Jumaat, 6 Februari 2015

JEBAT ~ HERO HIKAYAT CINTA bab 9


BAB 9.



Dira duduk termenung di kerusi di beranda rumahnya. Meliar matanya memerhati sangkar burung serindit yang tersangkut di penjuru siling beranda. Jemu duduk, berdiri pula sambil mendepangkan kedua-dua tangannya lagak seperti bersenam. Sudah seminggu dia begitu rupa setelah cuti persekolahan bermula.

Dialih pandangan ke arah jarum waktu yang tersangkut di dinding ruang tamu rumah.  `Arhhh! Masih jam empat petang. Lambatnya masa beredar. Kalau zaman sekolah dulu bukan main lajunya,’ keluhnya sendirian.  Rambutnya yang ikal mayang itu diikatnya ke belakang. Dibetulkan ikatan agar lebih kemas dari tadi. Waktu begini, mak mesti mengumpul angan.

Melingas matanya mencari Boboy. Sekejap dia menjenguk ke bawah kerusi, kemudian pergi ke tingkap dan meninjau-ninjau ke luar.

Dira kembali ke bilik. Duduk menghadap meja tulisnya yang berada di sisi almari baju. Lantas sebuah bingkai gambar yang berada di hadapannya dicapai. Terukir lengkungan senyuman bahagia di wajahnya. Sahabat baik semenjak dari sekolah rendah. Aizat, Hidayah atau panggilan mesranya Dayah dan Nazrul.

“Dira, kau buat apa dalam bilik tu? Ni… `Jebat’ kau datang ni. Keluarlah!” panggil emaknya dari luar.

Dira tersentak. Terus tertancap matanya melihat jam yang terlekat di dinding biliknya. `Aik, awal pula balik petang ni. Selalunya malam baru sampai rumah,’ ngomel Dira sendirian. Lantas bangun dan melihat seketika wajahnya di cermin meja soleknya.

“Oii! Cepatnya kau balik hari ni?” tegurnya kasar.

Aizat sedang termenung, tersenyum memandang gadis yang dalam diam menjadi idaman hatinya. Segera dihulurkan bungkusan yang berada di dalam gengamannya. Seperti selalu Dira tahu, pasti hadiah dua ketul ayam goreng yang sering diterima semenjak Aizat berkerja di restoran makanan segera di Jalan Penjara, Kangar. Namun kali ini dia mendapat lebih daripada satu bungkusan. Plastik yang satu lagi bukannya berlogo sebekas ayam goreng.  

Dira yang kebingungan terkejut dengan pemberian Aizat. Dia yang begitu murah dengan senyuman memberi bahasa isyarat lewat renungan mata yang dikebil-kebilkan. Aizat ketawa melihat kelakuan manja sebegitu.

“Aik, sejak bila bisu? Setahu aku, gadis yang manis dan ayu ni, mulutnya… pantang bersuara, tak berhenti kalau dibiarkan,”

“…”

“…”

“Aik… lagi bisu?”

“Wey, apa ni? Tiba-tiba beri hadiah. Macam nak pergi jauh ja?” soal Dira sambil membelek bungkusan yang diberikan jejaka yang semakin tampan itu kepadanya.

“Buka dan lihat. Hadiah ikhlas tau. Terpulang kepada kau nak kata apa pada aku.

“Tapi…” tersekat suara Aizat untuk meneruskan kata-katanya.

“Tapi apa?” soal Dira. Membuntang matanya… mendesak ingin tahu.

“Dira, aku balik dululah. Esok aku cuti,  nanti kita keluar ya. Ajak tuan puteri dengan Hang Tuah sekali ya. Beritahu kat diaorang suruh tunggu dekat Bandar Kangar depan tempat kerja aku pukul empat petang,” jelas Aizat. “Dira, nanti Aizat jemput. Tunggu ya?” sambungnya lagi.

“Aizat, soalan aku, kau tak jawab lagi?” soal Dira sekali lagi.

“Nanti, kat sana aku bagi tahu ya,” balas Aizat sambil mengenyitkan matanya.

Tidak terluah suara Dira kala itu. Hanya anggukkan tanda setuju, walaupun kata setuju belum pasti lagi, kerana belum dikhabarkan lagi kepada orang tuanya. Bungkusan pemberian Aizat masih lagi di tangan. Harum semerbak bau ayam goreng segera itu sudah tidak terhidu lagi. Perasaan ingin tahu membuak-buak. Apakah yang terkandung di dalam bungkusan cantik itu lebih penting daripada segalanya? Segera dia ke dapur mencari emaknya.

“Mak! Buat apa termenung seorang kat dapur ni?” soalnya  dengan kedua-dua belah tangannya masih lagi dengan bungkusan pemberian Aizat.

“Entahlah Dira, tiba-tiba lapar pulak perut mak ni. Hendak buat cekodok pisang, pisang tak ada? Hendak buat cekodok bilis… macam malas pulak,” terang emaknya sambil menghela nafas perlahan. “Hah! Buat apa Jebat datang cari kau tadi? Emmm, apa pulak yang kat tangan kau tu?” soal emak seperti pegawai polis sedang menyiasat pesalah pula dibuatnya.

“Mak lapar ya… nah! … Jebat bagi tadi. Mak makanlah. Dira tak lalu. Dira nak bukak ni,” jelasnya sambil menghulurkan kotak putih itu kepada emaknya.

Dira segera kembali ke biliknya. Dikuncinya pintu bilik dan duduk di hujung katil sambil perlahan-lahan membuka bungkusan pemberian Aizat tadi. Berdegup kencang jantungnya. Apa pula kali ini yang Aizat berikan? Sebelum ini teddy bear, muk. Tersenyum Dira mengenangkan semua itu. Muk dijadikan hiasan meja tulis. Manakala teddy bear dijadikan teman kala tidur. Kali ini apalah pula?

Berdebar tidak keruan, saat matanya terpandang pada sehelai tudung bawal yang cantik warnanya. Tudung berwarna putih dihiasi bunga-bunga ros kecil warna merah jambu. Begitu menarik sekali. Dira bangun dan menggayakannya di hadapan cermin. `Emm, cantik,’ bisik Dira. Kembali semula ke katil dan melihat terdapat sepucuk surat terselit di celah bungkusan itu. Lalu diambil dan dibukanya. Tertancap anak mata pada tulisan di kertas itu.

`Sayangku Dira, terimalah pemberian tidak seberapa daripada Aizat kali ini. Esok petang, Dira pakai tudung ni ya. Jangan lupa dan jangan bagi alasan tidak dapat pergi.
Ikhlas daripada Aizat.’

Tersenyum Dira membaca surat pemberian Aizat. `Emmm, kalau dalam surat mahu pun dalam kiriman pesanan ringkas dalam telefon bimbitnya, Aizat lebih gemar memanggil sayang. Namun kalau di hadapannya, jangan haraplah,’ gumamnya sendirian.
Terasa di awang-awangan kala itu. Berdiri menghadap cermin sambil menggayakan tudung bawal pemberian buah hatinya. `Terima kasih `Jebat,’ bisik hatinya. Dilipatnya kembali surat itu dan disimpan di dalam Tin Coklat  Cadbury empat segi lalu diletaknya kembali di sisi meja tulis. Tudung bawal pula dilipat dan disimpan di dalam almari. Teringat akan ajakan Aizat tadi lalu segera dia keluar semula dan kembali mencari emaknya.

“Mak!” laung Dira sambil berjalan menuju ke dapur . Namun tiada kelibat emaknya. Dia melaung lagi memanggil emaknya namun tetap tiada sahutan.  Dira menggaru kepala sambil berjalan ke ruang tamu. dia melingas mencari emaknya. Namun juga tidak kelihatan. Lalu dia  menjenguk ke luar tingkap dan tersenyum melihat emaknya sedang mengelamun duduk di atas pangkin di bawah pokok mangga. `Ohhh, ambil angin ye… mentang-mentanglah  dah kenyang.’

Dira berlenggang kangkung berjalan tersusun ayu mendapatkan emaknya. Tersenyum tersengih di hadapan emaknya. Hingga menimbulkan kehairanan di wajah emaknya. Mengesot sedikit memberi ruang kepada anak gadis itu yang melebarkan senyuman sedari tadi. Dira memeluk pinggang emak dan bersuara.

“Mak, esok petang Dira nak keluar boleh? Pergi bandar dengan Aizat, Dayah dan Nazrul,” jelasnya meminta izin. Tangan kanannya tak henti-henti menggosok-gosok belakang badan emaknya.

Mak Tom memandang wajah anaknya. Ditenung dalam-dalam hingga menimbulkan keresahan di hati Dira. “Pergi dengan siapa nanti? Dengan Aizat?”

“Ha ah. Dayah dengan Nazrul tunggu kat sana. Merekakan duduk kat bandar.”

“Mak tak kisah, Dira. Takut ayah kamulah. Tunggu ayah baliklah. Nanti tanya dia? Kalau mak… boleh aja” terang Mak Tom kembali.

Dira yang sibuk memandang buah-buah mangga yang baru berputik kembali menatap wajah emaknya. Berkerut dahi apabila mendengar cadangan emaknya menyuruh dia meminta izin daripada ayahnya. Dira menjadi tidak keruan. Pasti ayah tidak setuju. Tahu sangat dia dengan sikap ayahnya itu.

“Ala… maklah tolong tanya. Boleh ya… mak tanya ya?” Manja Dira dalam pelukan emaknya. Berkelip-kelip kelopak mata tatkala menatap wajah emaknya. Tersenyum Mak Tom melihat keletah anak daranya.
“Ye lah, nanti mak tanyakan. Dah! Pergi angkat kain kat jemuran tu. Lipat sekali. Mak nak duduk rehat pula sekarang ni. Apa guna ada anak dara, kalau mak lagi nak kena buat semua tu?”

“Baiklah permaisuri. Arahan permaisuri akan hamba turuti,” balas Dira dengan dialog bangsawannya.

“Sudah… sudah. Ke sana kamu, beta ingin melelapkan mata seminit dua. Pastikan semua arahan beta terlaksana ya,” balas Mak Tom sambil merebahkan badannya ke atas pangkin itu. Tersedak Dira mendengar celoteh maknya. Berlari dia mengangkat kain di jemuran, diletaknya di dalam bakul lalu naik ke atas rumah. Dira duduk bersimpuh sambil melipat kain baju di dalam bakul.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan