Isnin, 24 Februari 2014

AMPUNKAN DOSANYA



`SESUNGGUHNYA ALLAH MENERIMA TAUBAT HAMBANYA SELAGI NYAWANYA MASIH BELUM SAMPAI KE HALKUMNYA’

(Hadis di riwayatkanoleh Al-Tarmizi) 

`Bagaimana jika aku mati dalam keadaan dosa dan masih belum bertaubat’

`Apakah aku akan mati dalam keadaan tenang atau dosa-dosaku sedang menghambat aku ke pintu neraka’

`Ampun…aku ya Allah, ampunkan dosa-dosaku,’

`Panas…panas… pedih… pedih! Ya Allah, kembalikan aku… aku janji ya Allah, hanya jalan kebaikan yang akanku pilih’

`Mak…mak! Kenapa nangis?’

`Mak…mak… Dila kat mana ni, kenapa bilik Dila semua warna putih? Mana cadar merah Dila, mak?’

`Mak…mak, kenapa mak diam? Mak marah Dila, ya?’


*******

Duduk termenung di muka pintu dengan pandangan dihala ke arah luar. Lorong kecil yang hanya boleh dilalui basikal dan motosikal sesekali dijengahnya .  Janji Dila sentiasa dalam ingatannya.  Dari sinar matanya itu, penuh dengan api kerinduan, setahun lamanya Dila tidak pernah pulang, sejak dia membenarkan anaknya ke ibukota untuk mencari pekerjaan. Ardila, gadis yang diberi didikan agama dan kasih sayang yang secukupnya oleh kedua-dua ibu bapanya. Walaupun bapanya, Ahmad terlebih dahulu pergi mengadap Ilahi ketika usianya 13 tahun. Masih jelas di ingatan Odah, malam sebelum Dila pergi meninggalkan dirinya.

“Dila, ingat pesan mak ya,  jangan sesekali kau tinggalkan solat. Biar sesibuk mana pun kau nanti, sembahyang didahulukan ya… sayang,” terang Odah. Tangan kasar tuanya meraba-raba di segenap raut wajah anaknya.

“Mak… janganlah risau, segala tunjuk ajar mak akan Dila ingat. Pesan mak akan Dila sematkan dalam hati. Insya-Allah, kata Abang Mail… tempat tinggal disediakan oleh majikan,” balas Dila sambil memeluk maknya.

Sepasang kain putih berserta `anak’nya dilipat bersama sejadah baldu berwarna biru disatukan dan disimpan ke dalam beg. Sepasang mata ibu tua memerhati dari jauh kelakuan anaknya, walau di hati tersirat seribu perasaan gundah untuk membiarkan anak kesayangan, satu-satu anaknya pergi meninggalkannya demi mencari pekerjaan.

`Abang, maafkan Odah, bang. Odah terpaksa izinkan dia pergi, bang.’ Tangis Odah sambil menatap sekeping gambar yang kian kekuningan kertasnya. Sambil menyeka air mata dengan hujung lengan bajunya, dia berjalan ke arah bilik anaknya dan bersuara.

“Dila, mak nak tidur dengan kau nak,” suara Odah  mendayu dalam sendu.

Dila yang berdiri di tepi jendela tersentak dengan teguran itu melangkah mendapatkan emaknya. Ditatapi wajah emaknya dengan mata yang berkaca. Dibendungnya titisan air yang bertakung di kelopak mata agar tidak berguguran. Dengan pelukan manja, dipimpin emaknya lalu didudukkan di katil dan dibaringkan serta menyelimuti emaknya dengan gebar yang sentiasa digunanya. Dila turut melabuhkan badan dan mengiring mengadap emaknya.

 “Mak, izinkan Dila pergi mak. Hanya dengan restu mak,” mohon Dila dalam sendu.

Sambil membelai rambut anaknya , Saodah mengangguk tanda setuju. Garisan halus di tepi bibir emaknya melegakan hati Dila. Dalam kepekatan malam, dua jiwa terlelap dengan impian masing-masing. Seorang ibu tua mengharapkan impian anaknya tercapai walaupun dalam hatinya penuh dengan keraguan.

Hari yang dijanjikan pun tiba. Dila dengan riang melihat Mail sedang menantinya di luar rumah, segera mengusung beg yang sarat dengan baju dan keperluan lain. Saodah yang duduk di atas anak tangga melihat dengan mata yang berkaca. Mengapa hatinya berdebar sejak semalam? Apakah petanda semua ini? `Ya Allah, Kau jauhilah anakku dari perkara-perkara yang tak diingini. Kau lindungilah dia seperti mana Kau melindungi aku dan umatMu yang lain,’ bisik hati Saodah.

“Mak, Dila pergi dulu ya. Insya-Allah, bila Dila dah dapat kerja nanti dan gaji bulan pertama, Dila akan balik jenguk mak. Ya, mak?” kata Dila sambil memeluk emaknya.

Itulah lambaian dan ciuman terakhir daripada Dila, anak gadisnya.

*******

Jam 8.00 malam, Kelab Dangdut Kiambang yang terletak di jalan Dewan Sultan Sulaiman sentiasa dipenuhi pelanggan apabila malam menjelma. Dila dengan rambutnya, dibiarkan lepas ala-ala Ziana Zain dengan calitan gincu nipis di bibirnya, kelihatan anggun berdiri di ruang `bartender.’  Sambil mempamerkan barisan giginya yang putih. Dila mengalunkan lagu 'Madah Berhelah', nyanyian asal artis popular iaitu Ziana Zain sambil menggoyangkan badannya mengikut rentak melodi.

Lontaran suara yang jelas sebutannya serta lenggokan tubuh badannya menjadi  tumpuan  setiap mata yang memandang dan menjadi kesukaan setiap pengunjung di situ. Boleh dikatakan hampir tujuh puluh peratus pengunjung di tempat itu adalah lelaki Melayu yang berumur dalam lingkungan tiga puluh tahun ke atas.
Dari jauh di satu sudut yang suram, diam seorang lelaki yang sering bersama Dila selama ini, yang telah menghancurkan impian seorang gadis, juga yang telah membawa dia ke lembah kemaksiatan. Siapa lagi, kalau bukan jejaka yang amat Dila sayangi, Ismail atau lebih dikenali sebagai Mail. Lantas kenangan itu datang kembali menerjah mindanya.

Pertama kali Dila menjejakkan kakinya di Kuala Lumpur. Dia ditempatkan di sebuah hotel mewah, Hotel Shangri-La yang terletak di Jalan Sultan Ismail. Jelas terbentang di ruang mata kali pertama Dila menjejak kakinya ke hotel yang serba mewah itu. Sedikit pun tiada perasaan curiga hinggalah hari ketujuh dia berada di Kuala Lumpur dan malam itulah berlaku segalanya.

“Abang Mail, ke mana abang nak bawa Dila? Kerja apa malam-malam ni?” Dila bertanya sambil matanya melilau ke kanan dan ke kiri.

Dalam kereta Mail, Dila keresahan… sudahlah baju yang dipakainya ini menjolok mata. Dila sendiri tidak sanggup melihat dirinya sendiri, apatah lagi orang lain yang melihat keadaan tubuhnya. Namun apakan daya, arahan Mail membuat Dila kecut perut.

“Kau diam! Kalau kau tak nak sakit, kau dengar cakap aku. Buat apa sahaja yang aku suruh! Kau dengar tak?” jerit Mail.

            Dalam keadaan begitu, Dila masih lagi memikirkan bagaimana caranya dia ingin melepaskan diri dari genggaman Mail. Seminggu bersama dengan Mail, baik sikap yang ditunjukkannya. Sedikit pun tidak timbul perasaan ragu dalam dirinya. Malah selama seminggu berada bersama Mail, sedikitpun Mail tidak cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya. `Arrrhhh, aku yang bodoh dalam menilai dirimu, Mail.’

            Kereta Mail berhenti di sebuah bangunan yang samar cahayanya. Dengan lampu yang berkelipan di luar pintu, mengertilah Dila kini yang dia telah dibawa ke sebuah kelab. Dila  memerhati di sekeliling dan terpandang pada papan tanda yang bertulis Kelab Dangdut Kiambang, Jalan Dewan Sultan Sulaiman. Mail yang masih dengan wajah bengisnya merentap tangan halus Dila, diseretnya ke dalam bangunan itu.

Bunyi yang bingit mengganggu pendengaran Dila yang masih belum mengetahui apa pekerjaannya yang sebenar. Perit dan pedih tangan Dila yang masih lagi dalam genggaman tangan kasar Mail.  Dila cuba merentap tangannya tapi tidak mampu melawan tenaga seorang lelaki. Akhirnya, Dila hanya berdiri lemah di sisi Mail.

“Mana you dapat ini amoi? Wah… banyak pandai arr you sekarang. Dia punya rupa pun manyak cantik ooo. Ini kali, berapa you mau gua bayar sama lu, Mail?” tegur seorang lelaki cina yang bermata sepet begitu galak memerhatikan Dila. Dalam masa yang sama, Dila menarik-narik skirt pendek yang dipakainya.

“Oooo, ini kali gua tak mau jual sama lu, tapi kali ini gua mau dia kerja sama lu, dia milik gua dan lu jangan kacau sama dia. Boleh? Gua sudah banyak tolong lu maaaaa,” balas Mail sambil menarik Dila ke dalam pelukannya.

“Wahhh, Mail, okay.  Kalau lu mau itu macam, tapi kita ada satu syarat ooo… dia punya `servis income’ kita kasi sama rata. Kalau you setuju itu macam… okay, gua set,” balas lelaki cina tadi sambil menepuk-nepuk bahu Mail.

Mail tersenyum menampakkan giginya yang kekuningan sambil sebelah tangannya memeluk Dila dengan rakus. Keputusan telah pun termenterai dan malam itu, Dila menjadi mangsa kepada sahabat baiknya sendiri. Sahabat yang selama ini dia cintai, sahabat yang selama ini dia sanjungi dan hormati. `Mail… kau sial! Kau jahanam, Mail! Aku benci kau! Aku benci lelaki. Ingat, aku akan balas semua kejahatan yang kau lakukan kepada aku,’ jeritnya ke arah Mail sambil menumbuk-numbuk dada Mail.

Hari pertama Dila bekerja, dia cuba untuk melarikan diri. Namun belum sempat dia mengatur langkah, orang-orang suruhan Vincent sempat menangkapnya dan dibawa bertemu Vincent. Sekali lagi tubuh Dila dijadikan santapan mereka. Hanya deraian air mata yang mengalir saat itu. Wajah ibunya serta menerpa di pandangannya yang semakin kabur dan kelam.

Semenjak kejadian malam itu, Dila tidak lagi berani untuk melarikan diri. Arahan demi arahan daripada Mail, Dila ikuti tanpa sedikit pun membantah. Semakin lama, Dila semakin lali dengan pekerjaan itu. Malah, wang saku dan tip yang dia dapati daripada pelanggan telah mengaburi matanya. Dari satu tangan ke satu tangan, tubuh Dila dalam dakapan mereka. Segala jenis minuman, semua Dila teguk.  Apa yang penting baginya kini wang kertas berwarna ungu mesti berada dalam genggamannya.

 Dila semakin bijak melayan pelanggannya dan mereka pula semakin menyukai layanan daripada Dila. Malah, Dila juga tidak lagi dikongkong oleh Mail, kawan baiknya. Vincent pun tidak lagi mengganggu Dila. Dia bebas melakukan apa saja kini. Tambahan pula, Mail sudah pun mendapat pucuk muda yang lebih menarik dengan lenggoknya yang menggoda.  Dila semakin hanyut dalam kemewahan dan lupa pada janjinya. Janji seorang anak untuk emaknya yang sentiasa menanti dan terus menanti.

*******

Rumah teres tiga bilik di Taman Wahyu, Kepong yang didiami oleh Dila dan juga rakan-rakannya begitu sunyi ketika ini. Masing-masing sudah ke tempat kerja, yang tinggal hanya Dila.  Sehari dua ini, dia merasai kelainan pada dirinya, lemah dan sentiasa tidak bermaya. Malah dia juga sering bermimpi, didatangi seorang lelaki tua menghampirinya sambil di tangan lelaki tua itu ada sepasang kain telukung dan senaskah Al-quran, menghulur ke arahnya. Ingin disambut tetapi terhalang dengan julungan api yang menjulang tinggi. Saban malam mimpi itu semakin kerap mengganggu tidurnya. Dila kebingungan, dan kepada siapa harus dikongsikan cerita ini.

“Mail, aku nak sambung cuti dengan kau sehari dua lagi. Aku tak berapa sihat, dan aku fikir lebih baik aku ke klinik. Harap kau mengerti.” Dila bersuara di hujung talian.

“Okaylah, nanti aku cakap kat Vincent. Kau rehat saja kat rumah. Kalau perlu apa-apa bantuan, jangan lupa telefon aku, tau!” balas Mail.

Talian terus dimatikan. Mungkin sibuk dengan tugasnya ataupun mungkin sibuk dengan Indah, gadis montok berkulit putih gebu, kegilaan ramai jejaka di kelab itu.

            Seluar jeans lusuh, dikenakan dengan blaus labuh begitu bergaya dipandangannya. Dicalit pula sedikit gincu merah ke bibirnya. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, Dila lantas keluar dari bilik tidur dan mengunci pintu biliknya juga pintu utama rumah. Setelah pintu pagar dikunci, dia masuk ke kereta dan menghidupkan enjin kereta yang sentiasa diparkir di luar rumah dan meluncur laju menuju ke klinik yang berdekatan.

            Klinik Bandaraya, klinik yang sering Dila kunjungi kala sakit peningnya. Setelah dia mendaftarkan namanya, Dila menunggu dengan penuh sabar sehingga namanya dipanggil.

“Ardila Ahmad.” Terdengar namanya dipanggil, dan segera Dila masuk ke dalam bilik itu.

“Ya, sakit apa, cik?” tanya doktor lelaki itu. Dila perhatikan nama yang tertera di bajunya. Doktor Aizat.

Doktor mendengar apa yang diceritakan oleh Dila, doktor itu melemparkan senyuman sambil menyuruh Dila melakukan ujian air kencing bagi memudahkan penyakitnya dapat dikesan. Tanpa membuang masa, Dila melakukan tanpa ada rasa wasangka di dalam dirinya.

Dila keluar dari klink itu dengan perasan celaru, apa yang harus dia lakukan sekarang. Perlukah dia memberitahu kepada Mail? Apakah dia mahu bertanggungjawab dan apakah dia percaya yang anak di dalam kandungannya ini anaknya?

“Emmm, tahniah Ardila, awak disahkan mengandung. Bila kali terakhir awak `datang bulan’?”

Dila yang mendengar khabar berita daripada doktor itu terkedu tanpa kata. Tiada sedikit pun riak wajahnya yang gembira.

“Ardila, Ardila… ada masalah ke?” tanya doktor  Aizat itu lagi.

“Oh… maaf doktor, kali terakhir 25 hb Januari, ya… itulah tarikhnya,”balas Dila.

            Dila segera meninggalkan Klinik Bandaraya dengan penuh tanda tanya. Dalam fikirannya masih memikirkan apa yang telah doktor itu sampaikan. Mana mungkin ini terjadi, tak mungkin. `Setiap hari aku makan ubat yang dibeli di farmasi…tak mungkin,’ bisik Dila dalam hati sambil dia berjalan menuju ke keretanya.

            Sayang, Dila yang hanya memikirkan berita yang baru dia terima, hingga dia leka akan persekitarannya. Semasa dia melintas jalan untuk menuju ke keretanya, dia tidak sedar ada sebuah kereta yang meluncur laju sedang menuju ke arahnya dan satu bunyi yang kuat kedengaran. ` BOOMM’.  Orang ramai yang berada di kawasan itu segera menyerbu dan cuba menyelamatkan Dila yang terlantar di tengah jalan.

            Ambulan segera dipanggil, lima belas minit kemudian Dila dibawa ke hospital berdekatan. Hospital Selayang. Pemandu yang melanggar Dila mengikut hingga ke hospital dan membuat aduan di pondok polis yang berdekatan dengan hospital itu. Dila segera dibawa ke unit kecemasan. Kad pengenalan Dila dijumpai, polis yang bertugas segera mencari waris keluarga Dila berpandukan alamat yang tertera di kad pengenalannya.

            Lot 124, Kampung Pasir, Kuala Kubu Bahru.  Polis itu memerhatikan alamat yang tertera di kad pengenalan dan juga di peti surat di hadapan rumahnya yang sunyi sepi.

            “Assalamualaikum…” jerit salah seorang anggota polis itu.

            “Terkocoh-kocoh seorang perempuan tua keluar dari rumah dengan sekeping gambar yang berada di tangannya, sambil memandang ke arah anggota polis itu dengan pandangan kehairanan.”

            “Maaf ya, makcik. Nama makcik ni Saodah binti Kassim?” tanya salah seorang anggota polis itu.

            “ Ya, nak. Kenapa ni? Ada apa? tanya Mak Cik Saodah penuh curiga.

            “Mak cik kenal Ardila binti Ahmad?”

            Mak Cik Soadah tidak menjawab soalan polis itu cuma dia mengiyakan sahaja. Mana mungkin dia lupa pada anak gadisnya yang amat dirinduinya.

            “Kalau begitu sila ikut kami segera ke hospital, kerana anak mak cik perlukan mak cik sekarang.”

            “Kenapa dengan dia? Apa dah jadi padanya? Dicapainya selendang yang tergantung di tepi dinding dan menutupi rambutnya yang keputihan. Lalu mengikut polis yang seramai tiga orang itu menuju ke kereta dan segera meninggalkan kampung menuju ke Hospital Selayang.

            “Mana anak saya doktor, mana?” laung Mak Cik Saodah.

            Mail yang kebetulan berada di situ segera mendapatkan Mak Cik Saodah dan cuba mententeramkan diri Mak Cik Saodah. Kala matanya tertumpah kepada Mail, terus-terusan dia menanyakan apa yang berlaku sebenarnya. Tiada kata yang dapat Mail ungkaikan hanya gelengan tanda dia sendiri tidak tahu malah dia juga terkejut dengan berita yang dia terima melalui panggilan telefon bimbitnya. Kata polis, nombor dia yang terakhir Dila membuat panggilan.

            Seketika kemudian keluar seorang lelaki dari bilik kecemasan, belum sempat dia membuka mulutnya untuk bertanya siapakah waris terdekat, dengan segera Mak Cik Saodah meluru mendapatkan lelaki itu.

            “Doktor, anak saya… macam mana keadaannya,” tanya Mak Cik Saodah sambil menyeka air matanya dengan kain kecil yang ada dalam genggamannya.

            “Anak puan masih koma, hentakan yang berlaku di bahagian kepalanya menyebabkan darah beku berlaku dan kami telah melakukan sebaik mungkin. Selebihnya kita hanya mampu berdoa agar dia selamat. Oh, satu lagi, siapa suaminya? Saya perlu untuk berbicara dengannya sebentar. Tak apa, mak cik boleh masuk ke dalam sebentar lagi untuk melihat pesakit. Tunggu mereka pindahkan ke wad biasa ya,mak cik.”

            Mak Cik Saodah tidak bersuara, melopong mulutnya kala doktor menanyakan suami anaknya. Siapa? Sedangkan dia sendiri tidak tahu malah jumpa pun tidak. Dia memandang ke arah Mail, mungkin Mail mengetahui siapa suami anaknya.

            “Mail, kau tahu siapa suami Dila? Pergilah cari dia, Mail…mungkin kali terakhir,” kata Mak Cik Soadah. Kali ini tiada lagi air mata yang mengalir di wajah tua itu.

            Mail berlalu meninggalkan Mak Cik Saodah dan segera bertemu dengan doktor tadi dan memperkenalkan dirinya sebagai suami Dila. Mak Cik Saodah yang berada berhampiran mereka sekali lagi melopong mulutnya. Lalu diangkat kedua-dua tangannya memohon keampunan buat anaknya.

`Ya Allah, andai ini takdir pengakhiran hidupnya, kau lapangkanlah kesengsaraannya. Aku ampunkan dosanya dan kuhalalkan segala makan minumnya selama dia membesar di hadapanku, amin’ doa Mak Cik Saodah.

            “Encik Ismail, maafkan kami kerana tidak dapat menyelamatkan kandungannya.”

Terlopong mulutnya dan terkaku tanpa suara. `Dila, kenapa kau merahsiakannya,’ bisik Mail. Mak Cik Saodah yang mendengar perkhabaran itu terus terduduk diam di kerusi sambil mengesat air matanya yang kembali berguguran tanpa henti. `Ya Allah, anakku.’

            Mereka berdua berjalan menuju ke bilik yang menempatkan Dila. Menangis Mak Cik Saodah melihat keadaan anaknya. Kepalanya berbalut, kaki dan tangannya juga patah. Dila terbaring kaku. Mail yang berdiri di sebelah Mak Cik Saodah segera merapatkan mukanya ke telinga Dila sambil bersuara,

`Dila, maafkan segala dosaku terhadapmu. Selama hidupmu, aku tidak menyedari yang kasih dan cintamu itu hanya untukku. Namun, segalanya berubah... aku sedar kini, Dila. Dila kuatkan semangatmu dan aku sedia menunggumu.
'Ya Allah, sesungguhnya KAU lebih mengetahui, ampunkanlah kesilapannya dan ringankanlah kesakitan yang ditanggung olehnya. Ya Allah, ampunkan dosaku dan terimalah taubatku.
Amin.' Tangisan Mail memecah kesunyian malam.


MENGHINDARI KESESATAN ~ ALI-IMRAN 8:
RABBANA LA TUZIGH QULUBANA BA’DA IZ HADAITANA WAHAB LANA MIL LADUNKA RAHMAH,INNAKA ANTAL WAHAB.

“YA TUHAN KAMI, JANGANLAH ENGKAU JADIKAN HATI KAMI CONDONG KEPADA KESESATAN SESUDAH ENGKAU BERI PETUNJUK KEPADA KAMI, DAN KARUNIAKANLAH KEPADA KAMI RAHMAT DARI SISI ENGKAU; KARENA SESUNGGUHNYA ENGKAU-LAH MAHA PEMBERI (KARUNIA)”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan