Sudah sekian lama aku idamkan untuk menjadi
seorang penulis, tetapi tidak kutahu bagaimanakah caranya? `Apakah aku
berbakat?’ Itulah yang sering aku katakan di dalam hati. Setiap kali kata-kata
puitis yang aku coretkan di atas kertas hanya dipandang sepi. Pen dan kertas
memang tidak boleh dipisahkan denganku. Ibarat lagu dan irama, seiring. Jika
terbit saja ilham di hati, pen dan kertas akan cepat kucari. Jari dengan pantas
menulis kata-kata puitis. Tetapi sayang, tiada siapa yang sudi membaca, dan akhirnya
terbiar begitu saja. Lebih parah, bila dibuang sahaja ke dalam tong sampah.
Itulah aku, sentiasa mensia-siakan anugerah yang diberikan oleh-Nya.
‘Arrrr… bagaimana ye…’ mengeluhku
sendirian. ‘ Apa kata kalau aku tulis sahaja di laman mukabuku. Pasti ada
kawan-kawanku yang suka dan komen.’ Mungkin dengan cara ini dapat aku
kembangkan lagi bakatku yang sedia ada. `Boleh juga menjadi penghibur mereka.’
Bisik hatiku lagi.
Keesokkan harinya, seawal pagi, aku
memberanikan diri memulakan bicaraku dengan kata-kata di bahagian status.
Sahaja aku mulakan dengan kata-kata jiwang. Memancing perhatian mereka.
`Pandanglah ke arah mana pun kita, Allah tetap bersama.
Menangis, bersedih macam manapun pasti ada tawa di hujungnya…’
`Kau berikan aku senyuman, lalu kutersenyuman, Namun saat kau
hulurkan tanganmu aku tergamam. Mana mungkin kita bersalaman sedangkan kita
bukan muhrim. Maafkan aku…’
`Sayang… andai jodohku untukmu akan kupertahankan cinta ini?’
Tidak cukup dengan ayat-ayat jiwang, aku
tambah pula dengan beberapa rangkap madah seloka.
`Kasih aku hanyalah untukmu,
Tiada dua dalam anganku,
Tidakkan hilang ditelan waktu
Walau dihempas ombak biru.
Cintaku hanyalah untukmu,
Tidak pernah goyah,
Tidakkan pernah jemu,
Tidakkan terpadam dalam hatiku.
Sambil menunggu balasan komen dari rakan-rakan
laman mukabuku, aku layari status-status daripada rakan-rakanku yang lain.
Tiba-tiba...
“Oii, Dila dah mula berjiwang karat ke, kau?” – Suraya Sulaiman.
“Dila, kau bercinta lagi ke?”– Inda
“Oiii Dila, dah buat tebiat ke kau?” – Mat Selayang.
“Hihihihihihi… kawanku, ayat jiwangmu buatku teringat kenangan
lama” – Amoi.
Bermacam komen yang kuterima. Aku
tersenyum apabila membacanya. Saban hari aku menulis kata-kata puitis di laman
mukabuku. Ada yang memuji ada juga yang mengeji. Tapi aku
biarkan saja. Buat apa hendak melayan mereka yang tidak
tahu dan mengerti insan seni seperti aku? `Seni ke?’ Ketawaku sendirian. Bermula
dari situ, aku semakin berkeyakinan. Kata-kata semangat dari kawan-kawan
di laman mukabuku, menjadikan aku semakin berani. Malah, jika tidak
menulis, pasti mereka akan bertanya kepada ku, kenapa aku tidak
menulis? ` Mati idea ke?’ tanya mereka.
Tidak pernah aku meyangka sama sekali, segala
tulisanku dan juga kata-kata puitisku menjadi perhatian daripada seorang
sahabat baru yang kukenal melalui laman mukabuku. Dalam sibuk aku melayari
internet dan melihat status serta komen dari kawan-kawan di laman mukabuku, aku
terlihat ada seseorang yang mengirim pesanan ingin menjadi rakan di bahagian
mesej.
“Salam perkenalan” – Nureen Mirza.
“Eh… siapa ni? Eh, ini bukan ke penulis novel APUD. Aku meneka, tapi
tak apalah, boleh dapat sahabat baru.”
“ Salam perkenalan kembali. Akak ni... penulis APUD ye, jujur
saya kata... saya suka cara tulisan akak. Ringkas tapi padat dan menarik."
– Nur Dila.
“Terima kasih sebab sudi baca hasil tulisan akak. Akak
suka dengan bahasa Dila, puitis dan menarik. Kalau diasah dan digilap pasti
akan membuahkan hasil.” – Nureen Mirza
“Terima kasih” – Nur Dila.
“Cubalah bergabung dengan Group Mari Menulis, manalah tahu boleh
dapatkan ilmu. Saya perhatikan Dila ada bakat menulis. Cuba lah.” – Nureen Mirza
.
“Insya Allah dan terima kasih” – Nur Dila.
Tanpa membuang masa dan waktu, aku segera
mencari Group Mari Menulis yang diperkatakan oleh sahabat baruku itu. `Ahh, ini
dia.’ Pendaftaran Group Mari Menulis. Bengkel Asas Penulisan dan Belasah
Karya. `Ermmm… menarik’ kata hati kecilku dan terus membacanya satu persatu.
Aku perhatikan bila tharikhnya, 23/11/13 dan aku perhatikan pula tharikh di
kelendar yang sedia ada di dalam bilikku, 20/10/13. `Oh, masih ada sebulan lagi
dari sekarang.’ Bisik hatiku lagi.
`Apa syaratnya ye?.’ Aku teruskan lagi membacaannya.
`Berapa pula harganya ye?’ Bermacam-macam bermain di mindaku ketika itu.
Perasaan membuak-buak ingin tahu membuatkan aku leka sebentar, sehingga terlajak
masa untukku pergi bekerja.
Lantas, tanpa membuang masa aku memberanikan
diri dengan meminta izin menyertai Group Mari Menulis. Alhamdulillah salamku
disambut dan seterusnya aku telah menjadi sahabat di dalam Group Mari Menulis.
Dengan bermodalkan RM 50.00, bermulalah langkah pertama aku ke dunia baru.
Dunia penulisan. Dunia yang aku cari selama ini. Bukan lagi angan-angan, tapi
kenyataan.` Yang penting aku suka.’ Itulah yang selalu kubisikkan di dalam
sanubariku.
Dari situ bermulalah episodku, mengarang dan
menulis. Apa saja yang terlintas di mindaku segera aku letakkan di bahagian
status. Dari nada gembira bertukar duka, semuanya kuluahkan. Dan yang paling
mengembirakan hatiku, sahabat baru semakin bertambah dan yang aku berasa amat
berbangga sekali, apabila ramai juga penulis yang sudi menerima salam
perkenalan dariku. Ini menimbulkan kebangkitan semangatku yang membara. Aku
menjadi semakin yakin kini. Tidak mungkin aku berundur. Itu nekadku.
Semakin hari tulisanku menjadi bahan bacaan mereka.
Ada yang suka, ada yang memberi teguran dan nasihat, ada yang perbaiki gaya
olahan ayat. Semuanya aku terima dengan hati yang terbuka. Bagiku selagi ilmu
itu tidak berbau negetif, selagi itu akan kupelajari. Untuk menjadi seorang
novelis itu mungkin tidak. `Tapi siapa tahu, mungkin dengan berkat dorongan
para sahabat, mungkin suatu hari aku juga bergelar novelis.’` Siapa tahu.’ Hati
kecilku sekali lagi berkata.
Pepatah pun ada mengatakan, `kalau tak
dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.’ Kalau aku tidak mencubanya sekarang,
bila lagi. Peluang sudah ada, cuma hendak dengan tidak sahaja. `Tepuk
dada tanya selera’.
