Jumaat, 6 Februari 2015

JEBAT ~HERO HIKAYAT CINTA bab 2

BAB 2.


            "Mak! Mak!" laung Dira dari dapur.

             Mak Tom yang sedang mengangkat kain di jemuran kehairanan mendengar anak gadisnya menjerit-jerit. Ditinggalkannya kain baju di atas kerusi di ruang tamu lalu bergegas ke dapur. Ternganga kedua-dua beranak itu bila yang terhidang hanyalah piring kosong. Kelam kabut Mak Tom dibuatnya. Sambil menggaru-garu pangkal rambut di belakang telinga, dia memikirkan bagaimana kuih yang masih penuh di dalam piring itu boleh hilang tanpa berbaki.
           
“Mak, masa Mak Cik Senah bagi kuih tu… siapa ada kat rumah?” soal Dira sambil melingaskan pandangan ke sekitar  ruang dapur rumahnya.
           
“Eh! Dira, kau jangan cuba nak menakut-nakutkan mak. Mana ada orang? Ayah kau kerja? Abang kau pun kerja? Ishhhh… takkanlah ada toyol kat rumah kita ni, Dira…” jawab Mak Tom masih lagi kebingungan mengenangkan misteri kuih lompong hilang. Melihat emak yang masih melilau memandang sekitar dapur, Dira semakin ingin tahu ke mana perginya kuih lompong tadi.
           
“Nanti, biar Dira pergi intai bilik abang dulu. Mana tau dia yang balik… kebulurlah tu. Ada duit, simpan. Kedekut tahi hidung masin,” bebel Dira. Segera dia ke bilik abangnya. Tombol pintu dipulasnya. Terkuak sedikit, dibukanya luas namun kosong. Ternyata tekaannya salah.
           
Dira kembali ke dapur, sambil menggaru pelipis memandang emaknya. Bibirnya dibega-begakan, serius memikirkan perihal kehilangan kuih pemberian Mak Cik Senah. Mak Tom lagilah bertambah bingung sambil duduk menghadap piring tersebut. Terkelip-kelip matanya sambil menatap wajah Dira. Dira yang melihat emaknya yang kelihatan pucat mula mengusik.
           
“Hah! Mak. Siapa tu kat belakang?” sergah Dira.
           
“Oh… pocot!” Mak Tom yang terperanjat melatah dan mujur tidak jatuh dari kerusi. Mengekek ketawa Dira dapat mempermainkan emaknya.
           
“Bertuah kau Dira, dengan mak pun kau nak bergurau ya. Gurau-gurau juga Dira oiiii, ni siapa punya kerja ni, nak?” soal Mak Tom sambil matanya melilau ke kanan dan kiri, seolah tidak puas hati dengan kejadian tersebut.
           
“Sabar mak, kalau betullah ada orang yang makan kuih ni… dalam rumah ni pula. Dia pasti ada dalam rumah ni lagi, mak.” balas Dira.
           
“Tak apa Dira, kau buka lampu baru senang kita nak tengok,” arah emaknya.

Tanpa membuang masa, Dira mengikut arahan maknya. Hari semakin beransur kelam. Cahaya merah mewarnai dada langit. Dira segera menutup daun tingkap di dapur.  Suis lampu dipetik, serta merta dapur yang tadi kelam kini terang benderang. Sementara di balik tabir ada susuk tubuh yang semakin rimas dan gelisah. Kasihan pula dia kepada insan yang berada di balik tabir antara dapur dengan stor kecil ayahnya itu. Mak Tom bingkas bangun dan menuju ke arah tabir itu. Diselaknya kain tabir itu dan meletus ketawanya melihat Aizat sedang duduk kepanasan.

“Ya ALLAH…bertuah punya budak! Apa kau buat kat sini?” sergah Mak Tom pada Aizat sambil menarik telinga Aizat. Aizat mengerang kesakitan, berdiri mengikut langkah Mak Tom.
           
“Aduh, aduh… duh… sakit Mak Tom. Kalau ya pun marah kat saya, janganlah tarik telinga ni kuat-kuat. Nanti terputus, siapa susah… Diraaaa, juga?” Kata Aizat dan sempat menjeling ke arah seraut wajah yang dari tadi tak henti dengan senyumnya.

“Kenapa kau, Aizat? Itulah masuk rumah orang tak bagi salam… lepas tu siap makan kuih sampai tak ingat tuan rumah. Kau tahu siapa yang bagi kuih ni? Mak kau? Kenapa kau tak balik terus ke rumah? Bukannya jauh pun. Kalau ikut jalan pintas… belakang ni je,” terang Mak Tom panjang lebar sambil menarik tangan Aizat menunjuk jalan belakang yang dimaksudkannya.
           
“Dahlah mak, biar dia duduk kat bangku tu. Tanya dia macam mana boleh masuk rumah ni?” Dira memberi arahan kepada maknya.
           
“Tak apalah Mak Tom, biar saya yang cerita. Sebelum tu maafkan saya ya, Mak Tom?” pinta Aizat dan menyambung ceritanya semula.

“Begini Dira, tadi aku terpaksa tinggalkan kau. Aku kayuhlah basikal laju-laju, fikir sempat sampai rumah. Ikut jalan belakang pun tak tahan. Aku dah nampak Mak Tom kat depan tadi… tak sempat nak tegur. Kebetulan pintu dapur terbuka. Aku masuklah. Guna tandas,” terang Aizat.
           
“Oooo, lepas tu… kau terus makan kuih yang ada atas meja ni ya,” celah Dira.
           
“Lapar…” balas Aizat dengan wajah kemerah-merahan menahan malu.
           
“Dahlah. Pergilah balik Aizat. Nanti bising pula mak kamu. Anak bujang kesayangannya tak balik lagi,” nasihat Mak Tom.
           
“Mak Tom, jangan lupa… bakal menantu juga,” balas Aizat sambil mengucapkan salam dan selamat malam.
           
Tersenyum Dira dengan keletahnya. Teman sepermainannya sejak kecil. Segala suka duka dikongsi bersama. Sedang leka duduk termenung, kedengaran sayup suara azan maghrib berkumandang dari masjid yang berdekatan.
           
“Dira, sudahlah termenung tu. Percaya sangatlah cakap Aizat tu. Depan mata… Dira, bolehlah cakap. Esok-esok ni, dah keluar nuh… ke mana tu, kolumpor? Lupa terus kat kau. Dah! Mandi. Solat. Sebelum tu… kunci pintu dapur tu,” berleter sambil berpesan. Mak Tom, emaknya yang kuat berleter jika diberi peluang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan