Cerpen : Kisah Mira Dengan Pak cik Aiskrim.
10/05/14 ~ 16/08/14
Kring! Kring! Kring! Mira melingas mencari bunyi yang menyerang
pendengarannya tadi. Dahinya berkerut. Anak matanya mengecil, memanjang semakin jauh.
`Mana pula pak cik ni? Ada bunyi basikal, tapi tak nampak orangnya.’ Hatinya mula berkata-kata.
Dia mengeluh malah Intan, sahabat baik yang satu kelas dengannya
pula sibuk memanggil-manggil
namanya. Segera dia menyuruh Intan pergi
dahulu. Sekali dia mengerling jam di
tangan. Masa tamat waktu rehat kian
hampir. Sekali lagi dia mengintai di
celah pagar sekolah. Dia mahu balik
semula ke kelas. Teringat Intan pasti sedang menantinya. Baru sahaja dia berpaling, bunyi basikal tua
pak cik aiskrim sekali lagi kedengaran di telinganya.
Mira berpaling dan menjengket-jengketkan kakinya, mengintai semula
ke deretan bas sekolah yang memarkir di tepi jalan. Kelibat pak cik aiskrim sudah kelihatan di pandangan
mata. Tersenyum dirinya menanti pak cik
aiskrim menghampiri. `Akhirnya, muncul juga pak cik ni,’ hatinya berbisik
lega. Tersenyum dia memandang pak cik aiskrim.
"Pak cik..." panggilannya terhenti. Matanya terpandang seseorang di sebalik tong
aiskrim pak cik itu. Lebih dikenali oleh
semua pelajar sebagai Pak cik Aiskrim. Sekali lagi dia cuba memandang siapakah
di sebalik tong aiskrim itu?
"Pak
cik, siapa ni?” Mira teruja melihat anak kecil di sebalik tong ais krim. Segera dia menghampiri anak kecil itu, dan
mengagah-ngagahnya. Ketawa Mira melihat
anak kecil itu ketawa mengekek.
Dia
memang inginkan seorang adik. Dia masih
ingat lagi apabila suatu hari dia meluahkan keinginannya kepada emak. `Emak…
Mira teringinlah punya adik. Kalau boleh Mira nak adik perempuan.’
`Tak ada
rezekilah, sayang. Cukuplah kamu dengan abang kamu. Ada rezeki nanti merasa jugalah seorang adik. Emak ni pun kalau boleh mahu juga meramaikan
umat Nabi Muhammad saw,’ balas emak. Masih terngiang-ngiang kata-kata emak di pendengaran
Mira lagi. Namun, mata Mira masih tidak terlepas
mengamati anak kecil yang juga sedang leka memandangnya.
“Oh..ini
Umie, anak pak cik. Pak cik terpaksa
bawa dia menjual di sini. Isteri pak cik
tak sihat,” ujar pak cik aiskrim panjang lebar.
Mira
terangguk-angguk mendengar sambil memerhati keletah anak kecil yang bernama Umie.
Anak kecil yang comel, bergaun putih dan bertopi renda warna merah jambu.
Terpegun Mira, sudahlah kulitnya putih. `Eeee, geramnya.’ Bisik hati kecilnya lagi.
“Sebab tu ke pak cik datang lambat?” soalnya lagi. Pak cik aiskrim mengangguk.
Ketika
itu, sudah ada pelajar lain yang meluru ke arah pak cik aiskrim itu untuk
membeli aiskrimnya. Umie pula suka hati.
Tangannya yang kecil itu ligat mahu
menggapai penyedok aiskrim di tangan ayahnya. Pak cik
aiskrim kelihatan tidak senang hendak melakukan kerjanya.
Mira segera
menghampiri Umie. Anak kecil itu terus didukungnya. “Berapa umur Umie ni, pak cik?” soalnya sambil membiarkan pak cik aiskrim meneruskan
kerjanya.
“Empat
tahun,” jawabnya, tidak memandang Mira langsung. Umie pula asyik menarik-narik tudung yang
dipakai Mira. Ketawa dia senang hati. Wajah manis dan ceria Umie amat
menghiburkan hatinya.
Loceng
sekolah sudah berbunyi menandakan waktu rehat sudah berakhir. Mira masih leka bermain mimik muka dengan Umie.
