Jumaat, 9 Mei 2014

Asam Pedas Mira

Cerpen : Asam Pedas Mira.
03/02/2014

            Tahun baru 2013, telah berlalu hampir sebulan. Mira masih memikirkan apakah menu baru untuk restorannya kali ini. Bukan apa, Mira tidak senang hati bila setiap kali munculnya tahun baru, pasti pelanggan yang sering datang berkunjung ke restorannya bertanya `kak, apa menu baru?’ Naik letih Mira nak menjawabnya, `mana ada menu baru dik oiiii, sama je.’

            Setiap kali bila ada peluang waktu bersama dengan suaminya, pasti Mira menyuarakan pendapatnya tentang perniagaan mereka. Tapi sayang, suami Mira bukan jenis yang suka menerima pendapat Mira atau sesiapa pun. Baginya kalau sudah restoran tomyam, tomyamlah pilihan utama.

            Berlainan dengan sikap Mira, kalau boleh dia mesti memastikan setiap pandangan pelanggan harus dinilaikan. Bagi Mira kena ada perubahan, barulah pelanggan tidak jemu mengunjungi dan menjamu selera di restorannya yang di kenali sebagai D CHIEF TOMYAM RESTORAN.  Suami Mira, Encik Osman selaku tukang masak utama di restoran itu.

            “…”

            `Macam mana ya aku nak buat ni? Kalau tanya kat dia,  pasti jawapannya menyakiti hati. Bukan boleh bawa berbincang, kata dia je yang betul.’ Ngomel Mira dalam hati.

            Restorannya yang agak lengang tika ini memberi peluang buat Mira untuk duduk dan berbincang sekali lagi. Harapan Mira biarlah kali ini, suaminya boleh menerima pandangannya dan merestui apa yang ingin dia lakukan. Nekad Mira dalam hati. `Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’ sekali lagi terungkap perkataan itu dari bibirnya yang mongel itu.

            “Abang,  dah sebulan tahun baru berlalu, abang tak mahu buat perubahan kat restoran kita ke?” soal Mira sambil menghulurkan segelas kopi panas buat suaminya.

            Suami Mira, Osman, tetap dengan sikapnya… mendiamkan diri sambil menghirup air kopi yang dihulurkan oleh Mira sebentar tadi. Mira yang kepanasan hati dengan sikap Osman, sekali lagi bersuara.

            “Abang! Dengar tak apa yang Mira cakap ni?” soal Mira sekali lagi dengan nada yang agak kasar.

            “Apa lagi Mira, awak ni… banyak sangatlah ideanya.  Nanti awak juga yang penat, mengeluh, membebel… sakit hati saya adalah nanti.” Balas Osman.

            Osman, membuang pandangannya ke arah televisyen yang entah apa siarannya. Mira yang mendengar jawapan dari mulut suaminya lantas bangun dan berdiri menghadap Osman.

            “Mira tak kira, abang suka atau tak? Minggu depan hari Isnin, Mira tetap nak buat menu baru. Kalau abang tak nak masak, baik… tak apa… biar Mira yang masak sendiri.” Tegas Mira.

            Mata Mira masih lagi memandang suaminya, dalam hati menanti jawapan yang bakal keluar dari mulut suaminya. Namun, ibarat menuang air di daun keladi… akhirnya Mira sendiri yang makan hati. Lantas Mira mematikan pertanyaannya dan turut serta  menonton rancangan di televisyen. Namun di akal fikirannya masih lagi berlegar dengan impian menu barunya iaitu `Asam pedas.’

            Mira memandang jam di dinding kedainya yang menunjukkan angka 4.00 . Ini bermakna waktu sudah menjangkau empat petang.  Memang masa sebegini restorannya kurang dikunjungi pelanggan. Mira masih lagi duduk bersebelah suaminya yang leka menghisap rokok sambil menonton.

            “Mira, ada ke orang nak makan asam pedas ni?” Dah tu, berapa semangkuk Mira nak jual? Ikan apa Mira nak guna?” soal suaminya tiba-tiba.

            Mira yang terperanjat dengan pertanyaan suaminya, terdiam tanpa kata. Lama dia memandang wajah suaminya. Osman membalas sambil menghembus asap rokok di hadapan mukanya. Berkepul-kepul asam rokok mengeluarkan wangian yang sungguh menyakitkan hati Mira. `Entah bilalah hendak berhenti,’ dengus Mira.

            Mira begitu arif dengan sikap suaminya terus mendiamkan diri. Malas dia hendak menjawab pertanyaan itu dan dia tahu suaminya tidak pernah menyokong apa pun yang disuarakan olehnya. Namun, cuba kalau menjadi. Nama dia juga yang disebut orang.  Nama dia juga yang mendapat pujian. Mira mengeluh sendirian.

            “Ikut awaklah Mira, abang malas nak ambil tahu. Awak fikirlah sendiri. Abang tak mahu semangat awak tu seperti panas tahi ayam? Sekejap aje… lepas tu, entah ke mana asam pedasnya nanti?” balas Osman sambil bangun meninggalkan Mira sendirian.

            Mira tersenyum lebar dengan jawapan yang baru sebentar tadi didengarinya. Dia nekad akan membuktikan yang impiannya menjadi kenyataan dan asam pedasnya nanti menjadi `asam pedas’ yang paling disukai oleh pelanggannya seperti mana mereka menggemari `sup tulang dan sup ekor’ di restorannya.

            Lantas Mira terkenang kisah lalu sewaktu di awal perkahwinannya dulu. Perkahwinan Mira adalah perkahwinan yang diatur oleh keluarga. Mira tidak pernah mengenali suaminya Osman sebelum mereka dinikahkan. Mira cuma mendengar cerita tentang suaminya melalui mak saudaranya dan juga Kak Bedah.

            Yalahkan, orang tua-tua pernah berkata, nak pikat suami… pikat dengan masakan kita. Mira yang masih malu-malu dengan suaminya telah diminta oleh suaminya menyediakan asam pedas ikan kembong. Gelabah Mira jadinya, dengan segera Mira menghubungi Kak Bedah dan bertanyakan resepinya.

            Tanpa berlengah lagi, ikan kembong yang sememangnya ada dan bahan-bahan untuk menumis juga telah tersedia… Mira terus memulakan misinya. Ungkapan Bismillahhirrahmanirrahim adalah kalimat pertama yang diucapkan oleh Mira.

            “Assalamualaikum kak? Kak Mira! Berangan ke, kak?” tegur seorang remaja sambil menggoncang bahu Mira.

            Mira yang terkejut terus melatah, “Opocot… kau ni. Kalau ye pun bagila salam… nak apa?” balas Mira.

            “Buatkan tomyam campur satu kak. Bungkus tau. Kak, tak ada menu baru ke kak? Jemu dah saya ni… asyik tomyam je…?”

            “Insya-Allah, minggu depan ada. Kau jangan tak beli sudah… akak paksa juga nanti” balas Mira sambil mengarahkan tukang masaknya menyediakan pesanan yang diminta.

            “Kenapa minggu depan kak? Buat je lah esok?” tegur remaja tadi. Di tangannya masih lagi membelek-belek menu yang sudah berulang-kali dipegangnya.

            Mira menoleh dan memandang wajah remaja tadi, ada benar juga katanya… buat apa tunggu minggu depan, esok pun boleh apa. Bukankah tadi suaminya pun sudah memberi keizinan. Cabaran harus di terima dengan bijak dan melakukan tindakan juga harus bijak.

Sebulan sudah  berlalu.

“Mira, asam pedas kau…” jerit Kak Bedah dari jauh.

            “Kenapa dengan asam pedas saya, kak…?” balas Mira dengan langkah terkocoh-kocoh mendapatkan kakak angkatnya.

            Kak Bedah kakak angkatnya yang lama dikenali, baru sahaja melabuhkan punggungnya di kerusi yang tersedia ada di kedai Mira membalas dengan senyuman lebar. Sahaja dia menjerit begitu, suka benar dia melihat wajah Mira selalunya masam tapi manis senyumannya bila diusik.

            Mira berlari mendekati kakak angkatnya dengan keadaan termengah-mengah, Mira menyoal kakak angkatnya. “Kak, kenapa dengan asam pedas Mira tu, ada tak kena ke? Kurang asam ke? Kurang pedas ke, atau ikannya tak masak?”

            Kak Bedah hanya menggeleng sambil ketawa lucu.

            “Dahlah Mira, kau pergi buatkan akak… air tembikai laici ya. Cepat sikit… dahaga ni, panas terik pula cuaca hari ni.” Balas Kak Bedah tanpa memperdulikan pertanyaan Mira.

            Mira tanpa membuang masa terus menghilangkan dirinya di bahagian dapur tempat membuat air. Dalam masa yang sama dia terdengar suara suaminya berbual rancak dengan Kak Bedah, di selang-seli pula dengan ketawa. Galak bunyinya.

            Seketika kemudian, Mira kembali muncul dengan segelas air tembikai laici yang dipesan oleh Kak Bedah sebentar tadi.  Dalam hatinya timbul rasa curiga apabila dia melihat kemesraan mereka berdua. Bagai ada satu rahsia yang dia tidak ketahui.

            “Man, kau buatkan akak asam pedas ikan pari? Dua bungkus ya… Man. Satu untuk akak, yang satu lagi tu… kau faham sendiri la ya,” kata Kak Bedah sambil menyedut air tembikai laici yang  dipesannya tadi.

            “Hai kak! Siap bergelak ketawa bagai ni, ada rahsia yang saya tak tahu lagi ke?” tanya Mira sambil menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya, duduk menghadap Kak Bedah.

            Kak Bedah tidak sedikit pun menjawab pertanyaan Mira. Asam pedas bungkus dua. Setahu Mira hanya Kak Bedah sahaja yang menggemari asam pedas ini. `Sebungkus lagi untuk siapa pula,’ getus hati Mira. `Hai, buat perangai lagi ke?’ Asam pedas pulak kali ni?’ sekali lagi hati Mira berdetik.

            Mira masih lagi menanti jawapan dari Kak Bedah, hinggalah suaminya muncul dengan bungkusan asam pedas di tangannya. Ada dua bungkusan yang berasingan.

            “Hai bang, siapa pula kali ni… dalam diam minta asam pedas saya ni. Tak reti nak datang sendiri ke?” sindir Mira.

            “Kak Bedah hanya membatukan dirinya sambil memandang Mira lalu berkata, “ Mira… berapa semua ni. Asam pedas tu, kau kira satu je, yang satu lagi tu… kau minta laki kau bayar ye,” balasnya lagi.

            “Hai kak, mana undang-undang akak guna ni? Akak yang beli, akaklah yang bayar? Kenapa dia pula yang nak bayar? Ermmm, semuanya Rm 15.00 kak?” jawab Mira sambil memandang wajah suaminya. Menbuntang matanya menatap wajah suaminya.

            Kak Bedah terus sahaja menghulurkan wang kepada Mira tanpa banyak soal. Segera dia bangun dan melangkah pergi. Tapi sebelum sempat dia ingin pergi, Mira terus berkata, “ Kak Bedah, ulat bulu dah naik daun lagi ke nih!”

            Kak Bedah meninggalkan Mira dengan senyuman terukir di bibir. Suaminya pula meninggalkannya dengan seribu pertanyaan. `Apalagi ni… tak habis-habis,’ bisiknya.

            Semakin hari, asam pedas Mira mendapat sambutan di kalangan pelanggannya. Tidak menang tangan Mira menerima tempahan dari mereka. Biarpun letih Mira tetap dengan semangatnya. Asam pedas Mira mendapat pujian dari penggemarnya. Mira tersenyum puas. Namun masih ada kesan luka yang bersarang dalam diri Mira dan tiada siapa yang tahu.

            Makin asam pedasnya di kenali, makin terasa jauh dia dengan suaminya. Mira yang pada mulanya menyangka mungkin suaminya berkecil hati dengan sikap Mira yang lebih memberi perhatian kepada asam pedas dari masakan lain. Ternyata meleset. Buntu Mira dengan sikap suaminya.

            Setiap hari di waktu makan tengah hari, restorannya di kunjungi pelanggan yang rata-rata ingin merasai asam pedasnya. Ada yang siap bungkus dan bermacam-macam ragam lagi kehendak mereka. Dari jauh Mira melihat sikap suaminya… dari tadi tidak sedikit pun memandang Mira. Pandangannya lebih ke arah talefonnya. Apa yang ada di talefonnya pun Mira tidak tahu. `Ya Allah, apa lagi dugaan yang kau ingin lemparkan ke arah ku. Kau kuatkanlah hatiku ini, tabahkanlah dalam mengharungi liku hidup di sampingnya.’ Doa Mira dalam hatinya.

Enam bulan berlalu.

            Begitulah hubungan mereka berdua, semakin lama Mira mula sibuk dengan tempahan asam pedasnya dan suaminya juga sibuk dengan kedainya, Sehinggalah pada awal pagi sementara Mira menunggu anak gadisnya bersiap untuk ke sekolah, Mira tergerak hatinya ingin melihat telefon bimbit suaminya. Dengan tidak semena-mena Mira terlihat ada satu pesanan ringkas yang tidak dibaca oleh suaminya.

`Asam pedas abang sedap. As, suka sangat. Tak dapat jumpa abang dapat makan asam pedas abang pun dah cukup. Malam ni, abang balik sini… bawa sebungkus ye?’ Berdesing, berderau darah naik menyerbu mukanya tatkala dia terbaca kiriman wanita yang bernama As di dalam telefon bimbit suaminya. Siapakah dia?

Apakah ini penyebabnya suaminya berubah laku. Hampir enam bulan sejak Mira memperkenalkan asam pedasnya, sikap suaminya berlainan benar. Semakin lama semakin ketara. Mira tidak di pedulikan lagi, pulangnya pun tidak tentu masa. Segera Mira menyalin nombor talefon itu. Ingin dia tahu kebenarannya.

Setelah selesai Mira menghantar anak gadisnya ke sekolah.  Mira terus menuju ke pasar seperti biasa.  Namun dipertengahan jalan, Mira teringat peristiwa pagi tadi ketika dia tanpa sengaja terbaca pesanan ringkas yang berada di dalam kotak simpanan telefon bimbit suaminya.  Mira memberhentikan keretanya di bahu jalan.  Mengambil nombor yang ditulisnya tadi. Direnungnya dalam-dalam. Berbelah hatinya, ingin hubungi atau biarkan saja. Di dalam sibuk memikirkan mahu telefon atau tidak. Tiba-tiba telefonnya berdering. Segera Mira menjawab dan ternyata panggilan itu dari suaminya.

 “Mira, tak niaga ke hari ni. Abang dah sampai kat kedai,  tengok barang tak ada pun. Cuti ke?” soal suaminya di hujung talian.

“Ya bang, cuti hari ni… Mira ada hal sikit.” Jawab Mira.

Mira terus mematikan talian telefon bimbitnya. Tidak tahu ke mana hendak di tuju saat itu. Lembayung cerah menghiasi dada langit tiba-tiba bertukar mendung. Berat terasa takungannya, hanya menanti saat gugur ke bumi. Mira meneruskan pemanduannya tanpa tujuan. Hatinya ingin menuju ke rumah kakaknya, tetapi fikirannya seperti tidak mengizinkan dianya ke sana. Hatinya berbelah bahagi. Jiwanya bergelodak. Menanti saat pecah ibarat gunung berapi yang ingin memuntahkan laharnya. Namun pada siapa ingin dia ngadukan? Pada siapa?


Mira, memusingkan stereng keretanya ke kiri, memasuki perkarangan itu dengan perlahan. Setelah memarkirkan keretanya, sambil engin masih dihidupkan… Mira bertakafur sebentar. Mira perhati sekeliling. Aman dan damai. Saat azan asar berkumandang, langit yang sarat dengan takungan air ahkirnya gugur satu persatu. Semakin lama semakin laju. Tersengguk-sengguk Mira meratapinya. Hanya kerana semangkuk `Asam pedas’ dia terpaksa berkongsi kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan