Rumahnya
berlantaikan papan. Beralaskan tikar mengkuang. Atap berbumbung rumbia.
Dindingnya papan bertindih kasih dan tiang serinya tegak berdiri tidak berpaku.
Tangga pula hanya bertapak pohon kelapa. Di sisinya ditemani tempayan penuh
berisi air. Daun tingkap pula tergelohok. Aman dan damai suasananya berserta
bunyi keroncong sang ungas merata alam.
Dia.
Dia yang cuma berkain batik lusuh, berbaju kurung kedah yang pudar warnanya.
Duduk di penjuru dinding, sambil menggodek-godek gobeknya yang telah diisi
dengan daun sirih sehingga lumat digodeknya, lalu dikeluarkan melalui bontot
gobek, pantas pula disumbatkan ke dalam mulutnya. Masih lagi termenung sambil
mengunyah sirih.
Matanya
melingas ke kiri kanan. Sesekali memandang suaminya yang leka duduk
menyandar di tiang seri rumah mereka sambil jari jemari menggulung daun
rokok. Dibawa ke bibir, lalu dibakar hujungnya dengan mancis.
Perlahan-lahan suaminya menghisap dan menghembus. Berkepul-kepul asap memenuhi
di hadapan matanya yang bundar.
Suara
geluduk kedengaran garang. Raut awan kelihatan muram. Seakan berat menanggung
mutiara. Pasti entah bila akan gugur satu persatu membasahi bumi yang kian
gersang. Pejam celik matanya, tergaru-garu sambil membetulkan kopiah putih yang
kian kekuningan. Rokok daun tadi yang sudah mati baranya dibuang di celahan
papan.
Dia
bangun, berjalan terhenjut-henjut merapati suaminya, lalu duduk di hujung pintu
.
“Tok wan oii, tak boleh macam ni. Esok selepas subuh kalau tak pergi menoreh atau menjala, mana kita nak dapat duit. Buang beli sekopi beras pun tak apa," tok jang menegur suaminya.
“Aku
bukan tak mau pergi, hang tengok sajalah cuaca la ni. Kadang-kadang panas
terik, kadang-kadang sejuk menggigit tubuh,” balas suaminya perlahan.
“Tok
wan, minggu depan musim cuti sekolah. Aku bukan apa, risau cucu kita yang
sorang, tu. Pasti muncul tiba-tiba.Tersengih depan pintu ni,” ngomel tok jang
sambil meluruskan kakinya. Digosoknya perlahan dari lutut hingga ke hujung ibu
jari kaki. Naik pula dari hujung ibu jari kaki hingga ke lutut. Begitulah
berterusan.
“Tengok
esok pulak, kalau tak hujan… aku pergilah menoreh. Tu, sakit lagi ka… kaki tu?
Minyak angin yang Jenab bagi kat hang kelmarin mana? Sapulah,” arah suaminya.
Perlahan
tok wan bangun. Berjalan menghala ke tingkap dan menutup tingkap yang sedari
tadi ternganga luas. Kemudian menuju masuk ke dalam bilik, dikuaknya kain
kelambu. Lalu baring di atas tilam, ditariknya gebar menutupi tubuhnya.
Perlahan menutup matanya sambil berdoa dalam hati agar subuh esok tidak lagi
hujan. “jang oiii, udahlah. Tidurlah,” arah tok wan.
Di luar rintik-rintik hujan sudah kedengaran. Tok jang hanya mengeleng. Di
dalam hatinya hanya mampu berdoa, `Ya ALLAH, andai hujan itu rahmat buatku dan
keluargaku, limpahkanlah rezeki yang melimpah ruah buatku dan seluruh umatmu.
Amin.’ Dia mengikut arahan suaminya, sambil menggelintang di sebelah suaminya.
“Tok wan, kalau hujan jugak besok, macam mana?” soalnya. Dia pasti yang
suaminya masih belum lena tidurnya.
“Jang…, rezeki di tangan ALLAH. Insya-ALLAH, selagi kita yakin kepada-NYA.
Pasti DIA juga akan menolong kita. Dahlah, tidur.”
Terkebil-kebil mata tok jang. Dalam samar cahaya lampu dapur yang dibiarkan
terpasang, dia tersenyum. Betul kata suaminya, moga esok mentari pasti bersinar
cerah. Secerah harapannya yang menggunung. Cucu kesayangannya pasti akan
datang. Pasti.
