BAB 10.
Ketika Dira leka melipat baju yang masih lagi membukit di hadapannya, telefon bimbitnya berbunyi tanda ada kiriman di dalam kotak simpanan peti suara.Dira mencapai telefon yang berada di sebelahnya.
Dira. Esok kau jadikan pergi ke bandar? – Dayah.
Tersenyum dia membacanya. Tanpa membuang masa segera pula dia membalasnya.
Tak tahu lagi. Tunggu ayah aku balik baru nak tanya. Kenapa? – Dira
Ohhh. Baiklah, kalau macam tu malam nanti aku telefon kau. – Dayah
Baiklah. Nanti kalau aku dapat keizinan dari ayah aku, cepat-cepat aku sms kau. – Dira.
Sejurus menghantar pesanan terakhir itu, terdengar bunyi enjin kereta di luar. Tahulah dia yang ayah sudah pulang. Dira segera menyambung lipatan kain yang masih lagi bertimbun. Di fikirannya berlegar-legar pelbagai angan-angan. Dia bermohon dalam hati, segala perkhabaran gembira daripada mulut emaknya akan melengkapkan angan-angannya itu.
“Dira, Dira! Ni… ayah kau panggil,” seru emaknya.
Dia yang leka melipat kain segera meninggalkan kerjanya lalu berjalan ke arah suara tadi. Sampai di dapur, dia melihat ayahnya sedang enak menghirup air kopi yang masih lagi berasap. Emak pula sibuk menggoreng cucur cempedak. Haruman cempedak menggamit perhatiannya ke satu sudut meja berhampiran ayahnya. `mesti ayah bawa pulang.’
Begitulah emaknya, apa yang hendak dimakan oleh ayah, pasti emak akan cuba menyediakan. Bahagia melihat mereka, tersenyum dia. Walaupun usia mereka sudah menjangkau lima puluh tahun lebih, namun jelas menunjukkan betapa gembira dan bahagia kehidupan mereka berkeluarga.
Berlalu dengan penuh sopan di hadapan ayah, Dira menarik kerusi di sebelah ayahnya dan duduk. Matanya memandang emak yang masih leka menggoreng cucur cempedak. Dia perasan akan renungan ayah, cuba membina kekuatan diri sebelum bersuara.
“Ayah, esok Dira nak keluar dengan Aizat. Dalam pukul empat petang gitu, boleh tak?” soalnya dengan lembut. Tangan mencapai cucur yang terhidang di hadapannya.
“Dia lagi. Balik-balik Aizat! Dengan anak Pak Abu tu, siapakah namanya, Tom? tak ingat aku. Tak pulak kau sibuk nak berkawan. Dah tu, siapa lagi pergi?” soal ayah bertalu-talu sambil matanya sesekali mengerling kepada emak.
“Oh, Amir nama budak tu. ALLAH, abang ni… budak nak berkawan, biarlah dengan siapa anak awak nak berkawan? Lagipun yang paling dekat dengan rumah kita ni `Jebat’ tu aje, lagi pun kita kenal mak ayah dia,” balas emaknya.
“Oooo, eh! Ayah dengar dari mulut ayahnya pagi tadi… katanya `J ebat’ kau tu, dapat masuk askar. Hairan aku, belajar sampai tingkatan enam. Alih-alih nak jadi askar. Tak berkenan aku!” tokok ayahnya lagi.
“Betul ke, bang? Eloklah tu. Berbakti untuk negara,” balas emaknya lagi.
“Hah! Tak berkenan aku. Ingat jadi askar ni boleh menjamin masa depan ke? Pindah sana, pindah sini. Silap-silap anak bini ditinggalkan kat kampung,” kata ayahnya.
Tersentap Dira dengan kata-kata ayahnya. Tidak sangka sampai begitu sekali fikir pandang ayahnya terhadap Aizat. Dira pandang wajah emaknya. Mak Tom terkebil-kebil memandang suaminya.
“Abang! Bertuah tau kalau ada anak muda yang nak berjasa pada negara. Kalau semua hendak jadi doktor, nak jadi cikgu, nak jadi kaya raya, nak kerja dengan jabatan kerajaan, habis tu… siapa pula nak jaga keamanan negara? Bertuah dan bersyukur Tom rasa, masih ada anak muda yang begitu sayangkan negaranya,” balas Mak Tom lagi.
“Bagus kata kau, elok kau fikir. Berkorban untuk negara. Isteri menjadi janda, anak-anak pula jadi yatim piatu. Bagus macam tu? Senang macam tu?” melenting ayah mempertahankan kata-katanya. Riak wajah Pak Kassim jelas kelihatan masam, kelat. Tidak berkenan dengan pekerjaan Aizat yang didengarnya pagi tadi di kedai minum Pak Harun.
Terkebil-kebil Dira mendengar pertengkaran kecil antara emak dan ayahnya. Pening kepalanya tiba-tiba, lain yang diharapkan lain pula jadinya. Dira yang tadinya duduk di sebelah ayahnya kini bangun dan berjalan ke arah emaknya. Dira mohon sangat-sangat pada emaknya agar dapat bertemu dengan Aizat untuk mendapatkan kepastian.
“Cuba tanya ayah sekali lagi, cakap betul-betul pukul berapa kamu nak balik dan sebab apa nak jumpa dia. Pasti ayah bagi tu,” nasihat emaknya pula.
“Ayah! Boleh tak?” soal Dira setelah emaknya menasihati Dira supaya meminta izin dengan ayahnya.
Sebelum sempat Dira membuka mulutnya. Emaknya terus sahaja bersuara, “bagi je lah bang, dia pergi. Kalau betullah Jebat tu jadi askar, bila lagi mereka nak berjumpa? Merekakan dah lama berkawan,” terang emaknya lagi.
“Eloklah awak tu, ikutkan sangat apa yang dia mahu. Buatnya esok ni tersangkut betul-betul dia dengan budak askar tu, jadi sesuatu yang buruk, menangis tak berlagu le anak dengan maknya esok,” balas ayah dengan wajah mencuka. Lalu ayah terus bangun meninggalkan dia dengan mak.
“Astaghfirullahadzim. Tak baik abang mendoakan keburukan untuk orang lain. ” emak bersuara sambil tangannya menepis bahu ayah. Akhirnya emak sendiri yang mengizinkan Dira pergi bertemu Aizat.
“Pergilah Dira, janji dengan mak. Balik cepat,” pesan emaknya sekali lagi.
Melonjak keriangan dia apabila mendapat keizinan daripada emaknya. Segera dia berlari dan terus masuk ke dalam bilik. Kopi yang diminum tadi dibiarkan berbaki di dalam cawan. Sebelum itu sempat lagi dia bersuara, “ Emak, Dira janji balik awal. Nanti Dira picit bahu ayah yang lenguh-lenguh tu ye. Pagi esoknya pula Dira tolong emak, ye…” balas Dira tersenyum riang.
Di dalam bilik segera pula dia menghantar pesanan ringkas kepada Dayah. Tidak lupa juga buat Aizat. Dikhabarkan berita gembira itu lewat peti simpanan ringkas. Cuma dia agak kekok kalau Aizat menjemputnya dengan motosikal. Tambahan pula dia akan berbaju kurung seperti yang diangankan semasa dia menggayakan tudung pemberian Aizat. Dia menyentuh baju kurung yang tergantung kemas di dinding bilik, lalu membawa baju itu ke badannya.
Dipadankan pula dengan tas tangan berwarna coklat yang dihadiahkan oleh abangnya tempoh hari. Kerongsang serta pin untuk digunakan juga diletak ke tepi. Sekali lagi tangannya mencapai baju kurung yang tergantung di belakang pintu bilik lalu menggayakan ke badannya sekali lagi. Dira terangguk-angguk sambil meleretkan senyuman kala menggayakan baju itu. `emm, sesuai sangat dah ni’ bisiknya dalam hati.
PENUH rasa debar Dira menanti kedatangan Aizat menjemputnya. Cepat matanya meliar memandang jam di dinding. Jarum jam berdetik di setiap saat terus ditatap. Sekejap duduk, sekejap berdiri sehingga emaknya yang memerhati naik pening. Sedangkan jarum jam masih belum sampai ke angka empat. Baju kurung dan tudung bawal pemberian Aizat sekali lagi dibeleknya. Walaupun sudah dipakainya. Sesekali dia membetulkan tudungnya itu.
“Elok benarlah tu, macam kera terkena belacan. Tak reti duduk diam. Kenapa Dira?” soal emak ingin tahu. Mata emak masih tertumpu di kaca televisyen.
“Tak. Aizat ni, janji nak ambil jam empat petang. Dah dekat jam empat petang tu,” dengus Dira kepada emaknya.
“Kejap lagi sampailah tu. Dira, cuba kamu duduk diam. Pening mak tengok,” balas emak sambil tangannya menepis-nepis belakang badan Dira yang berlalu-lalang di hadapannya.
Dira kemudian berjalan pantas menuju ke dapur, mengambil segelas air masak lalu segera diminum. Menghilangkan dahaganya. Tiba-tiba terdengar suara buah hati,`Jebat’ memberi salam. `Eh! Dengan apa dia datang ni, tak dengar deruan enjin motor pun,’ fikirnya sendirian.
“Emm, masuklah dulu Aizat,” terdengar suara emaknya mempelawa Jebat masuk ke rumah. Dira pantas meninggalkan gelas di atas meja lantas keluar dari dapur.
“Tak apalah mak cik, dah lambat ni. Nanti tertunggu pulak Hang Tuah dengan Puteri Lemah Gemalai kat sana,” jawab Aizat.
Dira tersenyum mendengar jawapan Aizat. Walaupun teater muzikal yang mereka sertai sudah lama tamatnya, tetapi mereka masih lagi mengguna panggilan itu. Sehingga kini seluruh ahli keluarga Dira lebih mengenali Aizat dengan panggilan Jebat.
“Mak! Dira pergi dulu ye,” beritahu Dira sambil bersalaman dengan emaknya. Begitu juga Aizat, segera dia menghulurkan tangannya bersalam dengan Mak Tom dan meminta izin untuk pergi. Mak Tom membalasnya dengan senyuman.
“Aizat, kita pergi dengan apa ni? Naik bas sudahlah.” Dira memberi alasan kala terpandang motosikal EX-5 berwarna merah. Aizat menghampiri motosikal itu.
“Lambat lah kalau naik bas, naik motorlah. Kenapa, segan?” soal Aizat menduga Dira. Dira membisu. “Cantik tudung kau, kena dengan bajunya,” puji Aizat sambil tersenyum sekali lagi.
Sekali lagi, merona wajahnya ketika Aizat memujinya. Tiba-tiba kedengaran bunyi enjin motosikal memasuki pekarangan rumah. Dira paling memandang. Aizat terpaku. Abangnya datang menghampiri.
“Jebat, jaga baik-baik adik aku ni. Kalau jadi apa-apa kat dia, kaulah orang pertama aku cari!” jerkah abangnya.
Walaupun perlahan tapi tersentap juga hati Dira dengan kata-kata abangnya. Aizat membalas dengan senyuman. Aizat menghulurkan topi keledar. Dia menyambut huluran topi keledar daripada Aizat dengan berat hati. Malu pula jika orang kampung yang melihatnya. Tak terduga oleh fikirannya, tiba-tiba tangan Aizat membetulkan kedudukan topi keledar itu. Terpegun seketika.
“Hati-hati bawa motor tu, Jebat. Jangan kau merempit pula,” seloroh Mak Tom lagi. Aizat hanya membalas dengan senyuman dan meninggalkan halaman rumah dengan lambaian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan