BAB
3
Usai
solat maghrib, Dira ke dapur menolong emaknya menyediakan makan malam untuk
mereka sekeluarga. Ayahnya baru saja pulang daripada kerja, manakala abangnya
masih di hadapan, menonton televisyen. Setelah siap semua terhidang di atas
meja, dipanggilnya mereka, sebelum dia sendiri menghilangkan diri ke dalam
bilik.
Mereka
begitu faham dengan perangai Dira. Mana mahunya makan malam dan abangnyalah
yang menjadi mangsa menghabiskan lauk-pauk itu. Dira yang berada di pintu bilik
bergerak ke ruang tamu; menjengah- jengah ke luar rumah apabila seakan
terdengar namanya diseru-seru. `Isk… maghrib pun tak habis lagi, dah nak menakutkan aku’ ngomel Dira sendirian. Melingas matanya.
“Oii!
Akulah Aizat,” seru Aizat sekali lagi. Terkejut Dira bukan main. `Buat apa pulalah
mamat ni… dah malam pun nak ganggu orang kah?’ sekali lagi dia bersuara
perlahan.
“Dira,
sinilah. Tolong aku. Pasal pementasan
tu…” rayu Aizat.
“Ya,
sabarlah… nak tutup dulu televisyen ni. Membazir elektrik pula nanti,”
balasnya. Lantas, tangan Dira sudah menekan suis yang menyambungkan televisyen.
Sedang dia terjengket-jengket menuju ke beranda rumah, terdengar suara parau
berdehem.
“Dira,
dengan siapa pula kamu bercakap tu?” tanya ayahnya dari arah dapur.
“Dengan
Aizat, ayah… kami kat beranda rumah ni,” balas Dira dengan lantang sambil
melangkah ke beranda. Terhenti langkahnya kala suara ayah kedengaran semakin
nyaring.
“Dah
malam ni. Tak boleh tunggu esok ke?” separuh amaran separuh sindir daripada
ayahnya. Dira terdiam. Tidak tahu hendak menjawab. Ada sahaja yang tidak kena
pada mata ayahnya jika Aizat bertandang ke rumah.
“Dira…cepatlah,”
gesa Aizat yang tak sabar di luar rumah. Dira melangkah lemah menuju kepada
Aizat. Hanya berbaju t-shirt dan berseluar trek, Dira memerhati wajah monyok di
hadapannya. Seperti berat sungguh beban yang ditanggung Aizat waktu itu.
“Mengapa,
kanda… wajahmu bermuram begitu rupa? Hingga seram tubuh dinda melihatnya,”
mendayu suara Dira menyoal dalam gaya bahasa berima. Bukan main lagi tangannya
tergawang-gawang di udara.
“Isk…
kau ni, aku serius tau tak? Kau buat lawak bolehkan. Aku taulah, aku tak cekap.
Menghayati watak kah, buat mimik muka kah. Nak… nak, masa bersandiwara dengan
kata-kata cinta…” keluh Aizat yang masih lagi berdiri di anak tangga.
“Kalau
ya pun, naiklah dulu. Kerusi kat beranda rumah aku ni banyak. Pilih yang mana
nak duduk. Lepas tu barulah bercakap… tenang gitu,” pelawanya sambil
berseloroh.
Dia
masih tersenyum dan dalam waktu yang sama hairan dan bertambah pelik dengan
sahabatnya itu. Ditenungnya wajah Aizat dalam simbahan samar cahaya lampu
jalan. Dalam diam dia mengakui dirinya dan Aizat bagai hempedu lekat di hati.
Acapkali bila Aizat susah hati atau menghadapi masalah, pasti dirinya yang akan
dicari. Begitulah sebaliknya, mereka akan mencari antara satu sama lain untuk
melepaskan tekanan yang dihadapi. Sekali lagi dia mencuit bahu Aizat dalam masa
yang sama bahunya dijongketkan.
Sambil
meramas rambutnya yang tebal tersisir rapi,
pemuda akhir sembilan belas tahun itu meluahkan isi hatinya. “Bukan apa
Dira, minggu depan kan latihan teater…”
“Kenapa
dengan minggu depan? Kau tak yakin kah? Cuba terangkan kat aku, bahagian mana
yang buat rasa susah sangat tu?” belum habis diluahkannya, Dira terus memotong kata Aizat.
“Itu,
okay Dira. Cuma bila masa kita berpadu suara tu… aku tak yakin boleh menjiwai
atau tak? Lagi satu… suara ni, bukannya merdu pun. Hendak samakan dengan suara
Jamal Abdillah, pulak tu. Lagilah jauh panggang dari api,” terang Aizat sambil
menunjukkan anak tekaknya.
Ketawa
Dira mengekek hingga terlimpah butir-butir mutiara. Cepat disekanya dengan
hujung jarinya. Aizat menarik muka empat belas sambil menjuihkan bibirnya.
Dalam masa sama memalingkan wajahnya mengintai waktu yang terlekat di dinding
ruang tamu rumah Dira.
“Aizat,
apa kata kalau esok pagi… kita pergi berjoging. Itu salah satu aktiviti
menambah stamina bila berlagu nanti,” cadang Dira.
Mengalih
pandangan tanpa sebarang jawapan. Dia terdiam. Tidak tahu apa yang terlintas di
fikiran Aizat. Tin biskut yang sedari tadi berada di atas meja di beranda rumah
segera dicapainya. Lalu dibuka penutupnya dan mengambil sekeping biskut lemak
manis, langsung dihulurkan kepada Aizat. Dalam diam huluran itu disambut dengan
senyuman.
“Biskut
saja kah? Milo kah, kopi kah, tak ada? Pergilah ambil, dari tadi bersembang dah
naik kering tekak aku ni. Dah macam Gurun Sahara dah ni!”
Arah Aizat tanpa rasa malu. Merah merona wajah Dira dibuatnya. Kelam kabut dia
bangun dan terus menuju ke dapur. Di pertengahan jalan bertembung pula dengan
Abang Nazim. Daripada lagak abangnya itu, dia sedar kunjungan hormat Aizat itu tidak
disenangi olehnya.
“Ke
mana…?” tegurnya dengan wajah kelat.
“Dapur,
ambil air,” jawab Dira acuh tak acuh.
Sedang
dia membancuh air di dapur, terdengar suara bertingkah. Meskipun sayup-sayup,
dia tahu suara itu milik siapa. `Aduh! Mereka berdua ni… memang tak boleh
jumpa. Ada aja hal yang hendak dibawa bergaduh,’ ngomel Dira lagi. Air yang
telah siap ditatangnya keluar.
“Abang!
Dengan Aizat pun nak bergaduh ke? Malam ni tajuknya apa pulak?” soal Dira
sambil menghulur air kepada abangnya dan juga Aizat.
“Tajuknya,
nak tahu ke?” Belum sempat Dira menjawab, “tajuknya Tak Malu Datang Rumah Anak
Dara Orang Malam-Malam,” sambung Abang Nazim lagi sambil menghembus asap
rokoknya ke muka Dira. Muka Dira menjadi merah. Malunya pada Aizat dengan
keceluparan abangnya itu tidak tergambarkan. Mahu disorok sahaja mukanya.
“Apa
abang cakap ni?” Dira terasa membahang dengan sikap abangnya. Abang Nazim
berdiri mendekati Dira.
“Betul
apa. Kau tu anak dara. Nanti tak manis orang tengok berdua-duaan kat beranda
rumah pula tu. Nanti orang kata mak ayah tak pandai jaga anak.”
“Kami
tak buat apa pun. Bincang pasal teater dan nak pergi jogging aja,” bentak Dira
tak senang hati melihat sikap abangnya. Malah, bertambah malu mahu menghadap
muka Aizat. Aizat pula sudah mula menggaru kepala yang tak gatal pun.
“Macamlah
orang kampung nak tanya kamu bincang apa? Mulut mereka bukan boleh ditutup,”
balas Abang Nazim
“Abang,
saya takkan usik Dira…”
“Aku
cakap dengan adik aku. Kau jangan masuk campur. Dan kau pula Dira, kau tu
tanggungjawab aku. Jaga kehormatan keluarga sikit. Macamlah kamu tu budak kecil
lagi,” tegur Nazim berbaur amaran. Telunjuknya mengarah ke arah Aizat dan
matanya membutang.
