Jumaat, 6 Februari 2015

JEBAT ~HERO HIKAYAT CINTA bab 6


BAB 6.



Masing-masing menghampiri cikgu yang tidak pernah kenal erti lelah menurunkan ilmu lakonan. Mereka duduk mengelilinginya.  Suasana yang tadi bingit kini menjadi sunyi. Cikgu Rogayah memerhati satu persatu wajah anak didiknya.

“Baiklah, memandangkan masing-masing sudah tahu bagaimana cara menghayati watak, sudah pandai bermain dengan mimik muka. Saya cadangkan hari ini kita habiskan semua watak dan jalan cerita, dan minggu hadapan kita bebas, tiada latihan. Cikgu mahu, kamu semuanya rehat secukupnya,” jelasnya Cikgu Rogayah.

“Kita dah tak ada latihan lagi lepas ini, dua minggu lagi pertandingan ini akan bermula. Cikgu mahu kamu semua lakukan dengan bersungguh-sungguh. Kalau boleh, cikgu mahu piala kemenangan tahun lepas masih menjadi milik kita,” luah Cikgu Rogayah penuh harapan.

“Amir, selepas ini babak apa yang masih belum dibuat latihan? Cikgu rasa semua dah lengkapkan? Cuma hendak memperkemaskan lagi, betul tak?” soalnya kepada Amir.


Amir yang sedikit terkejut dengan pertanyaan cikgunya, kembali mengambil buku catitannya. “Cikgu, cuma tinggal babak perang je lagi, selepas tu penghabisan… serta lagu-lagu yang kita pilih. Pada pembukaan babak, Dira menyanyikan lagu. Kemudian berduet dengan Aizat. Akhir sekali, keempat-empat mereka akan menyanyikan lagu `Selasihku Sayang.’

“Cuma, cuma…  saya masih tak puas dengan nyanyian Aizat je, cikgu. Sumbang , lepas tu suka hati buat lirik sendiri,” kata Amir sambil menjeling ke arah Aizat.

“Ohh, tentang tu… tak menjadi masalah sangat Amir. Inikan teater, lagu tu… tidak apa kalau tidak menjadi, yang penting masa lakonan tu,” balas Cikgu Rogayah. Kata-kata daripada Cikgu Rogayah, membuatkan Aizat tersenyum puas. Amir pula terus menarik muka masam.

 “Tapi cikgu, sebelum berhibur dengan lagu-lagu ni, ada lagi satu babak. Babak pergaduhan,” terangnya lagi.

“Emmm, baiklah. Boleh teruskan bab tu, saya nak tengok. Kalau memuaskan, kita berhenti dan tunggu masa pertandingan sahaja,” balas Cikgu Rogayah sekali lagi.

Aizat yang kebetulan duduk bersebelahan Dira tiba-tiba mencelah, “insya-Allah cikgu, kami akan lakukan yang terbaik. Memandangkan tahun ini tahun terahkir kami di sekolah ini, biarlah nama kami menjadi sebutan dan semangat untuk pelapis-pelapis teater sekolah ini,” kata Aizat penuh semangat.

Kata-kata Aizat disambut dengan tepukan dan sorakan dari rakan-rakan yang lain. Cikgu Rogayah turut sama bertepuk tangan dan jelas terpancar kegembiraan di wajahnya. Dia yakin yang anak-anak didiknya begitu semangat dan bersungguh-sungguh untuk teater kali ini.

`Seperti ada roh di situ. Mungkin semangat Hang Jebat sudah meresapi di dalam jiwa mereka.’ Detik hatinya. Siapa yang tidak gemar menonton cerita Hang Tuah dan Hang Jebat? Sehingga kini kalau ditayangkan di kaca televisyen pun pasti ramai yang menontonnya.’ Suara hatinya berkata lagi.

HARI  yang dinanti-nantikan oleh mereka telah pun bermula. Seawal jam 8.00 pagi kelihatan Amir dan beberapa orang rakannya yang sealiran dengan mereka sudah siap menghias pentas di dalam dewan. Kebetulan mereka adalah kumpulan yang pertama yang akan membuat persembahan pada kali ini. Harapan setinggi gunung disematkan dalam hati masing-masing kerana tahun ini adalah tahun terakhir mereka di sekolah ini. Biarlah piala kemenangan yang mereka perolehi setiap tahun, menjadi hak milik mereka lagi.

Di sebalik tabir, keempat-empat sahabat tadi telah siap dengan busana tradisi, seperti dua pasang pengantin layaknya. Pelakon pembantu turut kelihatan bergaya. Kedengaran tepukan dan sorakan apabila nama kumpulan mereka disebut berulang kali. Amir memberi isyarat bersedia, kedengaran muzik berkumandang dan tabir pun ditarik perlahan-lahan.

Sebaik sahaja tabir sudah habis ditarik, Dira memulakan nyanyiannya. Babak demi babak mereka pamerkan tanpa cacat celanya. Penonton begitu asyik dan terbuai-buai dengan gaya persembahan mereka. Sehinggalah babak Hang Jebat dipinang oleh Raja Iskandar, Raja Kerajaan Temasik buat anakandanya Puteri Badariah. Istana Indrasakti begitu indah dihiasi dengan cahaya lampu yang berkelipan.

Kelihatan beberapa orang dayang keluar masuk membawa santapan ke dalam istana. Kemeriahan ini disambut oleh seluruh rakyat Kerajaan Temasik kerana kerajaan mereka telah mengalahkan Kerajaan Sumanji. Ini semua atas pertolongan lima bersaudara yang telah dikirimkan oleh Sultan Mahmud, Sultan Melaka.

Majlis pembukaan dimulakan dengan iringan tarian, seterusnya pertunjukan pertarungan senjata dan berakhir dengan berbalas pantun. Kelihatan Raja Iskandar bersama Permaisuri Bainun serta anakandanya Puteri Badariah duduk di atas singgahsana penuh bergaya. Puteri Badariah sungguh kelihatan cantik laksana bulan.

 Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu duduk sebaris sambil melengkung senyuman mengadap Raja Iskandar dan Permaisuri Bainun. Tersipu malu, merona merkah bak butir delima wajah anakanda Puteri Bariah memandang Hang Jebat. Puteri berangan duduk berdua bersama Hang Jebat. Sebaliknya Hang Jebat memandang dalam kelat, terasa perit dalam dada. Hendak ditelan mati bapa, hendak diluah takut pula derhaka namanya.

Berselimpang rencana di dalam minda, bagaimana caranya ingin dikhabarkan berita. Dikalih pandangan pada empunya yang bijak bersuara, bermain mata menyuruh memulakan bicara. Namun sebaliknya hampa. Hang Tuah lagi tersenyum memandang raja. Akhirnya Hang Jebat mendiamkan diri tanpa sebarang kata.

Selepas Raja Iskandar memperkenankan kedatangan mereka, berundurlah lima saudara lalu duduk sebaris bersama hulubalang Kerajaan Temasik. Berbicara sesama mereka sambil mengisi kekosongan perut dengan juadah yang telah terhidang di hadapan mata. Lepas satu persatu dendangan lagu dialunkan. Sedang enak menjamu selera, sekali lagi gong berbunyi tanda ada perkhabaran yang akan diberitahu oleh Raja Iskandar. Lalu tetamu Di Raja berhenti daripada meneruskan santapan mereka. Memandang dan setia mendengar perkhabaran apa kali ini yang ingin disampaikan oleh raja.

“Wahai pembesar-pembesar dan juga hulubalang sekalian. Hari ini beta berasa amat gembira kerana musuh kita selama ini telah tewas dan kerajaannya juga telah menjadi sebahagiaan daripada hak milik beta. Terima kasih tidak terhingga beta kepada mereka berlima dan terima kasih juga kepada Sultan Mahmud kerana menghantar pahlawannya membantu kita di sini,” titah Raja Iskandar.

Tepuk sorak bergema lagi. Senyuman di bibir kelima-lima panglima Melaka yang gagah berani sudah tak lekang lagi. Terangguk-angguk Hang Tuah menerima pujian demi pujian. Namun, gundah di hati Hang Jebat tidak beransur surut. Raja Iskandar mengangkat tangan sebentar.

Tepukan terhenti. Semua mata tertumpu pada baginda yang berdiri megah di atas singgahsana. Setapak baginda mara ke hadapan, rasa tak sabar pula rakyat jelata menanti pengucapan.

 “Memandangkan Kerajaan Sumanji sudah berada dalam naungan beta, maka dengan ini beta isytiharkan bahawa Kerajaan Sumanji adalah tertakluk kepada undang-undang Kerajaan Temasik. Ini bermakna sekelian rakyat jelatanya, harus patuh pada undang-undang Kerajaan Temasik…”

Senyuman di bibir Hang Tuah menjadi kendur. Ada sesuatu pada kata-kata baginda Raja Iskandar yang mematikan senyuman itu. Ditenung seketika wajah-wajah saudara seangkatan. Hang Jebat sudah mahu bangkit dari duduknya. Namun, renungan tajam Hang Tuah mengembalikan punggung ke bantal empuk. Namun, kehangatan tetap terasakan. Hang Kasturi berbalas jelingan dengan Hang Lekir sementelah Hang Lekiu pula menguis-nguis lengan Hang Tuah memaksanya melakukan sesuatu. Ternyata kelima-lima saudara itu sangat-sangat sependapat.

“Oleh itu, beta tidak kecualikan Kerajaan Sumanji daripada kutipan cukai tanaman. Setiap hasil akan disegerakan pungutan sepurnama daripada sekarang. Barang siapa yang engkar, hukuman yang sama seperti kebanyakan rakyat jelata yang berdaulat. Akan beta jatuhkan hukuman tanpa sebarang keraguan dan belas kasihan. Usah merayu melutut kepada beta!” Baginda Raja Iskandar bertitah perintah.

            Anehnya, disambut dengan tepuk sorak oleh seisi istana dan rakyat Kerajaan Temasik. Hanya lima bersaudara itu yang kurang senang. Hang Jebat sudah bangkit, menapak selangkah dua. Tiba-tiba Hang Tuah sudah berada di hadapannya. Seakan memahami perasaan yang bergetar dalam jiwa saudaranya itu.

 “Tuanku, patik ingin bersuara, bukan mahu menegur sekadar mahu mengingatkan tuanku kepada janji,” pantas sungguh Hang Tuah memula bicara.

Terangkat kening Raja Iskandar. Seakan menuntut penjelasan lanjut daripada Hang Tuah. Empat saudara lagi sudah berdiri seiring. Membuat seisi istana menjadi sepi seketika. Ibarat ada malaikat yang lalu. Menanti penuh debar, reaksi seorang raja.

            “Janji apa, wahai Hang Tuah. Beta tidak ingat bahawa beta pernah berjanji,” Raja Iskandar kembali duduk di singgahsana.

Menanti pula jawapan Hang Tuah. Hang Tuah memandang Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu silih berganti. Memohon pendapat lewat panahan mata. Apabila keempat-empat saudara mengangguk, Hang Tuah  menghadap Raja Iskandar semula.

            “Tuanku, sepurnama dahulu ketika tuanku menghantar  utusan kepada Baginda Sultan Mahmud, tuanku sudah pun memutuskan bahawa tiada kutipan cukai bakal dikenakan kepada rakyat kerajaan Sumanji sekiranya Kerajaan Temasik memenangi peperangan ini. Janji itu sebagai balasan kepada bantuan yang kami berlima sediakan. Atas janji itulah Sultan Mahmud menitahkan kami berlima membantu kerajaan tuanku,” tutur Hang Tuah penuh adab dan sopan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan