Cerpen
: Doa Seorang Ibu.
01/01/14~9/05/14
(Edit
01/08/14)
Mira leka termenung di
jendela, memikirkan bagaimanakah nanti keputusan
SPMnya yang bakal diketahui esok pagi. Masih
berkira-kira mahu bertemu Intan atau tidak? Intan sahabat baiknya yang tinggal
di hujung Kampung Pasir, Kerling. Menjeling memandang jam bulat yang terletak di
atas meja tulisnya. `Isk… mana Zaki ni, orang nak keluar dia tak balik lagi.’
Ngomel Mira sendirian.
Gelisah Mira tidak
menentu. Sekilas terdengar salam diberi dari luar, melulu Mira keluar dari
biliknya. Melihat adiknya Zaki, kelam kabut Mira ke bilik dan mencapai tudung
bawalnya dan mengenakan ke kepalanya. Bergegas pula mengambil kunci pintu dan
segera keluar hingga ke beranda rumahnya. Zaki yang masih lagi berdiri di
beranda terkebil-kebil memandang kakaknya sebegitu rupa.
“Akak! Akak nak pergi
mana?” soal Zaki kehairanan.
“Zaki, akak nak ke
rumah Intan kejap. Kau jaga rumah ya. Tunggu sampai akak balik. Basikal tu akak
guna sekejap,” pinta Mira lalu bergegas turun dan dan mengambil basikal adiknya
lalu dengan perlahan dia mengayuh menyusuri jalan menuju ke rumah Intan. Hajat
hatinya agar dapat bertemu dengan sahabat
baiknya itu.
“Intan...! Intan...!”
Wajah Intan tersembul
di balik jendela rumahnya. “Hah! Kenapa Mira. Macam orang kena kejar dek hantu
aku tengok kau ni? Kenapa?” soal Intan sambil menjemput Mira naik ke rumahnya.
Mira
turun dari basikalnya. Disandarkan ke tepi pohon mangga. Tercungap-cungap dia bersuara.
“Intan, mesti kau tak sabarkan? Esok keputusan SPM akan keluar. Aku yakin, kau
pasti lulus dengan cemerlang,” kata Mira yang terus duduk di bangku
bersebelahan Intan sambil membelek-belek novel yang baru diletak Intan. `Pasti
novel baru. Aduh! Bergetar Jantungku… kelakar juga tajuk novel
Intan kali ini,’ bisik hati kecil Mira.
“Alaaaa…
Mira, kau kata aku… kau tu apa kurangnya… pandai jugakan. Lagipun selama ini
kau yang banyak bantu aku dalam pelajaran. Aku tahu kau juga pasti berjaya
nanti,” balas Intan. “Kau nak baca novel tu ke? Kalau nak baca, ambillah…aku dah,”
terang Intan lagi sambil membetulkan tudungnya yang ditiup angin.
Bersinar
anak mata Mira memandang Intan, terasa ingin sangat dia memiliki dan membacanya.
Namun… mana mungkin dia dapat bersenang-lenang kalau di rumah. Ada saja
pekerjaan yang harus dilakukan olehnya.
“Tak
apalah Intan, masa bila aku nak membacanya,” balas Mira lagi sedangkan di dalam
hatinya membuak-buak perasaan ingin
membaca novel tersebut. Lantas dia menyimpan niat di dalam hatinya, suatu hari
nanti dia pasti akan datang dan meminjam daripada Intan.
“Eh!
Apa rancangan kau, nanti? Nak minta kat mana-mana pusat pengajian tinggi, tak?”
soal Intan kembali.
Mira hanya
menggelengkan kepala. “Siapa aku Intan, hendak berangan sekolah tinggi. Kau tahu abah aku macam mana. Hendak dibagi
atau tidak abah aku tu,” balas Mira sambil membelek-belek lagi novel tadi.
“Insya-ALLAH Mira,
kalau ada usaha pasti akan beroleh hasilnya. Kalau keputusan kau bagus, pasti
akan dapat biasiswa. Alaaa, jangan risaulah. Aku yakin kau pasti dapat
keputusan yang bagus,” balas Intan menyakinkan Mira.
“Baiklah Intan, aku nak
baliklah dulu. Esok kita pergi sama-sama ye!”