“Dahlah
Dira, senak perut aku dengan ceramah malam-malam ni. Aku balik dululah. Esok
pukul berapa?” soal Aizat.
“Lebih
kurang pukul tujuhlah, kau datang sini dulu. Lepas tu baru kita joging,” terang
Dira. Langsung tidak mempedulikan kata-kata abangnya. Dia tahu dia tidak
melakukan kesalahan apa pun. Mengapa harus berasa takut? Aizat terus
meninggalkan mereka dua beradik tanpa pamitan. Geram sungguh dia dengan sikap
Nazim. Entah mengapa abangnya itu selalu tidak setuju angin bila melihat Aizat
bersama dengannya.
“Abang!
Kenapa buat macam tu. Salahkah kami nak berbual? Bukan bual kosong pun? Ni
fasal teater muzikal kat sekolah,” terang Dira saat melihat pandangan mata
abangnya menikam tajam.
“Tak
habis-habis dengan teater. Keputusan STPM esok-esok ni, tak tahulah tu berapa.”
sindir abangnya.
“Insya-Allah,
abang. Dira yakin, akan lulus dengan cemerlang. Tak usahlah abang risau. Cuma
satu aja, abang jangan buat Aizat macam musuh. Kitakan dah lama berjiran.
Takkanlah kerana cinta tak sampai, habis semua orang abang marahkan,” tegur
Dira.
Terdiam
Nazim. Ditenung wajah mulus di hadapannya. Dira, adik yang satu-satunya menjadi
harapan keluarga agar dapat menyambung pengajian ke menara gading. Itulah
harapan mak dan ayah. Dira telah lama menghilang ke dalam rumah, yang
kedengaran hanya suara dari corong pembesar suara televisyen. Tidak pasti siapa
yang menontonnya. Nazim masih lagi di luar. Kata-kata adiknya sebentar tadi
terus membuai rasa. Satu-demi satu kenangan itu kembali terbentang di
hadapannya.
Watie,
Rosmawatie. Suatu masa dahulu pernah bermukim di hati. Cinta sejak zaman
sekolah. Hanya Watie, idaman hati. Bertahun lamanya cinta bersemi. Segala lafaz
janji termaktub dalam satu ikatan suci. Namun tidak siapa menduga. Cinta
tiba-tiba beralih arah. Ikatan pertunangan diputuskan.
Walaupun
dia menerima dengan hati yang terbuka, namun masih ada kesan yang terpalit di
jiwa. Luka yang tiada parutnya. Luka yang tidak tampak di mata. Cuma hati dan
perasaan menanggung derita. Namun terkadang masih meramas jantungnya. Masih
terbayang diingatannya, setiap awal bulan dia akan ke Bandar Kangar
menghiburkan buah hati yang tersayang.
“Watie,
abang kerja kilang aja. Harap Watie sudi terima abang seadanya. Kita bertunang
dulu ye,” tutur Nazim lembut sambil mengunyah mee goreng yang masih panas
berasap.
“Watie
tak kisah bang. Cuma Watie risau mak dan ayahlah. Bukan abang tak tahu sikap ayah
Watie? Bila datang angin puting beliung habis semua berterbangan. Tambah pulak
dia memang tak suka kita berkawan sejak sekolah lagi.” balas Watie.
“Sabar
Watie, selagi kita jujur sesama kita. Ikhlas dalam perhubungan, abang yakin
impian kita pasti nyata. Doakan sahaja,” lirih Nazim bersuara sambil menyedut
teh ais yang sudah cair aisnya.
Merenung
bulan yang mengambang, diri menjadi bimbang. Hingga kini masih bujang,
sedangkan Watie sudah punya anak sepasang. Sesekali bila pulangnya Watie ke
kampung, Nazim pasti menghilang. Tidak sanggup dia melihat insan yang pernah
disayanginya bermesra di hadapan mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan