Rabu, 20 Ogos 2014

Assalamualaikum dan selamat pagi sahabat semua. 

Emmm, mungkin tak pernah dibuat orang mengucap SELAMAT HARI LAHIR buat dirinya sendiri. Namun berlainan dengan saya. Di sini saya paparkan sedikit kata-kata yang terbit dari hati saya sendiri. Untuk apa saya malu untuk berkongsi sedikit perasaan saya? Untuk apa saya rahsiakan apa yang terbuku dalam hati saya? Untuk apa? Bukannya cerita yang mengaibkan. Bukan! Kepada emak yang telah melahirkan saya, terima kasih di atas segala kasih sayangmu selama ini. Tidak terbalas rasanya budi dan sayangmu. Kepada mereka semua yang telah membesarkan saya dengan penuh kasih sayang, jasa dan baik budi kalian, hanya ALLAH yang mampu membalasnya. Kepada atuk dan nenek, Al fatihah buat kalian berdua.

Pohonku dalam hati
bersertakan dengan niat nan satu
seiring dengan kalimah nan suci
agar hidupku sentiasa direstui selalu.

Ya ALLAH,
padamkanlah segala kedukaanku
sirnakanlah segala kepiluanku
kuburkanlah segala keresahanku
malapkanlah segala kebingunganku

Sesungguhnya Ya ALLAH,
KAU gantilah semua ini dengan kebahagiaan,
yang lebih bisa menceriakan keadaan
pintaku Ya ALLAH,
bahagia itu pastikan menjadi milikku.

`Ya ALLAH,
Semakin jauh langkah perjalananku. Semakin usiaku meniti batas waktu. Kupohon hidayah-MU. Moga di hari lahirku ini, KAU berkatilah umurku. KAU limpahilah rezeki yang halal buat keluargaku. KAU lindungilah perniagaanku dari sifat-sifat dengki segelintir kaum seagamaku. KAU berikanlah kesihatan yang baik buatku dan KAU izinkanlah aku semakin dekat dengan redha-MU. Ya ALLAH, terima kasih kerana KAU sentiasa menghadiahkan kepadaku sahabat-sahabat yang baik dan meyayangi diriku.'
Aamiin.

Selamat pagi semua.
Selamat pagi sayang.
Selamat pagi dunia.

Isnin, 18 Ogos 2014

KISAH MIRA DENGAN PAK CIK AISKRIM

Cerpen : Kisah Mira Dengan Pak cik Aiskrim.
10/05/14 ~ 16/08/14

Kring! Kring! Kring!  Mira melingas mencari bunyi yang menyerang pendengarannya tadi.  Dahinya berkerut.  Anak matanya mengecil, memanjang semakin jauh.  `Mana pula pak cik ni?  Ada bunyi basikal, tapi tak nampak orangnya.’  Hatinya mula berkata-kata.
Dia mengeluh malah Intan, sahabat baik yang satu kelas dengannya  pula sibuk memanggil-manggil namanya.  Segera dia menyuruh Intan pergi dahulu.  Sekali dia mengerling jam di tangan.  Masa tamat waktu rehat kian hampir.  Sekali lagi dia mengintai di celah pagar sekolah.  Dia mahu balik semula ke kelas. Teringat Intan pasti sedang menantinya.  Baru sahaja dia berpaling, bunyi basikal tua pak cik aiskrim sekali lagi kedengaran di telinganya.

Mira berpaling dan menjengket-jengketkan kakinya, mengintai semula ke deretan bas sekolah yang memarkir di tepi jalan.  Kelibat pak cik aiskrim sudah kelihatan di pandangan mata.  Tersenyum dirinya menanti pak cik aiskrim menghampiri.  `Akhirnya,  muncul juga pak cik ni,’ hatinya berbisik lega. Tersenyum dia memandang pak cik aiskrim.

"Pak cik..." panggilannya terhenti.  Matanya terpandang seseorang di sebalik tong aiskrim pak cik itu.  Lebih dikenali oleh semua pelajar sebagai Pak cik Aiskrim. Sekali lagi dia cuba memandang siapakah di sebalik tong aiskrim itu?

"Pak cik, siapa ni?” Mira teruja melihat anak kecil di sebalik tong ais krim.  Segera dia menghampiri anak kecil itu, dan mengagah-ngagahnya.  Ketawa Mira melihat anak kecil itu ketawa mengekek. 

Dia memang inginkan seorang adik.  Dia masih ingat lagi apabila suatu hari dia meluahkan keinginannya kepada emak. `Emak… Mira teringinlah punya adik. Kalau boleh Mira nak adik perempuan.’
`Tak ada rezekilah, sayang. Cukuplah kamu dengan abang kamu.  Ada rezeki nanti merasa jugalah seorang adik.  Emak ni pun kalau boleh mahu juga meramaikan umat Nabi Muhammad saw,’ balas emak. Masih  terngiang-ngiang kata-kata emak di pendengaran Mira lagi.  Namun, mata Mira masih tidak terlepas mengamati anak kecil yang juga sedang leka memandangnya.

“Oh..ini Umie, anak pak cik.  Pak cik terpaksa bawa dia menjual di sini.  Isteri pak cik tak sihat,” ujar pak cik aiskrim panjang lebar.  

Mira terangguk-angguk mendengar sambil memerhati keletah anak kecil yang bernama Umie. Anak kecil yang comel, bergaun putih dan bertopi renda warna merah jambu. Terpegun Mira, sudahlah kulitnya putih. `Eeee, geramnya.’ Bisik hati kecilnya lagi. “Sebab tu ke pak cik datang lambat?” soalnya lagi.  Pak cik aiskrim mengangguk.

Ketika itu, sudah ada pelajar lain yang meluru ke arah pak cik aiskrim itu untuk membeli aiskrimnya.  Umie pula suka hati.  Tangannya yang kecil itu ligat mahu menggapai penyedok aiskrim di tangan ayahnya.   Pak cik aiskrim kelihatan tidak senang hendak melakukan kerjanya.

Mira segera menghampiri Umie. Anak kecil itu terus didukungnya.  “Berapa umur Umie ni, pak cik?” soalnya  sambil membiarkan pak cik aiskrim meneruskan kerjanya.

“Empat tahun,” jawabnya, tidak memandang Mira langsung.  Umie pula asyik menarik-narik tudung yang dipakai Mira. Ketawa dia senang hati. Wajah manis dan ceria Umie amat menghiburkan hatinya.

Loceng sekolah sudah berbunyi menandakan waktu rehat sudah berakhir.  Mira masih leka bermain mimik muka dengan Umie.  Para pelajar sudah mula meninggalkan perkarangan pintu pagar sekolah.  Hanya tinggal dirinya bersama pak cik aiskrim dan anak kecilnya.  Tiba-tiba dia terfikir sesuatu.  

“Pak cik, lepas ni nak jual aiskrim kat mana pula?” soalnya, ingin tahu. Tangannya masih lagi berbalas tepukan dengan tangan Umie. Sesekali dia menghadiahkan kucupannya ke pipi anak kecil itu. Ketawa mengekek anak kecil melihat gelagat dirinya.

“Pak cik fikir hendak ke flat perumahan di hadapan sana. Selalu ramai budak yang suka makan aiskrim pak cik di sana,” jawab pak cik aiskrim dengan senang hati.

Sudah terbayang, aiskrim yang dijual akan segera habis. Seperti selalunya. Wajah Mira runsing. Ada sesuatu yang kurang disenanginya. Mira mula memikirkan sesuatu.

“Pak cik, apa kata Umie ni, biarlah bersama saya. Saya boleh jaga dia sementara pak cik menjual di sana,” Mira menawarkan diri.

Pak cik aiskrim pula berwajah cemberut.  "Eh, tak baiklah macam tu Mira. Mira kan tengah belajar. Pak cik tak mahu Mira memonteng pula," tegas pak cik aiskrim itu sambil mengambil kembali anak kecil dari dokongan Mira.

            "Eh, tak pak cik. Mira tak ponteng. Cikgu Mira yang tak datang mengajar. Dia ada mesyuarat tiba-tiba. Selama satu jam, Mira masih tak ada kelas,” jujur Mira mengaku dan sememangnya dia tidak suka berbohong.  Mungkin, hanya itu cara yang boleh membuka pintu hati pak cik aiskrim. “Lagipun, nanti pak cik boleh balik cepat. Dalam sejam je pak cik boleh habiskan jualan. Lagi cepat habis, lebih cepatlah pak cik balik ke rumah dan menjaga isteri yang sedang sakit,” terang Mira lagi sambil mengambil kembali Umie daripada kendongan pak cik aiskrim.

Pak cik aiskrim termangu seketika. Dia berfikir ada benarnya pendapat Mira itu. 'Mungkin juga benar cikgunya bermesyuarat. Takkanlah dia nak tipu aku pula,' hati pak cik aiskrim memutuskan begitu. Langsung tanpa memikirkan lagi, pak cik aiskrim meminta izin pergi dahulu. Ketawa mengekek Umie di dalam kendongan Mira. Tersenyum Mira melihat Umie yang begitu manja dengannya.

Sudah lebih dua minggu, Intan merasa kehairanan dengan sikap sahabat baiknya, Mira. Intan semakin risau. Sejak kebelakangan ini, sahabatnya itu kerap menghilang.  Terutamanya selepas waktu rehat.  Seperti hari ini, sahabatnya itu menghilang lagi.  Akibatnya, dia yang menjadi mangsa leteran Cikgu Najib.

“Kau pergi mana, Mira?  Jangan cakap kat aku kau sakit perut lagi. Aku dah pergi tandas, mak cik jaga tu cakap tak ada pun kau pergi sana,”  Intan mula berleter sebaik sahaja Mira duduk di kerusinya.  Mira tidak menjawab.  Sebaliknya, dia cuba mententeramkan hatinya yang masih termengah-mengah.  Teringat betapa lincahnya Umie dan seronoknya Mira.  Jadi, teguran Intan dipandang kosong.  Intan mendengus geram.  Hatinya masih berbisik, 'mesti Mira sedang merancang sesuatu.  Aku mesti siasat apa yang dia lakukan sehingga kerap ponteng kelas sekarang ini.'

Keesokkannya, Mira kembali menjaga Umie. Ketika Mira sedang bermain kejar-kejaran dengan anak kecil itu, Intan sudah muncul di hadapannya bersama dengan guru kelas mereka, Cikgu Najib.

“Mira! Ini yang kau buat? Siapa budak ini?” soal Intan yang tidak tahu.  Mira memegang tangan Umie agar budak kecil itu tidak terlepas dan hilang daripada pandangan.

“Ini Umie.  Dia anak pak cik aiskrim.  Mira cuma tolong pak cik aiskrim jaga anaknya untuk sementara waktu.  Ibu dia tidak sihat.” Mira menjelaskan situasi itu kepada Intan dan Cikgu Najib.

“Mira, ini bukan caranya mahu menolong orang.  Awak tu sudah beberapa hari ponteng kelas?” tegur Cikgu Najib dengan suara garaunya.

“Tapi cikgu, saya kasihan tengok pak cik aiskrim tu. Tengoklah anak dia ni, tak ada orang yang jaga,” Mira membela diri.

Cikgu Najib terus juga menggeleng, tak senang dengan sikap Mira. "Kalau mahu menolong, buat cara lain. Cara yang tidak menyusahkan diri sendiri. Apa gunanya tolong orang lain kalau awak korbankan diri? Ingat! Ini bukan zaman Hang Jebat lagi," sanggah Cikgu Najib.

 Mira yang keliru dengan niat dan caranya, semakin keliru dengan perbandingan yang Cikgu Najib sebutkan tadi. Apakah kaitan tindakan dia dengan zaman Hang Jebat?

Sedang mereka berbual-bual, Pak Cik Aiskrim sudah muncul sambil mengayuh basikalnya dengan laju menuju kepada Mira dan anaknya.  Berkerut dahi pak cik aiskrim itu apabila melihat Mira sedang disoal siasat oleh cikgunya.  Lagak seperti pesalah di dalam palang besi yang menunggu dijatuhkan hukuman gantung.  Kasihan pak cik aiskrim melimpah-ruah pula terhadap Mira.  “Maafkan saya, cikgu. Mira cuma mahu menolong saya,” ujar pak cik aiskrim setelah diberitahu tindakan Mira semenjak tiga hari lalu.  Dia berasa sangat bersalah.

“Beginilah pak cik, sebagai orang yang lebih tua daripada Mira, pak ciklah orang yang sesuai memberi nasihat padanya.  Menekankan betapa pentingnya pelajaran.  Bukannya pak cik pula ambil kesempatan di atas kebaikan yang cuba dia hulurkan.” Cikgu Najib masih belum berpuas hati. Kali ini pak cik aiskrim pula sekaligus terkena bebelan Cikgu Najib.  Intan mengangguk setuju sambil memerhati wajah Mira yang sudah terpalit rasa bersalah. Lantas Intan segera mengenggam tangan Mira. Intan faham niat Mira yang baik sebenarnya.

“Mira, maafkan aku sebab mengesyaki kau. Ini untuk kebaikan kau juga. Kalau emak kau tahu, tentu dia kurang senang dan marahkan kau,” pujuk Intan yang mahu Mira memahami tujuannya memberitahu Cikgu Najib.

“Pak cik minta maaf  Mira.  Pak cik tak sangka tindakan pak cik ini banyak menyusahkan Mira,” terang pak cik aiskrim sambil diperhatikan Intan.

Dia jadi serba-salah.  Dia yang sebenarnya berbohong, pak cik aiskrim itu pula yang meminta maaf. Dia malu sangat-sangat.

“Pak cik, janganlah begini. Pak cik tak salah. Tak harus minta maaf.” Mira berpaling menghadap cikgunya. “Cikgu, jangan salahkan pak cik ini. Saya yang berbohong kepadanya. Kalau dia tahu, dia takkan benarkan saya jaga anaknya.” Terang Mira sekali lagi.
Cikgu menghela nafas. “Bagaimanapun, sebagai orang yang lebih tua, dia sepatutnya boleh berfikir dan mengesyaki Mira.  Dia lalai daripada melihat di sebalik keikhlasan Mira. Itu sudah cukup meletakkan kesalahan di bahu dia juga,” tegas Cikgu Najib sekali lagi.

Akhirnya, Mira terpaksa membisu.  Tiada apa yang mampu dikatakan lagi. Cikgu Najib bukannya boleh dibawa berunding.  Dengan berat hati, Mira terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Umie yang sudah dianggap sebagai adik kecilnya.

Semenjak peristiwa itu, Mira lebih suka menyepikan diri.  Meskipun rutin harian dilalui seperti biasa, jiwanya terasa kosong.   Senyuman dan tawa nakal anak kecil yang comel itu sering tertancap di ruang matanya.  Mira teringin sangat bertemu dengan anak comel itu semula.   Namun, pak cik aiskrim sudah tidak membawa anaknya bersamanya lagi.  Melihat keadaan Mira, Intan berasa bersalah merosakkan kebahagiaan Mira.

Hari itu ialah hari Ahad.  Mira tidak mahu keluar berjogging seperti kebiasaannya.  Puan Asmah perasan benar 'kesenyapan' anaknya itu, tetapi tidak mahu mendesak Mira.  Dia yakin Mira akan bercerita sekiranya dia sudah bersedia untuk berkongsi dengan emaknya.

Hampir tengahari, Mira didesak oleh emaknya untuk keluar makan di luar. Malah kata emak, Intan dan ibunya Puan Mona juga turut serta.  Mira tidak suka menimbulkan banyak soalan daripada emaknya andai dia menolak. Lantas Mira mengikut sahaja arahan emaknya.

"Emak, kenapa kita ke sini? Emak tak cakap nak makan kat rumah kawan emak, pun?" soal Mira kehairanan apabila kereta yang dipandu emaknya berhenti di sebuah flat perumahan Intan Baiduri.

"Jom, Intan tengah tunggu tu," balas emaknya pula, tidak menjawab soalan Mira tadi.

'Intan? Apa intan buat di sini? Ini bukan rumah Intan,'  Mira hanya mampu mengomel di dalam hati.  Kalau ditanya kepada emak, pasti tidak dijawab lagi. Sudahnya, Mira hanya berdiam diri dan mengikut langkah ibunya ke tingkat 2 blok D flat tersebut.  Sampai di satu rumah, emaknya mengetuk pintu rumah dan memberi salam.

Tidak lama mereka menunggu, pintu dibuka dan salam bersahutan. Tiba-tiba  Mira terkejut apabila Intan berdiri di hadapan pintu menyambut ketibaan mereka. `Cantik Intan berbaju kurung pula dia hari itu,’ sekali lagi dia mengomel di dalam hati. Berdiri di sebelah Intan, emaknya Puan Mona. Tersenyum simpul dengan lesung pipit di pipinya. Memandang Mira, sambil menjemput masuk ke dalam rumah. Mira binggung, kerana rumah ini bukan rumah Intan.  Namun begitu Mira tetap berwajah manis.

"Masuklah, semua orang sudah lama tunggu. Tak sabar nak jumpa Mira," ucap Intan dengan sambil menarik tangannya. Dahi Mira semakin berkerut. Dia lemparkan pandangan penuh curiga pada sahabat yang jelas membuat dirinya berteka-teki. Ditariknya semula tangan Intan dan Mira sempat berbisik, “Intan, apa makna semua ni,” Namun Intan tidak peduli. Sebaliknya, dia hanya memandang kosong membalas renungan Mira.

"Ah, sampai pun. Inilah Mira," Puan Mona, emak Intan pula bersuara sebaik sahaja Mira dan emaknya masuk ke ruang tamu kecil rumah itu.  Puan Asmah segera bersalaman dengan wanita  yang duduk di sebelah emak Intan.  Ruang tamu itu tidak bersofa.  Mereka hanya duduk bersila di atas lantai yang bertikar getah.  Belum sempat anak mata Mira melilau ke setiap penjuru rumah, tiba-tiba seseorang menerkamnya dari belakang. `Oh pocot! mak kau!’ Mira melatah terkejut .

Semua orang ketawa melihat reaksi dirinya. Apabila dia menoleh, anak matanya terbuntang tanpa sedar. Segera dia menenyeh-nenyeh kedua-dua belah matanya dengan hujung jari telunjuknya.

"Umie? Apa Umie buat di sini?" budak kecil berusia empat tahun itu bergolek jatuh ke dakapan Mira. Hati dan dirinya terus sahaja berubah tingkah. Wajahnya ceria, senyumannya bertambah lebar.

"Ini rumah Umie. Perempuan ini pula ialah emak Umie," sampuk emak Intan. Menjawab persoalan Mira. Wanita yang merupakan emak Umie tersenyum senang.

"Dan saya pula adalah ayahnya," usik pak cik aiskrim yang tiba-tiba muncul dengan sedulang makanan.

Mira hampir sahaja mahu menangis. Dia merenung lagi kepada emaknya. Bagaimana emak tahu? Bagaima semua orang boleh memahami hatinya? Bisik hatinya lagi.

"Mira, Umie ni tak henti-henti menangis apabila melihat ayahnya hendak keluar menjual aiskrim.  Dia rindukan Mira. Itu yang minta suami mak cik agar mencari Mira dan benarkan berjumpa Umie," emak Umie memulakan cerita.

"Lalu, pak cik jumpa kawan Mira dan minta dia sampaikan tentang hajat isteri pak cik,"sambung pak cik aiskrim pula.

Anak mata Mira terarah kepada sahabatnya, Intan.  Malah dengan rela hati bersedia menceritakan peranannya pula. "Mulanya aku nak sampaikan sendiri. Tapi, kebetulan hari tu, emak kau telefon bertanyakan pasal kau. Jadi, aku pun ceritalah apa yang terjadi di sekolah. Aku juga sampaikan pesan pak cik aiskrim tu pada emak kau," terangnya.

Mira sudah berkalih pula memandang emaknya. "Emak tak marah. Cikgu Najib sudah pun melaksanakan tanggungjawabnya. Apa yang emak mahu ialah kebahagiaan anak emak, ni…" tutur Puan Asmah. Puan Mona dan semua yang lain mengangguk setuju.

Puan Asmah menyambung lagi. "Emak nak Mira kembali seperti selalu. Kembali tersenyum dan kembali berceloteh setiap hal pada emak. Jadi, bila Mira berdiam diri, emak jadi risau. Emak telefon Puan Mona dan mahu bercakap dengan Intan. Masa tulah, Intan ceritakan semuanya. Emak terima pelawaan keluarga ini, yang mahukan Mira bertemu semula dengan Umie. Cuma emak ingat nak buat kejutan pada Mira.  Mirakan sukakan `surprise’." Semua orang ketawa senang hati. Mira juga begitu. Dia sudah tidak kisah lagi.

Emak Umie pula bersuara,  "Mak cik sebenarnya mahu mengucapkan terima kasih di atas kebaikan Mira menjaga anak mak cik semasa mak cik sakit. Kami orang susah. Tak ada duit untuk membayar upah. Hanya hidangan makan tengah hari ini sebagai tanda terima kasih daripada kami sekeluarga."

Mira semakin terharu. Kebaikan yang dia hulurkan sangat ikhlas sekali. Tidak disangka, selepas dimarahi rupa-rupa masih ada manusia yang menghargai pertolongannya itu.

"Harap Mira suka makan nasi ayam buatan pak cik pula. Mak cik kau ni tak sihat sepenuhnya lagi. Jadi, pak cik suruh rehat dulu. Lagipun, kalau Mira boleh sukakan aiskrim pak cik, tentu Mira suka nasi ayam pak cik pula," sahut pak cik aiskrim dengan bangganya.

Mira ketawa senang hati. "Kami pun nak jadi adik kak Mira juga," tiba-tiba tiga orang kanak-kanak kecil muncul dari bilik dan meluru kepada Mira. Terkebil-kebil mata Mira memandang tiga orang lagi anak pak cik aiskrim yang usia mereka tidak jauh beza antara satu sama lain. Mira sempat mengangguk dan mengusap kepala mereka kala bersalaman dengannya.



Semenjak hari itu, Mira sudah mempunyai keluarga angkat. Dia tidak pernah lagi berasa sunyi. Puan Asmah juga selalu bertandang ke rumah  Umie. Kehidupan Mira kembali ceria. Hajatnya untuk memiliki adik akhirnya tercapai bukan seorang malah lebih daripada seorang yang kini sentiasa menghibur hatinya. Hiduplah Mira dengan bahagia dan aman bersama keluarganya dan keluarga angkatnya.

Ahad, 17 Ogos 2014

JEBAT, HERO HIKAYAT CINTA ~ BAB 1


Rintang-rintang hati,
menjalar di antara dua jiwa.
Rintang-rintang mata,
terasa betapa dunia milik kita berdua.
BAB 1

“Wahai! Penyair Bidasari. Jangan kau bertingkah begini! Berpijak di bumi, ikut resmi padi. Derhaka pada sang guru ya. Kupanggil Hang Tuah, meminjam keris sakti. Hukuman harus setimpal. Mahaguru tidak dikenali?” gurau suara Puteri Lemah Gemalai menegur sahabatnya.

“Wahai Puteri Lemah Gemalai, sanggup kau menikamku dengan keris sakti? Di mana kata janjimu? Sahabat tetap sahabat. Walaupun pertelingkahan hanya disebabkan jeruk mangga,” balas Penyair Bidasari sambil membawa diri. `Dagang Pak Malau, dagang merantau. Dagang aku... terkena santau jeruk manggamu,’ ngomel Penyair Bidasari sekali lagi.

            “Sudah kuagak, Penyair Bidasari berjiwa sensitif? Jiwang karat rupanya. Nampak kasar di luar, sekali puteri mengasari... lari merajuk membawa diri,” usik Puteri Lemah Gemalai membuka bicara. “Bukan kerana jeruk ini wahai Penyair Bidasari. Cuba kau melingas sekali lagi. Pasti kau kenali empunya gerangan yang meminta jeruk ini,” sekali lagi Puteri Lemah Gemalai bersuara.

             “Kasih kusulam berbau duka. Duhai puteri, jangan derhaka. Pulangkan semula keris sakti kepada empunya diri. Rajuk ku tiada siapa yang ingin memujuk. Puteri, di manakah menghilangnya Hang Jebat, Hang Nadim, Hang Kasturi dan Hang Lekir? Cuba carikan mereka, agar segera kau temui Hang Jebat. Supaya dapat memujuk hatiku yang sering gundah gelana ini,” begitu lirih suara Penyair Bidasari. Nampak sangat rindunya.

            “Sudah kau kata sejarah takkan berulang kembali. Haruskah cerita Hang Tuah dan Hang Jebat berulang kembali?” soal Puteri Lemah Gemalai sambil membetulkan selendang yang menutupi sebahagian rambutnya. 
“Hang Nadim belum pulang daripada bertapa, Hang Jebat sibuk bertikam lidah dengan Bendahara, Hang Kasturi masih menghadap Sang Raja, menerima titah perintah dan Hang Lekir masih diulit mimpi setelah berjaga dinihari tadi,” sambung Puteri Lemah Gemalai sekali lagi. Kali ini puteri berjalan menuju ke taman bunga yang berdekatan.

Puteri Lemah Gemalai menyusuri taman bunga itu dengan sebuah lagu. Merdu suara tuan puteri bak buluh perindu. Bertuah sungguh Hang Tuah memiliki tuan puteri. Lagu ‘Berkorban Apa Saja’, sungguh luar biasa bunyi, bisa mengeluarkan air dari telaga sakti bagi yang mendengarnya.

            “Sudahlah tuan puteri, sedih pula hamba mendengarnya. Sudahlah hamba lagi rindukan Hang Jebat yang sehingga kini belum nampak bayangnya. Atau sudah bencikah Hang Jebat kepada hamba, tuan puteri?” soal Penyair Bidasari seraya menatap wajah tuan puteri. Namun, yang terdampar di raut wajahnya hanya sebuah senyuman. Tanpa suara, tuan puteri pergi meninggalkan Penyair Bidasari keseorangan yang masih menanti jawapannya.

“Sudah berulang kali kisahnya diulangtayang. Tidak pernah jemu hamba meyaksikannya. Kerana kasihkan Hang Jebat dan lagu itu... pengubat rindu hamba padanya,” keluh Penyair Bidasari. Kain kecil yang sentiasa berada di tangannya dibawa ke telaganya yang hampir pecah.

“Nanti kupanggilkan Hang Jebat untuk memujuk. Janganlah berduka lagi wahai Penyair Bidasari. Jeruk ini nanti bertambah kelat dan masam sekali,” nasihat tuan puteri sambil menghulur jeruk mangga yang sedari tadi berada di pengangannya.

            Tiba-tiba suara hulubalang yang bijaksana lagi berani berlawan senjata menegur, “Apa yang tuan puteri dan tuan hamba bualkan. Hinggakan dari tadi Hang Jebat berdiri di belakang tuan hamba tidak disedari.”

             Serentak itu tuan puteri berpaling menghadap Penyair Bidasari seraya berkata "Itu Hang Jebat sudah sampai."
           
Lalu, Penyair Bidasari tersenyum tidak ketahuan. Rindukan Hang Jebat dan tergesa-gesa berlari keluar dari taman meninggalkan tuan puteri terpinga-pinga sendirian. Tahulah kini Hang Jebat, yang dia tidak bertepuk sebelah tangan. Tuan puteri yang mengerti akan kehendak naluri Hang Jebat segera bersuara, “Pergilah kejar, pujuk… agar rajuknya hilang, biar bertambah sayang,” nasihat tuan puteri kepada Hang Jebat.

“Biarlah tuan puteri, lembayung merah sudah kelihatan menerangi dada langit yang terbentang indah. Biarlah hamba pulang dahulu. Nanti tuan puteri tolong khabarkan kepadanya… katakan hamba menunggunya di tempat biasa,” balas Hang Jebat sambil meminta izin untuk kembali ke rumahnya.

Tanpa menunggu jawapan dari tuan puteri, Hang Jebat sambil mengiringi tuan puteri berjalan berdua hinggalah tiba di istana tuan puteri. Kelihatan Hang Tuah sedang menantinya dengan pandangan penuh kasih dan cinta. Sehinggakan timbul perasaan cemburu di hati Hang Jebat. Bukan dengkikan percintaan mereka, tapi berharap percintaannya dengan Penyair Bidasari juga begitu.

Hang Jebat dengan hati yang berbunga riang, sepurnama tidak bertemu kekasih idaman hati menanti dengan penuh debar. Taman Inderaloka tempat sering mereka bertemu tatkala menemani Hang Tuah dan Puteri Lemah Gemalai memadu kasih. Daripada musuh di awal perkenalan hingga kini putik bunga mulai bercambah mekar di tangkai hati. Meresapi ke jiwa nan sepi. Bak kata pepatah pujangga, dari mata turun ke hati, begitulah yang sedang dirasai oleh pasangan ini.

Dari jauh melihat Penyair Bidasari melihat Hang Jebat duduk di atas tunggul kayu sambil kakinya menguis-guis rumput. Dari wajahnya yang tampan, senyuman manis dan matanya yang bulat menambahkan keistimewaan di hati Penyair Bidarsari. Langkah perlahan merapati kekasih hati, tiba-tiba timbul niat jahat di hatinya ingin mengusik Hang Jebat. Lantas diambilnya anak batu yang kebetulan berada di tepinya. Belum sempat dia membuat sesuatu, ada suara yang menegurnya. 

“Jangan buang masa, sayang. Kanda sudah lama perasaan yang dinda berada di belakang kanda…” tegur Hang Jebat membuatkan Penyair Bidasari tersipu malu. Sambil meyambut huluran tangan Hang Jebat, Penyair Bidasari terdiam tanpa suara.

Genggaman tangan semakin erat dan dengan rela hati mengikut langkah Hang Jebat sehingga tiba ke buaian di tengah Taman Inderaloka itu. Suara unggas sayup-sayup kedengaran memecah kesunyian malam. Ternyata bukan mereka berdua sahaja yang sedang memadu kasih. Hang Tuah dan Puteri Lemah Gemalai juga setia menemani mereka.

"Wahai kanda, dulu dinda pernah bertanya kepada kanda. Kenapa kita harus bertemu di saat bulan separuh?" soal Penyair Bidasari kepada Hang Jebat sambil membetulkan selendang yang menutupi rambutnya.

            "Kerana kita akan menjadi separuh bila kita bertemu, wahai sayangku Penyair Bidasari," balas Hang Jebat sambil merenung wajah kesayangannya. Tangan yang digenggam semakin erat seperti tidak mahu dilepaskan.

Lafaz kata yang diluahkan dari bibirnya serta senyuman yang dilemparkan ke arah Penyair Bidasari membuatkan dirinya terus mencatat apa yang dikatakan oleh Hang Jebat dalam ingatan. Hang Jebat, dalam kesuraman cahaya yang ditemani cahaya rambulan mula bermain dengan madah pujangganya.

Desir angin memecah sunyi,
kicau burung menyeri pagi,
cinta Ilahi cinta hakiki,
pengubat lara duka insani. ~ Hang Jebat.

Kicau burung menyeri pagi,
terbit mentari indah berseri,
sudah kutahu cinta Ilahi cinta hakiki,
yang kuinginkan cinta duniawi,
cinta yang lahir dari hati,
bersemi di sanubari. ~ Penyair Bidasarie

“`Cut off’ Okay, cantik dah. Lusa kita sambung latihan lagi sekali dan minggu depan kita adakan latihan akhir dengan full props. Saya minta semua sila beri kerjasama dan jaga pemakanan serta kesihatan masing-masing,” nasihat Cikgu Rogayah selaku guru penasihat dan guru lakon tari dalam kelab kebudayaan.

“Saya juga minta kamu Dira, Aizat, Hidayah dan Nazrul selaku watak utama. Tolong ya, bagi kerjasama lebih sikit dan kamu Dira dan Aizat… tolonglah jangan bergaduh!” sambung Cikgu Rogayah dalam masa yang sama sempat menepis tangan Aizat yang ingin menarik tudung Dira.
           
Sehabis bicara, Cikgu Rogayah meninggalkan mereka yang masih lagi berada di dalam dewan sekolah. Rakan yang lain telah lama meninggalkan sekolah memandangkan hari sudah menganjak ke petang. Hidayah dan Nazrul juga telah meninggalkan mereka. Kebetulan mereka tinggal berdekatan dan sering berulang-alik dari sekolah bersama-sama.
           
“Aizat, tunggulah Dira. Kita balik sama,” jerit Dira bila melihat Aizat sudah jauh meninggalkannya di belakang.
           
Aizat tidak mengendahkan panggilan Dira, semakin kuat kayuhannya. Dira kebingungan. Tidak tahu apa yang berlaku pada Aizat. Dia tiada pilihan. Aizat sudah jauh meninggalkannya. Malas dia hendak mengejar… lagipun hari dah lewat petang.

Memasuki simpang rumahnya, Mak Tom yang kebetulan berada di bawah pokok mangga terus menegur anaknya, "Dira, kat atas meja di dapur tu ada kuih. Bawah tudung saji. Mak cik Senah kau yang bagi. Katanya kuih lompang. Pergilah. Mak dah makan tadi."


Mendengar kata-kata emaknya, Dira terlonjak riang. Sudah terbayang kuih lompang kesukaannya di depan mata. Sungguhpun dia kehairanan, jiran baik emaknya yang menghantar dan membuatnya, dia tidak peduli. Asalkan kerajinan Mak Cik Senah membuat kuih tersebut memberi keuntungan dan kekenyangan kepada perutnya, itu sudah cukup.

Jumaat, 15 Ogos 2014

DOA SEORANG IBU

Cerpen : Doa Seorang Ibu.
01/01/14~9/05/14
(Edit 01/08/14)

Mira leka termenung di jendela, memikirkan bagaimanakah  nanti keputusan SPMnya yang bakal diketahui esok pagi.  Masih berkira-kira mahu bertemu Intan atau tidak? Intan sahabat baiknya yang tinggal di hujung Kampung Pasir, Kerling. Menjeling memandang jam bulat yang terletak di atas meja tulisnya. `Isk… mana Zaki ni, orang nak keluar dia tak balik lagi.’ Ngomel Mira sendirian. 
Gelisah Mira tidak menentu. Sekilas terdengar salam diberi dari luar, melulu Mira keluar dari biliknya. Melihat adiknya Zaki, kelam kabut Mira ke bilik dan mencapai tudung bawalnya dan mengenakan ke kepalanya. Bergegas pula mengambil kunci pintu dan segera keluar hingga ke beranda rumahnya. Zaki yang masih lagi berdiri di beranda terkebil-kebil memandang kakaknya sebegitu rupa.
“Akak! Akak nak pergi mana?” soal Zaki kehairanan.
“Zaki, akak nak ke rumah Intan kejap. Kau jaga rumah ya. Tunggu sampai akak balik. Basikal tu akak guna sekejap,” pinta Mira lalu bergegas turun dan dan mengambil basikal adiknya lalu dengan perlahan dia mengayuh menyusuri jalan menuju ke rumah Intan. Hajat hatinya  agar dapat bertemu dengan sahabat baiknya itu.
“Intan...! Intan...!” 
Wajah Intan tersembul di balik jendela rumahnya. “Hah! Kenapa Mira. Macam orang kena kejar dek hantu aku tengok kau ni? Kenapa?” soal Intan sambil menjemput Mira naik ke rumahnya.
            Mira turun dari basikalnya. Disandarkan ke tepi pohon mangga. Tercungap-cungap dia bersuara. “Intan, mesti kau tak sabarkan? Esok keputusan SPM akan keluar. Aku yakin, kau pasti lulus dengan cemerlang,” kata Mira yang terus duduk di bangku bersebelahan Intan sambil membelek-belek novel yang baru diletak Intan. `Pasti novel baru.  Aduh! Bergetar Jantungku… kelakar juga tajuk novel Intan kali ini,’ bisik hati kecil Mira.
            “Alaaaa… Mira, kau kata aku… kau tu apa kurangnya… pandai jugakan. Lagipun selama ini kau yang banyak bantu aku dalam pelajaran. Aku tahu kau juga pasti berjaya nanti,” balas Intan. “Kau nak baca novel tu ke? Kalau nak baca, ambillah…aku dah,” terang Intan lagi sambil membetulkan tudungnya yang ditiup angin.
            Bersinar anak mata Mira memandang Intan, terasa ingin sangat dia memiliki dan membacanya. Namun… mana mungkin dia dapat bersenang-lenang kalau di rumah. Ada saja pekerjaan yang harus dilakukan olehnya.
            “Tak apalah Intan, masa bila aku nak membacanya,” balas Mira lagi sedangkan di dalam hatinya  membuak-buak perasaan ingin membaca novel tersebut. Lantas dia menyimpan niat di dalam hatinya, suatu hari nanti dia pasti akan datang dan meminjam daripada Intan.
            “Eh! Apa rancangan kau, nanti? Nak minta kat mana-mana pusat pengajian tinggi, tak?” soal Intan kembali.
Mira hanya menggelengkan kepala. “Siapa aku Intan,  hendak berangan sekolah tinggi. Kau tahu abah aku macam mana. Hendak dibagi atau tidak abah aku tu,” balas Mira sambil membelek-belek lagi novel tadi.
“Insya-ALLAH Mira, kalau ada usaha pasti akan beroleh hasilnya. Kalau keputusan kau bagus, pasti akan dapat biasiswa. Alaaa, jangan risaulah. Aku yakin kau pasti dapat keputusan yang bagus,” balas Intan menyakinkan Mira.
“Baiklah Intan, aku nak baliklah dulu. Esok kita pergi sama-sama ye!”
Intan hanya mengangguk. `Mira, Mira, datang sekadar nak bertanyakan itu sahaja? Bukannya dia tak boleh menelefon atau menghantar SMS.' Tersenyum dia melihat sahabat baiknya itu. Tangannya yan memegang novel itu bergoyang-goyang di hadapan Mira. "Mira! Kau tak nak pinjam ke?" sahut Intan lagi.
Geleng Mira mendengar pertanyaan Intan.  Intan membalas dengan senyuman.

Di rumah, jam 8.00 malam.
“Mira, Mira… apa kau buat dalam bilik tu? Keluarlah tolong emak kau ni, kutip ikan kering yang dah siap dibungkus ni. Simpan dalam bakul ni?” terdengar suara abah menjerit memanggil namanya dari luar bilik.
Mira yang leka termenung tersedar dari lamunan, segera berlari anak membuka tombol pintu bilik dan ke ruang tamu rumah. Adiknya Zaki begitu leka menonton talevisyen. `Bukan hendak menolong emak…’ ngomelnya dalam hati.
Emak melemparkan senyuman dan Mira membalasnya dengan perasaan jengkel. Segera Mira mengutip bungkusan kecil  itu dan memasukkan ke dalam bakul. Lalu diletakkannya ke tepi dinding. `Senang esok abah hendak bawa ke kedai runcit Pak Abu,’ sekali lagi dia mengomel dalam hati.
Sambil duduk bersimpuh menghadap emaknya, Mira bersuara “Emak, esok keputusan SPM dah nak keluar, boleh tak Mira tidak ikut emak pergi menoreh? Mira dah janji dengan Intan nak pergi ambil keputusan SPM.” Mira menjeling ke arah abah.
Emak diam tidak bersuara. Abah yang sedang menghisap rokok di depan pintu terus memalingkan mukanya ke arah Mira. Abah juga tidak bersuara, sesekali Mira melihat abah melirikkan anak matanya ke arah emak.
“Pergilah Mira,” balas emak. “Tapi kalau boleh balik cepat ya, siapa nak masak makan tengahari nanti, kesian adik kau tu. Balik sekolah tak ada makanan. Emak mungkin lambat sikit. Mak cik Senah kau tu… dia minta  mak, urutkan kakinya. Hari tu dia jatuh tangga di dapur rumah.” Terang emak lagi.
 Mira tatap wajah emak, lantas memeluk dan mencuim lembut pipi itu. `Terima kasih emak!’ Mira membisikkan ke telinga emaknya. Lantas emak membalas pelukkan Mira. Terasa kasar tangan emak. Mira beralih ke arah abah, meraih tangannya dan mencium kedua tangan abahnya. `Terima kasih abah!’ Mira bersuara lembut. Abah hanya menganggukkan lesu. Bertakung air mata di kelopak mata Mira. Ditahan juga supaya tidak berderai di hadapan mereka.

Jam 6.30 pagi.
Mira bangun dengan semangat membara. Melihat wajah emak yang tidak pernah lekang dengan senyuman membuatkan Mira lebih bersemangat. Melantunkan pandangannya ke atas meja makan yang sudah tersedia sarapan pagi. Emak memang tidak pernah lupa untuk menyediakan sarapan pagi walau sesibuk mana pun dia. Mira segera menolong emak, dengan menyediakan minuman untuk mereka semua.
Selesai sarapan, emak yang sudah siap sedia hendak ke kebun getah belakang rumah mereka  datang menghampiri Mira, lalu dihulurkan wang belanja kepadanya.  
“Terima kasih, emak,” ucap Mira.
“Emmm, jangan lupa ya Mira. Masak nasi, tu tadi abah kau pesan. Ikan pari dalam peti sejuk tu… disuruhnya kamu masak asam pedas. Sudah lama tak makan masakan kamu tu.” Pesan emaknya lagi.
Mira membalas pesanan emaknya dengan senyuman. Mira mengemas sepantas mungkin sambil melirik matanya ke arah jam di dinding rumahnya.  Zaki telah lama pergi sekolah. Adiknya Zaki terpaksa keluar pagi hari ini, hairan Mira. Adiknya bersekolah petang… tiba-tiba hari ini pagi lagi perginya. `Ahhh, mungkin ada hal lah tu, agaknya.’ Ngomel Mira lagi.
Mira segera meninggalkan kerja mengemas yang cuma tinggal sedikit sahaja dan berlari ke bilik. Baju kurung merah, Mira sarungkan ke badan dan dikenakan dengan tudung bawal putih berbunga merah jambu. Mira memusing-musingkan badannya di hadapan cermin. Sambil tersenyum sendirian. Setelah memastikan pintu rumah di kunci. Mira mengambil basikalnya dan menyorong hingga ke luar jalan.
Mira mengayuh basikalnya dengan berhati-hati, hujan renyai malam tadi membuatkan jalan sedikit licin di tambah pula dengan jalan yang berlopak itu bertakung dengan air tanah. Dari jauh kelihatan Intan sedang menunggu Mira. Di samping Intan berdiri Puan Mona, ibu Intan. Segera Mira menyimpan basikal di garaj kereta, dan berlari anak masuk ke dalam perut kereta yang sedang menanti dengan deruan engin. Puan Mona melemparkan senyuman manis ke arah Mira, sambil menganggukkan dan berbalas senyuman.
Dalam perjalanan, Mira dan Intan lebih banyak berdiam diri. Begitu juga dengan Puan Mona . Sehinggalah sampai di hadapan pagar sekolah. Sekolah Menengah Kuala Kubu Baharu,  Hulu Selangor. Selangor. Sekolah yang banyak meninggalkan kenangan manis buat Mira, dengan pantas Mira keluar dari perut kereta, begitu juga Intan. Lalu, kereta Puan Mona pun meluncur pergi. Mira dan Intan berjalan ke arah sekumpulan pelajar. Kelihatan kelibat sahabat mereka, Nani, Susan, Kamal dan yang lainnya turut berada di situ. Mereka kawan sekelas Mira dan Intan.
Kesemua pelajar berkumpul di dalam dewan. Riuh-rendah suara pelajar-pelajar yang lain.  Begitu jugalah Mira dan Intan serta beberapa rakan mereka. Tidak sabar mendengar keputusan dari guru besar. Berdebar hati Mira. Begitu juga dengan Intan. Sedang leka berbual dengan beberapa orang pelajar lain, terdengar namanya dipanggil.
“Tahniah Mira! 8A1. Saya bangga dengan kamu Mira, saya tahu betapa susahnya kehidupan kamu dan kini, segala penat lelah kamu dah berbaloi. Tahniah sekali lagi,” kata Puan Asmah, guru besar sekolah Mira. Mengucap syukur Mira. Tiba giliran Intan. Alhamdullilah… keputusan Intan pun turut sama seperti Mira. Mira dan Intan berpelukan kegembiraan.
Dalam perjalanan pulang, Mira dan Intan yang berjalan kaki ketawa riang sambil bercerita tentang cita-cita masing-masing. Intan memang ingin menjadi seorang doktor, tapi Mira…`entahlah’. Intan yang mendengar keluhan Mira, segera menyabarkan Mira sambil memengang tangannya, kuat dan erat.
“Insya-ALLAH Mira. Selagi kita boleh berusaha dan berdoa kepada-Nya , pasti ada jalan untuk kita raih kejayaan.” Kata Intan sambil memandang Mira. Ada garis senyum di bibirnya.
“Terima kasih, Intan.” Balas Mira.
Tanpa mereka sedari, mereka telah pun sampai di hadapan pagar rumah Intan. Intan menjemput Mira untuk melepaskan lelah sebentar, namun bila teringat tentang janjinya dengan maknya, Mira batalkan saja niatnya itu.
Mira mengambil basikalnya dan mengayuh pulang ke rumah dengan hatinya berbunga riang. Tercapai sudah impiannya ingin melihat emak dan abahnya gembira dengan keputusannya nanti.  Sampai di rumah,  Mira melihat jam di dinding yang menunjukkah sudah hampir jam 12.30 tengahari. Segera Mira ke dapur dan mengeluarkan  ikan pari  dari peti sejuk. Begitu juga dengan bahan-bahan yang lain. Teringat dia pesanan emaknya pagi tadi. `Mira, masakkan asam pedas ikan pari kesukaan abah,kau! Bahan-bahannya semua sudah emak sediakan. Ada dalam peti sejuk tu…’ Tersenyum Mira bila teringat pesanan maknya.
Bermula dengan Bismillah, Mira memulakan masakannya. Satu persatu siap terhidang di atas meja makan. diperhatinya satu persatu… asam pedas ikan pari, kangkung tumis ikan bilis, telur dadar dan sedikit sambal belacan. Tidak lupa, pucuk ubi yang dikutip emaknya petang semalam segera dicelur dengan air panas lalu diletakkan ke dalam piring dan diletaknya ke atas meja bersama hidangan tadi. Pasti selera abah bertambah nanti dan emak pasti tersenyum bangga melihat anak daranya yang begitu pandai memasak. Tersenyum Mira sendirian.
Mira kembali menyambung angannya di dalam bilik. Sambil terbaring memandang siling, dia berangan-angan ke mana langkahnya selepas ini. Adakah ke menara gading atau hanya ke tingkatan enam sahaja. `Ahhh, akan aku pujuk emak… nanti.’ Bisiknya lagi.
Sedang leka mengenangkan nasib diri selepas ini, kedengaran adiknya memberi salam. Zaki, tanpa membuang masa terus ke meja makan, Mira hanya perhatikan adik kesayangannya dari balik pintu biliknya. Mira berjalan menghampiri adiknya yang sedang enak menjamu selera tanpa menoleh ke arahnya.
“Ehm… ehm… cuba makan tu tertib sikit, jangan gelojoh. Kalau tersedak nanti siapa susah… Zaki jugakan,” tegur Mira sambil mengambil air minuman untuk adiknya.
“Kak, mana emak… abah? Tak balik lagi ke mereka?” tanya Zaki sambil meneguk air yang diambil Mira tadi.
“Kejap lagi lah tu,” balas Mira lembut.
“Kak, tadi kat sekolah kecoh kata akak dapat 8A1. Betul ke kak?”
Mira membiarkan soalan Zaki tanpa jawapan. Zaki yang faham dengan sikap Mira terus bangun dan membawa pinggan serta gelas ke singki dan ditinggalnya sahaja. Itulah sikap Zaki.

Jam 8.00 malam di ruang dapur.

“Abang, petang tadi Mira tunjukkan  keputusan dia, Alhamdulillah bang… 8A1.” Terang emak kepada abah.
Mira yang berada di dalam bilik cuba memasang telinga. Tapi yang kedengaran cuma suara mak. Mira merapatkan telinganya ke dinding bilik. Kali ini Mira dengar emak bersuara lagi. Mira cuba memberanikan diri dengan keluar dari biliknya berjalan ke arah dapur, sehinggalah berada di balik pintu dapur, Mira terdengar emaknya bersuara lagi.
“Kesian dia bang, dia nak belajar… kita nak sekat pula niat dia. Tak baik, bang?”
“Kita tak mampu Mah. Nak hantar dia belajar kat universiti tu… banyak pakai duit Mah.” balas abah. “Tambahkan kuahnya tu… anak awak ni kalau masak asam pedas, kalah masakan awak tau tak?” abah menyambung katanya sambil ketawa kecil.
Mira yang bersembunyi di balik pintu dapur tersenyum dengan pujian abah. Abah memang gemar dengan masakan asam pedasnya. `Katanya, emak masak pun tak sesedap masakannya.’
“Nantilah aku fikirkan macam mana, tapi sebelum tu kau cakapkan kat dia yang Pak cik Ahmad tuan kedai makan kat sebelah kedai runcit Pak cik Abu nak kan pekerja sebagai tukang masak lauk nasi campur. Bagi tahu kat Mira tu, pergi la kerja sementara menunggu mana-mana panggilan untuk belajar.” Terang ayah lagi.
Mira yang masih bersembunyi di balik pintu dapur seakan ingin menangis mendengar kata abah. Jelas, tidak sedikitpun terpancar keriangan di wajah abah. Wajahnya yang tadi gembira terus bertukar keruh. Lemah kakinya melangkah masuk semula ke dalam biliknya. Cuba menguatkan semangat. `Emmm, mungkin sementara aje kot. Tak apalah, sekurang-kurangnya boleh aku kumpul duit. Andai ada rezeki aku, duit tu nanti boleh aku gunakan untuk keperluan aku.’ Angan Mira. 
Malas Mira ingin menonton bersama adiknya di luar. Bangun dari pembaringannya lalu berjalan menuju ke jendela dan dibukanya sedikit. Menderu angin memasuki biliknya. Kemudian dia menutup kembali.
Sedang enak membuai perasaan, Mira terdengar suara emaknya memanggil. Kelam kabut Mira membuka pintu. Hairan, selalu emak tidak pernah menganggunya kecuali jika ada ikan masin yang hendak dibungkus. `Arhh, mungkin mak hendak meminta aku memicit badannya, atau mungkin abah perlukan bantuannya,’ berteka-teki Mira sendiran. Apabila pintunya terbuka, yang berada di hadapannya bukan emak tetapi Intan.
 “Intan! Apa kau buat datang rumah aku malam-malam ni? Datang dengan siapa?” soal Mira tanpa henti.
“Oh, ini Puan Hidayah. Kawan ibu aku. Dia banyak menolong orang susah untuk melanjutkan pelajaran,” terang Intan memperkenalkan perempuan yang sebaya emak.
 Mira bersalaman dengan Puan Hidayah. Tapi, masih kehairanan. ‘Kenapa pula Intan bawa dia datang rumah aku,’ Mira sekadar bertanya dalam hati.
“Emak aku suruh dia tengok slip keputusan SPM kau tu. Lepas tu, kau dengarlah apa yang Puan Hidayah boleh lakukan nanti,” Intan memberitahu.
Mira segera masuk ke bilik. Tidak lama kemudian, Mira keluar semula dan menunjukkan slip keputusan SPMnya kepada Puan Hidayah. Puan Hidayah kelihatan tersenyum. Mira dan Intan hanya berpandangan. Menunggu reaksi Puan Hidayah yang asyik membetulkan cermin matanya. Matanya tertancap pada slip keputusan SPM Mira.
 “Beginilah. Saya boleh tolong. Ini ada borang pinjaman pengajian tinggi dari Pusat Zakat Selangor . Isi borang ini dan saya akan pastikan Mira dapat masuk mana-mana universiti  di dalam Malaysia.” Katanya dengan kepastian.
Terkebil-kebil mata Mira kurang percaya dengan berita baik ini. Intan sudah menepuk-nepuk bahu Mira. Dia lebih gembira berbanding diri Mira sendiri.
“Lepas ni, kita boleh masuk universiti yang sama. Soal pembiayaan kau tak perlu risau lagi. Puan Hidayah akan uruskan.” Intan juga yakin sangat-sangat.
Mira sudah terlonjak kegirangan. Mereka berdakapan. Emak muncul dari dapur bersama minuman. Mira berlalu dan terus memeluk emaknya.
“Mak, sekarang emak jangan susah hati. Puan Hidayah akan bantu Mira untuk membayar semua yuran pengajian. Ini semua atas doa emak. Terima kasih, mak,”
“Betul? Mira sudah boleh sambung belajar? Mak macam tak percaya,” emak sungguh terharu. Dia mendapatkan Puan Hidayah dan memegang tangannya erat-erat. “Terima kasih Puan. Terima kasih sebab tolong anak saya. Saya mahu dia berjaya. Saya tiada duit. Tapi, saya boleh berdoa untuk kejayaannya setiap masa,” air mata emak sudah tumpah.
Puan Hidayah terharu sambil berkata, “Doa itulah yang paling berharga untuk seorang anak. Tanpa doa seorang ibu, tidak mungkin seorang anak akan berjaya dalam apa pun.”

Mira mengalih pandangannya ke ruang dapur. Kelibat abahnya masih ada di situ. Pasti abahnya mendengar apa yang dikatakan oleh Puan Hidayah. Mira perhati, abah tersenyum memandangnya. Air mata Mira tumpah lagi tanpa henti. `Ya ALLAH, terima kasih segalanya.’ Doa Mira dalam hati.