Intan hanya mengangguk. `Mira, Mira, datang sekadar nak bertanyakan itu sahaja? Bukannya dia tak boleh menelefon atau menghantar SMS.' Tersenyum dia melihat sahabat baiknya itu. Tangannya yan memegang novel itu bergoyang-goyang di hadapan Mira. "Mira! Kau tak nak pinjam ke?" sahut Intan lagi.
Geleng Mira mendengar
pertanyaan Intan. Intan membalas dengan
senyuman.
Di
rumah, jam 8.00 malam.
“Mira, Mira… apa kau
buat dalam bilik tu? Keluarlah tolong emak kau ni, kutip ikan kering yang dah
siap dibungkus ni. Simpan dalam bakul ni?” terdengar suara abah menjerit memanggil
namanya dari luar bilik.
Mira yang leka
termenung tersedar dari lamunan, segera berlari anak membuka tombol pintu bilik
dan ke ruang tamu rumah. Adiknya Zaki begitu leka menonton talevisyen. `Bukan
hendak menolong emak…’ ngomelnya dalam hati.
Emak melemparkan
senyuman dan Mira membalasnya dengan perasaan jengkel. Segera Mira mengutip
bungkusan kecil itu dan memasukkan ke
dalam bakul. Lalu diletakkannya ke tepi dinding. `Senang esok abah hendak bawa
ke kedai runcit Pak Abu,’ sekali lagi dia mengomel dalam hati.
Sambil duduk bersimpuh
menghadap emaknya, Mira bersuara “Emak, esok keputusan SPM dah nak keluar, boleh
tak Mira tidak ikut emak pergi menoreh? Mira dah janji dengan Intan nak pergi
ambil keputusan SPM.” Mira menjeling ke arah abah.
Emak diam tidak
bersuara. Abah yang sedang menghisap rokok di depan pintu terus memalingkan
mukanya ke arah Mira. Abah juga tidak bersuara, sesekali Mira melihat abah
melirikkan anak matanya ke arah emak.
“Pergilah Mira,” balas emak.
“Tapi kalau boleh balik cepat ya, siapa nak masak makan tengahari nanti, kesian
adik kau tu. Balik sekolah tak ada makanan. Emak mungkin lambat sikit. Mak
cik Senah kau tu… dia minta mak, urutkan kakinya. Hari tu dia jatuh tangga di dapur rumah.” Terang emak lagi.
Mira tatap wajah emak, lantas memeluk dan
mencuim lembut pipi itu. `Terima kasih emak!’ Mira membisikkan ke telinga emaknya.
Lantas emak membalas pelukkan Mira. Terasa kasar tangan emak. Mira beralih ke
arah abah, meraih tangannya dan mencium kedua tangan abahnya. `Terima kasih
abah!’ Mira bersuara lembut. Abah hanya menganggukkan lesu. Bertakung air mata
di kelopak mata Mira. Ditahan juga supaya tidak berderai di hadapan mereka.
Jam
6.30 pagi.
Mira bangun dengan
semangat membara. Melihat wajah emak yang tidak pernah lekang dengan senyuman
membuatkan Mira lebih bersemangat. Melantunkan pandangannya ke atas meja makan
yang sudah tersedia sarapan pagi. Emak memang tidak pernah lupa untuk
menyediakan sarapan pagi walau sesibuk mana pun dia. Mira segera menolong emak,
dengan menyediakan minuman untuk mereka semua.
Selesai sarapan, emak
yang sudah siap sedia hendak ke kebun getah belakang rumah mereka datang menghampiri Mira, lalu dihulurkan wang
belanja kepadanya.
“Terima kasih, emak,”
ucap Mira.
“Emmm, jangan lupa ya
Mira. Masak nasi, tu tadi abah kau pesan. Ikan pari dalam peti sejuk tu…
disuruhnya kamu masak asam pedas. Sudah lama tak makan masakan kamu tu.” Pesan emaknya
lagi.
Mira membalas pesanan emaknya
dengan senyuman. Mira mengemas sepantas mungkin sambil melirik matanya ke arah
jam di dinding rumahnya. Zaki telah lama
pergi sekolah. Adiknya Zaki terpaksa keluar pagi hari ini, hairan Mira. Adiknya
bersekolah petang… tiba-tiba hari ini pagi lagi perginya. `Ahhh, mungkin ada
hal lah tu, agaknya.’ Ngomel Mira lagi.
Mira segera
meninggalkan kerja mengemas yang cuma tinggal sedikit sahaja dan berlari ke
bilik. Baju kurung merah, Mira sarungkan ke badan dan dikenakan dengan tudung
bawal putih berbunga merah jambu. Mira memusing-musingkan badannya di hadapan
cermin. Sambil tersenyum sendirian. Setelah memastikan pintu rumah di kunci.
Mira mengambil basikalnya dan menyorong hingga ke luar jalan.
Mira mengayuh
basikalnya dengan berhati-hati, hujan renyai malam tadi membuatkan jalan
sedikit licin di tambah pula dengan jalan yang berlopak itu bertakung dengan
air tanah. Dari jauh kelihatan Intan sedang menunggu Mira. Di samping Intan
berdiri Puan Mona, ibu Intan. Segera Mira menyimpan basikal di garaj kereta,
dan berlari anak masuk ke dalam perut kereta yang sedang menanti dengan deruan
engin. Puan Mona melemparkan senyuman manis ke arah Mira, sambil menganggukkan dan
berbalas senyuman.
Dalam perjalanan, Mira
dan Intan lebih banyak berdiam diri. Begitu juga dengan Puan Mona . Sehinggalah
sampai di hadapan pagar sekolah. Sekolah Menengah Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor. Selangor. Sekolah yang banyak
meninggalkan kenangan manis buat Mira, dengan pantas Mira keluar dari perut
kereta, begitu juga Intan. Lalu, kereta Puan Mona pun meluncur pergi. Mira dan
Intan berjalan ke arah sekumpulan pelajar. Kelihatan kelibat sahabat mereka, Nani,
Susan, Kamal dan yang lainnya turut berada di situ. Mereka kawan sekelas Mira
dan Intan.
Kesemua pelajar
berkumpul di dalam dewan. Riuh-rendah suara pelajar-pelajar yang lain. Begitu jugalah Mira dan Intan serta beberapa
rakan mereka. Tidak sabar mendengar keputusan dari guru besar. Berdebar hati Mira.
Begitu juga dengan Intan. Sedang leka berbual dengan beberapa orang pelajar
lain, terdengar namanya dipanggil.
“Tahniah Mira! 8A1.
Saya bangga dengan kamu Mira, saya tahu betapa susahnya kehidupan kamu dan
kini, segala penat lelah kamu dah berbaloi. Tahniah sekali lagi,” kata Puan
Asmah, guru besar sekolah Mira. Mengucap syukur Mira. Tiba giliran Intan.
Alhamdullilah… keputusan Intan pun turut sama seperti Mira. Mira dan Intan
berpelukan kegembiraan.
Dalam perjalanan
pulang, Mira dan Intan yang berjalan kaki ketawa riang sambil bercerita tentang
cita-cita masing-masing. Intan memang ingin menjadi seorang doktor, tapi Mira…`entahlah’.
Intan yang mendengar keluhan Mira, segera menyabarkan Mira sambil memengang
tangannya, kuat dan erat.
“Insya-ALLAH Mira.
Selagi kita boleh berusaha dan berdoa kepada-Nya , pasti ada jalan untuk kita
raih kejayaan.” Kata Intan sambil memandang Mira. Ada garis senyum di bibirnya.
“Terima kasih, Intan.”
Balas Mira.
Tanpa mereka sedari, mereka
telah pun sampai di hadapan pagar rumah Intan. Intan menjemput Mira untuk
melepaskan lelah sebentar, namun bila teringat tentang janjinya dengan maknya, Mira
batalkan saja niatnya itu.
Mira mengambil
basikalnya dan mengayuh pulang ke rumah dengan hatinya berbunga riang. Tercapai
sudah impiannya ingin melihat emak dan abahnya gembira dengan keputusannya
nanti. Sampai di rumah, Mira melihat jam di dinding yang menunjukkah
sudah hampir jam 12.30 tengahari. Segera Mira ke dapur dan mengeluarkan ikan pari dari peti sejuk. Begitu juga dengan
bahan-bahan yang lain. Teringat dia pesanan emaknya pagi tadi. `Mira, masakkan
asam pedas ikan pari kesukaan abah,kau! Bahan-bahannya semua sudah emak
sediakan. Ada dalam peti sejuk tu…’ Tersenyum Mira bila teringat pesanan
maknya.
Bermula dengan
Bismillah, Mira memulakan masakannya. Satu persatu siap terhidang di atas meja
makan. diperhatinya satu persatu… asam pedas ikan pari, kangkung tumis ikan
bilis, telur dadar dan sedikit sambal belacan. Tidak lupa, pucuk ubi yang
dikutip emaknya petang semalam segera dicelur dengan air panas lalu diletakkan
ke dalam piring dan diletaknya ke atas meja bersama hidangan tadi. Pasti selera
abah bertambah nanti dan emak pasti tersenyum bangga melihat anak daranya yang
begitu pandai memasak. Tersenyum Mira sendirian.
Mira kembali menyambung
angannya di dalam bilik. Sambil terbaring memandang siling, dia berangan-angan
ke mana langkahnya selepas ini. Adakah ke menara gading atau hanya ke tingkatan
enam sahaja. `Ahhh, akan aku pujuk emak… nanti.’ Bisiknya lagi.
Sedang leka
mengenangkan nasib diri selepas ini, kedengaran adiknya memberi salam. Zaki,
tanpa membuang masa terus ke meja makan, Mira hanya perhatikan adik
kesayangannya dari balik pintu biliknya. Mira berjalan menghampiri adiknya yang
sedang enak menjamu selera tanpa menoleh ke arahnya.
“Ehm… ehm… cuba makan
tu tertib sikit, jangan gelojoh. Kalau tersedak nanti siapa susah… Zaki
jugakan,” tegur Mira sambil mengambil air minuman untuk adiknya.
“Kak, mana emak… abah?
Tak balik lagi ke mereka?” tanya Zaki sambil meneguk air yang diambil Mira
tadi.
“Kejap lagi lah tu,”
balas Mira lembut.
“Kak, tadi kat sekolah
kecoh kata akak dapat 8A1. Betul ke kak?”
Mira membiarkan soalan
Zaki tanpa jawapan. Zaki yang faham dengan sikap Mira terus bangun dan membawa
pinggan serta gelas ke singki dan ditinggalnya sahaja. Itulah sikap Zaki.
Jam
8.00 malam di ruang dapur.
“Abang, petang tadi
Mira tunjukkan keputusan dia,
Alhamdulillah bang… 8A1.” Terang emak kepada abah.
Mira yang berada di dalam
bilik cuba memasang telinga. Tapi yang kedengaran cuma suara mak. Mira merapatkan
telinganya ke dinding bilik. Kali ini Mira dengar emak bersuara lagi. Mira cuba
memberanikan diri dengan keluar dari biliknya berjalan ke arah dapur, sehinggalah
berada di balik pintu dapur, Mira terdengar emaknya bersuara lagi.
“Kesian dia bang, dia
nak belajar… kita nak sekat pula niat dia. Tak baik, bang?”
“Kita tak mampu Mah.
Nak hantar dia belajar kat universiti tu… banyak pakai duit Mah.” balas abah. “Tambahkan
kuahnya tu… anak awak ni kalau masak asam pedas, kalah masakan awak tau tak?” abah
menyambung katanya sambil ketawa kecil.
Mira yang bersembunyi di
balik pintu dapur tersenyum dengan pujian abah. Abah memang gemar dengan
masakan asam pedasnya. `Katanya, emak masak pun tak sesedap masakannya.’
“Nantilah aku fikirkan
macam mana, tapi sebelum tu kau cakapkan kat dia yang Pak cik Ahmad tuan kedai
makan kat sebelah kedai runcit Pak cik Abu nak kan pekerja sebagai tukang masak
lauk nasi campur. Bagi tahu kat Mira tu, pergi la kerja sementara menunggu
mana-mana panggilan untuk belajar.” Terang ayah lagi.
Mira yang masih
bersembunyi di balik pintu dapur seakan ingin menangis mendengar kata abah.
Jelas, tidak sedikitpun terpancar keriangan di wajah abah. Wajahnya yang tadi
gembira terus bertukar keruh. Lemah kakinya melangkah masuk semula ke dalam
biliknya. Cuba menguatkan semangat. `Emmm, mungkin sementara aje kot. Tak
apalah, sekurang-kurangnya boleh aku kumpul duit. Andai ada rezeki aku, duit tu
nanti boleh aku gunakan untuk keperluan aku.’ Angan Mira.
Malas Mira ingin
menonton bersama adiknya di luar. Bangun dari pembaringannya lalu berjalan menuju
ke jendela dan dibukanya sedikit. Menderu angin memasuki biliknya. Kemudian dia
menutup kembali.
Sedang enak membuai
perasaan, Mira terdengar suara emaknya memanggil. Kelam kabut Mira membuka
pintu. Hairan, selalu emak tidak pernah menganggunya kecuali jika ada ikan
masin yang hendak dibungkus. `Arhh, mungkin mak hendak meminta aku memicit
badannya, atau mungkin abah perlukan bantuannya,’ berteka-teki Mira sendiran.
Apabila pintunya terbuka, yang berada di hadapannya bukan emak tetapi Intan.
“Intan! Apa kau buat
datang rumah aku malam-malam ni? Datang dengan siapa?” soal Mira tanpa henti.
“Oh, ini Puan Hidayah. Kawan ibu aku. Dia banyak menolong
orang susah untuk melanjutkan pelajaran,” terang Intan memperkenalkan perempuan
yang sebaya emak.
Mira bersalaman
dengan Puan Hidayah. Tapi, masih kehairanan. ‘Kenapa pula Intan bawa dia datang
rumah aku,’ Mira sekadar bertanya dalam hati.
“Emak aku suruh dia tengok slip keputusan SPM kau tu. Lepas
tu, kau dengarlah apa yang Puan Hidayah boleh lakukan nanti,” Intan
memberitahu.
Mira segera masuk ke bilik. Tidak lama kemudian, Mira
keluar semula dan menunjukkan slip keputusan SPMnya kepada Puan Hidayah. Puan Hidayah
kelihatan tersenyum. Mira dan Intan hanya berpandangan. Menunggu reaksi Puan Hidayah
yang asyik membetulkan cermin matanya. Matanya tertancap pada slip keputusan
SPM Mira.
“Beginilah. Saya
boleh tolong. Ini ada borang pinjaman pengajian tinggi dari Pusat Zakat
Selangor . Isi borang ini dan saya akan pastikan Mira dapat masuk mana-mana
universiti di dalam Malaysia.” Katanya
dengan kepastian.
Terkebil-kebil mata Mira kurang percaya dengan berita baik
ini. Intan sudah menepuk-nepuk bahu Mira. Dia lebih gembira berbanding diri
Mira sendiri.
“Lepas ni, kita boleh masuk universiti yang sama. Soal
pembiayaan kau tak perlu risau lagi. Puan Hidayah akan uruskan.” Intan juga
yakin sangat-sangat.
Mira sudah terlonjak kegirangan. Mereka berdakapan. Emak
muncul dari dapur bersama minuman. Mira berlalu dan terus memeluk emaknya.
“Mak, sekarang emak jangan susah hati. Puan Hidayah akan
bantu Mira untuk membayar semua yuran pengajian. Ini semua atas doa emak.
Terima kasih, mak,”
“Betul? Mira sudah boleh sambung belajar? Mak macam tak
percaya,” emak sungguh terharu. Dia mendapatkan Puan Hidayah dan memegang
tangannya erat-erat. “Terima kasih Puan. Terima kasih sebab tolong anak saya.
Saya mahu dia berjaya. Saya tiada duit. Tapi, saya boleh berdoa untuk kejayaannya
setiap masa,” air mata emak sudah tumpah.
Puan Hidayah terharu sambil berkata, “Doa itulah yang
paling berharga untuk seorang anak. Tanpa doa seorang ibu, tidak mungkin
seorang anak akan berjaya dalam apa pun.”
Mira mengalih pandangannya ke ruang dapur. Kelibat abahnya
masih ada di situ. Pasti abahnya mendengar apa yang dikatakan oleh Puan
Hidayah. Mira perhati, abah tersenyum memandangnya. Air mata Mira tumpah lagi
tanpa henti. `Ya ALLAH, terima kasih segalanya.’ Doa Mira dalam hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan