Jumaat, 6 Februari 2015

JEBAT ~HERO HIKAYAT CINTA bab 2

BAB 2.


            "Mak! Mak!" laung Dira dari dapur.

             Mak Tom yang sedang mengangkat kain di jemuran kehairanan mendengar anak gadisnya menjerit-jerit. Ditinggalkannya kain baju di atas kerusi di ruang tamu lalu bergegas ke dapur. Ternganga kedua-dua beranak itu bila yang terhidang hanyalah piring kosong. Kelam kabut Mak Tom dibuatnya. Sambil menggaru-garu pangkal rambut di belakang telinga, dia memikirkan bagaimana kuih yang masih penuh di dalam piring itu boleh hilang tanpa berbaki.
           
“Mak, masa Mak Cik Senah bagi kuih tu… siapa ada kat rumah?” soal Dira sambil melingaskan pandangan ke sekitar  ruang dapur rumahnya.
           
“Eh! Dira, kau jangan cuba nak menakut-nakutkan mak. Mana ada orang? Ayah kau kerja? Abang kau pun kerja? Ishhhh… takkanlah ada toyol kat rumah kita ni, Dira…” jawab Mak Tom masih lagi kebingungan mengenangkan misteri kuih lompong hilang. Melihat emak yang masih melilau memandang sekitar dapur, Dira semakin ingin tahu ke mana perginya kuih lompong tadi.
           
“Nanti, biar Dira pergi intai bilik abang dulu. Mana tau dia yang balik… kebulurlah tu. Ada duit, simpan. Kedekut tahi hidung masin,” bebel Dira. Segera dia ke bilik abangnya. Tombol pintu dipulasnya. Terkuak sedikit, dibukanya luas namun kosong. Ternyata tekaannya salah.
           
Dira kembali ke dapur, sambil menggaru pelipis memandang emaknya. Bibirnya dibega-begakan, serius memikirkan perihal kehilangan kuih pemberian Mak Cik Senah. Mak Tom lagilah bertambah bingung sambil duduk menghadap piring tersebut. Terkelip-kelip matanya sambil menatap wajah Dira. Dira yang melihat emaknya yang kelihatan pucat mula mengusik.
           
“Hah! Mak. Siapa tu kat belakang?” sergah Dira.
           
“Oh… pocot!” Mak Tom yang terperanjat melatah dan mujur tidak jatuh dari kerusi. Mengekek ketawa Dira dapat mempermainkan emaknya.
           
“Bertuah kau Dira, dengan mak pun kau nak bergurau ya. Gurau-gurau juga Dira oiiii, ni siapa punya kerja ni, nak?” soal Mak Tom sambil matanya melilau ke kanan dan kiri, seolah tidak puas hati dengan kejadian tersebut.
           
“Sabar mak, kalau betullah ada orang yang makan kuih ni… dalam rumah ni pula. Dia pasti ada dalam rumah ni lagi, mak.” balas Dira.
           
“Tak apa Dira, kau buka lampu baru senang kita nak tengok,” arah emaknya.

Tanpa membuang masa, Dira mengikut arahan maknya. Hari semakin beransur kelam. Cahaya merah mewarnai dada langit. Dira segera menutup daun tingkap di dapur.  Suis lampu dipetik, serta merta dapur yang tadi kelam kini terang benderang. Sementara di balik tabir ada susuk tubuh yang semakin rimas dan gelisah. Kasihan pula dia kepada insan yang berada di balik tabir antara dapur dengan stor kecil ayahnya itu. Mak Tom bingkas bangun dan menuju ke arah tabir itu. Diselaknya kain tabir itu dan meletus ketawanya melihat Aizat sedang duduk kepanasan.

“Ya ALLAH…bertuah punya budak! Apa kau buat kat sini?” sergah Mak Tom pada Aizat sambil menarik telinga Aizat. Aizat mengerang kesakitan, berdiri mengikut langkah Mak Tom.
           
“Aduh, aduh… duh… sakit Mak Tom. Kalau ya pun marah kat saya, janganlah tarik telinga ni kuat-kuat. Nanti terputus, siapa susah… Diraaaa, juga?” Kata Aizat dan sempat menjeling ke arah seraut wajah yang dari tadi tak henti dengan senyumnya.

“Kenapa kau, Aizat? Itulah masuk rumah orang tak bagi salam… lepas tu siap makan kuih sampai tak ingat tuan rumah. Kau tahu siapa yang bagi kuih ni? Mak kau? Kenapa kau tak balik terus ke rumah? Bukannya jauh pun. Kalau ikut jalan pintas… belakang ni je,” terang Mak Tom panjang lebar sambil menarik tangan Aizat menunjuk jalan belakang yang dimaksudkannya.
           
“Dahlah mak, biar dia duduk kat bangku tu. Tanya dia macam mana boleh masuk rumah ni?” Dira memberi arahan kepada maknya.
           
“Tak apalah Mak Tom, biar saya yang cerita. Sebelum tu maafkan saya ya, Mak Tom?” pinta Aizat dan menyambung ceritanya semula.

“Begini Dira, tadi aku terpaksa tinggalkan kau. Aku kayuhlah basikal laju-laju, fikir sempat sampai rumah. Ikut jalan belakang pun tak tahan. Aku dah nampak Mak Tom kat depan tadi… tak sempat nak tegur. Kebetulan pintu dapur terbuka. Aku masuklah. Guna tandas,” terang Aizat.
           
“Oooo, lepas tu… kau terus makan kuih yang ada atas meja ni ya,” celah Dira.
           
“Lapar…” balas Aizat dengan wajah kemerah-merahan menahan malu.
           
“Dahlah. Pergilah balik Aizat. Nanti bising pula mak kamu. Anak bujang kesayangannya tak balik lagi,” nasihat Mak Tom.
           
“Mak Tom, jangan lupa… bakal menantu juga,” balas Aizat sambil mengucapkan salam dan selamat malam.
           
Tersenyum Dira dengan keletahnya. Teman sepermainannya sejak kecil. Segala suka duka dikongsi bersama. Sedang leka duduk termenung, kedengaran sayup suara azan maghrib berkumandang dari masjid yang berdekatan.
           
“Dira, sudahlah termenung tu. Percaya sangatlah cakap Aizat tu. Depan mata… Dira, bolehlah cakap. Esok-esok ni, dah keluar nuh… ke mana tu, kolumpor? Lupa terus kat kau. Dah! Mandi. Solat. Sebelum tu… kunci pintu dapur tu,” berleter sambil berpesan. Mak Tom, emaknya yang kuat berleter jika diberi peluang.

JEBAT ~ HERO HIKAYAT CINTA bab 10

BAB 10.


            Ketika Dira leka melipat baju yang masih lagi membukit di hadapannya, telefon bimbitnya berbunyi tanda ada kiriman di dalam kotak simpanan  peti suara.Dira  mencapai telefon yang berada di sebelahnya.

Dira. Esok kau jadikan pergi ke bandar? – Dayah.

Tersenyum dia membacanya. Tanpa membuang masa segera pula dia membalasnya.

Tak tahu lagi. Tunggu ayah aku balik baru nak tanya. Kenapa? – Dira

Ohhh. Baiklah, kalau macam tu malam nanti aku telefon kau. – Dayah

Baiklah. Nanti kalau aku dapat keizinan dari ayah aku, cepat-cepat aku sms kau. – Dira.

Sejurus menghantar pesanan terakhir itu, terdengar bunyi enjin kereta di luar. Tahulah dia yang ayah sudah pulang. Dira segera menyambung lipatan kain yang masih lagi bertimbun.  Di fikirannya berlegar-legar pelbagai angan-angan. Dia bermohon dalam hati, segala perkhabaran gembira daripada mulut emaknya akan melengkapkan angan-angannya itu.

 “Dira, Dira! Ni… ayah kau panggil,” seru emaknya.

Dia  yang leka melipat kain segera meninggalkan kerjanya lalu berjalan ke arah  suara tadi. Sampai di dapur, dia melihat ayahnya sedang enak menghirup air kopi yang masih lagi berasap. Emak pula sibuk menggoreng cucur cempedak. Haruman cempedak menggamit perhatiannya ke satu sudut meja berhampiran ayahnya. `mesti ayah bawa pulang.’

Begitulah emaknya, apa yang hendak dimakan oleh ayah, pasti emak akan cuba menyediakan. Bahagia melihat mereka, tersenyum dia. Walaupun usia mereka sudah menjangkau lima puluh tahun lebih, namun jelas menunjukkan betapa gembira dan bahagia kehidupan mereka berkeluarga.

            Berlalu dengan penuh sopan di hadapan ayah, Dira menarik kerusi di sebelah ayahnya dan duduk. Matanya memandang emak yang masih leka menggoreng cucur cempedak.  Dia perasan akan renungan ayah, cuba membina kekuatan diri sebelum bersuara.

            “Ayah, esok Dira nak keluar dengan Aizat. Dalam pukul empat petang gitu, boleh tak?” soalnya dengan lembut. Tangan mencapai cucur yang terhidang di hadapannya.

            “Dia lagi. Balik-balik Aizat! Dengan anak Pak Abu tu, siapakah namanya, Tom? tak ingat aku. Tak pulak kau sibuk nak berkawan. Dah tu, siapa lagi pergi?” soal ayah bertalu-talu sambil matanya sesekali mengerling kepada emak.

            “Oh, Amir nama budak tu. ALLAH, abang ni… budak nak berkawan, biarlah dengan siapa anak awak nak berkawan? Lagipun yang paling dekat dengan rumah kita ni `Jebat’ tu aje, lagi pun kita kenal mak ayah dia,” balas emaknya.

            “Oooo, eh! Ayah dengar dari mulut ayahnya pagi tadi… katanya `J ebat’ kau tu, dapat masuk askar. Hairan aku, belajar sampai tingkatan enam. Alih-alih nak jadi askar. Tak berkenan aku!” tokok ayahnya lagi.

            “Betul ke, bang? Eloklah tu. Berbakti untuk negara,” balas emaknya lagi.

            “Hah! Tak berkenan aku. Ingat jadi askar ni boleh menjamin masa depan ke? Pindah sana, pindah sini. Silap-silap anak bini ditinggalkan kat kampung,” kata ayahnya.

Tersentap Dira dengan kata-kata ayahnya. Tidak sangka sampai begitu sekali fikir pandang ayahnya terhadap Aizat. Dira pandang wajah emaknya. Mak Tom terkebil-kebil memandang suaminya.

            “Abang! Bertuah tau kalau ada anak muda yang nak berjasa pada negara. Kalau semua hendak jadi doktor, nak jadi cikgu, nak jadi kaya raya, nak kerja dengan jabatan kerajaan, habis tu… siapa pula nak jaga keamanan negara? Bertuah dan bersyukur Tom rasa, masih ada anak muda yang begitu sayangkan negaranya,” balas Mak Tom lagi.

            “Bagus kata kau, elok kau fikir. Berkorban untuk negara. Isteri menjadi janda, anak-anak pula jadi yatim piatu. Bagus macam tu? Senang macam tu?” melenting ayah mempertahankan kata-katanya. Riak wajah Pak Kassim jelas kelihatan masam, kelat. Tidak berkenan dengan pekerjaan Aizat yang didengarnya pagi tadi di kedai minum Pak Harun.

            Terkebil-kebil Dira mendengar pertengkaran kecil antara emak dan ayahnya. Pening kepalanya tiba-tiba, lain yang diharapkan lain pula jadinya. Dira yang tadinya duduk di sebelah ayahnya kini bangun dan berjalan ke arah emaknya. Dira mohon sangat-sangat pada emaknya agar dapat bertemu dengan Aizat untuk mendapatkan kepastian.

            “Cuba tanya ayah sekali lagi, cakap betul-betul  pukul berapa kamu nak balik dan sebab apa nak jumpa dia. Pasti ayah bagi tu,” nasihat emaknya pula.

“Ayah! Boleh tak?” soal Dira setelah emaknya menasihati Dira supaya meminta izin dengan ayahnya.

Sebelum sempat Dira membuka mulutnya. Emaknya terus sahaja bersuara, “bagi je lah bang, dia pergi. Kalau betullah Jebat tu jadi askar, bila lagi mereka nak berjumpa? Merekakan dah lama berkawan,” terang emaknya lagi.

            “Eloklah awak tu, ikutkan sangat apa yang dia mahu. Buatnya esok ni tersangkut betul-betul dia dengan budak askar tu, jadi sesuatu yang buruk, menangis tak berlagu le anak dengan maknya esok,” balas ayah dengan wajah mencuka. Lalu ayah terus bangun meninggalkan dia dengan mak.

            “Astaghfirullahadzim. Tak baik abang mendoakan keburukan untuk orang lain. ” emak bersuara sambil tangannya menepis bahu ayah. Akhirnya emak sendiri yang mengizinkan Dira pergi bertemu Aizat.

            “Pergilah Dira, janji dengan mak. Balik cepat,” pesan emaknya sekali lagi.


Melonjak keriangan dia apabila mendapat keizinan daripada emaknya. Segera dia berlari dan terus masuk ke dalam bilik. Kopi yang diminum tadi dibiarkan berbaki di dalam cawan.  Sebelum itu sempat lagi dia bersuara, “ Emak, Dira janji balik awal. Nanti Dira picit bahu ayah yang lenguh-lenguh tu ye. Pagi esoknya pula Dira tolong emak, ye…” balas Dira tersenyum riang.

Di dalam bilik segera pula dia menghantar pesanan ringkas kepada Dayah. Tidak lupa juga buat Aizat. Dikhabarkan berita gembira itu lewat peti simpanan ringkas. Cuma dia agak kekok kalau Aizat menjemputnya dengan motosikal. Tambahan pula dia akan berbaju kurung seperti yang diangankan semasa dia menggayakan tudung pemberian Aizat. Dia menyentuh baju kurung yang tergantung kemas di dinding bilik, lalu membawa baju itu ke badannya.

            Dipadankan pula dengan tas tangan berwarna coklat yang dihadiahkan oleh abangnya tempoh hari. Kerongsang serta pin untuk digunakan juga diletak ke tepi. Sekali lagi tangannya mencapai baju kurung yang tergantung di belakang pintu bilik lalu menggayakan ke badannya sekali lagi. Dira terangguk-angguk sambil meleretkan senyuman kala menggayakan baju itu. `emm, sesuai sangat dah ni’ bisiknya dalam hati.


            PENUH rasa debar Dira menanti kedatangan Aizat menjemputnya. Cepat matanya meliar memandang jam di dinding. Jarum jam berdetik di setiap saat terus ditatap. Sekejap duduk, sekejap berdiri sehingga emaknya yang memerhati naik pening. Sedangkan jarum jam masih belum sampai ke angka empat. Baju kurung dan tudung bawal pemberian Aizat sekali lagi dibeleknya. Walaupun sudah dipakainya. Sesekali dia membetulkan tudungnya itu.

            “Elok benarlah tu, macam kera terkena belacan. Tak reti duduk diam. Kenapa Dira?” soal emak ingin tahu. Mata emak masih tertumpu di kaca televisyen.

            “Tak. Aizat ni, janji nak ambil jam empat petang. Dah dekat jam empat petang tu,” dengus Dira kepada emaknya.

            “Kejap lagi sampailah tu.  Dira, cuba kamu duduk diam. Pening mak tengok,” balas emak sambil tangannya menepis-nepis belakang badan Dira yang berlalu-lalang di hadapannya.

            Dira kemudian berjalan pantas menuju ke dapur,  mengambil segelas air masak lalu segera diminum. Menghilangkan dahaganya. Tiba-tiba terdengar suara buah hati,`Jebat’ memberi salam. `Eh! Dengan apa dia datang ni, tak dengar deruan enjin motor pun,’ fikirnya sendirian.

            “Emm, masuklah  dulu Aizat,” terdengar suara emaknya mempelawa Jebat masuk ke rumah. Dira pantas meninggalkan gelas di atas meja lantas keluar dari dapur.

            “Tak apalah mak cik, dah lambat ni. Nanti tertunggu pulak Hang Tuah dengan Puteri Lemah Gemalai kat sana,” jawab Aizat.
           
Dira tersenyum mendengar  jawapan Aizat. Walaupun teater muzikal yang mereka sertai sudah lama tamatnya, tetapi mereka masih lagi mengguna panggilan itu.  Sehingga kini seluruh ahli keluarga Dira lebih mengenali Aizat dengan panggilan Jebat.
           
“Mak! Dira pergi dulu ye,” beritahu Dira sambil bersalaman dengan emaknya.  Begitu juga Aizat, segera dia menghulurkan tangannya bersalam  dengan Mak Tom dan meminta izin untuk pergi. Mak Tom membalasnya dengan senyuman.

            “Aizat, kita pergi dengan apa ni? Naik bas sudahlah.” Dira memberi alasan kala terpandang motosikal EX-5 berwarna merah. Aizat menghampiri motosikal itu.

            “Lambat lah kalau naik bas, naik motorlah. Kenapa, segan?” soal Aizat menduga Dira. Dira membisu. “Cantik tudung kau, kena dengan bajunya,” puji Aizat sambil tersenyum sekali lagi.

Sekali lagi, merona wajahnya ketika Aizat memujinya. Tiba-tiba kedengaran bunyi enjin motosikal memasuki pekarangan rumah. Dira paling memandang. Aizat terpaku. Abangnya datang menghampiri.

“Jebat, jaga baik-baik adik aku ni. Kalau jadi apa-apa kat dia, kaulah orang pertama aku cari!” jerkah abangnya.

Walaupun perlahan tapi tersentap juga hati Dira dengan kata-kata abangnya. Aizat membalas dengan senyuman. Aizat menghulurkan topi keledar. Dia menyambut huluran topi keledar daripada Aizat dengan berat hati. Malu pula jika orang kampung yang melihatnya. Tak terduga oleh fikirannya, tiba-tiba tangan Aizat membetulkan kedudukan topi keledar itu. Terpegun seketika.

            “Hati-hati bawa motor tu, Jebat. Jangan kau merempit pula,” seloroh  Mak Tom lagi. Aizat hanya membalas dengan senyuman dan meninggalkan halaman rumah dengan lambaian.

JEBAT ~ HERO HIKAYAT CINTA bab 9


BAB 9.



Dira duduk termenung di kerusi di beranda rumahnya. Meliar matanya memerhati sangkar burung serindit yang tersangkut di penjuru siling beranda. Jemu duduk, berdiri pula sambil mendepangkan kedua-dua tangannya lagak seperti bersenam. Sudah seminggu dia begitu rupa setelah cuti persekolahan bermula.

Dialih pandangan ke arah jarum waktu yang tersangkut di dinding ruang tamu rumah.  `Arhhh! Masih jam empat petang. Lambatnya masa beredar. Kalau zaman sekolah dulu bukan main lajunya,’ keluhnya sendirian.  Rambutnya yang ikal mayang itu diikatnya ke belakang. Dibetulkan ikatan agar lebih kemas dari tadi. Waktu begini, mak mesti mengumpul angan.

Melingas matanya mencari Boboy. Sekejap dia menjenguk ke bawah kerusi, kemudian pergi ke tingkap dan meninjau-ninjau ke luar.

Dira kembali ke bilik. Duduk menghadap meja tulisnya yang berada di sisi almari baju. Lantas sebuah bingkai gambar yang berada di hadapannya dicapai. Terukir lengkungan senyuman bahagia di wajahnya. Sahabat baik semenjak dari sekolah rendah. Aizat, Hidayah atau panggilan mesranya Dayah dan Nazrul.

“Dira, kau buat apa dalam bilik tu? Ni… `Jebat’ kau datang ni. Keluarlah!” panggil emaknya dari luar.

Dira tersentak. Terus tertancap matanya melihat jam yang terlekat di dinding biliknya. `Aik, awal pula balik petang ni. Selalunya malam baru sampai rumah,’ ngomel Dira sendirian. Lantas bangun dan melihat seketika wajahnya di cermin meja soleknya.

“Oii! Cepatnya kau balik hari ni?” tegurnya kasar.

Aizat sedang termenung, tersenyum memandang gadis yang dalam diam menjadi idaman hatinya. Segera dihulurkan bungkusan yang berada di dalam gengamannya. Seperti selalu Dira tahu, pasti hadiah dua ketul ayam goreng yang sering diterima semenjak Aizat berkerja di restoran makanan segera di Jalan Penjara, Kangar. Namun kali ini dia mendapat lebih daripada satu bungkusan. Plastik yang satu lagi bukannya berlogo sebekas ayam goreng.  

Dira yang kebingungan terkejut dengan pemberian Aizat. Dia yang begitu murah dengan senyuman memberi bahasa isyarat lewat renungan mata yang dikebil-kebilkan. Aizat ketawa melihat kelakuan manja sebegitu.

“Aik, sejak bila bisu? Setahu aku, gadis yang manis dan ayu ni, mulutnya… pantang bersuara, tak berhenti kalau dibiarkan,”

“…”

“…”

“Aik… lagi bisu?”

“Wey, apa ni? Tiba-tiba beri hadiah. Macam nak pergi jauh ja?” soal Dira sambil membelek bungkusan yang diberikan jejaka yang semakin tampan itu kepadanya.

“Buka dan lihat. Hadiah ikhlas tau. Terpulang kepada kau nak kata apa pada aku.

“Tapi…” tersekat suara Aizat untuk meneruskan kata-katanya.

“Tapi apa?” soal Dira. Membuntang matanya… mendesak ingin tahu.

“Dira, aku balik dululah. Esok aku cuti,  nanti kita keluar ya. Ajak tuan puteri dengan Hang Tuah sekali ya. Beritahu kat diaorang suruh tunggu dekat Bandar Kangar depan tempat kerja aku pukul empat petang,” jelas Aizat. “Dira, nanti Aizat jemput. Tunggu ya?” sambungnya lagi.

“Aizat, soalan aku, kau tak jawab lagi?” soal Dira sekali lagi.

“Nanti, kat sana aku bagi tahu ya,” balas Aizat sambil mengenyitkan matanya.

Tidak terluah suara Dira kala itu. Hanya anggukkan tanda setuju, walaupun kata setuju belum pasti lagi, kerana belum dikhabarkan lagi kepada orang tuanya. Bungkusan pemberian Aizat masih lagi di tangan. Harum semerbak bau ayam goreng segera itu sudah tidak terhidu lagi. Perasaan ingin tahu membuak-buak. Apakah yang terkandung di dalam bungkusan cantik itu lebih penting daripada segalanya? Segera dia ke dapur mencari emaknya.

“Mak! Buat apa termenung seorang kat dapur ni?” soalnya  dengan kedua-dua belah tangannya masih lagi dengan bungkusan pemberian Aizat.

“Entahlah Dira, tiba-tiba lapar pulak perut mak ni. Hendak buat cekodok pisang, pisang tak ada? Hendak buat cekodok bilis… macam malas pulak,” terang emaknya sambil menghela nafas perlahan. “Hah! Buat apa Jebat datang cari kau tadi? Emmm, apa pulak yang kat tangan kau tu?” soal emak seperti pegawai polis sedang menyiasat pesalah pula dibuatnya.

“Mak lapar ya… nah! … Jebat bagi tadi. Mak makanlah. Dira tak lalu. Dira nak bukak ni,” jelasnya sambil menghulurkan kotak putih itu kepada emaknya.

Dira segera kembali ke biliknya. Dikuncinya pintu bilik dan duduk di hujung katil sambil perlahan-lahan membuka bungkusan pemberian Aizat tadi. Berdegup kencang jantungnya. Apa pula kali ini yang Aizat berikan? Sebelum ini teddy bear, muk. Tersenyum Dira mengenangkan semua itu. Muk dijadikan hiasan meja tulis. Manakala teddy bear dijadikan teman kala tidur. Kali ini apalah pula?

Berdebar tidak keruan, saat matanya terpandang pada sehelai tudung bawal yang cantik warnanya. Tudung berwarna putih dihiasi bunga-bunga ros kecil warna merah jambu. Begitu menarik sekali. Dira bangun dan menggayakannya di hadapan cermin. `Emm, cantik,’ bisik Dira. Kembali semula ke katil dan melihat terdapat sepucuk surat terselit di celah bungkusan itu. Lalu diambil dan dibukanya. Tertancap anak mata pada tulisan di kertas itu.

`Sayangku Dira, terimalah pemberian tidak seberapa daripada Aizat kali ini. Esok petang, Dira pakai tudung ni ya. Jangan lupa dan jangan bagi alasan tidak dapat pergi.
Ikhlas daripada Aizat.’

Tersenyum Dira membaca surat pemberian Aizat. `Emmm, kalau dalam surat mahu pun dalam kiriman pesanan ringkas dalam telefon bimbitnya, Aizat lebih gemar memanggil sayang. Namun kalau di hadapannya, jangan haraplah,’ gumamnya sendirian.
Terasa di awang-awangan kala itu. Berdiri menghadap cermin sambil menggayakan tudung bawal pemberian buah hatinya. `Terima kasih `Jebat,’ bisik hatinya. Dilipatnya kembali surat itu dan disimpan di dalam Tin Coklat  Cadbury empat segi lalu diletaknya kembali di sisi meja tulis. Tudung bawal pula dilipat dan disimpan di dalam almari. Teringat akan ajakan Aizat tadi lalu segera dia keluar semula dan kembali mencari emaknya.

“Mak!” laung Dira sambil berjalan menuju ke dapur . Namun tiada kelibat emaknya. Dia melaung lagi memanggil emaknya namun tetap tiada sahutan.  Dira menggaru kepala sambil berjalan ke ruang tamu. dia melingas mencari emaknya. Namun juga tidak kelihatan. Lalu dia  menjenguk ke luar tingkap dan tersenyum melihat emaknya sedang mengelamun duduk di atas pangkin di bawah pokok mangga. `Ohhh, ambil angin ye… mentang-mentanglah  dah kenyang.’

Dira berlenggang kangkung berjalan tersusun ayu mendapatkan emaknya. Tersenyum tersengih di hadapan emaknya. Hingga menimbulkan kehairanan di wajah emaknya. Mengesot sedikit memberi ruang kepada anak gadis itu yang melebarkan senyuman sedari tadi. Dira memeluk pinggang emak dan bersuara.

“Mak, esok petang Dira nak keluar boleh? Pergi bandar dengan Aizat, Dayah dan Nazrul,” jelasnya meminta izin. Tangan kanannya tak henti-henti menggosok-gosok belakang badan emaknya.

Mak Tom memandang wajah anaknya. Ditenung dalam-dalam hingga menimbulkan keresahan di hati Dira. “Pergi dengan siapa nanti? Dengan Aizat?”

“Ha ah. Dayah dengan Nazrul tunggu kat sana. Merekakan duduk kat bandar.”

“Mak tak kisah, Dira. Takut ayah kamulah. Tunggu ayah baliklah. Nanti tanya dia? Kalau mak… boleh aja” terang Mak Tom kembali.

Dira yang sibuk memandang buah-buah mangga yang baru berputik kembali menatap wajah emaknya. Berkerut dahi apabila mendengar cadangan emaknya menyuruh dia meminta izin daripada ayahnya. Dira menjadi tidak keruan. Pasti ayah tidak setuju. Tahu sangat dia dengan sikap ayahnya itu.

“Ala… maklah tolong tanya. Boleh ya… mak tanya ya?” Manja Dira dalam pelukan emaknya. Berkelip-kelip kelopak mata tatkala menatap wajah emaknya. Tersenyum Mak Tom melihat keletah anak daranya.
“Ye lah, nanti mak tanyakan. Dah! Pergi angkat kain kat jemuran tu. Lipat sekali. Mak nak duduk rehat pula sekarang ni. Apa guna ada anak dara, kalau mak lagi nak kena buat semua tu?”

“Baiklah permaisuri. Arahan permaisuri akan hamba turuti,” balas Dira dengan dialog bangsawannya.

“Sudah… sudah. Ke sana kamu, beta ingin melelapkan mata seminit dua. Pastikan semua arahan beta terlaksana ya,” balas Mak Tom sambil merebahkan badannya ke atas pangkin itu. Tersedak Dira mendengar celoteh maknya. Berlari dia mengangkat kain di jemuran, diletaknya di dalam bakul lalu naik ke atas rumah. Dira duduk bersimpuh sambil melipat kain baju di dalam bakul.







JEBAT ~ HERO HIKAYAT CINTA bab 8



BAB 8.

            “Tak apalah, korang jelah yang pergi…” balas Amir serta merta meminta diri untuk ke tempat lain. Dira melihat dengan wajah yang mencuka.

            “Dayah! Buat apa Amir datang sini. Dia ada usik apa-apa tak?” soal Aizat. Pertanyaan Aizat itu membuatkan Nazrul tercengang-cengang kebingungan.

            “Ala… tak ada apalah,” balas Dayah sambil menarik tangan Dira supaya mengikutnya segera ke gerai Pak cik Harun.


Dira, Aizat, Hidayah dan Nazrul duduk di gerai Pak cik Harun sambil menikmati `ais kacang’ ketawa riang dengan kemenangan yang mereka perolehi.  Berceloteh dan bergurau hingga menjadi tumpuan orang yang berada di dalam kedai Pak Harun.

            “Amboi hangpa ni, seronok sakan pak cik tengok? Cuba cerita sedikit, manalah tahu pak cik boleh kongsi bersama gelak suka hati?” seloroh Pak cik Harun lagi.

            “Gini pak cik, kan sekolah kami adakan pertandingan drama antara sekolah. Kali ini kami bawakan cerita berunsur muzikal pak cik. Pertama kali tau pak cik? Tak sangka pulak boleh menang,” terang Aizat bersungguh-sungguh.

            “Oh, ya ka. Baguslah. Sekolah `hangpa’ memang selalu menang. Dari dulu lagi. Tu pelakon tu…dengan siapa lagi sorang tu… pelakon lelaki. Dia pun dari sekolah ni..lah,” balas Pak cik Harun lagi.

            “Saya tau pak cik.” Dira mengangkat tangan. Wajahnya riang. “siapa tu…siapa tu…alah…lupa pulak!” Gelagat Dira membuatkan sahabat yang bertiga itu memburaikan ketawa. Aizat lagilah. Sehingga menekan-nekan perut. Dira menarik muka empat belas.

“Sudahlah macam ni, Dira nak balik ajelah. Aizat! Kau tolong bayarkan ais kacang aku ni,” arahnya kemudian bangun dan mencapai beg sandangnya dan menepis Aizat supaya memberi laluan.

            Aizat yang terkejut segera menarik beg sandang Dira. Dira yang tidak dapat mengimbangi tubuh badannya terus jatuh ke tanah. Dayah, Nazrul dan Aizat yang menyaksikan adegan itu terus ketawa mengekek.

Dira yang masih lagi terduduk di tanah, menatap wajah `Jebat’nya dengan wajah masam mencuka. Matanya mula kemerahan dan berair, bukan kerana sakit akibat jatuh. Tapi sakit hati kerana sikap Aizat. Aizat yang masih lagi ketawa terdiam seketika ketika melihat mata Dira sudah bergenang dengan air mata. Dengan rasa bersalah dia  menghulurkan tangannya. Namun tidak dipedulikan, malah Dira menyambut tangan Dayah lalu duduk di sebelah Dayah. Nazrul pula terus bangun dan duduk di sebelah Aizat.

“Dira, maafkan aku. Aku tak ada niat nak buat kau jatuh. Aku tak mahu kau balik aja, ” terang Aizat.

“Ya lah Dira, aku tahu Aizat tak sengaja tu. Dahlah, jangan monyok. Buat malu aku je,” balas Dayah.

            “Alaaa, Dira ni. Kami bukan ketawalah, tapi kami hairan… macam mana kau boleh kenal artis-artis tu,” sampuk Nazrul pula.

            “Ngee, kan Dira dah cakap tadi,” balas Dira. Dira yang ingin bangun tiba-tiba terlanggar sudu yang berada di dalam mangkuk `ais kacang’ dan tidak disangka pula sudu itu terpelanting dan kena ke muka Aizat.

Dira terlopong melihat muka Aizat yang penuh dengan ais batu yang bercampur sirap dan susu. Nazrul dan Dayah yang menyaksikan adengan itu sekali lagi ketawa tak henti. Dira juga turut sama tergelak. Aizat yang melihat ketawa Dira mulai tersenyum. `Emmm, macam tu lah, aku suka kalau dia ketawa begini,’ bersahaja Aizat berbisik dalam hatinya.

“Aizat, pergilah cuci muka kau tu, ni lagi sorang buat malu lelaki macho macam aku je,” sindir Nazrul.

Aizat tanpa lengah terus bangun dan menuju ke tandas. Selang beberapa minit dia kembali semula dengan muka yang penuh dengan air. Dira lantas menghulurkan tisu, namun tidak disambut oleh Aizat dan Dira pula dengan spontan terus menyapu muka Aizat dengan tisu tadi. Nazrul dan Dayah yang menyaksikan adegan  itu terus mengusik.

“Ahhhh, macam tulah. Barulah orang kata pasangan bahagia. Saling bantu membantu dan saling sayang menyayangi,” nasihat Dayah. Nazrul terus menepuk kedua-dua tangannya tanda setuju. Menyedari keterlanjurannya menampakkan mesra, Dira menghentikan perbuatannya. Aizat pula tersipu-sipu.


            “Aizat, lepas ni… sementara menunggu keputusan STPM kita, kau buat apa? Aku ingat nak kerjalah.” Nazrul tiba-tiba bersuara sambil menyuap  ais kacang yang masih berbaki sedikit sahaja.

            Soalan Nazrul dijawab serentak oleh Hidayah dan Dira. “Kami tak kerja, kami duduk rumah sahaja.”

            “Ya lah… korang anak dara. Tunggu orang masuk meminang je,” balas Aizat tersenyum mengenakan Dira. Lantas Dira menyigung bahu Aizat dengan tangannya. Ketawa Nazrul dan Hidayah.

            “Korang berdua ni… memang sesuai tau, jadi pasangan. Tampak bahagia gitu,” beritahu Hidayah.

            “Ngee… tak kuasa aku,” balas Dira lagi.

            “Kalau dia lagi tak kuasa. Aku tambah lagi jadi kuasa dua,” balas Aizat sambil ketawa bersama teman baiknya. Tak kiralah ketika berlakon atau ketika bermain bola. Mereka berdua di sekolah lebih dikenali pasang kembar. Di mana ada Aizat, di situlah kelibat Nazrul kelihatan. Ketawa yang semakin rancak terhenti tatkala mata Aizat beradu mata bersama Dira secara tidak sengaja.

            “Kau belanja ke, Nazrul?” soal Dayah tiba-tiba hingga terkejut Dira dan Aizat. Lantas ketawa geli hati Dayah melihat mereka seperti orang melihat hantu di hadapan mereka. Pucat wajah Dira. Nazrul memalingkan wajah sambil mengangguk senyum. Lantas mengambil begnya di tangan Hidayah. Mereka berpecah di kedai Pak cik Harun. Berjanji akan bertemu kembali.

            “Ingat! Sejauh mana pun kita melangkah, persahabatan ini tidak akan terputus begitu saja,” lirih suara Dira meluahkan perasaan.  Meraka berempat saling berpandangan dan saling mengangguk tanda setuju





JEBAT ~ HERO HIKAYAT CINTA bab 7

BAB 7.




Terlalu berhati-hati agar tidak menyinggung baginda Raja Iskandar atau seisi istana Kerajaan Temasik. Sebaliknya, Raja Iskandar sudah bangun serta-merta. Begitu juga dengan barisan panglima diraja.

            “Apa maksud Hang Tuah berkata begitu? Menuduh beta memungkiri janji?” lantang suara Raja Iskandar menyoal. Keris di pinggang sudah berada di genggaman. Lalu, keempat-empat saudara Hang Tuah sudah membulat laku. Bersedia dengan tangan kukuh menggenggam keris yang melekat di persalinan.

            “Bukan maksud patik menuduh tuanku. Patik pacal yang hina ini, hanya ingin mengingatkan tuanku kepada kejadian sepurnama lamanya…” jelas Hang Tuah sambil menatap wajah Raja Iskandar.

            “Kalau bukan memungkiri janji, sekarang Hang Tuah menuduh beta pelupa, hilangan ingatan atau sudah nyanyuk? Begitu?” soalan Raja Iskandar itu berbunyi tegang.

Semakin tegang kala soalan itu disambut oleh hilai tawa rakyat jelata. Meremang bulu roma Hang Tuah, menebak kemungkinan yang bakal terjadi. Tak sempat Hang Tuah membuka bicara, menjelaskan jatuh duduknya perkara, Bendahara sudah berada di hadapan mereka.

Bersama angkatan panglima dan hulubalang satria. “Hei Hang Tuah! Kenapa bermulut celaka pada baginda Raja. Suka hati laksamana berkata-kata. Mengguris hati Raja dan para seisi istana.”

“Bukan niat patik…”

“Sudah cukup berkata-kata. Sekarang hunus senjatamu dan mari bertikam. Apa laksamana ingat kami anak pengecut. Tak mungkin kerana kalian berlima kami boleh menang. Bahkan angkatan kami pun sudah memadai,” laungan seorang satria di belakang Bendahara disambut dengan tempikan pedang, keris dan tombak.

Sudah mengelilingi lima bersaudara. “Kanda Tuah, usah berkata-kata lagi. Mereka tidak akan faham,” jerit Hang Jebat, yang sudah menghunus senjatanya. Juga diikuti oleh saudara yang lain. Lalu, Hang Tuah berundur, bersama angkatan saudaranya.

 “Tuanku, biar patik tangkap si bedebah ini. Begitu biadab sekali. Menjatuhkan air muka tuanku di khalayak ramai,” pinta Bendahara berdatang sembah.

Raja Iskandar sudah dibayangi murka. Wajahnya sangat tegang. Dengan isyarat tangan dan anggukan, kelima-lima bersaudara terus menguatkan langkah kaki. Silat mula berbunga, kala Bendahara menitahkan para hulubalang menangkap mereka. Lalu, berlagalah keris dengan keris. Parang ditetak, sedaya upaya mahu ditepis.

  Tombak yang terlalu panjang, dikhuatiri membolos di sana sini. Hang Tuah melompat tinggi, Hang Jebat berguling mempertahankan diri, Hang Kasturi memekik menaikkan semangat, Hang Lekir mengibas-ngibas tubuh sendiri, dek mengelak dari pelbagai tikaman, sedang Hang Lekiu menendang terajang sesiapa pun yang menghampiri.

“Jebat, bawa mereka ke luar!” jerit Hang Tuah kala pintu istana masih lagi terbuka. Itu sahaja peluang mereka memboloskan diri.

Mengerti perintah Hang Tuah, Hang Jebat memberi isyarat kepada Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Berlarian mereka sambil menikam-nikam ke setiap penjuru. Bendahara, laksamana dan para pembesar diraja yang lain sudah mula bertindak mahu menutup pintu istana. Hang Jebat yang sudah berada di luar istana, sempat menikam seorang pengawal. Darah memercik tidak dihirau. Perhatiannya masih kepada Hang Tuah yang seorang diri bertarung. Terasa tercabar maruahnya.

 “Pergi dapatkan kapal. Siapkan keberangkatan. Kanda Jebat dan Tuah akan menyusul kemudian,” arah Hang Jebat pada Hang Kasturi.

Dua bersaudara ini tidak berlengah-lengah lagi. Mereka harus pulang ke istana Melaka, membawa perkhabaran yang tidak enak sekali. Sebelum pintu istana tertutup, Hang Jebat berjaya memboloskan diri. Selepas berjaya mencederakan seorang pembesar istana. Melihat kemunculan Hang Jebat, Hang Tuah semakin marah.

“Mengapa tuan hamba berdegil sekali. Kanda sudah berpesan supaya melarikan diri,” sempat pula Hang Tuah menegur dalam kekalutan itu.

Siapa tidak kenal dua saudara ini. Sudah menikam, mencedera dan membunuh ratusan nyawa melayang. Sudah tak terhitung medan tempur dan peperangan. Apatah lagi, dengan keris Tamingsari, tiada siapa yang boleh melutkan luka pada kulit Hang Tuah sedikit pun. Keris kebal pemilik satria. Namun, kehadiran Hang Jebat menggusarkan jiwa. Hang Jebat sememangnya pahlawan terbilang. Tanpa pendinding dan kekebalan segala. Bermain senjata, menikam, membunuh sudah jadi mainan.

“Jebat pantang berundur tanpa Kanda Tuah bersama.” Laung Hang Jebat.

Entah kenapa, perhatiannya tersasar. Terlepas pandang kala tombak tertikam ke kaki. Lantas, memercik darah sendiri. Lalu, menyeringai wajah Hang Jebat menahan sakit. Melihat keadaan Hang Jebat, Hang Tuah jadi bertambah resah. Terus mendapatkan Jebat dan memimpin tubuhnya. Hang Jebat tak mampu berdiri. Sakitnya tidak terperi. Dicabut tombak itu oleh Hang Tuah. Meliar pula anak mata Hang Tuah mencari jalan keluar.

Sehingga anak mata, terpandangkan jendela istana yang terbuka luas. Tak semena-mena, tubuh Hang Jebat diangkat tinggi, lalu dicampak ke luar jendela. Tanpa menanti sesaat pun, Hang Tuah turut melompat sehingga mencecah tanah. Hang Jebat sudah terduduk, lalu dipapah Hang Tuah dengan segala kudrat yang ada. Berlarian mereka meloloskan diri menuju ke pantai, di mana tiga saudara lagi sedang menanti.

Hang Jebat menyeringai kesakitan tidak terperi. Kepada Hang Tuah disuruhnya pergi. Biar tinggal dirinya seorang diri. Terasa ajal maut semakin menghampiri. Hang Tuah tidak peduli. Dikendongnya Hang Jebat sekuat tenaga melangkah meninggalkan Kerajaan Temasik dengan penuh duka di dada. Kesal tidak terhingga, janji sering dilupai pabila tamak menguasi diri. Tidak menyangka begitu sikap Raja Iskandar.

Di belakang kedengaran derap kaki mengejar mereka. Langkah Hang Tuah semakin laju. Semakin menghampiri laut, terasa mengah namun digagahi juga. Kelibat Hang Kasturi muncul membantu mengendong Hang Jebat. Segera Hang Lekir menarik Hang Tuah naik ke atas kapal diikuti Hang Kasturi. Tanpa menunggu arahan, sauh di angkat. Layar dikibarkan… belayarlah kapal pulang ke Melaka.

Selama berlayar, Hang Tuahlah yang merawat luka di kaki Hang Jebat. Risau di hati melihat luka di kaki Hang Jebat. Doanya semoga perjalanan mereka tiada halangan. Tak sanggup melihat kerut di wajah adindanya menahan sakit.

BONDA Sri Siantan,yang masih lagi di dalam kamarnya berdiri  menjenguk dari jendela. Tersenyum melihat puterinya yang mula ceria setelah pulang dari melawat Hang Jebat siang tadi.

Penyair Bidasari lagi leka berada di buaian, tidak sedar Tuan Puteri Lemah Gemalai sedang memerhati dari belakang. Malah Bonda Sri Siantan yang perasan kelibat tuan puteri dengan pantas keluar lalu menunduk hormat kepada tuan puteri. Segera pula Penyair Bidasari turun dari buaian serta melakukan perkara yang sama seperti bondanya.
“Penyair Bidasari, jangan bersedih sedemikian rupa. Beta turut bersimpati  atas kejadian yang menimpa kepada  Hang Jebat. Kanda Hang Tuah turut sama berduka dan lagi merawatnya di kediaman Hang Jebat,” luah Puteri Lemah Gemalai.

            “Tidak mengapa, tuan puteri. Hamba baru sahaja pulang daripada melawatnya siang tadi. Alhamdulillah, lukanya kian sembuh. Mungkin seminggu dua lagi eloklah tu,” balas Penyair Bidasari penuh ceria.

            “Ayuh! Kita ke taman. Menghiburkan hati barang selagu dua. Sudah lama benar beta tidak mendengar alunan suaramu yang lunak merdu,” pinta Puteri Lemah Gemalai. Lantas menarik tangan sahabatnya.

            Memandang wajah tuan puteri. Timbul rasa hairan di dalam diri Penyair Bidasari. Dalam berduka masih disuruh bersuka-ria. Agenda apa yang tersirat di lubuk hati tuan puteri, tiba-tiba mengajak pula ke taman bistari. Terasa tangannya ditarik-tarik tuan puteri. Dalam diam berdiri berganjak juga kaki melangkah.

            “Bonda, bonda, anakanda dan tuan puteri keluar sebentar. Ingin ke taman… temani tuan puteri,” laung Penyair Bidasari.

            “Pergilah sayang, hiburkan hatimu…” balas Bonda Sri Siantan seraya menundukkan sedikit badannya di hadapan tuan puteri. Bangga dia dengan sikap tuan puteri yang gemar berkawan dengan anaknya.

            Sedang mereka bersenda gurau hingga tidak hirau keadaan di sekeliling. Ada mata yang mengintip penuh rasa kasih.  Tidak sabar ingin bertemu permata hatinya, kaki yang ingin melangkah terhenti pabila ada tangan yang menarik tangannya dari terus pergi bertemu buah hatinya.  Berpaling memandang ke belakang, senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya. Lalu bersuara dengan nada berbisik.
            “Hang Jebat, kenapa? Sebentar tadi bukan main lagi… merayu-rayu suruh bawakan ke taman. Diri masih belum pulih sudah tidak sabar ingin bertemu, suruh saja bondamu masuk meminang,” bisik Hang Tuah ke telinga Hang Jebat. “Tunggu di sini saja, tuan hamba…” arah Hang Tuah lagi.

            Hang Jebat akur. Akibat tikaman yang terkena di pehanya belum pulih. Masih terasa perit bila melangkah. Namun kerinduan yang semakin sarat di dada tidak dapat dibendung lagi. Lantas diluahkan kepada kandanya. Mujur Hang Tuah sudi membantu. Dipandangnya dari jauh, Hang Tuah bertemu dengan puteri kesayangannya.  Hatinya berdegup kencang tatkala terpandang Penyair Bidasari berdiri di sebalik tuan puteri.

            “Penyair Bidasari, sayang Puteri Lemah Gemalai. Buat apa di sini, petang-petang begini?” tegur Hang Tuah sambil meraih tangan puterinya.

            Penyair Bidasari juga Puteri Lemah Gemalai tidak menyangka akan bertemu dengan Hang Tuah di taman ini. Taman yang banyak menyimpan kenangan bagi mereka. Di taman inilah kasih mereka bersemi.

            “Mengapa Kanda berada di sini? Dengan siapa kanda ke mari?” soal Puteri Lemah Gemalai kepada suaminya. Tersenyum simpul penuh makna.

            Penyair Bidasari yang berdiri di sebelah tuan puteri mula melingas pandangannya. Seperti mencari sesuatu, hatinya berdebar tidak menentu. Terasa ada sesuatu yang sedang menunggu. Melangkah meninggalkan tuan puteri bersama suaminya. Dalam debar langkah tersusun menyusuri taman yang dipenuhi dengan bunga-bunga mawar. Di hatinya tertanya-tanya apakah ini rancangan tuan puteri bersama suaminya? Langkah diteruskan.

            Seperti yang diduga, dari jauh kelihatan susuk tubuh yang amat dikenali. Buah hati yang sentiasa dirindui. `Sudah sembuhkah luka di kaki, hingga boleh berjalan hingga ke sini. Bukankah siang tadi masih berdarah dan bernanah?’ soalnya dalam hati. Hang Jebat tidak sedar Penyair Bidasari sudah berada di belakangnya. Timbul niat jahat di hati Penyair Bidasari ingin mengusik kekasihnya. Lalu diambilnya bunga rumput dan diacu-acu ke telinga Hang Jebat. Menepis-nepis tangan Hang Jebat beberapa kali hingga timbul gelihati kepada Penyair Bidasari. Sesekali Hang Jebat memandang ke belakang, segera pula Penyair Bidasari menundukkan badannya, terlindung dek balik pokok.

            “Duhai kekasih hati, andai engkau berada di belakangku segeralah kau menampakkan diri. Sebelum kanda datang menyerang,” usik Hang Jebat sambil bersuara lantang.  Akur dengan perintah, Penyair Bidasari muncul di hadapan kekasih hati. Namun di sebalik kata-kata tadi, tiada kegembiraan yang terukir di wajah Hang Jebat.

"Mengapa wajah Kanda Jebat bermuram sebegitu rupa. Tidakkah rasa gembira berjumpa hamba di sini? Apakah yang ada di sana, hingga pandangan melayang terus?" soal Penyair Bidasari. Tanpa menunggu jawapan terus duduk di sebelah kekasih hatinya.

"Tidak. Tidak ada sesiapa di sana. Rasa cinta Kanda Jebat ada di sini. Di hadapan mata. Bersinar bak bulan tidak tahu siang, bak mentari tidak sedar malam. Menyapa di kala lena. Mencengkam serata alam," lirih suara Hang Jebat. Memandang terus ke wajah kekasih hati. “Dengar sayang, pantun kanda…” kata Hang Jebat sekali lagi.

`Hati berkasih terasa indahnya,
Bagai berada di alam maya,
Mungkinkah cinta untuk selamanya,
Atau hanya seketika cuma.’
Tersenyum Hang Jebat memandang Penyair Bidasari, sengaja bermain dengan matanya. Sekali dua mengenyit hingga timbul kelakar di hati Penyair Bidasari.

“Mengapa begitu rupa wajah Kanda Jebat? Dengar pula jawapan dari hamba, ya.”

            `Bagai menari diiringi pelangi,
            Bersama gemersik kicauan serindit,
            Hati berkasih indah bersemi,
            Tidak terluak walau sedikit.

Muzik terus bergema di dalam dewan, tepukan gemuruh memenuhi suasana. Ketika itulah dendangan paduan suara Hang Tuah dan Puteri Lemah Gemalai kedengaran. Lagu latar yang dipetik daripada filem Hang Tuah terus memukau penonton.
           
Hang Jebat terus bangun dan memaut bahu Penyair Bidasari. Berjalan dengan langkah teratur. Kini giliran mereka pula. Berhenti melangkah, Aizat mengenggam tangan Dira dan sebelah lagi tangannya memaut dagu Dira. Tersipu Dira diperlakukan begitu. Spontan. Aizat terus menyanyi. `Alamak, merdunya suara…’ bisik Dira dalam hati. Bergetar jantungnya seiring denyutan nadi, sambung menyambung lagu hingga penghujungnya. Semakin kuat tepukan semakin bersemangat Aizat mengalunkan lagu. Hingga terpukau Hidayah dan Nazrul begitu juga Dira.

Di penghujung cerita dan lagu terahkir… Hang Tuah, Puteri Lemah Gemalai, Penyair Bidasari dan juga Hang Jebat berdiri di hadapan penonton dan lagu yang terakhir terus berkumandang. Keempat-empat mereka bernyanyi dengan penuh penghayatan. `Selasihku Sayang’ nyanyian Ahmad Jais dan Rafeah Buang terus berkumandang. Ternyata lagu itu begitu memukau, penonton begitu khusyuk mendengarnya. Sehinggalah tamat dan tepukan paling gemuruh mereka terima.

 “Tahniah, kamu berempat memang begitu padan sekali, saya yang berada  dibawah sebenarnya sangat risau akhirnya terpukau terus. Aduh… Aizat, suara awak memang menjadi sungguh. Tak sangka saya,” puji Cikgu Rogayah.  

            “Tahniah semua! Saya bangga dengan lakonan kamu dan tidak sia-sia sekolah kita menjadi tuan rumah. Saya berharap selepas ini, kamu semua dapat meneruskan impian kamu di luar sana. Jadilah manusia yang berguna kepada bangsa, agama dan negara,” luah pengetua mereka usai persembahan.

            Begitu juga dengan guru-guru yang lain. Memberi  pujian hingga tidak terhingga kepada mereka semua yang bertungkus-lumus selama ini. Selama mereka menubuhkan Kelab Kebudayaan dan Kumpulan Teater Cinta Sakti. Selama itulah sering kemenangan di pihak mereka.

            Masing-masing bersama jambangan bunga dalam pegangan tersenyum lebar. Kepuasan yang mereka rasai saat ahkir perpisahan tiba-tiba menjadi duka. Esok lusa berpisah, pasti belum tentu dapat bersama lagi. Bergurau senda dalam nyanyian akan menjadi kenangan sepanjang zaman.

            Amir yang sedang menyusun barang-barang semasa persembahan tadi mula mencuri pandang  ke arah Dira yang sedang leka berbual dengan Dayah. Terhibur  hatinya melihat keletah Dira.  Selesai tugasnya menyusun dengan segera dia memanjangkan langkahnya mendekati dua orang sahabatnya.

            “Dira, tak sangka kau pandai menyanyi. Merdu suara kau. Hingga aku yang mendengarnya terus jatuh hati,” puji Amir dalam masa yang sama dia cuba berdiri rapat di sebelah Dira.

            “Amir, kau nak apa ni… tiba-tiba tegur tak bagi salam,” balas Dayah sambil menarik tangan Dira.

            “Dayah! Kau tanya aku nak apa? Kalau aku kata aku nak kawan kau, macam mana. Okay tak?” balas Amir sambil mengenyitkan matanya kepada Dira. Belum sempat Dira membalas kata-kata Amir, dia melihat kelibat Aizat dan Nazrul sedang berjalan menghampiri mereka.

            “Amir, kau pun ada kat sini. Eh!Jomlah ikut kita orang semua pergi minum kat gerai Pak cik Harun. Makan `ais kacang.’ Jomlah Amir,” ajak Nazrul tanpa merasa curiga. Namun tidak pada Aizat. Dia dapat merasakan sesuatu. Melihat wajah Dira yang tegang, dia pasti ada cerita di sebaliknya.