Para pelajar sudah mula meninggalkan
perkarangan pintu pagar sekolah. Hanya
tinggal dirinya bersama pak cik aiskrim dan anak kecilnya. Tiba-tiba dia terfikir sesuatu.
“Pak
cik, lepas ni nak jual aiskrim kat mana pula?” soalnya, ingin tahu. Tangannya
masih lagi berbalas tepukan dengan tangan Umie. Sesekali dia menghadiahkan
kucupannya ke pipi anak kecil itu. Ketawa mengekek anak kecil melihat gelagat
dirinya.
“Pak
cik fikir hendak ke flat perumahan di hadapan sana. Selalu ramai budak yang
suka makan aiskrim pak cik di sana,” jawab pak cik aiskrim dengan senang hati.
Sudah
terbayang, aiskrim yang dijual akan segera habis. Seperti selalunya. Wajah Mira
runsing. Ada sesuatu yang kurang disenanginya. Mira mula memikirkan sesuatu.
“Pak
cik, apa kata Umie ni, biarlah bersama saya. Saya boleh jaga dia sementara pak
cik menjual di sana,” Mira menawarkan diri.
Pak cik
aiskrim pula berwajah cemberut. "Eh,
tak baiklah macam tu Mira. Mira kan tengah belajar. Pak cik tak mahu Mira
memonteng pula," tegas pak cik aiskrim itu sambil mengambil kembali anak
kecil dari dokongan Mira.
"Eh, tak pak cik. Mira tak
ponteng. Cikgu Mira yang tak datang mengajar. Dia ada mesyuarat tiba-tiba. Selama
satu jam, Mira masih tak ada kelas,” jujur Mira mengaku dan sememangnya dia tidak
suka berbohong. Mungkin, hanya itu cara
yang boleh membuka pintu hati pak cik aiskrim. “Lagipun, nanti pak cik boleh
balik cepat. Dalam sejam je pak cik boleh habiskan jualan. Lagi cepat habis,
lebih cepatlah pak cik balik ke rumah dan menjaga isteri yang sedang sakit,”
terang Mira lagi sambil mengambil kembali Umie daripada kendongan pak cik
aiskrim.
Pak cik
aiskrim termangu seketika. Dia berfikir ada benarnya pendapat Mira itu.
'Mungkin juga benar cikgunya bermesyuarat. Takkanlah dia nak tipu aku pula,'
hati pak cik aiskrim memutuskan begitu. Langsung tanpa memikirkan lagi, pak cik
aiskrim meminta izin pergi dahulu. Ketawa mengekek Umie di dalam kendongan
Mira. Tersenyum Mira melihat Umie yang begitu manja dengannya.
Sudah lebih dua minggu, Intan merasa kehairanan dengan sikap
sahabat baiknya, Mira. Intan semakin risau. Sejak kebelakangan ini, sahabatnya
itu kerap menghilang. Terutamanya
selepas waktu rehat. Seperti hari ini, sahabatnya
itu menghilang lagi. Akibatnya, dia yang
menjadi mangsa leteran Cikgu Najib.
“Kau pergi mana, Mira? Jangan
cakap kat aku kau sakit perut lagi. Aku dah pergi tandas, mak cik jaga tu cakap
tak ada pun kau pergi sana,” Intan mula
berleter sebaik sahaja Mira duduk di kerusinya. Mira tidak menjawab. Sebaliknya, dia cuba mententeramkan hatinya
yang masih termengah-mengah. Teringat
betapa lincahnya Umie dan seronoknya Mira. Jadi, teguran Intan dipandang kosong. Intan mendengus geram. Hatinya masih berbisik, 'mesti Mira sedang
merancang sesuatu. Aku mesti siasat apa
yang dia lakukan sehingga kerap ponteng kelas sekarang ini.'
Keesokkannya, Mira kembali menjaga Umie. Ketika Mira sedang
bermain kejar-kejaran dengan anak kecil itu, Intan sudah muncul di hadapannya
bersama dengan guru kelas mereka, Cikgu Najib.
“Mira! Ini yang kau buat? Siapa budak ini?” soal Intan yang
tidak tahu. Mira memegang tangan Umie
agar budak kecil itu tidak terlepas dan hilang daripada pandangan.
“Ini Umie. Dia anak pak
cik aiskrim. Mira cuma tolong pak cik
aiskrim jaga anaknya untuk sementara waktu. Ibu dia tidak sihat.” Mira menjelaskan situasi
itu kepada Intan dan Cikgu Najib.
“Mira, ini bukan caranya mahu menolong orang. Awak tu sudah beberapa hari ponteng kelas?” tegur
Cikgu Najib dengan suara garaunya.
“Tapi cikgu, saya kasihan tengok pak cik aiskrim tu. Tengoklah
anak dia ni, tak ada orang yang jaga,” Mira membela diri.
Cikgu Najib terus juga menggeleng, tak senang dengan sikap Mira.
"Kalau mahu menolong, buat cara lain. Cara yang tidak menyusahkan diri
sendiri. Apa gunanya tolong orang lain kalau awak korbankan diri? Ingat! Ini
bukan zaman Hang Jebat lagi," sanggah Cikgu Najib.
Mira yang keliru dengan
niat dan caranya, semakin keliru dengan perbandingan yang Cikgu Najib sebutkan
tadi. Apakah kaitan tindakan dia dengan zaman Hang Jebat?
Sedang mereka berbual-bual, Pak Cik Aiskrim sudah muncul sambil
mengayuh basikalnya dengan laju menuju kepada Mira dan anaknya. Berkerut dahi pak cik aiskrim itu apabila
melihat Mira sedang disoal siasat oleh cikgunya. Lagak seperti pesalah di dalam palang besi
yang menunggu dijatuhkan hukuman gantung. Kasihan pak cik aiskrim melimpah-ruah pula
terhadap Mira. “Maafkan saya, cikgu.
Mira cuma mahu menolong saya,” ujar pak cik aiskrim setelah diberitahu tindakan
Mira semenjak tiga hari lalu. Dia berasa
sangat bersalah.
“Beginilah pak cik, sebagai orang yang lebih tua daripada Mira,
pak ciklah orang yang sesuai memberi nasihat padanya. Menekankan betapa pentingnya pelajaran. Bukannya pak cik pula ambil kesempatan di atas
kebaikan yang cuba dia hulurkan.” Cikgu Najib masih belum berpuas hati. Kali
ini pak cik aiskrim pula sekaligus terkena bebelan Cikgu Najib. Intan mengangguk setuju sambil memerhati wajah
Mira yang sudah terpalit rasa bersalah. Lantas Intan segera mengenggam tangan
Mira. Intan faham niat Mira yang baik sebenarnya.
“Mira, maafkan aku sebab mengesyaki kau. Ini untuk kebaikan kau
juga. Kalau emak kau tahu, tentu dia kurang senang dan marahkan kau,” pujuk
Intan yang mahu Mira memahami tujuannya memberitahu Cikgu Najib.
“Pak cik minta maaf Mira.
Pak cik tak sangka tindakan pak cik ini
banyak menyusahkan Mira,” terang pak cik aiskrim sambil diperhatikan Intan.
Dia jadi serba-salah. Dia
yang sebenarnya berbohong, pak cik aiskrim itu pula yang meminta maaf. Dia malu
sangat-sangat.
“Pak cik, janganlah begini. Pak cik tak salah. Tak harus minta
maaf.” Mira berpaling menghadap cikgunya. “Cikgu, jangan salahkan pak cik ini.
Saya yang berbohong kepadanya. Kalau dia tahu, dia takkan benarkan saya jaga
anaknya.” Terang Mira sekali lagi.
Cikgu menghela nafas. “Bagaimanapun, sebagai orang yang lebih
tua, dia sepatutnya boleh berfikir dan mengesyaki Mira. Dia lalai daripada melihat di sebalik
keikhlasan Mira. Itu sudah cukup meletakkan kesalahan di bahu dia juga,” tegas
Cikgu Najib sekali lagi.
Akhirnya, Mira terpaksa membisu. Tiada apa yang mampu dikatakan lagi. Cikgu
Najib bukannya boleh dibawa berunding. Dengan
berat hati, Mira terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Umie yang sudah
dianggap sebagai adik kecilnya.
Semenjak peristiwa itu, Mira lebih suka menyepikan diri. Meskipun rutin harian dilalui seperti biasa,
jiwanya terasa kosong. Senyuman dan tawa nakal anak kecil yang comel
itu sering tertancap di ruang matanya. Mira
teringin sangat bertemu dengan anak comel itu semula. Namun,
pak cik aiskrim sudah tidak membawa anaknya bersamanya lagi. Melihat keadaan Mira, Intan berasa bersalah
merosakkan kebahagiaan Mira.
Hari itu ialah hari Ahad. Mira tidak mahu keluar berjogging seperti
kebiasaannya. Puan Asmah perasan benar
'kesenyapan' anaknya itu, tetapi tidak mahu mendesak Mira. Dia yakin Mira akan bercerita sekiranya dia
sudah bersedia untuk berkongsi dengan emaknya.
Hampir tengahari, Mira didesak oleh emaknya untuk keluar makan
di luar. Malah kata emak, Intan dan ibunya Puan Mona juga turut serta. Mira tidak suka menimbulkan banyak soalan
daripada emaknya andai dia menolak. Lantas Mira mengikut sahaja arahan emaknya.
"Emak, kenapa kita ke sini? Emak tak cakap nak makan kat
rumah kawan emak, pun?" soal Mira kehairanan apabila kereta yang dipandu emaknya
berhenti di sebuah flat perumahan Intan Baiduri.
"Jom, Intan tengah tunggu tu," balas emaknya pula,
tidak menjawab soalan Mira tadi.
'Intan? Apa intan buat di sini? Ini bukan rumah Intan,' Mira hanya mampu mengomel di dalam hati. Kalau ditanya kepada emak, pasti tidak dijawab
lagi. Sudahnya, Mira hanya berdiam diri dan mengikut langkah ibunya ke tingkat
2 blok D flat tersebut. Sampai di satu
rumah, emaknya mengetuk pintu rumah dan memberi salam.
Tidak lama mereka menunggu, pintu dibuka dan salam bersahutan.
Tiba-tiba Mira terkejut apabila Intan
berdiri di hadapan pintu menyambut ketibaan mereka. `Cantik Intan berbaju
kurung pula dia hari itu,’ sekali lagi dia mengomel di dalam hati. Berdiri di sebelah
Intan, emaknya Puan Mona. Tersenyum simpul dengan lesung pipit di pipinya. Memandang
Mira, sambil menjemput masuk ke dalam rumah. Mira binggung, kerana rumah ini bukan
rumah Intan. Namun begitu Mira tetap berwajah
manis.
"Masuklah, semua orang sudah lama tunggu. Tak sabar nak
jumpa Mira," ucap Intan dengan sambil menarik tangannya. Dahi Mira semakin
berkerut. Dia lemparkan pandangan penuh curiga pada sahabat yang jelas membuat dirinya
berteka-teki. Ditariknya semula tangan Intan dan Mira sempat berbisik, “Intan, apa
makna semua ni,” Namun Intan tidak peduli. Sebaliknya, dia hanya memandang
kosong membalas renungan Mira.
"Ah, sampai pun. Inilah Mira," Puan Mona, emak Intan
pula bersuara sebaik sahaja Mira dan emaknya masuk ke ruang tamu kecil rumah
itu. Puan Asmah segera bersalaman dengan
wanita yang duduk di sebelah emak Intan.
Ruang tamu itu tidak bersofa. Mereka hanya duduk bersila di atas lantai yang
bertikar getah. Belum sempat anak mata
Mira melilau ke setiap penjuru rumah, tiba-tiba seseorang menerkamnya dari
belakang. `Oh pocot! mak kau!’ Mira melatah terkejut .
Semua orang ketawa melihat reaksi dirinya. Apabila dia menoleh,
anak matanya terbuntang tanpa sedar. Segera dia menenyeh-nenyeh kedua-dua belah
matanya dengan hujung jari telunjuknya.
"Umie? Apa Umie buat di sini?" budak kecil berusia
empat tahun itu bergolek jatuh ke dakapan Mira. Hati dan dirinya terus sahaja
berubah tingkah. Wajahnya ceria, senyumannya bertambah lebar.
"Ini rumah Umie. Perempuan ini pula ialah emak Umie,"
sampuk emak Intan. Menjawab persoalan Mira. Wanita yang merupakan emak Umie
tersenyum senang.
"Dan saya pula adalah ayahnya," usik pak cik aiskrim
yang tiba-tiba muncul dengan sedulang makanan.
Mira hampir sahaja mahu menangis. Dia merenung lagi kepada emaknya.
Bagaimana emak tahu? Bagaima semua orang boleh memahami hatinya? Bisik hatinya
lagi.
"Mira, Umie ni tak henti-henti menangis apabila melihat
ayahnya hendak keluar menjual aiskrim. Dia rindukan Mira. Itu yang minta suami mak
cik agar mencari Mira dan benarkan berjumpa Umie," emak Umie memulakan
cerita.
"Lalu, pak cik jumpa kawan Mira dan minta dia sampaikan
tentang hajat isteri pak cik,"sambung pak cik aiskrim pula.
Anak mata Mira terarah kepada sahabatnya, Intan. Malah dengan rela hati bersedia menceritakan
peranannya pula. "Mulanya aku nak sampaikan sendiri. Tapi, kebetulan hari
tu, emak kau telefon bertanyakan pasal kau. Jadi, aku pun ceritalah apa yang
terjadi di sekolah. Aku juga sampaikan pesan pak cik aiskrim tu pada emak
kau," terangnya.
Mira sudah berkalih pula memandang emaknya. "Emak tak
marah. Cikgu Najib sudah pun melaksanakan tanggungjawabnya. Apa yang emak mahu
ialah kebahagiaan anak emak, ni…" tutur Puan Asmah. Puan Mona dan semua
yang lain mengangguk setuju.
Puan Asmah menyambung lagi. "Emak nak Mira kembali seperti
selalu. Kembali tersenyum dan kembali berceloteh setiap hal pada emak. Jadi,
bila Mira berdiam diri, emak jadi risau. Emak telefon Puan Mona dan mahu
bercakap dengan Intan. Masa tulah, Intan ceritakan semuanya. Emak terima
pelawaan keluarga ini, yang mahukan Mira bertemu semula dengan Umie. Cuma emak
ingat nak buat kejutan pada Mira. Mirakan
sukakan `surprise’." Semua orang ketawa senang hati. Mira juga begitu. Dia
sudah tidak kisah lagi.
Emak Umie pula bersuara, "Mak
cik sebenarnya mahu mengucapkan terima kasih di atas kebaikan Mira menjaga anak
mak cik semasa mak cik sakit. Kami orang susah. Tak ada duit untuk membayar
upah. Hanya hidangan makan tengah hari ini sebagai tanda terima kasih daripada
kami sekeluarga."
Mira semakin terharu. Kebaikan yang dia hulurkan sangat ikhlas
sekali. Tidak disangka, selepas dimarahi rupa-rupa masih ada manusia yang
menghargai pertolongannya itu.
"Harap Mira suka makan nasi ayam buatan pak cik pula. Mak
cik kau ni tak sihat sepenuhnya lagi. Jadi, pak cik suruh rehat dulu. Lagipun,
kalau Mira boleh sukakan aiskrim pak cik, tentu Mira suka nasi ayam pak cik
pula," sahut pak cik aiskrim dengan bangganya.
Mira ketawa senang hati. "Kami pun nak jadi adik kak Mira
juga," tiba-tiba tiga orang kanak-kanak kecil muncul dari bilik dan meluru
kepada Mira. Terkebil-kebil mata Mira memandang tiga orang lagi anak pak cik
aiskrim yang usia mereka tidak jauh beza antara satu sama lain. Mira sempat
mengangguk dan mengusap kepala mereka kala bersalaman dengannya.
Semenjak
hari itu, Mira sudah mempunyai keluarga angkat. Dia tidak pernah lagi berasa
sunyi. Puan Asmah juga selalu bertandang ke rumah Umie. Kehidupan Mira kembali ceria. Hajatnya
untuk memiliki adik akhirnya tercapai bukan seorang malah lebih daripada seorang
yang kini sentiasa menghibur hatinya. Hiduplah Mira dengan bahagia dan aman
bersama keluarganya dan keluarga angkatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan