah berkata begitu? Menuduh beta memungkiri janji?” lantang suara Raja Iskandar menyoal. Keris di pinggang sudah berada di genggaman. Lalu, keempat-empat saudara Hang Tuah sudah membulat laku. Bersedia dengan tangan kukuh menggenggam keris yang melekat di persalinan.

            “Bukan maksud patik menuduh tuanku. Patik pacal yang hina ini, hanya ingin mengingatkan tuanku kepada kejadian sepurnama lamanya…” jelas Hang Tuah sambil menatap wajah Raja Iskandar.

            “Kalau bukan memungkiri janji, sekarang Hang Tuah menuduh beta pelupa, hilangan ingatan atau sudah nyanyuk? Begitu?” soalan Raja Iskandar itu berbunyi tegang.

Semakin tegang kala soalan itu disambut oleh hilai tawa rakyat jelata. Meremang bulu roma Hang Tuah, menebak kemungkinan yang bakal terjadi. Tak sempat Hang Tuah membuka bicara, menjelaskan jatuh duduknya perkara, Bendahara sudah berada di hadapan mereka.

Bersama angkatan panglima dan hulubalang satria. “Hei Hang Tuah! Kenapa bermulut celaka pada baginda Raja. Suka hati laksamana berkata-kata. Mengguris hati Raja dan para seisi istana.”

“Bukan niat patik…”

“Sudah cukup berkata-kata. Sekarang hunus senjatamu dan mari bertikam. Apa laksamana ingat kami anak pengecut. Tak mungkin kerana kalian berlima kami boleh menang. Bahkan angkatan kami pun sudah memadai,” laungan seorang satria di belakang Bendahara disambut dengan tempikan pedang, keris dan tombak.

Sudah mengelilingi lima bersaudara. “Kanda Tuah, usah berkata-kata lagi. Mereka tidak akan faham,” jerit Hang Jebat, yang sudah menghunus senjatanya. Juga diikuti oleh saudara yang lain. Lalu, Hang Tuah berundur, bersama angkatan saudaranya.

 “Tuanku, biar patik tangkap si bedebah ini. Begitu biadab sekali. Menjatuhkan air muka tuanku di khalayak ramai,” pinta Bendahara berdatang sembah.

Raja Iskandar sudah dibayangi murka. Wajahnya sangat tegang. Dengan isyarat tangan dan anggukan, kelima-lima bersaudara terus menguatkan langkah kaki. Silat mula berbunga, kala Bendahara menitahkan para hulubalang menangkap mereka. Lalu, berlagalah keris dengan keris. Parang ditetak, sedaya upaya mahu ditepis.

  Tombak yang terlalu panjang, dikhuatiri membolos di sana sini. Hang Tuah melompat tinggi, Hang Jebat berguling mempertahankan diri, Hang Kasturi memekik menaikkan semangat, Hang Lekir mengibas-ngibas tubuh sendiri, dek mengelak dari pelbagai tikaman, sedang Hang Lekiu menendang terajang sesiapa pun yang menghampiri.

“Jebat, bawa mereka ke luar!” jerit Hang Tuah kala pintu istana masih lagi terbuka. Itu sahaja peluang mereka memboloskan diri.

Mengerti perintah Hang Tuah, Hang Jebat memberi isyarat kepada Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Berlarian mereka sambil menikam-nikam ke setiap penjuru. Bendahara, laksamana dan para pembesar diraja yang lain sudah mula bertindak mahu menutup pintu istana. Hang Jebat yang sudah berada di luar istana, sempat menikam seorang pengawal. Darah memercik tidak dihirau. Perhatiannya masih kepada Hang Tuah yang seorang diri bertarung. Terasa tercabar maruahnya.

 “Pergi dapatkan kapal. Siapkan keberangkatan. Kanda Jebat dan Tuah akan menyusul kemudian,” arah Hang Jebat pada Hang Kasturi.

Dua bersaudara ini tidak berlengah-lengah lagi. Mereka harus pulang ke istana Melaka, membawa perkhabaran yang tidak enak sekali. Sebelum pintu istana tertutup, Hang Jebat berjaya memboloskan diri. Selepas berjaya mencederakan seorang pembesar istana. Melihat kemunculan Hang Jebat, Hang Tuah semakin marah.

“Mengapa tuan hamba berdegil sekali. Kanda sudah berpesan supaya melarikan diri,” sempat pula Hang Tuah menegur dalam kekalutan itu.

Siapa tidak kenal dua saudara ini. Sudah menikam, mencedera dan membunuh ratusan nyawa melayang. Sudah tak terhitung medan tempur dan peperangan. Apatah lagi, dengan keris Tamingsari, tiada siapa yang boleh melutkan luka pada kulit Hang Tuah sedikit pun. Keris kebal pemilik satria. Namun, kehadiran Hang Jebat menggusarkan jiwa. Hang Jebat sememangnya pahlawan terbilang. Tanpa pendinding dan kekebalan segala. Bermain senjata, menikam, membunuh sudah jadi mainan.