Saban waktu, aku menghitung hari. Penuh
debaran, penuh semangat. Apatah lagi, dalam diam tak diam aku telah pun
menghasilkan cerpen, dengan hasil tulisanku sendiri. Untuk diserahkan
kepada pihak Group Mari Menulis sebagai bahan untuk dibedah dan belasah karya.
Betapa bangganya aku. Walaupun masih ada kesalahannya, tetapi tidak
mengapa, ini baru permulaan. `Wah… Dila, dah boleh menulis kau rupanya.’
Lagi sekali hatiku berkata.
Tinggal seminggu lagi. Dalam seminggu
itu bermacam-macam yang aku fikirkan. `Apakah aku boleh menjadi seperti
mereka?’ dan aku mencuba menjaga kesihatan aku dengan sebaik mungkin malangnya
dugaan datang melanda, aku di serang demam panas. Segera aku mengambil
ubat. Aku tidak mahu ianya mengganggu keinginanku yang lama tersimpan.
`Ya Allah, izinkan aku mencuba bakat yang telah kau berikan padaku.
Berikanlah kesihatan yang baik padaku. Tolonglah hambamu ini Ya Allah’ doaku
saban waktu, mahupun tika solat ataupun tidak.
Kini tibalah harinya. Allahamdullilah, kesihatanku semakin
pulih. Walaupun masih ada sisa batuk kedengaran tapi aku yakin, esok
pasti ada buatku. Aku mula membuat sedikit
persediaan. Pen, buku nota dan tulisan-tulisan yang masih ada di
simpanan aku telah pun aku letakkan di dalam beg galasku. Peta dan
alamat tempat untuk diadakan bengkel juga telah kusimpan di dalam telefon
bimbitku dan kupastikan juga bateri talefonku mempunyai kuasa
yang secukupnya. `Manalah tahu, kalau ada sesi pengambaran bersama
peserta ataupun dengan penulis novel, boleh aku bergambar bersama.’ Anganku.
Sebelum aku memejamkan mata, terfikir olehku
bagaimanakah caranya hendak ke sana nanti. Kalau memandu, risau
pula tidak jumpa jalannya. Jadi, aku bulatkan hati untuk menaiki komuter
sahaja. Terbayang sudah di kotak fikiranku, apa yang akan aku lakukan
untuk sampai ke sana dengan selamat dan tidak menyusahkan sesiapa.
Jam loceng yang sentiasa berada disisiku
berbunyi, dengan segera aku bangun. Kedengaran sayup azan subuh
berkumandang di masjid yang berdekatan dengan rumahku. Selesai sahaja
sembahyang subuh, aku segera ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi buat
anak-anakku. Kemudian aku segera menyiapkan diriku seadanya. Sekali
lagi aku berteka-teki dengan diriku sendiri `mulut kata bawalah kereta, tapi
hati kata jangan, nanti takut sesat jalan, naik aja komuter… pasti selamat.
Lalu kuturutkan kata hati.
Aku pandu keretaku hingga ke Kepong Sentral.
Dari situ nanti, aku akan menaiki komuter hingga ke K.L. Sentral, dan
seterusnya ke Taman Datuk Harun. Itulah perancangan awalku. Aku
perhatikan jam di telefon bimbitku. `Arrr… masih awal lagi, aku
tercongak-congak mengira waktu. Insya Allah… moga selamat sampai.’ Doaku.
Perjalanan bergerak dengan lancar sekali.
Dalam hati berbunga riang. Yang diimpikan kini sudah semakin berada
di gengaman. Ilmu yang diberikan akanku jadikan azimat dan bekalan
untukku mengembangkan bakat yang sedia ada. Tersenyum aku sendirian.
Aku tiba di K.L Sentral seawal jam 7.30 pagi.
Aku singgah sebentar di 7 eleven. Hajat di hati pada mulanya ingin
menaiki komuter seterusnya dan berhenti di Taman Dato Harun, tetapi entah
bagaimana aku terus keluar ke jalan besar dan menahan sebuah teksi. Teksi
tersebut berhenti, dan aku pun membuka pintu hadapan lalu bertanya.
“Assalamualaikum pak
cik. Saya ni, nak ke Taman Sri Manja, boleh pak cik bawakan saya ke sana?” soalku.
“Oh… naiklah
nak.” Balas pak cik tersebut. Aku segera masuk ke dalam perut teksi
dan teksi itu pun terus meluncur laju. Dalam hati masih lagi
berbunga riang. `Harap sampai awal, nanti boleh sarapan pagi dulu’
bisik hatiku. Aku perhatikan sekelilingku, sudah berubah benar jalan
di sini. Seingat aku 10 tahun yang lalu aku biasa ke sini. Namun, ialah zaman
dah berubah, semakin bertambah maju. Perjalanan masih seperti biasa,
aku sedikit tidak merasa syak wasangka yang rupanya pak cik pemandu teksi ini
tidak tahu jalan yang hendak dituju. Di sini lah bermulanya episod dukaku.
“Eh! Pak cik
kita ni kat mana, saya rasa macam dah lama sangat dalam teksi ni? Tengok jam
pun dah menunjukkan angka 8.00 pagi.?” Kataku
“Anak nak ke mana
tadi?” soal pak cik teksi lagi.
“Ohhh, saya nak
ke Perpustakaan Awam Taman Sri Manja,” jawabku.
“Pak cik, kenapa
pak cik nak ke Taman Sentosa, saya nak ke Taman Sri Manja?
“Oh… ye lah,
terlepas simpang pula tadi, tak apa kita pusing semula.”
Aku sudah mula merasa tidak sedap hati.
Duduk aku pun sudah tidak tentu arah, sekejap aku pusing ke kanan sekejap
lagi ke kiri. Aku perhatikan tanda jalan. Lagi sekali
aku bersuara.
“Pak cik, pak cik tahu ke tidak jalan nak ke Taman Sri Manja
ni?” soalku lagi. Kali ini aku perasan yang nada suaraku sedikit kasar.
“Pak cik rasa
dah betul dah simpang yang pak cik masuk ni nak? Tapi mana jalan PJS 3/32 ye?”
“Ehhh! Pak cik
jangan tanya saya, saya lagi lah tak tahu. Kalau saya tahu buat apa saya naik
teksi. Baik saya pandu kereta saya sendiri. Tak, sekarang ni saya nak tanya pak
cik sekali lagi… pak cik tahu ke tak jalan kat sini? Pak cik bukan orang sini
ke?” Tanya ku lagi. Kali ini memang suaraku dah semakin tinggi dan kasar.
“Memanglah tempat pak cik,
nak. Tapi tak tahu pulak ada perpustakaan, yang pak cik tahu… tadika adalah”
jawab pak cik tersebut.
“Cuba anak tanya orang
yang berniaga di tepi jalan tu, dia tahu tak?” kata pak cik tu lagi. Dalam hati
aku mula berkata, `eh… orang tua ni, aku pulak yang kena tanya ke?’ Lalu pak
cik teksi tu pun berhenti di bahu jalan. Aku pun turun dan menghampiri mak cik
tersebut lalu kuberikan salam.
“Assalamualaikum mak
cik. Mak cik saya nak tanya mak cik, tahu tak Perpustakaan Sri Manja kat mana?”
soalku.
“Mualaikummussalam,
maaf nak… mak cik pun tak tahu, nak.”
Sambil menggeleng memandang aku. Senang sahaja mak cik tu menjawab. Hatiku
sudah mulai sakit. Aku perhatikan jam di pergelangan tangan, sudah pun 8.30
pagi. Ada lagi setengah jam, untuk aku sampai ke tempat yang hendak di tuju.
Masuk kali ini sudah kali kelima aku bertanyakan soalan yang sama kepada
setiap peniaga di tepi jalan. Jawapannya tetap sama. `Tidak tahu’
Riak wajahku sudah bertukar menjadi
mendung. Dalam hati, sudah bermacam-macam yang aku fikirkan. `Ya Allah,
bantulah hambamu ini. Permudahkanlah urusanku dan kau tunjukkanlah jalan
arahku.’ Doaku dalam hati. Aku mulakan perjalanan dengan bacaan
`Bismilahhirrahmannirrahim’. Nekadku dalam hati, akan kutemu juga tempat yang
hendak ku tuju. `Biarlah lambat asal jangan tak sempat.’ Bisik hatiku lagi.
Cuaca di luar sudah menampakkan sinaran
mataharinya. Bagaimana sakitnya terkena bahang panas mentari, sakit lagi hatiku
di saat itu. Sekali lagi aku pandang jam di telefon bimbitku. Niat
untuk bersarapan pagi musnah kini, kerana di waktu begini pun, aku masih
belum lagi melihat papan tanda jalan PJS 13/32. Setiap lorong jalan
kususuli, tapi tidak juga aku temui. Sekali lagi aku bersuara.
“Pak cik, pak
cik tahu tak? Sudah berapa kali kita berpusing di tempat yang sama. Tak kan lah
pak cik langsung tak pernah masuk jalan ke sini. Habis tu buat apa jadi pemandu
teksi, kalau jalan di taman perumahan sendiri pun pak cik tak tahu?”
Pak cik itu sedikit pun tidak bersuara.
Malah menambahkan sakit di hati aku sahaja. Cubalah bayangkan, aku yang sudah
terlewat ini, baginya macam tiada apa yang berlaku, boleh berlagu lagi.
Kemarahanku kian memuncak, dan aku cuba untuk tidak mahu berkurang ajar dengannya.
Namun aku bersuara juga setelah agak lama kubiar pemandu teksi itu membawa
teksinya tanpa haluan. Aku perhatikan di meter tambang. Dalam hati mula timbul
prasangka yang bukan-bukan. `Pak cik ni, nak pekena aku ke?’
“Pak cik, kalau pak cik
dengan saya berada di negara China, tak apalah kita sesat. Ini tidak, kita
berada di Malaysia pak cik? Di bumi kita sendiri, di daerah pak cik sendiri.
Macam mana sampai pak cik tak tahu jalan di sini. Nampak sangat pak cik
dan anak-anak pak cik tak pernah ke perpustakaankan” tajam sindiranku.
“Tak apalah pak cik, ini akhir ihktiar saya… kita gunakan `GPS’. Pak cik ikut
sahaja arahan saya” kataku lagi.
Alhamdulillah, dengan berpandukan alat `GPS’,
ahkirnya tepat pada jam 10.00 pagi, perpustakaan yang kucari itu telah selamat aku temui. Dalam hati
timbul rasa kesal, kenapa dari awal lagi tidak aku gunakan sahaja hikmatnya.
Tetapi, ialah tak terlintas di akalku waktu memulakan perjalanan tadi.
Masalah timbul sekali lagi bila masa
aku ingin membayar tambang teksi tersebut. Terpampang jelas di depan mataku
harga yang perlu aku bayar. Aku hulurkan tiga keping wang kertas
rm10.00. Pak cik teksi tersebut memandang aku
sambil berkata.
“Nak, bayar kat
pak cik rm10.00 sahaja sudah cukup. Pak cik rasa kesal pula, sebabkan
kelalaian pak cik, anak sudah terlewat. Macam mana pak cik boleh tak
terlintas nak masuk lorong ni tadi.”
“Pak cik, jangan
macam tu… pagi ini rezeki pak cik. Pak cik ambillah… saya ikhlas, Cuma saya
minta, pak cik maafkan saya kerana bercakap kasar dengan pak cik. Bukan
apa pak cik, dalam menuntut ilmu… kita tak boleh terlewat walau pun seminit.
Pak cik tahu kenapa? Kerana minit yang pertama itulah akan bermulanya langkah
pertama kita untuk berjaya. Itu yang selalu saya terapkan dalam hati saya. Tak
apalah pak cik ambil duit ni, saya ikhlas. Dan satu lagi… setiap apa pun
pekerjaan yang kita buat biarlah ihklas pak cik. Pekerjaan pak cik ni
mulia tau? Jadi janganlah pak cik sia-siakan. Selepas ini, rajin-rajinlah
pusing-pusing di dalam taman ni pak cik. Supaya tidak berlaku lagi
sejarah sesat di bumi sendiri.” Kataku panjang lebar. Pak cik itu, hanya tunduk
terdiam tanpa sebarang kata. Wang yang aku hulurkan di simpannya ke dalam
poket baju. Sekali lagi aku memohon maaf sebelum keluar dari dalam teksi.
Pintu perpustakaan aku tolak, aku disambut dengan senyuman oleh Puan Monalita
Mansor, salam disambut. Di situ juga aku bertemu dengan Ayahanda Chik dan juga
Puan Aiza Zizan. Rupanya sesi bertemu dengan penulis sudah pun bermula. Novelis
Haiza Najwa sedang berceritakan pengalaman beliau ketika menulis. Aku yang
masih kebingungan hanya mampu berdiam diri. Sakit hati masih terasa. Tapi
cuma seketika sahaja, selepas itu aku kembali ceria… segala ilmu yang diberikan
kusimpan rapi diingatan. Bukan senang untuk berjaya. Mungkin ada
rahmatnya di kemudian hari. Siapa tahukan, suatu hari nanti aku juga akan
menjadi seperti mereka. Seorang penulis yang dikenali ramai.
Di dalam bengkel tersebut berbagai ilmu yang
dapat aku pelajari. Bagaimana ingin menggunakan tatabahasa yang betul dan
sebagainya. Kata seorang guru, untuk menjadi penulis kita perlu banyak
membaca, berkawan dan juga berjalan. Dan perjalanan aku hari ini telah
banyak memberikan pengajaran kepada aku. Di bengkel ini jugalah aku mengenali teman-teman baru seperti Norazlina Karim, Saufi, Siti Khadeja dan Kak Salmah Ahmad.
Tersesat di bumi sendiri mengajar aku supaya
lebih mengambil berat dengan persekitaran kita. Memang tidak diduga,
benda yang di depan mata jarang untuk kita kenali, malah yang jauh sibuk pula kita
mencari.
Majlis bersurai sekitar jam 4 petang.
Terasa terlalu cepat waktu berlalu. Ilmu yang di beri amat berharga. Terima
kasih kepada mereka yang menjayakan Group Mari Menulis ini yang mana dapat
menyungkil bakat yang dianugerahkan dari Allah Taala. Ilmu yang dicurahkan
tidak ternilai dan hanya Allah yang dapat membalas jasa baik
mereka. Sekali lagi terima kasih buat semua barisan para
admin. Terima kasih Group Mari Menulis.
Pengisian santai bersama Penulis Kak Haiza Najwa. Cantik kakak kita ni. |
Yang ini pula Tuan Haji Yahya. |
Nampak tak? Budak tu, monyok je... kes lambat sampai le tu. Kesian pulak penyair bidasari tengok dia. |
Assalamualaikum, salam perkenalan dan salam penulisan.
BalasPadamWah, teruja saya baca kisah ni. Teruskan menulis. Sangat hebat nampaknya Grup Mari Mneulis ni.
P/S: Sudahkah membaca buku saya? Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa terbitan ITBM 2014. Jika berminat boleh dapatkan daripada saya. Maklumat lanjut boleh baca di blog saya. Sekian, terima kasih.