Jumaat, 6 Februari 2015

JEBAT ~ HERO HIKAYAT CINTA bab 5


BAB 5.


Tepat jam 9.00 pagi. Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi semakin riuh. Segala props pentas teater tersusun di bahagian belakang pentas. Mujurlah tahun ini sekolah mereka dipilih menjadi tuan rumah bagi pertandingan pementasan teater muzikal. Sekolah mereka mempertaruhkan tajuk Hang Jebat~Hikayat Sri Cinta. Ahli-ahli dari kelab kebudayaan kelihatan sibuk ke hulu ke hilir. Ada yang sibuk mengalihkan susunan kerusi, ada yang sedang membilang sesuatu, manakala yang lain sedang berbincang mengenai kedudukan meja juri, sekadar memberi sentuhan terakhir sebelum pertandingan sebenarnya bermula.

Amir Sanusi, selaku ketua kelab begitu tekun memberi arahan. Tugasan tatarias pelakon diserahan kepada Intan dan beberapa ahli lagi sebagai pembantu.  Di hujung penjuru belakang pentas kelihatan Aizat dan Dira sedang bersiap mengenakan busana tradisional bangsawan. Begitu juga Hidayah dan Nazrul. Begitu segak dan menawan kelihatan mereka berpakaian begitu rupa. Dari jauh dia memandang kesemua sahabatnya, namun tatkala matanya tertumpah kepada seraut wajah yang tampak sungguh ayu, terus berdegup kencang jantungnya. Ada rasa getar di situ.

Sedang leka  mengelamun, bahunya dicuit oleh Cikgu Rogayah. Tersipu malu dirinya bila cikgu perempuan yang lebih kurang sebaya emak saudaranya itu, membisikkan sesuatu ke telinganya. Tersengih dia membalas senyuman dari cikgunya lantas sepantas kilat dia berjalan  dan menuju ke arah para pelakon  yang mengambil bahagian.

“Wey!  Dah sedia nak mula ni. Kali ini semua babak kena buat tau?” terang Amir sambil menghulurkan kertas yang mengandungi lirik lagu kepada mereka berempat. “Dah! Jom semua naik pentas, sambung terus babak kedua… babak Penyair Bidasari menyanyi lagu Berkorban Apa Saja tu. Ingat Dira… mula-mula duduk di kerusi, nanti bila masuk rangkap kedua tu… baru bangun berdiri,” sambungnya sambil menunjuk ibu jari tanda bagus kepada mereka semua.

Buat pertama kalinya, dia mengambil alih sebagai pengarah menggantikan tempat Cikgu Rogayah. Cikgunya hanya mampu tersenyum memandang anak muridnya dan yakin akan kebolehan anak muda ini yang telah lama menjadi pembantunya dalam pementasan drama dan teater. Lantas Amir terus menjerit dan memberikan isyarat mula.
Dira yang sudah bersedia duduk di kerusi yang disediakan sementara menunggu muzik dibunyikan terus melambai tangannya ke arah Aizat. Aizat yang pada ketika itu memang sedang merenung Dira segera datang mendekat.


“Kenapa ni?” soal Aizat yang begitu segak dengan pakaian baju Melayu lengkap bersampin dan bersongkok.


“Saja… nak ambil `feel’ dulu. Nanti bila aku dah mula nyanyi… kau turunlah semula ya,” pinta Dira sambil mengenyitkan matanya kepada Aizat.

Aizat segera mengangguk tanda setuju. Sambil mengenggam jari jemarinya, gadis yang berwajah ayu yang berdiri begitu rapat dengannya mula bersuara,  melemparkan nada yang paling gemersik sehingga terkesan di hati jejaka yang sedang memerhatikannya. Panahan anak mata Dira begitu menyentap tangkai jantungnya.

`Berkorban apa saja…
Harta atau pun nyawa…
Itulah kasih mesra…
Sejati dan mulia…

Sehinggalah tamat lagu itu dinyayikan oleh Dira, Aizat masih lagi di hadapannya dan genggaman mereka masih lagi bertaut. Terpegun mereka  mendengar suara Dira mengalunkan lagu.  Dari jauh, kelihatan Hidayah selaku watak Puteri Lemah Gemalai datang menghampiri Dira yang memegang watak Penyair Bidasari. Ketika itu barulah Aizat meninggalkan puterinya sendirian.

“Duhai sahabatku… sungguh merdu suaramu. Bak puteri turun dari kayangan. Hingga beta yang mendengarnya terus berangan-angan dalam sendu. Mengapa begitu rupa lagunya?” tegur Puteri Lemah Gemalai.


“Sekadar terbias di alam mimpi, sebentar tadi. Kanda Jebat hadir menyimpul kasih. Hamba bertingkah manja, lembut dan mengerti. Namun, kala terjaga terasa diri bagaikan disimbahi titik-titik  rembesan air mata langit. Hati dipagut rasa terkilan, bergundah gulana jadinya. Kanda Jebat tiada di sisi,” lirih suara Penyair Bidasari.

Puteri Lemah Gemalai segera datang menghampiri, disapunya rintik jernih yang kian bertakung dari melimpah. Memegang kedua-dua tangan sahabat baiknya lantas bersuara, “Penyair Bidasari, jangan sesekali berfikiran demikian rupa. Rosak hati beta retak pertujuh. Tiada tertahan rawan di jiwa. Kanda Jebat dan Kanda Tuah dua bersaudara.  Kerana perintah Sultan mereka ke sana. Moga mereka berdua dijauhi dari malapetaka.”

“Puteri Lemah Gemalai, dengar ya,” lalu bangun sambil memerhati sekeliling lantas menuturkan bicara.

`Pohon kelapa di tepi muara,
Pohon yang rendang si pohon manggis,
Walaupun di bibir hamba sentiasa ketawa,
Tidakkah tuan puteri sedar, di hati hamba menanggis?’

“Jangan menangis sahabatku Penyair Bidasari. Dengar sini kata bicaraku,” luah Puteri Lemah Gemalai seraya memegang bahu sahabatnya.

`Bunga cempaka bunga kemboja,
Kembang di taman harum baunya,
Mengapa harus merasa kecewa?
Bukankah Kanda Jebat sudah mengaku cinta?’

“Bukan begitu, Penyair Bidasari?” sambung Puteri Lemah Gemalai lagi sambil tangannya mengoncang bahu sahabatnya.

`Anak dara menanam bunga,
Bunga di tanam di dalam pasu.
Memang benar kami bercinta,
Hati hamba yang derita merindu.’

“Tuan puteri faham kah? Rindu hamba padanya. Walau baru sehari berpisah. Terasa lama sudah tidak bersua,” keluh Penyair Bidasari sambil mengurut dadanya.

“Oh! Begitu. Usah risau sahabatku, selagi ada Kanda Tuah. Kanda Jebat tidak akan berani menduakan dinda. Percayalah. Ayuh! Jangan bersedih begitu rupa. Nanti ketawa dilihat si burung kakak tua,” balas Tuan puteri. “Dengar sini ya, sahabatku,” sambungnya lagi.

`Bunga ditanam di bajai selalu,
Baja dibeli di kedai Cik Su,
Bersabarlah duhai sahabatku,
Kalau dah jodoh pastikan bersatu.’

“Sabarlah sedikit, bak kata Kanda Tuah pada beta, perginya tak lama. Sebulan dua baliklah mereka.Arahan Sultan Mahmud harus dikota, demi menyelamatkan jiwa rakyat jelata.”

“Kalau begitu bagai dikata, tidaklah hamba berfikiran walang. Ayuh, kita pergi. Nanti tercari-cari hulubalang pengiring tuan puteri di seluruh taman ni. Kecoh bunyinya,” tutur Penyair Bidasari menampakkan lagi seri di wajahnya yang tadi bermuram duka.

            SELESAI SUDAH BABAK PERTAMA.

Mereka berhenti rehat untuk babak kedua. Kali ini babak antara Hang Tuah dan Hang Jebat pula.

            “Aizat, Nazrul… ingat! Mula-mula sekali sebelum dialog, kamu berdua akan mendendangkan lagu. Apa tajuknya Amir?” soal Cikgu Rogayah sambil berjalan menghampiri jejaka hitam manis yang tidak lekang memandang Dira secara curi-curi.

            “Mawar Putih Tanda Perpisahan, cikgu. Cikgu, lagu ni nanti Aizat dengan Dira yang kena nyanyikan.” Jawab Amir. “Tapi kan cikgu, suara Aizat ni, macam tak kenalah. Sumbang. Dahlah selalu lupa lirik. Penghayatannya tu, kurang…” adu Amir kepada Cikgu Rogayah.

            Aizat yang mendengarnya mula berasa sakit hati. Bengang dia dengan kata-kata Amir itu. Dia tenung wajah Amir. Malah Amir juga membalas pandangan Aizat. Geram, benci dan cemburu. Semuanya sudah bercampur baur.

            “Amir, cakap tu berlapiklah sikit. Tak apalah cikgu. Saya akan buat latihan  lagi,” terang Aizat. “Dira, nanti ada masa terluang tolong aku ya.” Pinta Aizat lagi.

            “Boleh kah Dira? Tolong Aizat ni,” soal Cikgu Rogayah kepada Dira

            “Insya ALLAH,” balas Dira.

“Cuma saya nak pastikan lagu ini didendangkan sebelum Hang Tuah berperang dengan Kerajaan Temasik atau selepas semua babak tamat?” soal Amir lagi sambil mencebikkan bibirnya. Jelas menujukannya kepada Aizat.

            “Biar sehingga tamat baru lagu nyanyi satu persatu,” balas Cikgu Rogayah lagi sambil menepuk-nepuk bahu anak muridnya. “Good  job, Amir,” sambungnya lagi.

Hang Jebat mengelamun jauh, bahtera yang terdampar di tengah laut dipandang sepi. Rindu hatinya bak retak pertujuh. Wajah Penyair Bidasari sering bermain di layar mindanya. Kedengaran suara sayup merayu merintih kesedihan. Tidak diketahui apa puncanya. Penat berdiri, dicari pula tempat untuknya duduk. 

Bermain dengan ranting-ranting kering, di fikiran sesungguhnya runsing. Hang Tuah sedar perubahan adindanya, dari jauh dia tertanya-tanya. Mengapa keruh di wajah adindanya? Segera dia menghampiri.

“Adindaku Hang Jebat, mengapa sedari tadi wajahmu kelat ibarat tertelan sekacip pinang. Kelihatan terkalang dikata terasa di hati, luahkanlah agar dapat kanda tahu apa masalah dirimu?” tegur Hang Tuah lalu duduk menghadap Hang Jebat.

Segera Hang Jebat memandang wajah kandanya. Berdiri lalu memeluk tubuh, menggaru dagunya seketika, “entahlah Kandaku Hang Tuah, tidak sedap hati hamba rasa… seperti ada yang tak kena dalam hati hamba. Tidak terjawab dengan kata-kata,” keluh Hang Jebat.

“Adindaku Hang Jebat, kanda tahu apa yang sedang bersarang dalam fikiranmu. Tiada siapa yang dapat mengungkitnya dengan besi hangat sekalipun. Dua hati sedang dilamun cinta, sememangnya tidak dapat dipisahkan. Namun adinda kena sematkan dalam diri, terlanjur berdakwat biarlah hitam. Arahan Sultan Mahmud harus kita lakukan. Kerajaan Temasik perlukan bantuan kita untuk menentang musuh daripada Kerajaan Sumanji.  Musuh harus kita musnahkan. Membalas jasa Kerajaan Temasik, yang pernah menolong Sultan Mahmud suatu ketika dahulu. Agar mendapat kepuasan kepada kita juga kepada Sultan Mahmud,” terang Hang Tuah panjang menjela.

“`Cut Off’, okay… rehat dulu. Semakin pandai kamu bermain dengan mimik muka sekarang ya, Aizat. Ciri-ciri Hang Jebat sudah meresap dalam jiwa kamu ya? Resepi apa yang Dira sudah berikan  kepada kamu ni, Aizat?” soal Cikgu Rogayah. Merenung wajah di hadapannya serta menanti jawapan dari anak muridnya yang semakin lama mulai memikat dirnya dengan gaya persembahannya yang bersahaja. Ahkirnya dia tersenyum sendirian. `Arrr, jiwa anak muda.’ Berdetik di hatinya. Dira menghampiri Aizat lalu menghulurkan sebotol air mineral. Aizat mengeleng tidak mahu, tetapi tetap dipaksa oleh gadis itu. Ahkirnya mengalah juga , lantas teringat dia akan janjinya kepada Dira tempoh hari.

“Dah lupa ya, mana boleh minum air sejuk? Minum aje mineral tu,” tegur Dira.

“Okay… semua para pelakon dan pembantu-pembantu yang lain, ada perkara yang saya ingin bincangkan,” suara gemersik Cikgu Rogayah mengejutkan semua yang sedang bergurau senda.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan