Khamis, 17 April 2014

Tempua Bersarang Rendah (18/4/14)

Tempua Bersarang Rendah
Karya : Nur Dila.

“Weh! Nampak E tak?” tegur Ridzuan ketika menghampiri kedai Pak Abu di hujung Kampung Seberang Alor yang menjadi tempatnya menghabiskan waktu.

“Entah! Tak tahu… dari siang tadi tak nampak langsung kelibatnya. Mungkin kat kargo ayah dia kot?” jawab salah seorang rakannya yang berada di situ.

Ridzuan meneruskan perjalanan, melangkah perlahan meniti di jambatan kayu yang menjadi jalan utama penduduk Seberang Alor hendak ke pekan Kuala Perlis. Bertembung pula dengan Rozain dan rakan-rakannya yang lain, sekali lagi Ridzuan bersuara.

“Weh! Nampak E tak?” tegur Ridzuan sekali lagi.

“E… kat kargo ayah dia kot?” Suara sumbang kawan-kawan mencari dirinya. Panggilan nama ‘E Kargo’ sudah melekat dalam diri. Diperolehi hasil daripada pertanyaan kawan-kawan apabila tidak melihat kelibat Mohd Nazri bin Mohd Noh, sekiranya mereka bertembung antara satu sama lain, tiada lain yang dipersoalan. Ayat yang sama, berulang kali disebutkan.

Di situ jugalah tempat dirinya dan beberapa kawan menyembunyikan diri sekiranya mereka gagal menghadirkan diri ke sekolah. E Kargo, bertubuh tinggi sekitar 5’7”, berkulit hitam manis dan anak seorang nelayan yang terkenal di sekitar pekan Kuala Perlis, Encik Mohd Noh. Lebih dikenali sebagai Pak Noh. Salah seorang nelayan yang mempunyai bot besar.

Suara sang unggas berkicauan riang, melekakan pandangan mata. Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis, Perlis yang kelihatan sunyi tanpa penghuni mula kedengaran riuh di sana-sini. Ardila, seorang penolong pengawas yang baru dilantik beberapa minggu yang lepas… masih lagi berdiri di tepi pagar sekolah mencatit nama pelajar yang melakukan kesalahan-kesalahan kecil atau hanya memandang mereka dengan senyuman tak pernah lekang dari bibir mulusnya. Dari jauh kelihatan segerombolan pelajar lelaki, menghampiri pagar sekolah dengan keadaan yang tidak kemas. Dengan bawah baju tidak diselitkan ke pinggang, rambutnya tidak bersikat sehingga sakit mata bila memandang.

“Eh, E Kargo! Kau nak masuk sekolah dengan pakaian macam tu? Baik kau kemaskan sekarang baju kau tu? Tak nampak? Tu… budak perempuan yang kau bengang sangat dengan dia, jaga pintu masuk pulak hari ni?” tegur Ridzuan rakan sekelasku.

“Biar, aku nak tengok… setakat mana dia berani nak tegur aku. Baru datang sekolah ni dah nak tunjuk lagak. Setakat anak polis, aku tak heranlah,” balas E Kargo dengan angkuh.

Mereka mempercepatkan langkah, namun belum sempat menyelinapkan diri… terdengar mereka laungan suara Ardila, “nanti dulu! Ridzuan, Hisyam, Wan Asri, Rozain dan kamu E Kargo, tunggu situ.”

Mereka segera berhenti pabila mendengar jeritan Ardila. Berdiri sambil tolak-menolak antara satu sama lain. Ardila menghampiri mereka dengan wajah selamba sambil mencatit sesuatu di dalam buku yang sentiasa berada digengamannya. Satu persatu dilepaskan sehinggalah di hadapan E Kargo, Ardila terpaksa menahannya.

Geram bukan kepalang apabila E Kargo  melihat rakan-rakannya berlalu meninggalkan dirinya terkontang kanteng berdiri di tepi pagar. Bertambah pedih pabila namanya sekali lagi dicatitkan di dalam buku nota pengawas. `Jaga kau, Ardila. Ada ubi ada batas, ada hari akan aku balas semua perbuatan kau,’ ngomel E Kargo dalam hati.

Setiap hari, saban minggu namanya sering meniti di bibir semua guru. Baik guru biasa, guru disiplin sehinggalah guru besar sekolah. Terkenalnya dia mengalahkan juara pidato sekolah dan adatikanya pula mengalahkan olahrawagan terbaik sekolah. Dari sekecil-kecil kelakuan sehinggalah sebesar-besar perbuatan. Sekira tidak dibendung dari sekarang, sedikit demi sedikit akan menjadi darah dagingnya bila tamat sekolah nanti. Di luar sana masih besar lagi dugaannya. Ardila yang masih belum  mengenali keadaan suasana di sekolah berasa pelik dengan sikap E Kargo. ` Mesti ada sesuatu yang menyebabkan dia menjadi begini? Apakah dia ingin mencuri perhatian guru-guru di sekolah ini?’ bermonolog Ardila sendirian.

“Mohd Nazri bin Mohd Noh!” laung Cikgu Shahidan selaku guru disiplin di sekolah itu. Bergema nama aku melalui corong mikrofon sekolahnya.

Bergegas E Kargo keluar dari barisan kelas dan berlari menghadap Cikgu Shahidan dan Cikgu Hassan selaku guru besar di sekolah itu. Sempat lagi dia menjeling ke arah Ardila yang berdiri di barisan pengawas. Ardila yang perasaan akan jelingan itu hanya mendiamkan diri. Dia tidak gentar dengan cara E Kargo memandangnya. Walaupun mereka berdua satu kelas, setakat ini belum lagi berlaku pergaduhan yang besar antara mereka berdua.

Berdiri di hadapan Cikgu Shahidan, sambil tersenyum simpul tanpa rasa gentar hanya menunggu perintah hukuman sahaja dari mulut guru besar sendiri. E Kargo memandang ke lantai dewan sekolah sambil bermain-main dengan jarinya.

“Mohd Nazri, tahun ini tahun terahkir kamu di sekolah ini… apakah kamu tidak  punya keinginan untuk berubah? Tidak terfikirkah kamu bila melihat begitu susahnya, ayah dan ibu kamu mencari wang untuk sekolahkan kamu?  Berubahlah, ini semua untuk masa depan kamu.” Nasihat Cikgu Shahidan.

E Kargo kehairanan, selalunya Cikgu Shahidan tidak banyak soal dan tidak mahu pendengar penjelasan. Hukuman tetap hukuman, tiada lagi masa untuk memohon maaf atau menerima penjelasan. Namun kali ini berlainan sekali, aku tidak menerima pukulan tapi nasihat demi nasihat dilimpahkan. Ibarat mencurah air di daun keladi, nasihat yang diberi ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Selepas dilepaskan dan perhimpunan pun bersurai, bermulalah agenda di fikiran aku. Dalam hati ini terdetik niat jahat ingin mengenakan Ardila, pengawas yang paling aku benci abad ini.

Di dalam kelas Tingkatan 5B, Ardila yang duduk di bahagian depan terasa terganggu dengan keadaan kelas yang begitu bising sekali. Mengalahkan pasar pagi atau `nut’ yang di sebut oleh penduduk kampung di situ. Cikgu Rasidah gagal mengawal keadaan, beberapa kali dia menyuruh anak muridnya dari membuat bising. Namun semakin ditegur, semakin galak mereka menjerit dan ketawa. Terutamanya E Kargo. Ardila, duduknya terasa panas… mukanya yang tadi tenang bertukar kemerah-merah menahan geram yang tak terhingga. Ingin sahaja dia bangun kala itu dan memintal-mintal telinga E Kargo sepuas-puas hatinya.

Perasaan marahnya semakin meluap-luap, ditenung wajah Cikgu Rasidah dalam-dalam. Turun naik nafasnya menahan sabar, peluh dingin mula membasahi tapak tangannya. Kedengaran suara yang begitu menyakitkan telinganya. Suara yang sedang mengejek-ngejek namanya. Ardila tanpa melihat siapa orangnya sudah dapat meneka siapakah hero itu. Buku teks Bahasa Malaysia yang berada di hadapannya dicapai pantas, dengan sekali nafas balingan yang dibuat tepat mengena sasaran.

“Oiiii minah! Kau main kasar nampak?” jerit E Kargo sambil mengambil buku yang terkena batang hidungnya lalu terus jatuh di atas meja tempat dia berdiri.

“Siapa main kasar? Cikgu suruh kau diam, yang kau memekak dalam kelas buat apa? Eh! Kalau kau tak nak belajar, jangan datang sekolah. Baik kau pergi duduk dalam bot kargo ayah kau tu dan buat apa yang kau rasa suka?” Balas Ardila sambil membetulkan hujung tudungnya yang di tiup angin. “ Sini, dalam kelas ini… tempat orang nak belajar. Nak cari ilmu dan yang penting nak berjaya,” sambung Dila lagi sambil memalingkan muka ke luar tingkap kelas.

“Oiii minah! Nama keluarga jangan sebut, pantang aku. Kau tau? Aku punya sukalah nak belajar ke, nak menjerit ke, nak melalak ke… kau susah hati kenapa?” balas E Kargo semakin galak marahnya.

Keadaan tadi yang riuh dengan bunyi suara-suara sumbang tiba-tiba bertukar rupa. Sunyi seperti ada malaikat yang melalui di dalam kelas mereka. Cikgu Rasidah cuba meredakan kemarahan anak muridnya. Dia tahu benar dengan sikap anak muridnya seorang ini,  yang pantang dicabar. Ardila masih lagi berdiri di mejanya. Memalingkan wajahnya dan mencerlung matanya memandang E Kargo. Tidak berkelip kelopak matanya saat itu. Menanti tindakan seterusnya, andaikata dia diserang nanti.

Kemarahan E Kargo semakin menjadi-jadi bila soalan yang diajukan kepada Ardila hanya dipandang sepi. Menolak meja dengan kasar dan berjalan menuju ke arah Ardila. Keadaan semakin tidak dapat dikawal. Ardila masih lagi berdiri, manakala E Kargo semakin menghampiri. Dadanya berombak kencang, tiba-tiba tanpa diduga oleh sesiapa `panggggg’. Satu tamparan yang kuat hinggap di pipi Ardila. Terhoyong-hayang Ardila lalu terjatuh di pelusuk kerusi tempat duduknya sendiri.

Masing-masing kaku tanpa suara. “Mohd Nazri! Apa yang telah kamu buat ni? Dengan budak perempuan pun kamu nak bergaduh? Tak cukup lagi ke dengan budak-budak lelaki di sini yang kamu hendak buli. Hah!” tiba-tiba terdengar suara Cikgu Shahidan menengking Mohd Nazri dari pintu kelas mereka.

“Kamu berdua, sila ikut saya ke bilik guru. Sekarang juga!” arah Cikgu Shahidan kembali. “Cikgu Rasidah, puan pun ikut sekali,” sambung Cikgu Shahidan lagi.

Merah pipi Ardila menahan kesakitan. Tidak menangis malah tidak pula tersenyum. Rakan-rakan yang lain kembali duduk di tempat masing-masing. Cikgu Rasidah, Ardila dan E Kargo meninggalkan kelas 5B dan melangkahkan kaki mereka ke bilik guru disiplin. Setiba di di sana… tanpa mendengar penjelasan dari E Kargo, mahupun Ardila atau Cikgu Rasidah… hukuman telah pun dijatuhkan. Ardila dan Cikgu Rasidah hanya menjadi pemerhati. Timbul perasaan kesian dalam diri Ardila. Tapi demi pengajaran, Ardila membiarkan sahaja perkara itu berlaku di hadapan matanya.

Tiga kali libasan di punggung E Kargo, dengan pembaris panjang sedepa dan tebalnya lebih kurang satu inci. Tak sanggup Ardila meyaksikannya. E Kargo cuba memandangnya, namun dibuangkan pandangannya ke arah luar jendela. Cuba menyembunyikan kesedihannya dengan melihat ombak yang sedang memukul pantai. Bagi E Kargo, hari ini adalah hari yang begitu buruk baginya. Sudahlah dipukul depan Ardila. Malah mendapat pula surat arahan digantung sekolah selama dua minggu dari guru besarnya, Cikgu Hassan.

Peristiwa E Kargo dimarahi dan digantung sekolah oleh pihak sekolah diketahui juga oleh ayahnya.  Segala perbuatannya yang melanggar disiplin sekolah telah disampaikan sendiri oleh Cikgu Shahidan. Mak Munah, ibu E Kargo hanya tunduk diam bila Cikgu Shahidan meluahkan segala yang berlaku di sekolah pagi tadi.  Pak Noh hanya menunggu malam saja, hendak berbicara dengan anak sulungnya.

Malam yang sunyi, sesekali terdengar suara cengkerit bersahutan. Di luar sana, langit kelihatan gelap. Lagaknya seperti ingin turun hujan lebat.  Pak Noh, sengaja melintas di depan bilik E Kargo.  Pintu bilik E Kargo nampak renggang tidak berkunci.  Pak Noh menjengulkan kepalanya.  Lampu bilik masih terpasang.  E Kargo  sedang termenung di meja tulisnya.  Wajahnya kelihatan sugul.

“Mohd Nazri, ayah ada hal sikit nak cakap,”  kata Pak Noh, masih berdiri di belakang E Kargo sambil kedua-dua belah tangannya mengusap-ngusap bahu anaknya.

E Kargo tidak menoleh.  Dia masih termangu di kerusi.  Dia tidak peduli teguran ayahnya. Dia amat memahami sikap ayahnya. Nama penuh akan dipanggil apabila kemarahannya berada di puncak. Kalau tidak ayah lebih suka memanggilnya `along’.

“Ayah, ada pekara yang ingin dibincangkan dengan kamu?.  Kenapa nak biadap dengan ayah?”  suara Pak Noh keras meninggi. Lantas dia mencapai sebuah kerusi kecil lalu duduk menghadap anak sulungnya.

Melihat ayahnya yang sudah berada di hadapannya, E Kargo baru menoleh.  Mukanya masam kelat.  Dia sudah dapat mengagak bahawa ayahnya akan memberi hadiah yang agak lumayan atas perbuatannya di sekolah tadi.

“Kenapa Mohd Nazri nak malukan, ayah?  Tak bolehkah Mohd Nazri menjadi seorang anak remaja yang baik.  Mohd Nazri tak berasa malu ke, bila kena rotan di hadapan rakan-rakan lain. Mohd Nazri bukan anak kecil lagi? Sudah menjangkau tujuh belas tahun? Kenapa Mohd Nazri degil? Kenapa masih hendak malukan ibu kamu? Kesianlah ibu, Mohd Nazri,”  suara Pak Noh lembut. 

E Kargo tidak menjangka yang kata-kata itu yang lahir dari bibir hitam ayahnya. Luar jangkaan E Kargo. Lalu, dengan perlahan dia mengangkat wajahnya sambil menatap wajah ayahnya. Ada butir-butir jernih di tubir matanya. Begitu juga dengan E Kargo. Berkaca matanya, menahan telaga itu dari pecah melimpah. 

”Along minta ampun ayah.  Along janji tak akan buat lagi,”  Mohd Nazri tanpa diduga memeluk ayahnya,Pak Noh.  Telaga yang penuh dengan air ahkirnya melimpah juga.

”Kali ini, ayah ampunkan.  Untuk akan datang kalau along  buat lagi, ayah tak akan diam.  Ingat pesan ayah,”  tegas Pak Noh.  Matanya sayu memandang anaknya yang dirasakannya ada sikap hendak berubah.  Telah banyak perkara yang dia dengar dari mulut jiran-jiran mereka mengenai Mohd Nazri.

”Along Janji ayah.  Along janji.” balas Mohd Nazri sambil memengang kedua-dua tangan ayahnya.

”Ayah nak along berubah.  Along bukan budak-budak lagi.  Dah tingkatan lima.  Tidak lama lagi akan menduduki peperiksaan SPM. Sekurang-kurangnya ayah nak anak ayah lulus peperiksaan. Jangan biarkan  ayah malu.  Emak pun malu.  Ayah mahu along, mesti berubah.  Jangan buat nakal lagi.  Ayah juga mahu along berjaya dan buktikan pada cikgu serta jiran-jiran kita yang along boleh berjaya,”  pujuk Pak Noh. Mak Munah hanya mendengar di balik pintu bilik anaknya sambil mengesat airmatanya yang mengalir dengan hujung lengan bajunya.

Semenjak kejadian hari itu, E Kargo semakin kerap memencilkan diri di bot ayahnya. Dua minggu digantung dari sekolah, benar-benar menginsafkan dirinya. Bayangan ketika dia menampar Ardila masih jelas terbayang di ruang matanya. Dia ingin memohon maaf dari Ardila apabila habis edahnya digantung oleh pihak sekolah nanti.

Lima belas tahun kemudian.

Sebuah kereta Naza Citra memasuki jalan yang sudah diturapkan dengan tanah merah dan juga tar. Menyusuri Kampung Seberang Alor yang sudah banyak berubah. Tiada lagi sawah padi, yang kelihatan rumah-rumah teres tersusun cantik. Kampung Seberang Alor yang dulunya tidak boleh kenderaan memasukinya, kini sudah boleh menerima kenderaan. Terasa bangga dia menjadi anak jati Kuala Perlis. Sedang dia leka dengan kisah lamanya, terarah pandangannya kepada seorang pakcik tua yang sedang terbongkok-bongkok membetulkan rantai basikalnya.

Dia memberhentikan keretanya di bahu jalan. Lalu melintasi jalan dan menuju ke arah lelaki tua itu. Diamatinya penuh khusyuk. Tahulah dia kini siapa pakcik tua itu. Pakcik tua yang tidak sedar ada anak muda di sebelahnya terus-terusan membetulkan rantai basikalnya. Dengan sekali bismillah, dia menegur pakcik tua itu.

“Assalamualaikum.  Cikgu apa khabar?” tegur anak muda itu sambil terbatuk-batuk. Batuk yang sengaja dibuat-buat.

Pakcik tua itu yang dalam lingkungan 65 tahun lebih, mendongak memandang wajah anak muda yang baru saja menegurnya.  Dia tersenyum kehairanan.

“Cikgu masih ingat saya tak?”  tanya anak muda itu lagi.  Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Ditenungnya wajah pakcik tua itu.

”Maaf anak,  pakcik tidak berapa ingat.  Siapa anak ini sebenarnya?”  kehairanan masih bermain di wajahnya.

“Cikgu tak ingat?”  anak muda itu terus sahaja menarik pakcik tua itu ke kerusi yang kebetulan ada di situ, disuruhnya pakcik tua itu duduk dan dia berdiri menghadap pakcik tua itu.

Pakcik tua itu hanya menggelengkan kepalanya.  Kemudian mukanya ditundukkan.  Matanya memandang hujung kasutnya yang berlubang kecil.  Pakaiannya agak comot.  Rambutnya tidak terurus.

”Baiklah.  Saya ceritakan kisah saya, manalah tahu cikgu mungkin ingat,”  ujar anak muda itu.

”Cikgu ingat tak, masa di bilik guru di sekolah, cikgu rotan saya di hadapan cikgu Rasidah dan seorang lagi pelajar perempuan, Ardila namanya... tanpa belas kasihan.  Masa itu saya minta ampun.  Minta maaf tapi cikgu tak peduli.” terang anak muda tadi.

”Maafkan pakcik, nak.  Pakcik memang tak ingat.  Entah bila berlaku?”  suara Cikgu Shahidan bergetar.  Rasa takut datang membalut dirinya.

“Mana boleh cikgu lupa.  Dulu cikgu guru disiplin sekolah tempat saya belajar.   Cikgu suka bertindak tanpa soal siasat.  Siapa betul, siapa salah.  Kenapa cikgu pukul saya depan orang?”  anak muda itu tiba-tiba meninggikan suaranya.

“Betul.  Pakcik tak ingat.  Murid pakcik bukannya sikit. Ramai.   Siapa anak ini sebenarnya?”  getaran suara Cikgu Shahidan masih belum reda.  Dia tidak berani menentang tenungan anak muda itu, yang bertubuh sasa.

“Kalau cikgu nak tahu, sayalah Mohd Nazri bin Mohd Noh atau lebih dikenali dengan panggilan E Kargo oleh kawan-kawan saya.  Pak Noh, nelayan yang dikenali ramai dahulu.  Pak Noh, juga pernah menjadi kawan cikgu.  Masih tak ingat lagi?”  Mohd Nazri bercekak pinggang.

“Hah! Kamu anak Pak Noh yang baru meninggal dunia dua tahun lepas?  Ya Allah, maafkan pakcik, nak.  Siapa nama kamu?” soalnya sambil mengangkat kopiah di kepala dan mengaru-garu. Mungkin keliru.

Mohd Nazri tiba-tiba memeluk Cikgu Shahidan.  Dia menangis gembira.  Pelukannya semakin kemas.

”Terima kasih cikgu kerana merotan saya.  Kalau cikgu tidak rotan saya ketika itu, mungkin saya tidak lagi menjadi manusia.  Saya minta maaf cikgu kerana sengaja berkasar dengan cikgu tadi.  Cikgulah semulia-mulia manusia yang berjaya mendidik saya.  Maafkan saya cikgu,”  Mohd Nazri melepaskan pelukannya.  Dia kembali duduk menghadap Cikgu Shahidan.

”Pakcik tak faham.  Apa yang terjadi ke atas kamu.  Siapa nama kamu tadi?” ulang pakcik tua itu lagi. Direnungnya wajah Mohd Nazri tanpa kerdipan. Disapu-sapu matanya berkali-kali dengan tapak tangannya.

”Mohd Nazri, cikgu.  Selepas mendapat keputusan SPM, saya terus memohon menyertai  Angkatan Tentera Malaysia. Hasil berkat kata nasihat yang cikgu berikan kepada saya dan disiplin yang diterapkan oleh Angkatan Tentera Malaysia. Dari menjadi seorang rekrut biasa hingga kini saya menjadi seorang mejar. Sekarang ni, saya digelar Mejar Mohd Nazri, Askar Melayu Di Raja.  Kerana rotan cikgulah saya berjaya dalam hidup ini.  Cikgu banyak merubah kehidupan saya.  Terima kasih cikgu.”  Mohd Nazri menggenggam erat kedua tangan Cikgu Shahidan.



Tersenyum Mohd Nazri, bila mengingati kisah lamanya. Ingin sekali dia berterima kasih kepada Ardila. Namun sayang, selepas kejadian dia menampar Ardila. Keluarga Ardila mengambil keputusan dengan memindahkannya ke sekolah lain. Manakala dia pula dilantik menjadi ketua kelas oleh Cikgu Rasidah selaku guru kelasnya.  Puas dia cuba mencari Ardila dengan menyoal beberapa kawan baik Ardila. Namun tiada seorang pun yang tahu ke mana dia dipindahkan. Cuma, seminggu sebelum mereka menghadapi peperiksaan, dia menerima sepucuk surat daripada Ardila. Dia masih terkenang kata-kata semangat yang diberikan oleh Ardila di dalam suratnya itu. Nasihat yang memberi keyakinan kepadanya untuk terus berubah. Dia sungguh berasa terkilan kerana tidak sempat memohon maaf kepada Ardila. Impiannya hingga kini, moga suatu hari nanti dia dapat bertemu dengan Ardila. Seorang gadis yang benar-benar berani menentangnya suatu ketika dulu. 






Tiada ulasan:

Catat Ulasan