“Jebat pantang berundur tanpa Kanda Tuah bersama.” Laung Hang Jebat.

Entah kenapa, perhatiannya tersasar. Terlepas pandang kala tombak tertikam ke kaki. Lantas, memercik darah sendiri. Lalu, menyeringai wajah Hang Jebat menahan sakit. Melihat keadaan Hang Jebat, Hang Tuah jadi bertambah resah. Terus mendapatkan Jebat dan memimpin tubuhnya. Hang Jebat tak mampu berdiri. Sakitnya tidak terperi. Dicabut tombak itu oleh Hang Tuah. Meliar pula anak mata Hang Tuah mencari jalan keluar.

Sehingga anak mata, terpandangkan jendela istana yang terbuka luas. Tak semena-mena, tubuh Hang Jebat diangkat tinggi, lalu dicampak ke luar jendela. Tanpa menanti sesaat pun, Hang Tuah turut melompat sehingga mencecah tanah. Hang Jebat sudah terduduk, lalu dipapah Hang Tuah dengan segala kudrat yang ada. Berlarian mereka meloloskan diri menuju ke pantai, di mana tiga saudara lagi sedang menanti.

Hang Jebat menyeringai kesakitan tidak terperi. Kepada Hang Tuah disuruhnya pergi. Biar tinggal dirinya seorang diri. Terasa ajal maut semakin menghampiri. Hang Tuah tidak peduli. Dikendongnya Hang Jebat sekuat tenaga melangkah meninggalkan Kerajaan Temasik dengan penuh duka di dada. Kesal tidak terhingga, janji sering dilupai pabila tamak menguasi diri. Tidak menyangka begitu sikap Raja Iskandar.

Di belakang kedengaran derap kaki mengejar mereka. Langkah Hang Tuah semakin laju. Semakin menghampiri laut, terasa mengah namun digagahi juga. Kelibat Hang Kasturi muncul membantu mengendong Hang Jebat. Segera Hang Lekir menarik Hang Tuah naik ke atas kapal diikuti Hang Kasturi. Tanpa menunggu arahan, sauh di angkat. Layar dikibarkan… belayarlah kapal pulang ke Melaka.

Selama berlayar, Hang Tuahlah yang merawat luka di kaki Hang Jebat. Risau di hati melihat luka di kaki Hang Jebat. Doanya semoga perjalanan mereka tiada halangan. Tak sanggup melihat kerut di wajah adindanya menahan sakit.

BONDA Sri Siantan,yang masih lagi di dalam kamarnya berdiri  menjenguk dari jendela. Tersenyum melihat puterinya yang mula ceria setelah pulang dari melawat Hang Jebat siang tadi.

Penyair Bidasari lagi leka berada di buaian, tidak sedar Tuan Puteri Lemah Gemalai sedang memerhati dari belakang. Malah Bonda Sri Siantan yang perasan kelibat tuan puteri dengan pantas keluar lalu menunduk hormat kepada tuan puteri. Segera pula Penyair Bidasari turun dari buaian serta melakukan perkara yang sama seperti bondanya.
“Penyair Bidasari, jangan bersedih sedemikian rupa. Beta turut bersimpati  atas kejadian yang menimpa kepada  Hang Jebat. Kanda Hang Tuah turut sama berduka dan lagi merawatnya di kediaman Hang Jebat,” luah Puteri Lemah Gemalai.

            “Tidak mengapa, tuan puteri. Hamba baru sahaja pulang daripada melawatnya siang tadi. Alhamdulillah, lukanya kian sembuh. Mungkin seminggu dua lagi eloklah tu,” balas Penyair Bidasari penuh ceria.

            “Ayuh! Kita ke taman. Menghiburkan hati barang selagu dua. Sudah lama benar beta tidak mendengar alunan suaramu yang lunak merdu,” pinta Puteri Lemah Gemalai. Lantas menarik tangan sahabatnya.

            Memandang wajah tuan puteri. Timbul rasa hairan di dalam diri Penyair Bidasari. Dalam berduka masih disuruh bersuka-ria. Agenda apa yang tersirat di lubuk hati tuan puteri, tiba-tiba mengajak pula ke taman bistari. Terasa tangannya ditarik-tarik tuan puteri. Dalam diam berdiri berganjak juga kaki melangkah.

            “Bonda, bonda, anakanda dan tuan puteri keluar sebentar. Ingin ke taman… temani tuan puteri,” laung Penyair Bidasari.

            “Pergilah sayang, hiburkan hatimu…” balas Bonda Sri Siantan seraya menundukkan sedikit badannya di hadapan tuan puteri. Bangga dia dengan sikap tuan puteri yang gemar berkawan dengan anaknya.

            Sedang mereka bersenda gurau hingga tidak hirau keadaan di sekeliling. Ada mata yang mengintip penuh rasa kasih.  Tidak sabar ingin bertemu permata hatinya, kaki yang ingin melangkah terhenti pabila ada tangan yang menarik tangannya dari terus pergi bertemu buah hatinya.  Berpaling memandang ke belakang, senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya. Lalu bersuara dengan nada berbisik.
            “Hang Jebat, kenapa? Sebentar tadi bukan main lagi… merayu-rayu suruh bawakan ke taman. Diri masih belum pulih sudah tidak sabar ingin bertemu, suruh saja bondamu masuk meminang,” bisik Hang Tuah ke telinga Hang Jebat. “Tunggu di sini saja, tuan hamba…” arah Hang Tuah lagi.

            Hang Jebat akur. Akibat tikaman yang terkena di pehanya belum pulih. Masih terasa perit bila melangkah. Namun kerinduan yang semakin sarat di dada tidak dapat dibendung lagi. Lantas diluahkan kepada kandanya. Mujur Hang Tuah sudi membantu. Dipandangnya dari jauh, Hang Tuah bertemu dengan puteri kesayangannya.  Hatinya berdegup kencang tatkala terpandang Penyair Bidasari berdiri di sebalik tuan puteri.

            “Penyair Bidasari, sayang Puteri Lemah Gemalai. Buat apa di sini, petang-petang begini?” tegur Hang Tuah sambil meraih tangan puterinya.

            Penyair Bidasari juga Puteri Lemah Gemalai tidak menyangka akan bertemu dengan Hang Tuah di taman ini. Taman yang banyak menyimpan kenangan bagi mereka. Di taman inilah kasih mereka bersemi.

            “Mengapa Kanda berada di sini? Dengan siapa kanda ke mari?” soal Puteri Lemah Gemalai kepada suaminya. Tersenyum simpul penuh makna.

            Penyair Bidasari yang berdiri di sebelah tuan puteri mula melingas pandangannya. Seperti mencari sesuatu, hatinya berdebar tidak menentu. Terasa ada sesuatu yang sedang menunggu. Melangkah meninggalkan tuan puteri bersama suaminya. Dalam debar langkah tersusun menyusuri taman yang dipenuhi dengan bunga-bunga mawar. Di hatinya tertanya-tanya apakah ini rancangan tuan puteri bersama suaminya? Langkah diteruskan.

            Seperti yang diduga, dari jauh kelihatan susuk tubuh yang amat dikenali. Buah hati yang sentiasa dirindui. `Sudah sembuhkah luka di kaki, hingga boleh berjalan hingga ke sini. Bukankah siang tadi masih berdarah dan bernanah?’ soalnya dalam hati. Hang Jebat tidak sedar Penyair Bidasari sudah berada di belakangnya. Timbul niat jahat di hati Penyair Bidasari ingin mengusik kekasihnya. Lalu diambilnya bunga rumput dan diacu-acu ke telinga Hang Jebat. Menepis-nepis tangan Hang Jebat beberapa kali hingga timbul gelihati kepada Penyair Bidasari. Sesekali Hang Jebat memandang ke belakang, segera pula Penyair Bidasari menundukkan badannya, terlindung dek balik pokok.

            “Duhai kekasih hati, andai engkau berada di belakangku segeralah kau menampakkan diri. Sebelum kanda datang menyerang,” usik Hang Jebat sambil bersuara lantang.  Akur dengan perintah, Penyair Bidasari muncul di hadapan kekasih hati. Namun di sebalik kata-kata tadi, tiada kegembiraan yang terukir di wajah Hang Jebat.

"Mengapa wajah Kanda Jebat bermuram sebegitu rupa. Tidakkah rasa gembira berjumpa hamba di sini? Apakah yang ada di sana, hingga pandangan melayang terus?" soal Penyair Bidasari. Tanpa menunggu jawapan terus duduk di sebelah kekasih hatinya.

"Tidak. Tidak ada sesiapa di sana. Rasa cinta Kanda Jebat ada di sini. Di hadapan mata. Bersinar bak bulan tidak tahu siang, bak mentari tidak sedar malam. Menyapa di kala lena. Mencengkam serata alam," lirih suara Hang Jebat. Memandang terus ke wajah kekasih hati. “Dengar sayang, pantun kanda…” kata Hang Jebat sekali lagi.

`Hati berkasih terasa indahnya,
Bagai berada di alam maya,
Mungkinkah cinta untuk selamanya,
Atau hanya seketika cuma.’
Tersenyum Hang Jebat memandang Penyair Bidasari, sengaja bermain dengan matanya. Sekali dua mengenyit hingga timbul kelakar di hati Penyair Bidasari.

“Mengapa begitu rupa wajah Kanda Jebat? Dengar pula jawapan dari hamba, ya.”

            `Bagai menari diiringi pelangi,
            Bersama gemersik kicauan serindit,
            Hati berkasih indah bersemi,
            Tidak terluak walau sedikit.

Muzik terus bergema di dalam dewan, tepukan gemuruh memenuhi suasana. Ketika itulah dendangan paduan suara Hang Tuah dan Puteri Lemah Gemalai kedengaran. Lagu latar yang dipetik daripada filem Hang Tuah terus memukau penonton.
           
Hang Jebat terus bangun dan memaut bahu Penyair Bidasari. Berjalan dengan langkah teratur. Kini giliran mereka pula. Berhenti melangkah, Aizat mengenggam tangan Dira dan sebelah lagi tangannya memaut dagu Dira. Tersipu Dira diperlakukan begitu. Spontan. Aizat terus menyanyi. `Alamak, merdunya suara…’ bisik Dira dalam hati. Bergetar jantungnya seiring denyutan nadi, sambung menyambung lagu hingga penghujungnya. Semakin kuat tepukan semakin bersemangat Aizat mengalunkan lagu. Hingga terpukau Hidayah dan Nazrul begitu juga Dira.

Di penghujung cerita dan lagu terahkir… Hang Tuah, Puteri Lemah Gemalai, Penyair Bidasari dan juga Hang Jebat berdiri di hadapan penonton dan lagu yang terakhir terus berkumandang. Keempat-empat mereka bernyanyi dengan penuh penghayatan. `Selasihku Sayang’ nyanyian Ahmad Jais dan Rafeah Buang terus berkumandang. Ternyata lagu itu begitu memukau, penonton begitu khusyuk mendengarnya. Sehinggalah tamat dan tepukan paling gemuruh mereka terima.

 “Tahniah, kamu berempat memang begitu padan sekali, saya yang berada  dibawah sebenarnya sangat risau akhirnya terpukau terus. Aduh… Aizat, suara awak memang menjadi sungguh. Tak sangka saya,” puji Cikgu Rogayah.  

            “Tahniah semua! Saya bangga dengan lakonan kamu dan tidak sia-sia sekolah kita menjadi tuan rumah. Saya berharap selepas ini, kamu semua dapat meneruskan impian kamu di luar sana. Jadilah manusia yang berguna kepada bangsa, agama dan negara,” luah pengetua mereka usai persembahan.

            Begitu juga dengan guru-guru yang lain. Memberi  pujian hingga tidak terhingga kepada mereka semua yang bertungkus-lumus selama ini. Selama mereka menubuhkan Kelab Kebudayaan dan Kumpulan Teater Cinta Sakti. Selama itulah sering kemenangan di pihak mereka.

            Masing-masing bersama jambangan bunga dalam pegangan tersenyum lebar. Kepuasan yang mereka rasai saat ahkir perpisahan tiba-tiba menjadi duka. Esok lusa berpisah, pasti belum tentu dapat bersama lagi. Bergurau senda dalam nyanyian akan menjadi kenangan sepanjang zaman.

            Amir yang sedang menyusun barang-barang semasa persembahan tadi mula mencuri pandang  ke arah Dira yang sedang leka berbual dengan Dayah. Terhibur  hatinya melihat keletah Dira.  Selesai tugasnya menyusun dengan segera dia memanjangkan langkahnya mendekati dua orang sahabatnya.

            “Dira, tak sangka kau pandai menyanyi. Merdu suara kau. Hingga aku yang mendengarnya terus jatuh hati,” puji Amir dalam masa yang sama dia cuba berdiri rapat di sebelah Dira.

            “Amir, kau nak apa ni… tiba-tiba tegur tak bagi salam,” balas Dayah sambil menarik tangan Dira.

            “Dayah! Kau tanya aku nak apa? Kalau aku kata aku nak kawan kau, macam mana. Okay tak?” balas Amir sambil mengenyitkan matanya kepada Dira. Belum sempat Dira membalas kata-kata Amir, dia melihat kelibat Aizat dan Nazrul sedang berjalan menghampiri mereka.

            “Amir, kau pun ada kat sini. Eh!Jomlah ikut kita orang semua pergi minum kat gerai Pak cik Harun. Makan `ais kacang.’ Jomlah Amir,” ajak Nazrul tanpa merasa curiga. Namun tidak pada Aizat. Dia dapat merasakan sesuatu. Melihat wajah Dira yang tegang, dia pasti ada cerita di sebaliknya.

           


Tiada ulasan:

Catat Ulasan