*********
Dia,
duduk sambil menyandarkan badannya ke pokok getah. Terhenjut-henjut badannya
sambil sebelah tangannya menekan dada. Tertunak-tunak batuknya dan semakin
kuat. Sehingga meleleh air matanya. Sesekali air mukanya diraup dengan kedua
tangan sambil mengesat air matanya. Matahari kian meninggi, terasa perit
bahangnya mencecah kulit tubuhnya yang hanya diselimuti baju kemejanya yang
lusuh.
`Isk…
mana tok wan, ni. Tak kanlah tak habis lagi mengutip getah,’ rungutnya.
Lenguh
menanti tok wan, sekotak kotak berwarna merah hati dikeluarkan dari poket baju
kemejanya. Dikeluarkan sepuntung. Diletaknya dicelah bibirnya. Dinyalakan api,
seketika, sambil memejamkan mata. Dia menyedut perlahan. Hembus. Berkepul-kepul
asap di awangan. Leka dia menatap asap yang berlegar dipandangannya. Tidak
sedar tok wan sudah berdiri di hadapannya sambil bercekak pinggang. Kelat muka
tok wan.
“Kamu
merokok lagi?” soal tok wan.
Diam.
Puntung rokok yang masih bersisa. Ditenyehnya ke pokok getah. Bangun sambil
mengibas-ngibas seluar jeans yang sudah lusuh. Beg sandangnya digalas semula.
“Jomlah tok wan. Hari dah tinggi. Lapar dah ni…” katanya sambil berjalan
meninggalkan tok wan.
Tok
wan geleng kepala. Langkahnya semakin gesit menjejaki langkah Asri yang sudah
ke hadapan. Perasan yang tok wan berada di sebelahnya, Asri bersuara.
“Tok
wan, Aju cakap… minggu depan sekolah dah cuti. Agak-agak, cucu tok wan balik
sini tak?” soal Asri.
“Tak tahulah tok wan, Asri. Kenapa?” soal tok wan.
“Tok
Wan, jangan bagitau dia, ya. Janji ya… . Kalau dia tahu, mesti dia marah. Mesti
berleter dari pagi sampai petang. Terus otak pun berbintang-bintang,” bebel
Asri. Dari pandangan sipi, tok wan makin melebar senyumannya.
Terkumat-kamit
mulut tok wan ingin mengatakan sesuatu. Namun kala melihat wajah anak muda di
sebelahnya. Tersekat butir suaranya. Seraya melemparkan keluhan, Tok wan
mengangguk. Setuju. Perjalanan diteruskan.
Teringat setahun yang lalu.
“Tok wan, siapa tu? Selalu Asri datang sini… tak pernah nampak pun dia. Nampak
mesra dengan tok jang?” soalnya ketika tok wan leka membetulkan jalanya yang
tercarik ketika menjala semalam.
Tok wan segera berpaling. “Tu…” tunjuk tok wan . “Ohhh, cucu aku. Sebaya
kamu tu. Pergilah kalau nak kenal,” arah tok wan.
Dia menggeleng. `Siapalah yang sudi kenal aku, budak kampung, selekeh dan
miskin ni,’ bisik hatinya. Dari jauh dia melihat gadis itu berjalan menuju ke arah mereka. Serta merta dia menjarakan sedikit dirinya dari tok wan. Namun
telinganya masih lagi dapat menangkap butir bicara mereka.
“Tok wan, tok wan. Hari ni tak menjala ke? Dah lama Su tak makan ikan sepat.
Buat gulai lemak cili api campur belimbing buluh. Fuh! Sedap tuuu,” katanya
mencangip sambil duduk sebelah tok wannya.
Tok
wan membalas pertanyaan gadis itu dengan keluhan. Si manis seakan memahami
keadaan orang tuanya terus duduk di sebelah sambil menekup hidungnya dengan
telapak tangan. Segera si manis menoleh
memandangnya. Dia tersipu malu lantas mematikan diri. Dengup jantungnya makin
kencang tatkala terpandang bibir itu yang tidak lekang dengan senyuman.
“Isk,
bau apa ni, tengit…” si gadis memuntahkan suaranya. Lantas mendekatkan bibirnya
ke telinga tok wan, seraya berbisik. “Tok wan, siapa dia. Busuk baunya, tok
wan.”
Asri
yang duduk di sebelah tok wan juga serta merta berubah air mukanya apabila mendengar
patah bicara cucu tok wan. Hatinya tiba-tiba panas. Saat dia menoleh, cucu tok
wan sudah pun berdiri di sisinya. Tergencat bibirnya yang tadi seperti ingin
memuntahkan lava kepanasan.
Dia
ingin membalas sindiran itu. Namun bibirnya terkatup rapat tatkala terdengar
suara tok wan memarahi mulut cucunya yang lantang bersuara.
“Su,
jaga sikit mulut tu. Tak baik cakap macam tu. Busuk-busuk pun dia, dialah yang
banyak menolong tok wan tau?” bebel tok wan sambil menepuk-nepuk bahu jejaka
yang dikatakan bau busuk oleh cucunya.
Teguran
tok wan tidak dapat menghalang gadis itu daripada menyoalnya.
“Siapa nama awak? Eh! Awak merokok ya.
Bahayalah merokok ni… . Awak tak sayang nyawa awak, ya…” sindir si manis.
“Awak siapa ya, nak tegur saya sesuka hati. Diri saya, suka hati sayalah nak buat apa,” balas Asri
tanpa mempedulikan tok wan yang sedang memerhati mereka.
“Suka hati kata awak? Eh! Awak tahu tak? Merokok ni akan
menjadikan awak letih dan lesu sepanjang hari. Lepas tu, satu lagi… saya pernah
terbaca dalam satu artikel ni. Katanya, kalau sebatang awak menyedut asap rokok…
awak akan kehilangan lima minit hayat nyawa awak, tau tak!” terangnya dengan
nada geram. “Kalau tak sayang nyawa awak tu pun… fikirlah nyawa orang lain
sama. Orang di sekeliling awak yang terhidu bau asap tu,” bebelnya kembali.
Tok
wan tersengih hingga menampakkan tahi lalat tercongol di tepi bibirnya. `Orang
muda, begitulah kalau tidak sekepala,’ rungutnya perlahan. Asri panggung
kepalanya memandang tok wan. “Dahlah Asri, jangan ambil
hati dengan kata cucu tok wan ni. Dia memang begini. Suka berterus terang.”
Asri
angguk. Matanya melirik tajam ke arah cucu tok wan. `Isk, baru kenal dah berani
tegur dan nasihat aku. Aku punya sukalah. Nak hisap ke, nak sakit ke, nak mati
ke… kau peduli apa?’ bentaknya dalam hati.
“Asri, Asri, kau bau tak apa yang aku bau ni?”
tegur tok wan. “Asri!!” laungnya lagi seraya menepuk belakangnya. Tersentak
dia. Serta merta batuknya menyinggah lagi.
“Kamu
ni, sambil jalan pun boleh khayal. Ingat siapa?” soal tok wan. Tangan kanan tok
wan tidak henti-henti membelai belakangnya.
*********
Kebun getah tok wan tidaklah jauh, cuma seberang sungai
sahaja. Untuk ke sana mereka cuma menggunakan titi gantung. Bumbung dapur
rumah tok wan kelihatan di balik pokok-pokok langsat. Bau gulai masak lemak
cili api semakin menyengat kedua-dua batang hidung mereka. Mata mereka
bertentang. “Su…” serentak pula mereka bersuara.
“Tok
wan! Asri!” suara Su memanggil mereka. Terkocoh-kocoh dia mendekati atok dan
sahabatnya.
“Eeee,
tok wan,” tegur Su sambil menunduk menyalami orang tuanya.
“Asri…”
seraya menegur jejaka itu sambil menghulurkan tangan. Seketika kemudian dia
kembali bersuara, “tahu, bukan muhrim...” katanya sambil menarik kembali
huluran tangannya. Meletus ketawa mereka bertiga.
Tersipu-sipu
Asri memandang wajah gadis di hadapannya. Baru sebentar tadi dia menyoal tok
wan. Harap tok wan ingat pesanannya.
“Bila
sampai?” tanya tok wan. “Baru aje, Asri sebutkan kamu tadi…” sambung tok wan
lagi.
Pertanyaan
tok wan hanya dibalas dengan senyuman.
“Saya
balik dululah tok wan,” kata Asri sambil membetulkan beg sandangnya.
“Ala…
Asri, singgahlah makan dulu. Tok jang masak gulai lemak cili api ikan sepat,”
pujuk Su.
Tok
wan tarik tangannya. Hendak tak hendak dia turutkan juga. Su dan Tok jang sudah
sibuk menghidangkan makanan di atas tikar mengkuang. Tok wan pula sudah
menyelinap ke dalam biliknya. Asri yang barusan keluar dari bilik air duduk
bersila di tepi tangga yang memisahkan antara ruang tamu dengan dapur.
Dalam
diam Asri melihat tingkah laku gadis yang sentiasa dinantikan kehadirannya.
“Asri,
sini,” arah tok wan tiba-tiba. “Isk, bermimpi pulak dia. Makan Asri, rezeki
depan mata,” ajak tok wan.
Asri
kerling jam di pergelangan tangan kirinya. Kecur air liurnya melihat makanan
yang terhidang di depan mata. Lantas teringat keluarganya. Teringat pesanan
emaknya tentang barangan dapur yang sudah semakin surut. Asri pejam mata.
Nasi di dalam mulut dikunyah lemah.
Selesai
makan. Dia tidak terus pulang. Tok wan mengajaknya ke atas ruang tamu.
Ditinggalkannya Su dan tok jang mengemas pinggan mangkuk yang mereka makan
sebentar tadi. Asri duduk di tepi pintu yang terbuka luas. Sementara menunggu
tok wan yang masuk ke bilik. Sekali lagi Asri menghisap rokok.
“Asri,”
panggil tok wan. Kelam kabut Asri memadam api rokoknya. “Ambillah, buat
belanja,” kata tok wan. Asri pandang tok wan. Anak matanya meluncur turun ke
tangan tok wan. Dua keping kertas berwarna biru direnung. Lalu diambil dan
disimpan ke dalam poket seluarnya. Dia salam tangan orang tua itu. Meminta izin
untuk pulang. Tiba di pintu dapur, dia terdengar suara halus memanggilnya.
“Asri,
nanti kejap,”arah gadis itu lagi.
Dia
menoleh memandang gadis itu. Kaki yang tadi mula mengatur langkah, terhenti.
Sebaris senyuman terukir di bibir gadis itu. Manis. Pejam celik matanya
memandang gadis yang sedang berjalan menghampirinya.
“Asri,
tadi tok wan kata… awak baru je sebut nama saya. Ngumpat eaa?” soalnya sambil
tersengih lalu menjuihkan bibirnya yang mongel itu.
Asri
membalas dengan ketawa kecil. Sambil membetulkan beg sandangnya dia membalas
pertanyaan si manis itu.
“Mana
ada. Saya tanya awak… balik sini tak? Tok wan cakap dia pun tak tahu. Alih-alih
awak dah ada depan mata kami.”
“Ooo…
baiklah. Saya percaya,” akur si manis lagi.
“Terima
kasih. Saya balik dulu ya. Yang di atas tu, dah semacam nak menangis,” sambil
mengacungkan jari telunjuknya ke atas. Gadis manis di hadapannya tersenyum
lagi.
Awan
yang berarak kelihatan mendung. Angin yang tadi sesekali menyapa, kini semakin
ganas menyerbu. Asri langkahnya semakin laju. Air mata langit menitik satu
persatu di atas baju. Asri berlari. Laju dan maju. Namun, nafasnya tiba-tiba
turun naik. Dadanya berombak kencang. Batuk menyerang. Kuat. Terhenjut-henjut
badannya dalam kebasahan.
Langkah
semakin lemah. Tangan kanannya ditekapkan ke dadanya. Dia bulatkan hati. Anjung
rumahnya sudah kelihatan. Di hadapannya kelihatan adiknya Aju menanti menyambut
kepulangannya dengan kerisauan.
“Abang,
abang sakit lagi. Cepat masuk dalam bilik. Nanti Aju ambilkan minyak angin.
Cepatlah, sebelum mak nampak,” arah adiknya.
Segera
Asri menuju ke dalam biliknya. Baju dibuka, kain pelekat segera disarungkan ke
badannya. Baju sejuk yang sering digunakan segera pula dia menyarungnya.
Batuknya semakin menjadi-jadi.
Dengupan
jantungnya semakin kuat berdenyut. Dia memejam mata menahan sakit. Ya ALLAH, kabur
pandanganku. Adik, cepat adik. Dada abang sakit…’ rayunya. Dia rebah di sisi
katil. Saat adiknya melangkah ke pintu bilik, dia sudah terjelepok di situ.
“Makkkkk!”
Hospital Besar Kuala Kubu
Baharu. Selangor
Asri
tersedar dari lenanya. Mungkin dari kesan ubat yang disuntikkan ke badannya
sejak semalam membuatkan dia lemah. Dia pandang kiri kanan. `Su…’ detik
hatinya. Di penjuru katilnya kedengaran suara tok wan.
“Aku ni Kiah, dah habis segala daya dan upaya memujuk. Tapi, tulah… masuk
telinga kanan, keluar telinga kiri. Ikut tekak dia aje. Kau tengok sekarang.
Dia juga yang sakit,’ rungut tok wan kepada emaknya. Tok jang diam tak terkata.
Sambil mengesat air mata, emaknya bersuara. “Entahlah tok wan, ayahnya dulu
mengidap sakit yang sama. Kini penyakit TIBI ni dah berjangkit kat anak dia
pula,” sayu suara emaknya.
Dia mendengar. Dia sedih. Semua orang tidak tahu kenapa dia merokok. Dia
kecewa, kenapa dia tidak dapat melanjutkan pelajarannya. Perlahan-lahan dia
merapatkan kelopak matanya. Sesaat dia kembali terbayang kisah lalu.
“Mak, abang dapat sambung belajar ke tingkatan enam.
Boleh tak mak, abang nak sekolah lagi,” pintanya ketika dia menolong emaknya
meraut lidi kelapa untuk dijadikan penyapu lidi.
“Abang, kita orang susah. Kalau abang sekolah, siapa nak
tolong mak cari duit. Tu, adik kamu pun masih lagi sekolah. Kalau kamu ada,
boleh tolong ringankan beban di bahu mak ni. Sekurang-kurangnya tolong tok wan
tu, menoreh getahnya. Ada juga hasilnya,” ngomel emak panjang lebar.
Jelu hatinya dengan kenyataan emak. Tanpa pamitan dia
lantas membawa diri turun ke tanah. Basikal tua peninggalan abah dia usung ke
laman. Mula mengayuh tanpa mengabah. Sehinggalah dia bertemu rakan-rakannya
yang lain, yang senasib dengannya. Tanpa disuruh dia menghampiri mereka yang
sedang leka dengan kepulan asap menerawang di hadapannya.
“Asri, nah! Ambillah sebatang. Hisap, aku tahu kau lagi
runsing. Sudahlah Asri. Cari kerja, cari duit poket sendiri sudah. Tak payah
nak penat-penat fikir pasal sekolah,” kata kawannya.
Dia pada mulanya bena tak bena akhirnya terpengaruh juga.
Sejak itulah dia semakin seronok dengan kawan-kawannya. Dari sebatang kini
merangkak sekotak. Dari gelisah kini semakin jinak pula dia membantu tok wan.
Langsung tidak fikirkan lagi mengenai impiannya. Namun apabila sesekali keinginannya
datang melangit, rokok itulah yang akan disedutnya bagi mengusir ingatannya.
Semenjak mengenali benda
itu, badannya sering kali lesu dan tidak bermaya. Batuknya pula semakin parah. Hingga
kadang-kadang batuknya mengeluarkan kahak yang keperangan warnanya.Tok wanlah
yang banyak membantunya membawa ke klinik. Kerana sering sakit dan batuk yang
tidak henti-henti dan kedegilannya mendengar nasihat tok wan. Akhirnya inilah hadiah yang
dia kecapi. Air matanya mengalir. Dadanya berombak dan semakin kasar batuknya
kedengaran.
“Asri,
Asri. Bangun. Duduk Asri, minum ubat ni,” arah Su yang sedari tadi berada di
sebelahnya. Kelihatan emaknya dengan wajah kerisauan. Begitu juga dengan tok
wan dan tok jang. Adiknya Aju pun turut berada di situ. Di sisinya.
Dia yang
mendengar arahan si manis mula mengerakan tubuhnya, ingin duduk. Si manis yang melihat
tanpa segan-silu membetulkan duduk si jejaka. Sambil itu sempat pula si manis memberi
nasihat. “Asri, saya nak cakap dengan awak
ni. Mungkin agak pedas dan menyakitkan. Tapi saya tak peduli, saya nak cakap juga.
Jauhilah rokok, Asri. Apa yang awak dapat dengan semua ni?” soalnya. “Asri, dengar ni. Cinta ibarat sepotong kek aiskrim coklat. Enak
dan manis. Rokok pula, bagi saya cuma sekadar mendapat asap dan abu. Jadi, awak
pilihlah. Kek atau rokok?”
Terkulat-kulat Asri yang dipembaringan memandang gadis itu di hadapannya. ‘Kek,
rokok, cinta,’ getusnya. “Isk! Peninglah. Cinta dan kek dia samakan dengan
rokok,” rungutnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan