Memaparkan catatan dengan label PEMBETULAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PEMBETULAN. Papar semua catatan

Khamis, 17 April 2014

Tempua Bersarang Rendah (18/4/14)

Tempua Bersarang Rendah
Karya : Nur Dila.

“Weh! Nampak E tak?” tegur Ridzuan ketika menghampiri kedai Pak Abu di hujung Kampung Seberang Alor yang menjadi tempatnya menghabiskan waktu.

“Entah! Tak tahu… dari siang tadi tak nampak langsung kelibatnya. Mungkin kat kargo ayah dia kot?” jawab salah seorang rakannya yang berada di situ.

Ridzuan meneruskan perjalanan, melangkah perlahan meniti di jambatan kayu yang menjadi jalan utama penduduk Seberang Alor hendak ke pekan Kuala Perlis. Bertembung pula dengan Rozain dan rakan-rakannya yang lain, sekali lagi Ridzuan bersuara.

“Weh! Nampak E tak?” tegur Ridzuan sekali lagi.

“E… kat kargo ayah dia kot?” Suara sumbang kawan-kawan mencari dirinya. Panggilan nama ‘E Kargo’ sudah melekat dalam diri. Diperolehi hasil daripada pertanyaan kawan-kawan apabila tidak melihat kelibat Mohd Nazri bin Mohd Noh, sekiranya mereka bertembung antara satu sama lain, tiada lain yang dipersoalan. Ayat yang sama, berulang kali disebutkan.

Di situ jugalah tempat dirinya dan beberapa kawan menyembunyikan diri sekiranya mereka gagal menghadirkan diri ke sekolah. E Kargo, bertubuh tinggi sekitar 5’7”, berkulit hitam manis dan anak seorang nelayan yang terkenal di sekitar pekan Kuala Perlis, Encik Mohd Noh. Lebih dikenali sebagai Pak Noh. Salah seorang nelayan yang mempunyai bot besar.

Suara sang unggas berkicauan riang, melekakan pandangan mata. Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis, Perlis yang kelihatan sunyi tanpa penghuni mula kedengaran riuh di sana-sini. Ardila, seorang penolong pengawas yang baru dilantik beberapa minggu yang lepas… masih lagi berdiri di tepi pagar sekolah mencatit nama pelajar yang melakukan kesalahan-kesalahan kecil atau hanya memandang mereka dengan senyuman tak pernah lekang dari bibir mulusnya. Dari jauh kelihatan segerombolan pelajar lelaki, menghampiri pagar sekolah dengan keadaan yang tidak kemas. Dengan bawah baju tidak diselitkan ke pinggang, rambutnya tidak bersikat sehingga sakit mata bila memandang.

“Eh, E Kargo! Kau nak masuk sekolah dengan pakaian macam tu? Baik kau kemaskan sekarang baju kau tu? Tak nampak? Tu… budak perempuan yang kau bengang sangat dengan dia, jaga pintu masuk pulak hari ni?” tegur Ridzuan rakan sekelasku.

“Biar, aku nak tengok… setakat mana dia berani nak tegur aku. Baru datang sekolah ni dah nak tunjuk lagak. Setakat anak polis, aku tak heranlah,” balas E Kargo dengan angkuh.

Mereka mempercepatkan langkah, namun belum sempat menyelinapkan diri… terdengar mereka laungan suara Ardila, “nanti dulu! Ridzuan, Hisyam, Wan Asri, Rozain dan kamu E Kargo, tunggu situ.”

Mereka segera berhenti pabila mendengar jeritan Ardila. Berdiri sambil tolak-menolak antara satu sama lain. Ardila menghampiri mereka dengan wajah selamba sambil mencatit sesuatu di dalam buku yang sentiasa berada digengamannya. Satu persatu dilepaskan sehinggalah di hadapan E Kargo, Ardila terpaksa menahannya.

Geram bukan kepalang apabila E Kargo  melihat rakan-rakannya berlalu meninggalkan dirinya terkontang kanteng berdiri di tepi pagar. Bertambah pedih pabila namanya sekali lagi dicatitkan di dalam buku nota pengawas. `Jaga kau, Ardila. Ada ubi ada batas, ada hari akan aku balas semua perbuatan kau,’ ngomel E Kargo dalam hati.

Setiap hari, saban minggu namanya sering meniti di bibir semua guru. Baik guru biasa, guru disiplin sehinggalah guru besar sekolah. Terkenalnya dia mengalahkan juara pidato sekolah dan adatikanya pula mengalahkan olahrawagan terbaik sekolah. Dari sekecil-kecil kelakuan sehinggalah sebesar-besar perbuatan. Sekira tidak dibendung dari sekarang, sedikit demi sedikit akan menjadi darah dagingnya bila tamat sekolah nanti. Di luar sana masih besar lagi dugaannya. Ardila yang masih belum  mengenali keadaan suasana di sekolah berasa pelik dengan sikap E Kargo. ` Mesti ada sesuatu yang menyebabkan dia menjadi begini? Apakah dia ingin mencuri perhatian guru-guru di sekolah ini?’ bermonolog Ardila sendirian.

“Mohd Nazri bin Mohd Noh!” laung Cikgu Shahidan selaku guru disiplin di sekolah itu. Bergema nama aku melalui corong mikrofon sekolahnya.

Bergegas E Kargo keluar dari barisan kelas dan berlari menghadap Cikgu Shahidan dan Cikgu Hassan selaku guru besar di sekolah itu. Sempat lagi dia menjeling ke arah Ardila yang berdiri di barisan pengawas. Ardila yang perasaan akan jelingan itu hanya mendiamkan diri. Dia tidak gentar dengan cara E Kargo memandangnya. Walaupun mereka berdua satu kelas, setakat ini belum lagi berlaku pergaduhan yang besar antara mereka berdua.

Berdiri di hadapan Cikgu Shahidan, sambil tersenyum simpul tanpa rasa gentar hanya menunggu perintah hukuman sahaja dari mulut guru besar sendiri. E Kargo memandang ke lantai dewan sekolah sambil bermain-main dengan jarinya.

“Mohd Nazri, tahun ini tahun terahkir kamu di sekolah ini… apakah kamu tidak  punya keinginan untuk berubah? Tidak terfikirkah kamu bila melihat begitu susahnya, ayah dan ibu kamu mencari wang untuk sekolahkan kamu?  Berubahlah, ini semua untuk masa depan kamu.” Nasihat Cikgu Shahidan.

E Kargo kehairanan, selalunya Cikgu Shahidan tidak banyak soal dan tidak mahu pendengar penjelasan. Hukuman tetap hukuman, tiada lagi masa untuk memohon maaf atau menerima penjelasan. Namun kali ini berlainan sekali, aku tidak menerima pukulan tapi nasihat demi nasihat dilimpahkan. Ibarat mencurah air di daun keladi, nasihat yang diberi ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Selepas dilepaskan dan perhimpunan pun bersurai, bermulalah agenda di fikiran aku. Dalam hati ini terdetik niat jahat ingin mengenakan Ardila, pengawas yang paling aku benci abad ini.

Di dalam kelas Tingkatan 5B, Ardila yang duduk di bahagian depan terasa terganggu dengan keadaan kelas yang begitu bising sekali. Mengalahkan pasar pagi atau `nut’ yang di sebut oleh penduduk kampung di situ. Cikgu Rasidah gagal mengawal keadaan, beberapa kali dia menyuruh anak muridnya dari membuat bising. Namun semakin ditegur, semakin galak mereka menjerit dan ketawa. Terutamanya E Kargo. Ardila, duduknya terasa panas… mukanya yang tadi tenang bertukar kemerah-merah menahan geram yang tak terhingga. Ingin sahaja dia bangun kala itu dan memintal-mintal telinga E Kargo sepuas-puas hatinya.

Perasaan marahnya semakin meluap-luap, ditenung wajah Cikgu Rasidah dalam-dalam. Turun naik nafasnya menahan sabar, peluh dingin mula membasahi tapak tangannya. Kedengaran suara yang begitu menyakitkan telinganya. Suara yang sedang mengejek-ngejek namanya. Ardila tanpa melihat siapa orangnya sudah dapat meneka siapakah hero itu. Buku teks Bahasa Malaysia yang berada di hadapannya dicapai pantas, dengan sekali nafas balingan yang dibuat tepat mengena sasaran.

“Oiiii minah! Kau main kasar nampak?” jerit E Kargo sambil mengambil buku yang terkena batang hidungnya lalu terus jatuh di atas meja tempat dia berdiri.

“Siapa main kasar? Cikgu suruh kau diam, yang kau memekak dalam kelas buat apa? Eh! Kalau kau tak nak belajar, jangan datang sekolah. Baik kau pergi duduk dalam bot kargo ayah kau tu dan buat apa yang kau rasa suka?” Balas Ardila sambil membetulkan hujung tudungnya yang di tiup angin. “ Sini, dalam kelas ini… tempat orang nak belajar. Nak cari ilmu dan yang penting nak berjaya,” sambung Dila lagi sambil memalingkan muka ke luar tingkap kelas.

“Oiii minah! Nama keluarga jangan sebut, pantang aku. Kau tau? Aku punya sukalah nak belajar ke, nak menjerit ke, nak melalak ke… kau susah hati kenapa?” balas E Kargo semakin galak marahnya.

Keadaan tadi yang riuh dengan bunyi suara-suara sumbang tiba-tiba bertukar rupa. Sunyi seperti ada malaikat yang melalui di dalam kelas mereka. Cikgu Rasidah cuba meredakan kemarahan anak muridnya. Dia tahu benar dengan sikap anak muridnya seorang ini,  yang pantang dicabar. Ardila masih lagi berdiri di mejanya. Memalingkan wajahnya dan mencerlung matanya memandang E Kargo. Tidak berkelip kelopak matanya saat itu. Menanti tindakan seterusnya, andaikata dia diserang nanti.

Kemarahan E Kargo semakin menjadi-jadi bila soalan yang diajukan kepada Ardila hanya dipandang sepi. Menolak meja dengan kasar dan berjalan menuju ke arah Ardila. Keadaan semakin tidak dapat dikawal. Ardila masih lagi berdiri, manakala E Kargo semakin menghampiri. Dadanya berombak kencang, tiba-tiba tanpa diduga oleh sesiapa `panggggg’. Satu tamparan yang kuat hinggap di pipi Ardila. Terhoyong-hayang Ardila lalu terjatuh di pelusuk kerusi tempat duduknya sendiri.

Masing-masing kaku tanpa suara. “Mohd Nazri! Apa yang telah kamu buat ni? Dengan budak perempuan pun kamu nak bergaduh? Tak cukup lagi ke dengan budak-budak lelaki di sini yang kamu hendak buli. Hah!” tiba-tiba terdengar suara Cikgu Shahidan menengking Mohd Nazri dari pintu kelas mereka.

“Kamu berdua, sila ikut saya ke bilik guru. Sekarang juga!” arah Cikgu Shahidan kembali. “Cikgu Rasidah, puan pun ikut sekali,” sambung Cikgu Shahidan lagi.

Merah pipi Ardila menahan kesakitan. Tidak menangis malah tidak pula tersenyum. Rakan-rakan yang lain kembali duduk di tempat masing-masing. Cikgu Rasidah, Ardila dan E Kargo meninggalkan kelas 5B dan melangkahkan kaki mereka ke bilik guru disiplin. Setiba di di sana… tanpa mendengar penjelasan dari E Kargo, mahupun Ardila atau Cikgu Rasidah… hukuman telah pun dijatuhkan. Ardila dan Cikgu Rasidah hanya menjadi pemerhati. Timbul perasaan kesian dalam diri Ardila. Tapi demi pengajaran, Ardila membiarkan sahaja perkara itu berlaku di hadapan matanya.

Tiga kali libasan di punggung E Kargo, dengan pembaris panjang sedepa dan tebalnya lebih kurang satu inci. Tak sanggup Ardila meyaksikannya. E Kargo cuba memandangnya, namun dibuangkan pandangannya ke arah luar jendela. Cuba menyembunyikan kesedihannya dengan melihat ombak yang sedang memukul pantai. Bagi E Kargo, hari ini adalah hari yang begitu buruk baginya. Sudahlah dipukul depan Ardila. Malah mendapat pula surat arahan digantung sekolah selama dua minggu dari guru besarnya, Cikgu Hassan.

Peristiwa E Kargo dimarahi dan digantung sekolah oleh pihak sekolah diketahui juga oleh ayahnya.  Segala perbuatannya yang melanggar disiplin sekolah telah disampaikan sendiri oleh Cikgu Shahidan. Mak Munah, ibu E Kargo hanya tunduk diam bila Cikgu Shahidan meluahkan segala yang berlaku di sekolah pagi tadi.  Pak Noh hanya menunggu malam saja, hendak berbicara dengan anak sulungnya.

Malam yang sunyi, sesekali terdengar suara cengkerit bersahutan. Di luar sana, langit kelihatan gelap. Lagaknya seperti ingin turun hujan lebat.  Pak Noh, sengaja melintas di depan bilik E Kargo.  Pintu bilik E Kargo nampak renggang tidak berkunci.  Pak Noh menjengulkan kepalanya.  Lampu bilik masih terpasang.  E Kargo  sedang termenung di meja tulisnya.  Wajahnya kelihatan sugul.

“Mohd Nazri, ayah ada hal sikit nak cakap,”  kata Pak Noh, masih berdiri di belakang E Kargo sambil kedua-dua belah tangannya mengusap-ngusap bahu anaknya.

E Kargo tidak menoleh.  Dia masih termangu di kerusi.  Dia tidak peduli teguran ayahnya. Dia amat memahami sikap ayahnya. Nama penuh akan dipanggil apabila kemarahannya berada di puncak. Kalau tidak ayah lebih suka memanggilnya `along’.

“Ayah, ada pekara yang ingin dibincangkan dengan kamu?.  Kenapa nak biadap dengan ayah?”  suara Pak Noh keras meninggi. Lantas dia mencapai sebuah kerusi kecil lalu duduk menghadap anak sulungnya.

Melihat ayahnya yang sudah berada di hadapannya, E Kargo baru menoleh.  Mukanya masam kelat.  Dia sudah dapat mengagak bahawa ayahnya akan memberi hadiah yang agak lumayan atas perbuatannya di sekolah tadi.

“Kenapa Mohd Nazri nak malukan, ayah?  Tak bolehkah Mohd Nazri menjadi seorang anak remaja yang baik.  Mohd Nazri tak berasa malu ke, bila kena rotan di hadapan rakan-rakan lain. Mohd Nazri bukan anak kecil lagi? Sudah menjangkau tujuh belas tahun? Kenapa Mohd Nazri degil? Kenapa masih hendak malukan ibu kamu? Kesianlah ibu, Mohd Nazri,”  suara Pak Noh lembut. 

E Kargo tidak menjangka yang kata-kata itu yang lahir dari bibir hitam ayahnya. Luar jangkaan E Kargo. Lalu, dengan perlahan dia mengangkat wajahnya sambil menatap wajah ayahnya. Ada butir-butir jernih di tubir matanya. Begitu juga dengan E Kargo. Berkaca matanya, menahan telaga itu dari pecah melimpah. 

”Along minta ampun ayah.  Along janji tak akan buat lagi,”  Mohd Nazri tanpa diduga memeluk ayahnya,Pak Noh.  Telaga yang penuh dengan air ahkirnya melimpah juga.

”Kali ini, ayah ampunkan.  Untuk akan datang kalau along  buat lagi, ayah tak akan diam.  Ingat pesan ayah,”  tegas Pak Noh.  Matanya sayu memandang anaknya yang dirasakannya ada sikap hendak berubah.  Telah banyak perkara yang dia dengar dari mulut jiran-jiran mereka mengenai Mohd Nazri.

”Along Janji ayah.  Along janji.” balas Mohd Nazri sambil memengang kedua-dua tangan ayahnya.

”Ayah nak along berubah.  Along bukan budak-budak lagi.  Dah tingkatan lima.  Tidak lama lagi akan menduduki peperiksaan SPM. Sekurang-kurangnya ayah nak anak ayah lulus peperiksaan. Jangan biarkan  ayah malu.  Emak pun malu.  Ayah mahu along, mesti berubah.  Jangan buat nakal lagi.  Ayah juga mahu along berjaya dan buktikan pada cikgu serta jiran-jiran kita yang along boleh berjaya,”  pujuk Pak Noh. Mak Munah hanya mendengar di balik pintu bilik anaknya sambil mengesat airmatanya yang mengalir dengan hujung lengan bajunya.

Semenjak kejadian hari itu, E Kargo semakin kerap memencilkan diri di bot ayahnya. Dua minggu digantung dari sekolah, benar-benar menginsafkan dirinya. Bayangan ketika dia menampar Ardila masih jelas terbayang di ruang matanya. Dia ingin memohon maaf dari Ardila apabila habis edahnya digantung oleh pihak sekolah nanti.

Lima belas tahun kemudian.

Sebuah kereta Naza Citra memasuki jalan yang sudah diturapkan dengan tanah merah dan juga tar. Menyusuri Kampung Seberang Alor yang sudah banyak berubah. Tiada lagi sawah padi, yang kelihatan rumah-rumah teres tersusun cantik. Kampung Seberang Alor yang dulunya tidak boleh kenderaan memasukinya, kini sudah boleh menerima kenderaan. Terasa bangga dia menjadi anak jati Kuala Perlis. Sedang dia leka dengan kisah lamanya, terarah pandangannya kepada seorang pakcik tua yang sedang terbongkok-bongkok membetulkan rantai basikalnya.

Dia memberhentikan keretanya di bahu jalan. Lalu melintasi jalan dan menuju ke arah lelaki tua itu. Diamatinya penuh khusyuk. Tahulah dia kini siapa pakcik tua itu. Pakcik tua yang tidak sedar ada anak muda di sebelahnya terus-terusan membetulkan rantai basikalnya. Dengan sekali bismillah, dia menegur pakcik tua itu.

“Assalamualaikum.  Cikgu apa khabar?” tegur anak muda itu sambil terbatuk-batuk. Batuk yang sengaja dibuat-buat.

Pakcik tua itu yang dalam lingkungan 65 tahun lebih, mendongak memandang wajah anak muda yang baru saja menegurnya.  Dia tersenyum kehairanan.

“Cikgu masih ingat saya tak?”  tanya anak muda itu lagi.  Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Ditenungnya wajah pakcik tua itu.

”Maaf anak,  pakcik tidak berapa ingat.  Siapa anak ini sebenarnya?”  kehairanan masih bermain di wajahnya.

“Cikgu tak ingat?”  anak muda itu terus sahaja menarik pakcik tua itu ke kerusi yang kebetulan ada di situ, disuruhnya pakcik tua itu duduk dan dia berdiri menghadap pakcik tua itu.

Pakcik tua itu hanya menggelengkan kepalanya.  Kemudian mukanya ditundukkan.  Matanya memandang hujung kasutnya yang berlubang kecil.  Pakaiannya agak comot.  Rambutnya tidak terurus.

”Baiklah.  Saya ceritakan kisah saya, manalah tahu cikgu mungkin ingat,”  ujar anak muda itu.

”Cikgu ingat tak, masa di bilik guru di sekolah, cikgu rotan saya di hadapan cikgu Rasidah dan seorang lagi pelajar perempuan, Ardila namanya... tanpa belas kasihan.  Masa itu saya minta ampun.  Minta maaf tapi cikgu tak peduli.” terang anak muda tadi.

”Maafkan pakcik, nak.  Pakcik memang tak ingat.  Entah bila berlaku?”  suara Cikgu Shahidan bergetar.  Rasa takut datang membalut dirinya.

“Mana boleh cikgu lupa.  Dulu cikgu guru disiplin sekolah tempat saya belajar.   Cikgu suka bertindak tanpa soal siasat.  Siapa betul, siapa salah.  Kenapa cikgu pukul saya depan orang?”  anak muda itu tiba-tiba meninggikan suaranya.

“Betul.  Pakcik tak ingat.  Murid pakcik bukannya sikit. Ramai.   Siapa anak ini sebenarnya?”  getaran suara Cikgu Shahidan masih belum reda.  Dia tidak berani menentang tenungan anak muda itu, yang bertubuh sasa.

“Kalau cikgu nak tahu, sayalah Mohd Nazri bin Mohd Noh atau lebih dikenali dengan panggilan E Kargo oleh kawan-kawan saya.  Pak Noh, nelayan yang dikenali ramai dahulu.  Pak Noh, juga pernah menjadi kawan cikgu.  Masih tak ingat lagi?”  Mohd Nazri bercekak pinggang.

“Hah! Kamu anak Pak Noh yang baru meninggal dunia dua tahun lepas?  Ya Allah, maafkan pakcik, nak.  Siapa nama kamu?” soalnya sambil mengangkat kopiah di kepala dan mengaru-garu. Mungkin keliru.

Mohd Nazri tiba-tiba memeluk Cikgu Shahidan.  Dia menangis gembira.  Pelukannya semakin kemas.

”Terima kasih cikgu kerana merotan saya.  Kalau cikgu tidak rotan saya ketika itu, mungkin saya tidak lagi menjadi manusia.  Saya minta maaf cikgu kerana sengaja berkasar dengan cikgu tadi.  Cikgulah semulia-mulia manusia yang berjaya mendidik saya.  Maafkan saya cikgu,”  Mohd Nazri melepaskan pelukannya.  Dia kembali duduk menghadap Cikgu Shahidan.

”Pakcik tak faham.  Apa yang terjadi ke atas kamu.  Siapa nama kamu tadi?” ulang pakcik tua itu lagi. Direnungnya wajah Mohd Nazri tanpa kerdipan. Disapu-sapu matanya berkali-kali dengan tapak tangannya.

”Mohd Nazri, cikgu.  Selepas mendapat keputusan SPM, saya terus memohon menyertai  Angkatan Tentera Malaysia. Hasil berkat kata nasihat yang cikgu berikan kepada saya dan disiplin yang diterapkan oleh Angkatan Tentera Malaysia. Dari menjadi seorang rekrut biasa hingga kini saya menjadi seorang mejar. Sekarang ni, saya digelar Mejar Mohd Nazri, Askar Melayu Di Raja.  Kerana rotan cikgulah saya berjaya dalam hidup ini.  Cikgu banyak merubah kehidupan saya.  Terima kasih cikgu.”  Mohd Nazri menggenggam erat kedua tangan Cikgu Shahidan.



Tersenyum Mohd Nazri, bila mengingati kisah lamanya. Ingin sekali dia berterima kasih kepada Ardila. Namun sayang, selepas kejadian dia menampar Ardila. Keluarga Ardila mengambil keputusan dengan memindahkannya ke sekolah lain. Manakala dia pula dilantik menjadi ketua kelas oleh Cikgu Rasidah selaku guru kelasnya.  Puas dia cuba mencari Ardila dengan menyoal beberapa kawan baik Ardila. Namun tiada seorang pun yang tahu ke mana dia dipindahkan. Cuma, seminggu sebelum mereka menghadapi peperiksaan, dia menerima sepucuk surat daripada Ardila. Dia masih terkenang kata-kata semangat yang diberikan oleh Ardila di dalam suratnya itu. Nasihat yang memberi keyakinan kepadanya untuk terus berubah. Dia sungguh berasa terkilan kerana tidak sempat memohon maaf kepada Ardila. Impiannya hingga kini, moga suatu hari nanti dia dapat bertemu dengan Ardila. Seorang gadis yang benar-benar berani menentangnya suatu ketika dulu. 






Ahad, 2 Mac 2014

KISAH QASIH (PEMBETULAN)


`Sunyinya…’ bisik Qasih. Qasih yang sedari tadi mengelamun di jendela, segera beredar menuju ke meja tulisnya. Bingkai gambar yang terletak di penjuru meja dipegangnya. Jelas kelihatan raut kedua insan yang disayanginya, yang mana telah membesarkannya ibarat semata wayang.  Qasih menyeka air jernih yang mula bertakung di kelopak matanya.  `Abah, mak, Qasih rindu sangat…’ bisik Qasih lagi. Dalam leka mengulit kenangan dia  terdengar suara anak kecil di luar jendela rumahnya bersama seorang lelaki tua.  Tatkala matanya terpandang kemesraan mereka, ingatannya terhadap kedua orang tuanya kembali bertandang satu persatu di hadapan mata.
*******
            Suasana rumah yang agak lengang pada cuti hujung minggu, memberi peluang abah untuk bermesra dengan Qasih.  Mak masih di dapur menyediakan makan malam,manakala abang-abangnya dan Kak Liya masing-masing di dalam bilik mereka. Abah dan Qasih pula duduk berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen.
            Abah dan mak sentiasa memanjakan  Qasih, begitu juga dengan Kak Liya dan abang-abangnya yang lain. Apa sahaja yang di ingini oleh Qasih pasti mereka cuba penuhi. Begitu juga dengan kehendak Abang Sudin. Malah semua anak-anak abah akan mendapat apa yang mereka minta selagi abah dan mak mampu untuk menyediakannya.
“Hang, pasai apa Qasih? Dari tadi abah dok tengok, hang lagu cacing kepanasan saja, awatnya?” soal abah.
`Aikk, abah perasaan ka?’ hatinya berkata.  Qasih menoleh memandang abah. Dari jauh dia  merenung wajah abahnya. Qasih bangun dan menghampiri abah, dalam hatinya sudah tersusun ayat yang ingin disampaikan kepada abah. Qasih menelan air liurnya. Sekali… dua kali dan ahkirnya.
“Abah, betoi ka apa yang Abang Sudin dok habaq kat cheq…?” belum sempat Qasih menghabiskan pertanyaannya, abah terus bersuara.
“Abang Sudin hang habaq apa?” abah menyoal sambil matanya masih memandang ke arah televisyen.
“Abang Sudin habaq… habaq…”
“Habaq apa? Dari tadi dok habaq… habaq…” balas abah lagi.
Kasih yang terkejut dengan jerkahan abahnya dengan pantas menjawab, “ Dia habaq, Qasih comey, anak mata Qasih warna coklat cair macam mata penyanyi Noorkumalasari, kulit Qasih putih… tak macam dia, hitam.” Balas Qasih.
`Fuhhh lega, mana datangnya idea dia membalas sergahan abah tadi,’ bisik Qasih lagi. Abah yang mendengar jawapan Qasih terus ketawa tak henti. Qasih juga tersenyum memandang abah.
“Itu aja, yang dok pikiaq sangat? Tok sah dok pikiaqlah, apa yang Abang Sudin hang dok kata tu…” sindir abah.
“Abah, kalau macam tu… abah belanja sate, boleh? Dah lamalah tak makan sate,” pujuk Kasih.
“Oooo… nak makan sate rupanya, pi habaq kat mak… tok sah dok masak banyak. Sat ni kita pi beli. Ni pun dah nak maghrib,” balas abah sambil membelai rambut Qasih yang ditiup kipas angin.
*******
Abang Sudin sentiasa mencari sebab untuk membuli Qasih. Qasih akan menangis, jika tidak tahan dibuli oleh abangnya.   Bukan abangnya saja yang mengusik, nanti semua kawan Abang Sudin pun turut sama mengusiknya. Bila disergah oleh jiran-jiran, barulah mereka berhenti.  Begitulah seterusnya hingga Qasih memencilkan diri di dalam rumah sahaja. 
            Kasih masih ingat lagi… pernah suatu malam, ketika Qasih…  Kak Liya dan Abang Sudin mengaji Al-Quran di rumah tok wan yang berada di tingkat satu.  Tok wan yang sedang leka mengajar Kak Liya mengaji, tiba-tiba terdengar Qasih menangis sekuat hati.  Sehingga tok wan terpaksa berhenti mengajar Kak Liya mengaji dan tergesa-gesa berlari menjenguk Qasih.
            “Huu… huu… huu… Abang Sudin jahat… Abang Sudin jahat. Dia kata, Qasih anak pungut. Betoi ka… tok wan?” mengadu Qasih kepada tok wan.
            “Sudin! Hang mai sini… awat yang hang dok ketegaq sangat ni! Hang tau tak, ni adik hang? Yang hang sibuk dok pi kata dia anak pungut tu pasai apa?” marah tok wan.
            “Mana ada tok wan, memang dia anak pungut apa? Masa mak ngan abah pi Kuala Lumpoq, perut mak kempis.  Tup, tup… bila balik mai, abah ngan mak dok dukung budak kecik.? Budak ni lah.” Jawab Abang Sudin sambil menunding jari ke muka Qasih.
            “Dah naa… Qasih, jom kita balik. Kita pi habaq kat abah naa. Biaq abah pukui Abang Sudin” nasihat Kak Liya.
            Abang Sudin tetap tidak berpuas hati, malah masih sempat lagi mengusik adiknya.  Di angkat kedua-dua tapak tangan, dan di letaknya di tepi telinga.  Dikibas-kibasnya tangan ibarat telinga gajah yang sedang mengibas sambil menjerit.
            “Qasih anak pungut yeh… Qasih anak pungut yeh… jumpa tepi longkang yeh.” Diulang beberapa kali, sehinggakan kawan-kawan Abang Sudin pun ikut serta berlagu.
            “Hang tak pa Sudin.  Hang tengok sat ni, aku habaq kat abah. Biaq hang kena pukui
 ngan tali pinggang hitam abah tu. Baru hang nak tau kot, hang tak ingat ka… apa abah dok pesan kat kita?” berleter Kak Liya sepanjang menaiki tangga untuk balik ke rumah.
            Sepanjang menaiki tangga, Qasih menangis tersedu-sedan.  Puas dipujuk oleh kakaknya, tetapi  tidak juga Qasih berhenti menangis. Habis semua jiran menjenguk dari pintu rumah mereka.  Sampai saja di rumah dan belum sempat Kak Liya hendak memanggil mak, terdengar suara abah dari dalam bilik menjerit menyoal Kak Liya mengapa Qasih menangis.
            “Ni… awat yang dok teriak, macam orang kena tibai ni.  Sapa pulak yang dok usik adik hang ni, Liya?” tanya abah.
            “Sudin… abah. Dia yang dok usik Qasih, orang dok elok-elok mengaji, dia pi dok ejek Qasih.   Qasih bukan dok usik dia pun.  Dia tu dok sibuk kata Qasih anak pungut. Sampai tok wan marah pun, Sudin dok ejek dia lagi, abah.” mengadu Kak Liya.
            Abah yang memang panas hati dengan perangai Abang Sudin terus masuk ke dalam bilik. Keluar saja dari bilik, di tangan abah terdapat seutas tali pinggang hitam.  Tali pinggang itu, abah selalu guna bila abah berpakaian seragam polis.  Digulungnya tali pinggang itu sambil menjerit memangil Abang Sudin.  Nampak saja kelibat Abang Sudin, abah dengan lantangnya bersuara.
            “Hey… Sudin! Hang mai sini sat.  Berapa kali aku nak habaq kat hang.?  Berapa kali hang nak kena pukoi ngan aku?  Hang tak serik no… awat yang hang dok ketegaq sangat ni? Hang tau dak, Qasih tu adik hang?” Sambil menghayun tali pinggang itu ke belakang badan Abang Sudin.
            “Aduh… sakit abah!” Jerit Abang Sudin.
            “Abah… sakit, mak tolong Sudin!” Jerit Abang Sudin lagi.  Merintih suara Abang Sudin ketika itu.
            “Hang nak ejek adik hang lagi? Hang nak kata yang bukan-bukan kat dia lagi? Hang habaq mai kat aku la ni, Qasih tu sapa?” laung abah.
            Masih terdengar esakkan mak di penjuru bilik sambil berkata… “sudahlah abahnya… depa budak kecik lagi, tak tau apa-apa.”
Qasih, binggung dan dia masih dapat menangkap apa yang di maksudkan dengan `depa budak kecik lagi, tak tau apa-apa’.   Dia menyimpan niat, satu saat akan dirungkaikan juga apa yang dimaksudkan oleh maknya itu. 
*******
Masa terus berlalu dan usia mereka pun meningkat dewasa. Semenjak peristiwa itu, Abang Sudin tidak lagi berani mengusik Qasih, malah hubungan Abang Sudin dengan Qasih tetap dingin. Puas Qasih cuba untuk menghampiri Abang Sudin, namun tak pernah diendahkan. Sebaliknya antara Qasih dan abangnya yang lain dan Kak Liya tetap baik seperti biasa.
Abah pula telah tamat perkhitmatannya sebagai anggota polis. Ketika Qasih berusia lima belas tahun, Mak telah pergi mengadap Ilahi buat selama-lamanya.  Bertambah bencilah lagi Abang Sudin terhadap Qasih. Qasih masih ingat lagi, pada malam yang ke empat puluh hari, semasa abah membuat kenduri arwah untuk mak, Qasih di dalam bilik… datang Abang Sudin sambil memegang lengennya dan bersuara,
            “Hang ingat Qasih, sampai bila pun… hang bukan adik aku… dan hang tetap anak pungut yang abah jumpa kat tepi longkang.” Tegas suara Abang Sudin.
Jelas terpancar api kebencian di wajahnya.  Ini mengingatkan Qasih pada suatu peristiwa dimana waktu itu, Qasih hanya tinggal berdua bersama maknya. Sambil mencabut uban di kepala maknya, Qasih pun bersuara…
              “Mak… mak tahu tak pasai apa nama abah adik Syamsudin, bukannya Nordin?”
              “Qasih, kan abah dah cakap… abah kerja polis.  Poliskan kena menyamar, sebab tulah namanya perlu banyak,” balas maknya sambil memalingkan mukanya melihat Qasih.
              “Tapikan mak, Abang Sudin selalu cakap… yang Qasih ni cuma anak pungut ja. Kutip kat tepi longkang?”
              “Pandai betui Abang Sudin hang kan. Nanti mak marahkan dia na?” jawab mak sambil membelai rambut Qasih.  Serta merta mak memeluk Qasih dan mencium kedua-dua belah pipinya.
              Jawapan mak sama sekali tidak menghalang  Qasih untuk mengetahui kisah sebenarnya. Kenapa dan mengapa Abang Sudin tidak seperti abang-abangnya yang lain.
              Kesihatan abah pula mengganggu hati Qasih. Suasana rumah yang sunyi mungkin membuatkan abah teringat kepada isterinya. Dari dalam bilik abah, Qasih terdengar namanya dipanggil.  Berlari Qasih mendapatkan abah yang terlantar di atas katil. Selepas mak meninggal, sakit abah menjadi-jadi. Kencing manis abah pada tahap kritikal dan abah sudah tidak mampu berjalan. Kini abah hanya mampu duduk dia atas kerusi roda sahaja.
            “Qasih… boleh Qasih janji dengan abah?” kedengaran sayu suara abah.
            “Janji apa abah?”
            “Janji dengan abah, besaq nanti Qasih jadi polis na. Pegawai Polis.” terbatuk-batuk abah untuk menghabiskan perkataan yang hendak disampaikan.
            “Insya Allah abah…” jawab Qasih sambil memandang abahnya. Dalam hati kasih berbisik `andai Qasih bukan anak abah pun, akan Qasih sayang abah sampai bila-bila.’
            Hari berganti hari, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun. Qasih membesar sama seperti anak gadis yang lain.  Ketika umur Qasih menjangkau 17 tahun, hidup Qasih seakan terbiar.  Kasih kekurangan kasih sayang dan perhatian.  Bukan kerana kesempitan hidup, cuma terpaksa berpisah dengan abah.  Abah dan Abang Sudin tinggal bersama Kak Liya dan Qasih terpaksa tinggal bersama Abang Tam di utara.
            Suatu hari, Abang Tam sekeluarga serta Qasih ke rumah Kak Liya di Kuala Lumpur.  Gembira bukan kepalang Qasih, bila dapat melihat abah.  Mengalir air jernih di pipi abah melihat Qasih di hadapan  matanya.  Sedang leka Qasih berbual bersama abah, tiba-tiba rumah Kak Liya, dikunjungi sepasang suami isteri.  Kasih perhatikan mereka dan mengalih pandangan ke wajah abah.
            “Qasih… mai kat abah sat…” Qasih yang berdiri tidak jauh dari situ, datang menghampiri abah sambil melemparkan senyuman kepada pasangan suami isteri tersebut.  Dalam hati Qasih berkata `ehh… bukan depa ni ka…  yang ada sama masa mak meninggal?’
            “Qasih, abah minta maaf naa… mungkin apa yang abah nak habaq kat Qasih ni,akan mengguriskan hati dan perasaan Qasih…” sambil memandang, abah memegang tangan Qasih dengan kuat sekali.  Qasih terdiam, begitu juga yang lain. Kak Liya dan Abang Tam juga diam.  Dari jauh kelihatan Abang Sudin sedang memandang Qasih dengan senyuman sinisnya.
            “Abah, habaqlah.  Janganlah buat Qasih rasa bersalah dengan abah.  Abah ada rahsia yang hendak beritahu Qasihkan?” balas Qasih.
Berkerut wajah abah.  Seperti besar masalah abah.  Kasih perhatikan juga pasangan suami isteri itu.  Jelas, raut wajah mereka juga kelihatan keresahan.  `Rahsia apakah ini?’
            “Qasih… sebenaqnya depa  berdua ini…” belum sempat abah menghabiskan ayatnya, Qasih terlebih dulu bersuara.
            “Depa ni, mak bapak Qasihkan? Depa ni, yang buang Qasihkan? Depa ni, yang buang Qasih tepi longkangkan? Selama ni, memang betoila… apa yang Abang Sudin dok habaq kat Qasihkan?” Bercucuran airmata Qasih. Tersekat-sekat suara Qasih menahan getar airmata yang mengalir. Semuanya terdiam. Ternganga mulut Abang Sudin. Entah dari mana, Kak Liya datang mententeramkan keadaan.
            “Abah tau tak selama ni apa yang Qasih nak tanya kat abah ” balas Qasih sambil memegang tangan abah. “ Qasih hendak tahu sangat betui ka Qasih ini anak abah? Pasai apa, nama abah tak sama dengan nama yang tertulis di dalam kad pengenalan Qasih. Tapi Qasih pendam, Qasih tak mau susahkan hati sesiapa,” terang Qasih dengan suara yang tersekat-sekat.
“ Kasih tau, sampai la… ni, Abang Sudin bencikan Qasih, kerana Qasih… Abang Sudin rasa terpinggir… kan. Abang Sudin?” balas Qasih sambil mengalihkan pandangannya kepada Abang Sudin.
Abang Sudin bisu seribu bahasa, padahal selama ini suara dialah yang paling lantang memanggilnya anak pungut. Sehingga hari ini Qasih tidak pernah lupa walau sepatahpun perkataan yang Abang Sudin selalu sebut. `Anak pungut’ ya… `anak pungut’.
              “Astarafirullah Qasih… jangan dok kata lagu tu, tu semua tak betoi.” Abah kembali bersuara. “Sebenaqnya, Qasih cucu abah… dan lelaki ni… “ sambil menunjukkan lelaki yang berdiri sebelah abah, “lelaki ini anak abah dan perempuan ini pula menantu abah”  jelas abah.
              “Keluarga  Qasih dulunya hidup susah, adik beradik Qasih ramai. Abah dan mak tak sanggup melihat keadaan mereka, kebetulan Kak Liya hang dok merengek nakkan adik perempuan. Pada masa yang sama, anak abah yang dok kat Selangor talefon kata menantu abah dah selamat melahirkan anak perempuan. Itu sebabnya abah dan mak hang ke sana. Ambik Qasih dan bela dia sebagai anak sendiri. Perkara ini cuma Kak Liya hang sorang saja yang tau,” panjang lebar abah menjelaskannya lagi.

               Penjelasan abah itu membuatkan semua yang berada di dalam rumah itu terperanjat. Termasuklah Abang Long, Abang Ngah, Abang Tam dan juga Abang Sudin. Masing-masing terkejut dengan penjelasan abah. Kak Liya Cuma tersenyum memandang Qasih. Qasih segera memeluk abah. `Terima kasih abah. Qasih sayang abah sampai bila-bila.’