Cerpen : Asam Pedas Mira.
03/02/2014
Tahun baru 2013, telah berlalu
hampir sebulan. Mira masih memikirkan apakah menu baru untuk restorannya kali
ini. Bukan apa, Mira tidak senang hati bila setiap kali munculnya tahun baru,
pasti pelanggan yang sering datang berkunjung ke restorannya bertanya `kak, apa
menu baru?’ Naik letih Mira nak menjawabnya, `mana ada menu baru dik oiiii,
sama je.’
Setiap kali bila ada peluang waktu
bersama dengan suaminya, pasti Mira menyuarakan pendapatnya tentang perniagaan
mereka. Tapi sayang, suami Mira bukan jenis yang suka menerima pendapat Mira
atau sesiapa pun. Baginya kalau sudah restoran tomyam, tomyamlah pilihan utama.
Berlainan dengan sikap Mira, kalau
boleh dia mesti memastikan setiap pandangan pelanggan harus dinilaikan. Bagi
Mira kena ada perubahan, barulah pelanggan tidak jemu mengunjungi dan menjamu
selera di restorannya yang di kenali sebagai D CHIEF TOMYAM RESTORAN. Suami Mira, Encik Osman selaku tukang masak
utama di restoran itu.
“…”
`Macam mana ya aku nak buat ni?
Kalau tanya kat dia, pasti jawapannya
menyakiti hati. Bukan boleh bawa berbincang, kata dia je yang betul.’ Ngomel
Mira dalam hati.
Restorannya yang agak lengang tika
ini memberi peluang buat Mira untuk duduk dan berbincang sekali lagi. Harapan
Mira biarlah kali ini, suaminya boleh menerima pandangannya dan merestui apa
yang ingin dia lakukan. Nekad Mira dalam hati. `Hendak seribu daya, tak hendak
seribu dalih’ sekali lagi terungkap perkataan itu dari bibirnya yang mongel
itu.
“Abang, dah sebulan tahun baru berlalu, abang tak mahu
buat perubahan kat restoran kita ke?” soal Mira sambil menghulurkan segelas
kopi panas buat suaminya.
Suami Mira, Osman, tetap dengan
sikapnya… mendiamkan diri sambil menghirup air kopi yang dihulurkan oleh Mira
sebentar tadi. Mira yang kepanasan hati dengan sikap Osman, sekali lagi
bersuara.
“Abang! Dengar tak apa yang Mira
cakap ni?” soal Mira sekali lagi dengan nada yang agak kasar.
“Apa lagi Mira, awak ni… banyak
sangatlah ideanya. Nanti awak juga yang
penat, mengeluh, membebel… sakit hati saya adalah nanti.” Balas Osman.
Osman, membuang pandangannya ke arah
televisyen yang entah apa siarannya. Mira yang mendengar jawapan dari mulut
suaminya lantas bangun dan berdiri menghadap Osman.
“Mira tak kira, abang suka atau tak?
Minggu depan hari Isnin, Mira tetap nak buat menu baru. Kalau abang tak nak
masak, baik… tak apa… biar Mira yang masak sendiri.” Tegas Mira.
Mata Mira masih lagi memandang
suaminya, dalam hati menanti jawapan yang bakal keluar dari mulut suaminya.
Namun, ibarat menuang air di daun keladi… akhirnya Mira sendiri yang makan
hati. Lantas Mira mematikan pertanyaannya dan turut serta menonton rancangan di televisyen. Namun di
akal fikirannya masih lagi berlegar dengan impian menu barunya iaitu `Asam
pedas.’
Mira memandang jam di dinding
kedainya yang menunjukkan angka 4.00 . Ini bermakna waktu sudah menjangkau
empat petang. Memang masa sebegini
restorannya kurang dikunjungi pelanggan. Mira masih lagi duduk bersebelah
suaminya yang leka menghisap rokok sambil menonton.
“Mira, ada ke orang nak makan asam
pedas ni?” Dah tu, berapa semangkuk Mira nak jual? Ikan apa Mira nak guna?”
soal suaminya tiba-tiba.
Mira yang terperanjat dengan
pertanyaan suaminya, terdiam tanpa kata. Lama dia memandang wajah suaminya.
Osman membalas sambil menghembus asap rokok di hadapan mukanya. Berkepul-kepul
asam rokok mengeluarkan wangian yang sungguh menyakitkan hati Mira. `Entah
bilalah hendak berhenti,’ dengus Mira.
Mira begitu arif dengan sikap
suaminya terus mendiamkan diri. Malas dia hendak menjawab pertanyaan itu dan dia
tahu suaminya tidak pernah menyokong apa pun yang disuarakan olehnya. Namun,
cuba kalau menjadi. Nama dia juga yang disebut orang. Nama dia juga yang mendapat pujian. Mira
mengeluh sendirian.
“Ikut awaklah Mira, abang malas nak
ambil tahu. Awak fikirlah sendiri. Abang tak mahu semangat awak tu seperti panas
tahi ayam? Sekejap aje… lepas tu, entah ke mana asam pedasnya nanti?” balas
Osman sambil bangun meninggalkan Mira sendirian.
Mira tersenyum lebar dengan jawapan
yang baru sebentar tadi didengarinya. Dia nekad akan membuktikan yang impiannya
menjadi kenyataan dan asam pedasnya nanti menjadi `asam pedas’ yang paling
disukai oleh pelanggannya seperti mana mereka menggemari `sup tulang dan sup
ekor’ di restorannya.
Lantas Mira terkenang kisah lalu
sewaktu di awal perkahwinannya dulu. Perkahwinan Mira adalah perkahwinan yang
diatur oleh keluarga. Mira tidak pernah mengenali suaminya Osman sebelum mereka
dinikahkan. Mira cuma mendengar cerita tentang suaminya melalui mak saudaranya
dan juga Kak Bedah.
Yalahkan, orang tua-tua pernah berkata,
nak pikat suami… pikat dengan masakan kita. Mira yang masih malu-malu dengan
suaminya telah diminta oleh suaminya menyediakan asam pedas ikan kembong.
Gelabah Mira jadinya, dengan segera Mira menghubungi Kak Bedah dan bertanyakan
resepinya.
Tanpa berlengah lagi, ikan kembong
yang sememangnya ada dan bahan-bahan untuk menumis juga telah tersedia… Mira
terus memulakan misinya. Ungkapan Bismillahhirrahmanirrahim adalah kalimat
pertama yang diucapkan oleh Mira.
“Assalamualaikum kak? Kak Mira!
Berangan ke, kak?” tegur seorang remaja sambil menggoncang bahu Mira.
Mira yang terkejut terus melatah,
“Opocot… kau ni. Kalau ye pun bagila salam… nak apa?” balas Mira.
“Buatkan tomyam campur satu kak.
Bungkus tau. Kak, tak ada menu baru ke kak? Jemu dah saya ni… asyik tomyam
je…?”
“Insya-Allah, minggu depan ada. Kau
jangan tak beli sudah… akak paksa juga nanti” balas Mira sambil mengarahkan
tukang masaknya menyediakan pesanan yang diminta.
“Kenapa minggu depan kak? Buat je
lah esok?” tegur remaja tadi. Di tangannya masih lagi membelek-belek menu yang sudah
berulang-kali dipegangnya.
Mira menoleh dan memandang wajah
remaja tadi, ada benar juga katanya… buat apa tunggu minggu depan, esok pun
boleh apa. Bukankah tadi suaminya pun sudah memberi keizinan. Cabaran harus di
terima dengan bijak dan melakukan tindakan juga harus bijak.
Sebulan sudah berlalu.
“Mira, asam pedas kau…” jerit Kak Bedah dari jauh.
“Kenapa dengan asam pedas saya,
kak…?” balas Mira dengan langkah terkocoh-kocoh mendapatkan kakak angkatnya.
Kak Bedah kakak angkatnya yang lama
dikenali, baru sahaja melabuhkan punggungnya di kerusi yang tersedia ada di
kedai Mira membalas dengan senyuman lebar. Sahaja dia menjerit begitu, suka
benar dia melihat wajah Mira selalunya masam tapi manis senyumannya bila
diusik.
Mira berlari mendekati kakak angkatnya dengan keadaan termengah-mengah, Mira menyoal kakak angkatnya. “Kak, kenapa dengan asam pedas
Mira tu, ada tak kena ke? Kurang asam ke? Kurang pedas ke, atau ikannya tak
masak?”
Kak Bedah hanya menggeleng sambil ketawa lucu.
“Dahlah Mira, kau pergi buatkan
akak… air tembikai laici ya. Cepat sikit… dahaga ni, panas terik pula cuaca
hari ni.” Balas Kak Bedah tanpa memperdulikan pertanyaan Mira.
Mira tanpa membuang masa terus
menghilangkan dirinya di bahagian dapur tempat membuat air. Dalam masa yang
sama dia terdengar suara suaminya berbual rancak dengan Kak Bedah, di
selang-seli pula dengan ketawa. Galak bunyinya.
Seketika kemudian, Mira kembali
muncul dengan segelas air tembikai laici yang dipesan oleh Kak Bedah sebentar
tadi. Dalam hatinya timbul rasa curiga
apabila dia melihat kemesraan mereka berdua. Bagai ada satu rahsia yang dia
tidak ketahui.
“Man, kau buatkan akak asam pedas
ikan pari? Dua bungkus ya… Man. Satu untuk akak, yang satu lagi tu… kau faham
sendiri la ya,” kata Kak Bedah sambil menyedut air tembikai laici yang dipesannya tadi.
“Hai kak! Siap bergelak ketawa bagai
ni, ada rahsia yang saya tak tahu lagi ke?” tanya Mira sambil menarik kerusi
dan melabuhkan punggungnya, duduk menghadap Kak Bedah.
Kak Bedah tidak sedikit pun menjawab
pertanyaan Mira. Asam pedas bungkus dua. Setahu Mira hanya Kak Bedah sahaja
yang menggemari asam pedas ini. `Sebungkus lagi untuk siapa pula,’ getus hati
Mira. `Hai, buat perangai lagi ke?’ Asam pedas pulak kali ni?’ sekali lagi hati
Mira berdetik.
Mira masih lagi menanti jawapan dari
Kak Bedah, hinggalah suaminya muncul dengan bungkusan asam pedas di tangannya.
Ada dua bungkusan yang berasingan.
“Hai bang, siapa pula kali ni… dalam
diam minta asam pedas saya ni. Tak reti nak datang sendiri ke?” sindir Mira.
“Kak Bedah hanya membatukan dirinya
sambil memandang Mira lalu berkata, “ Mira… berapa semua ni. Asam pedas tu, kau
kira satu je, yang satu lagi tu… kau minta laki kau bayar ye,” balasnya lagi.
“Hai kak, mana undang-undang akak
guna ni? Akak yang beli, akaklah yang bayar? Kenapa dia pula yang nak bayar?
Ermmm, semuanya Rm 15.00 kak?” jawab Mira sambil memandang wajah suaminya.
Menbuntang matanya menatap wajah suaminya.
Kak Bedah terus sahaja menghulurkan
wang kepada Mira tanpa banyak soal. Segera dia bangun dan melangkah pergi. Tapi
sebelum sempat dia ingin pergi, Mira terus berkata, “ Kak Bedah, ulat bulu dah
naik daun lagi ke nih!”
Kak Bedah meninggalkan Mira dengan
senyuman terukir di bibir. Suaminya pula meninggalkannya dengan seribu
pertanyaan. `Apalagi ni… tak habis-habis,’ bisiknya.
Semakin hari, asam pedas Mira
mendapat sambutan di kalangan pelanggannya. Tidak menang tangan Mira menerima
tempahan dari mereka. Biarpun letih Mira tetap dengan semangatnya. Asam pedas
Mira mendapat pujian dari penggemarnya. Mira tersenyum puas. Namun masih ada
kesan luka yang bersarang dalam diri Mira dan tiada siapa yang tahu.
Makin asam pedasnya di kenali, makin
terasa jauh dia dengan suaminya. Mira yang pada mulanya menyangka mungkin
suaminya berkecil hati dengan sikap Mira yang lebih memberi perhatian kepada
asam pedas dari masakan lain. Ternyata meleset. Buntu Mira dengan sikap
suaminya.
Setiap hari di waktu makan tengah
hari, restorannya di kunjungi pelanggan yang rata-rata ingin merasai asam
pedasnya. Ada yang siap bungkus dan bermacam-macam ragam lagi kehendak mereka.
Dari jauh Mira melihat sikap suaminya… dari tadi tidak sedikit pun memandang
Mira. Pandangannya lebih ke arah talefonnya. Apa yang ada di talefonnya pun
Mira tidak tahu. `Ya Allah, apa lagi dugaan yang kau ingin lemparkan ke arah
ku. Kau kuatkanlah hatiku ini, tabahkanlah dalam mengharungi liku hidup di
sampingnya.’ Doa Mira dalam hatinya.
Enam bulan berlalu.
Begitulah hubungan mereka berdua,
semakin lama Mira mula sibuk dengan tempahan asam pedasnya dan suaminya juga
sibuk dengan kedainya, Sehinggalah pada awal pagi sementara Mira menunggu anak
gadisnya bersiap untuk ke sekolah, Mira tergerak hatinya ingin melihat telefon
bimbit suaminya. Dengan tidak semena-mena Mira terlihat ada satu pesanan
ringkas yang tidak dibaca oleh suaminya.
`Asam pedas abang sedap. As, suka sangat. Tak dapat jumpa
abang dapat makan asam pedas abang pun dah cukup. Malam ni, abang balik sini…
bawa sebungkus ye?’ Berdesing, berderau darah naik menyerbu mukanya tatkala dia
terbaca kiriman wanita yang bernama As di dalam telefon bimbit suaminya.
Siapakah dia?
Apakah ini penyebabnya suaminya berubah laku. Hampir enam
bulan sejak Mira memperkenalkan asam pedasnya, sikap suaminya berlainan benar.
Semakin lama semakin ketara. Mira tidak di pedulikan lagi, pulangnya pun tidak
tentu masa. Segera Mira menyalin nombor talefon itu. Ingin dia tahu
kebenarannya.
Setelah selesai Mira menghantar anak gadisnya ke
sekolah. Mira terus menuju ke pasar
seperti biasa. Namun dipertengahan
jalan, Mira teringat peristiwa pagi tadi ketika dia tanpa sengaja terbaca
pesanan ringkas yang berada di dalam kotak simpanan telefon bimbit
suaminya. Mira memberhentikan keretanya
di bahu jalan. Mengambil nombor yang
ditulisnya tadi. Direnungnya dalam-dalam. Berbelah hatinya, ingin hubungi atau
biarkan saja. Di dalam sibuk memikirkan mahu telefon atau tidak. Tiba-tiba
telefonnya berdering. Segera Mira menjawab dan ternyata panggilan itu dari
suaminya.
“Mira, tak niaga ke
hari ni. Abang dah sampai kat kedai, tengok barang tak ada pun. Cuti ke?” soal
suaminya di hujung talian.
“Ya bang, cuti hari ni… Mira ada hal sikit.” Jawab Mira.
Mira terus mematikan talian telefon bimbitnya. Tidak tahu ke
mana hendak di tuju saat itu. Lembayung cerah menghiasi dada langit tiba-tiba
bertukar mendung. Berat terasa takungannya, hanya menanti saat gugur ke bumi.
Mira meneruskan pemanduannya tanpa tujuan. Hatinya ingin menuju ke rumah
kakaknya, tetapi fikirannya seperti tidak mengizinkan dianya ke sana. Hatinya
berbelah bahagi. Jiwanya bergelodak. Menanti saat pecah ibarat gunung berapi
yang ingin memuntahkan laharnya. Namun pada siapa ingin dia ngadukan? Pada
siapa?
Mira, memusingkan stereng keretanya ke kiri, memasuki
perkarangan itu dengan perlahan. Setelah memarkirkan keretanya, sambil engin
masih dihidupkan… Mira bertakafur sebentar. Mira perhati sekeliling. Aman dan
damai. Saat azan asar berkumandang, langit yang sarat dengan takungan air
ahkirnya gugur satu persatu. Semakin lama semakin laju. Tersengguk-sengguk Mira
meratapinya. Hanya kerana semangkuk `Asam pedas’ dia terpaksa berkongsi kasih.