Ahad, 17 Ogos 2014

JEBAT, HERO HIKAYAT CINTA ~ BAB 1


Rintang-rintang hati,
menjalar di antara dua jiwa.
Rintang-rintang mata,
terasa betapa dunia milik kita berdua.
BAB 1

“Wahai! Penyair Bidasari. Jangan kau bertingkah begini! Berpijak di bumi, ikut resmi padi. Derhaka pada sang guru ya. Kupanggil Hang Tuah, meminjam keris sakti. Hukuman harus setimpal. Mahaguru tidak dikenali?” gurau suara Puteri Lemah Gemalai menegur sahabatnya.

“Wahai Puteri Lemah Gemalai, sanggup kau menikamku dengan keris sakti? Di mana kata janjimu? Sahabat tetap sahabat. Walaupun pertelingkahan hanya disebabkan jeruk mangga,” balas Penyair Bidasari sambil membawa diri. `Dagang Pak Malau, dagang merantau. Dagang aku... terkena santau jeruk manggamu,’ ngomel Penyair Bidasari sekali lagi.

            “Sudah kuagak, Penyair Bidasari berjiwa sensitif? Jiwang karat rupanya. Nampak kasar di luar, sekali puteri mengasari... lari merajuk membawa diri,” usik Puteri Lemah Gemalai membuka bicara. “Bukan kerana jeruk ini wahai Penyair Bidasari. Cuba kau melingas sekali lagi. Pasti kau kenali empunya gerangan yang meminta jeruk ini,” sekali lagi Puteri Lemah Gemalai bersuara.

             “Kasih kusulam berbau duka. Duhai puteri, jangan derhaka. Pulangkan semula keris sakti kepada empunya diri. Rajuk ku tiada siapa yang ingin memujuk. Puteri, di manakah menghilangnya Hang Jebat, Hang Nadim, Hang Kasturi dan Hang Lekir? Cuba carikan mereka, agar segera kau temui Hang Jebat. Supaya dapat memujuk hatiku yang sering gundah gelana ini,” begitu lirih suara Penyair Bidasari. Nampak sangat rindunya.

            “Sudah kau kata sejarah takkan berulang kembali. Haruskah cerita Hang Tuah dan Hang Jebat berulang kembali?” soal Puteri Lemah Gemalai sambil membetulkan selendang yang menutupi sebahagian rambutnya. 
“Hang Nadim belum pulang daripada bertapa, Hang Jebat sibuk bertikam lidah dengan Bendahara, Hang Kasturi masih menghadap Sang Raja, menerima titah perintah dan Hang Lekir masih diulit mimpi setelah berjaga dinihari tadi,” sambung Puteri Lemah Gemalai sekali lagi. Kali ini puteri berjalan menuju ke taman bunga yang berdekatan.

Puteri Lemah Gemalai menyusuri taman bunga itu dengan sebuah lagu. Merdu suara tuan puteri bak buluh perindu. Bertuah sungguh Hang Tuah memiliki tuan puteri. Lagu ‘Berkorban Apa Saja’, sungguh luar biasa bunyi, bisa mengeluarkan air dari telaga sakti bagi yang mendengarnya.

            “Sudahlah tuan puteri, sedih pula hamba mendengarnya. Sudahlah hamba lagi rindukan Hang Jebat yang sehingga kini belum nampak bayangnya. Atau sudah bencikah Hang Jebat kepada hamba, tuan puteri?” soal Penyair Bidasari seraya menatap wajah tuan puteri. Namun, yang terdampar di raut wajahnya hanya sebuah senyuman. Tanpa suara, tuan puteri pergi meninggalkan Penyair Bidasari keseorangan yang masih menanti jawapannya.

“Sudah berulang kali kisahnya diulangtayang. Tidak pernah jemu hamba meyaksikannya. Kerana kasihkan Hang Jebat dan lagu itu... pengubat rindu hamba padanya,” keluh Penyair Bidasari. Kain kecil yang sentiasa berada di tangannya dibawa ke telaganya yang hampir pecah.

“Nanti kupanggilkan Hang Jebat untuk memujuk. Janganlah berduka lagi wahai Penyair Bidasari. Jeruk ini nanti bertambah kelat dan masam sekali,” nasihat tuan puteri sambil menghulur jeruk mangga yang sedari tadi berada di pengangannya.

            Tiba-tiba suara hulubalang yang bijaksana lagi berani berlawan senjata menegur, “Apa yang tuan puteri dan tuan hamba bualkan. Hinggakan dari tadi Hang Jebat berdiri di belakang tuan hamba tidak disedari.”

             Serentak itu tuan puteri berpaling menghadap Penyair Bidasari seraya berkata "Itu Hang Jebat sudah sampai."
           
Lalu, Penyair Bidasari tersenyum tidak ketahuan. Rindukan Hang Jebat dan tergesa-gesa berlari keluar dari taman meninggalkan tuan puteri terpinga-pinga sendirian. Tahulah kini Hang Jebat, yang dia tidak bertepuk sebelah tangan. Tuan puteri yang mengerti akan kehendak naluri Hang Jebat segera bersuara, “Pergilah kejar, pujuk… agar rajuknya hilang, biar bertambah sayang,” nasihat tuan puteri kepada Hang Jebat.

“Biarlah tuan puteri, lembayung merah sudah kelihatan menerangi dada langit yang terbentang indah. Biarlah hamba pulang dahulu. Nanti tuan puteri tolong khabarkan kepadanya… katakan hamba menunggunya di tempat biasa,” balas Hang Jebat sambil meminta izin untuk kembali ke rumahnya.

Tanpa menunggu jawapan dari tuan puteri, Hang Jebat sambil mengiringi tuan puteri berjalan berdua hinggalah tiba di istana tuan puteri. Kelihatan Hang Tuah sedang menantinya dengan pandangan penuh kasih dan cinta. Sehinggakan timbul perasaan cemburu di hati Hang Jebat. Bukan dengkikan percintaan mereka, tapi berharap percintaannya dengan Penyair Bidasari juga begitu.

Hang Jebat dengan hati yang berbunga riang, sepurnama tidak bertemu kekasih idaman hati menanti dengan penuh debar. Taman Inderaloka tempat sering mereka bertemu tatkala menemani Hang Tuah dan Puteri Lemah Gemalai memadu kasih. Daripada musuh di awal perkenalan hingga kini putik bunga mulai bercambah mekar di tangkai hati. Meresapi ke jiwa nan sepi. Bak kata pepatah pujangga, dari mata turun ke hati, begitulah yang sedang dirasai oleh pasangan ini.

Dari jauh melihat Penyair Bidasari melihat Hang Jebat duduk di atas tunggul kayu sambil kakinya menguis-guis rumput. Dari wajahnya yang tampan, senyuman manis dan matanya yang bulat menambahkan keistimewaan di hati Penyair Bidarsari. Langkah perlahan merapati kekasih hati, tiba-tiba timbul niat jahat di hatinya ingin mengusik Hang Jebat. Lantas diambilnya anak batu yang kebetulan berada di tepinya. Belum sempat dia membuat sesuatu, ada suara yang menegurnya. 

“Jangan buang masa, sayang. Kanda sudah lama perasaan yang dinda berada di belakang kanda…” tegur Hang Jebat membuatkan Penyair Bidasari tersipu malu. Sambil meyambut huluran tangan Hang Jebat, Penyair Bidasari terdiam tanpa suara.

Genggaman tangan semakin erat dan dengan rela hati mengikut langkah Hang Jebat sehingga tiba ke buaian di tengah Taman Inderaloka itu. Suara unggas sayup-sayup kedengaran memecah kesunyian malam. Ternyata bukan mereka berdua sahaja yang sedang memadu kasih. Hang Tuah dan Puteri Lemah Gemalai juga setia menemani mereka.

"Wahai kanda, dulu dinda pernah bertanya kepada kanda. Kenapa kita harus bertemu di saat bulan separuh?" soal Penyair Bidasari kepada Hang Jebat sambil membetulkan selendang yang menutupi rambutnya.

            "Kerana kita akan menjadi separuh bila kita bertemu, wahai sayangku Penyair Bidasari," balas Hang Jebat sambil merenung wajah kesayangannya. Tangan yang digenggam semakin erat seperti tidak mahu dilepaskan.

Lafaz kata yang diluahkan dari bibirnya serta senyuman yang dilemparkan ke arah Penyair Bidasari membuatkan dirinya terus mencatat apa yang dikatakan oleh Hang Jebat dalam ingatan. Hang Jebat, dalam kesuraman cahaya yang ditemani cahaya rambulan mula bermain dengan madah pujangganya.

Desir angin memecah sunyi,
kicau burung menyeri pagi,
cinta Ilahi cinta hakiki,
pengubat lara duka insani. ~ Hang Jebat.

Kicau burung menyeri pagi,
terbit mentari indah berseri,
sudah kutahu cinta Ilahi cinta hakiki,
yang kuinginkan cinta duniawi,
cinta yang lahir dari hati,
bersemi di sanubari. ~ Penyair Bidasarie

“`Cut off’ Okay, cantik dah. Lusa kita sambung latihan lagi sekali dan minggu depan kita adakan latihan akhir dengan full props. Saya minta semua sila beri kerjasama dan jaga pemakanan serta kesihatan masing-masing,” nasihat Cikgu Rogayah selaku guru penasihat dan guru lakon tari dalam kelab kebudayaan.

“Saya juga minta kamu Dira, Aizat, Hidayah dan Nazrul selaku watak utama. Tolong ya, bagi kerjasama lebih sikit dan kamu Dira dan Aizat… tolonglah jangan bergaduh!” sambung Cikgu Rogayah dalam masa yang sama sempat menepis tangan Aizat yang ingin menarik tudung Dira.
           
Sehabis bicara, Cikgu Rogayah meninggalkan mereka yang masih lagi berada di dalam dewan sekolah. Rakan yang lain telah lama meninggalkan sekolah memandangkan hari sudah menganjak ke petang. Hidayah dan Nazrul juga telah meninggalkan mereka. Kebetulan mereka tinggal berdekatan dan sering berulang-alik dari sekolah bersama-sama.
           
“Aizat, tunggulah Dira. Kita balik sama,” jerit Dira bila melihat Aizat sudah jauh meninggalkannya di belakang.
           
Aizat tidak mengendahkan panggilan Dira, semakin kuat kayuhannya. Dira kebingungan. Tidak tahu apa yang berlaku pada Aizat. Dia tiada pilihan. Aizat sudah jauh meninggalkannya. Malas dia hendak mengejar… lagipun hari dah lewat petang.

Memasuki simpang rumahnya, Mak Tom yang kebetulan berada di bawah pokok mangga terus menegur anaknya, "Dira, kat atas meja di dapur tu ada kuih. Bawah tudung saji. Mak cik Senah kau yang bagi. Katanya kuih lompang. Pergilah. Mak dah makan tadi."


Mendengar kata-kata emaknya, Dira terlonjak riang. Sudah terbayang kuih lompang kesukaannya di depan mata. Sungguhpun dia kehairanan, jiran baik emaknya yang menghantar dan membuatnya, dia tidak peduli. Asalkan kerajinan Mak Cik Senah membuat kuih tersebut memberi keuntungan dan kekenyangan kepada perutnya, itu sudah cukup.

Jumaat, 15 Ogos 2014

DOA SEORANG IBU

Cerpen : Doa Seorang Ibu.
01/01/14~9/05/14
(Edit 01/08/14)

Mira leka termenung di jendela, memikirkan bagaimanakah  nanti keputusan SPMnya yang bakal diketahui esok pagi.  Masih berkira-kira mahu bertemu Intan atau tidak? Intan sahabat baiknya yang tinggal di hujung Kampung Pasir, Kerling. Menjeling memandang jam bulat yang terletak di atas meja tulisnya. `Isk… mana Zaki ni, orang nak keluar dia tak balik lagi.’ Ngomel Mira sendirian. 
Gelisah Mira tidak menentu. Sekilas terdengar salam diberi dari luar, melulu Mira keluar dari biliknya. Melihat adiknya Zaki, kelam kabut Mira ke bilik dan mencapai tudung bawalnya dan mengenakan ke kepalanya. Bergegas pula mengambil kunci pintu dan segera keluar hingga ke beranda rumahnya. Zaki yang masih lagi berdiri di beranda terkebil-kebil memandang kakaknya sebegitu rupa.
“Akak! Akak nak pergi mana?” soal Zaki kehairanan.
“Zaki, akak nak ke rumah Intan kejap. Kau jaga rumah ya. Tunggu sampai akak balik. Basikal tu akak guna sekejap,” pinta Mira lalu bergegas turun dan dan mengambil basikal adiknya lalu dengan perlahan dia mengayuh menyusuri jalan menuju ke rumah Intan. Hajat hatinya  agar dapat bertemu dengan sahabat baiknya itu.
“Intan...! Intan...!” 
Wajah Intan tersembul di balik jendela rumahnya. “Hah! Kenapa Mira. Macam orang kena kejar dek hantu aku tengok kau ni? Kenapa?” soal Intan sambil menjemput Mira naik ke rumahnya.
            Mira turun dari basikalnya. Disandarkan ke tepi pohon mangga. Tercungap-cungap dia bersuara. “Intan, mesti kau tak sabarkan? Esok keputusan SPM akan keluar. Aku yakin, kau pasti lulus dengan cemerlang,” kata Mira yang terus duduk di bangku bersebelahan Intan sambil membelek-belek novel yang baru diletak Intan. `Pasti novel baru.  Aduh! Bergetar Jantungku… kelakar juga tajuk novel Intan kali ini,’ bisik hati kecil Mira.
            “Alaaaa… Mira, kau kata aku… kau tu apa kurangnya… pandai jugakan. Lagipun selama ini kau yang banyak bantu aku dalam pelajaran. Aku tahu kau juga pasti berjaya nanti,” balas Intan. “Kau nak baca novel tu ke? Kalau nak baca, ambillah…aku dah,” terang Intan lagi sambil membetulkan tudungnya yang ditiup angin.
            Bersinar anak mata Mira memandang Intan, terasa ingin sangat dia memiliki dan membacanya. Namun… mana mungkin dia dapat bersenang-lenang kalau di rumah. Ada saja pekerjaan yang harus dilakukan olehnya.
            “Tak apalah Intan, masa bila aku nak membacanya,” balas Mira lagi sedangkan di dalam hatinya  membuak-buak perasaan ingin membaca novel tersebut. Lantas dia menyimpan niat di dalam hatinya, suatu hari nanti dia pasti akan datang dan meminjam daripada Intan.
            “Eh! Apa rancangan kau, nanti? Nak minta kat mana-mana pusat pengajian tinggi, tak?” soal Intan kembali.
Mira hanya menggelengkan kepala. “Siapa aku Intan,  hendak berangan sekolah tinggi. Kau tahu abah aku macam mana. Hendak dibagi atau tidak abah aku tu,” balas Mira sambil membelek-belek lagi novel tadi.
“Insya-ALLAH Mira, kalau ada usaha pasti akan beroleh hasilnya. Kalau keputusan kau bagus, pasti akan dapat biasiswa. Alaaa, jangan risaulah. Aku yakin kau pasti dapat keputusan yang bagus,” balas Intan menyakinkan Mira.
“Baiklah Intan, aku nak baliklah dulu. Esok kita pergi sama-sama ye!”
Intan hanya mengangguk. `Mira, Mira, datang sekadar nak bertanyakan itu sahaja? Bukannya dia tak boleh menelefon atau menghantar SMS.' Tersenyum dia melihat sahabat baiknya itu. Tangannya yan memegang novel itu bergoyang-goyang di hadapan Mira. "Mira! Kau tak nak pinjam ke?" sahut Intan lagi.
Geleng Mira mendengar pertanyaan Intan.  Intan membalas dengan senyuman.

Di rumah, jam 8.00 malam.
“Mira, Mira… apa kau buat dalam bilik tu? Keluarlah tolong emak kau ni, kutip ikan kering yang dah siap dibungkus ni. Simpan dalam bakul ni?” terdengar suara abah menjerit memanggil namanya dari luar bilik.
Mira yang leka termenung tersedar dari lamunan, segera berlari anak membuka tombol pintu bilik dan ke ruang tamu rumah. Adiknya Zaki begitu leka menonton talevisyen. `Bukan hendak menolong emak…’ ngomelnya dalam hati.
Emak melemparkan senyuman dan Mira membalasnya dengan perasaan jengkel. Segera Mira mengutip bungkusan kecil  itu dan memasukkan ke dalam bakul. Lalu diletakkannya ke tepi dinding. `Senang esok abah hendak bawa ke kedai runcit Pak Abu,’ sekali lagi dia mengomel dalam hati.
Sambil duduk bersimpuh menghadap emaknya, Mira bersuara “Emak, esok keputusan SPM dah nak keluar, boleh tak Mira tidak ikut emak pergi menoreh? Mira dah janji dengan Intan nak pergi ambil keputusan SPM.” Mira menjeling ke arah abah.
Emak diam tidak bersuara. Abah yang sedang menghisap rokok di depan pintu terus memalingkan mukanya ke arah Mira. Abah juga tidak bersuara, sesekali Mira melihat abah melirikkan anak matanya ke arah emak.
“Pergilah Mira,” balas emak. “Tapi kalau boleh balik cepat ya, siapa nak masak makan tengahari nanti, kesian adik kau tu. Balik sekolah tak ada makanan. Emak mungkin lambat sikit. Mak cik Senah kau tu… dia minta  mak, urutkan kakinya. Hari tu dia jatuh tangga di dapur rumah.” Terang emak lagi.
 Mira tatap wajah emak, lantas memeluk dan mencuim lembut pipi itu. `Terima kasih emak!’ Mira membisikkan ke telinga emaknya. Lantas emak membalas pelukkan Mira. Terasa kasar tangan emak. Mira beralih ke arah abah, meraih tangannya dan mencium kedua tangan abahnya. `Terima kasih abah!’ Mira bersuara lembut. Abah hanya menganggukkan lesu. Bertakung air mata di kelopak mata Mira. Ditahan juga supaya tidak berderai di hadapan mereka.

Jam 6.30 pagi.
Mira bangun dengan semangat membara. Melihat wajah emak yang tidak pernah lekang dengan senyuman membuatkan Mira lebih bersemangat. Melantunkan pandangannya ke atas meja makan yang sudah tersedia sarapan pagi. Emak memang tidak pernah lupa untuk menyediakan sarapan pagi walau sesibuk mana pun dia. Mira segera menolong emak, dengan menyediakan minuman untuk mereka semua.
Selesai sarapan, emak yang sudah siap sedia hendak ke kebun getah belakang rumah mereka  datang menghampiri Mira, lalu dihulurkan wang belanja kepadanya.  
“Terima kasih, emak,” ucap Mira.
“Emmm, jangan lupa ya Mira. Masak nasi, tu tadi abah kau pesan. Ikan pari dalam peti sejuk tu… disuruhnya kamu masak asam pedas. Sudah lama tak makan masakan kamu tu.” Pesan emaknya lagi.
Mira membalas pesanan emaknya dengan senyuman. Mira mengemas sepantas mungkin sambil melirik matanya ke arah jam di dinding rumahnya.  Zaki telah lama pergi sekolah. Adiknya Zaki terpaksa keluar pagi hari ini, hairan Mira. Adiknya bersekolah petang… tiba-tiba hari ini pagi lagi perginya. `Ahhh, mungkin ada hal lah tu, agaknya.’ Ngomel Mira lagi.
Mira segera meninggalkan kerja mengemas yang cuma tinggal sedikit sahaja dan berlari ke bilik. Baju kurung merah, Mira sarungkan ke badan dan dikenakan dengan tudung bawal putih berbunga merah jambu. Mira memusing-musingkan badannya di hadapan cermin. Sambil tersenyum sendirian. Setelah memastikan pintu rumah di kunci. Mira mengambil basikalnya dan menyorong hingga ke luar jalan.
Mira mengayuh basikalnya dengan berhati-hati, hujan renyai malam tadi membuatkan jalan sedikit licin di tambah pula dengan jalan yang berlopak itu bertakung dengan air tanah. Dari jauh kelihatan Intan sedang menunggu Mira. Di samping Intan berdiri Puan Mona, ibu Intan. Segera Mira menyimpan basikal di garaj kereta, dan berlari anak masuk ke dalam perut kereta yang sedang menanti dengan deruan engin. Puan Mona melemparkan senyuman manis ke arah Mira, sambil menganggukkan dan berbalas senyuman.
Dalam perjalanan, Mira dan Intan lebih banyak berdiam diri. Begitu juga dengan Puan Mona . Sehinggalah sampai di hadapan pagar sekolah. Sekolah Menengah Kuala Kubu Baharu,  Hulu Selangor. Selangor. Sekolah yang banyak meninggalkan kenangan manis buat Mira, dengan pantas Mira keluar dari perut kereta, begitu juga Intan. Lalu, kereta Puan Mona pun meluncur pergi. Mira dan Intan berjalan ke arah sekumpulan pelajar. Kelihatan kelibat sahabat mereka, Nani, Susan, Kamal dan yang lainnya turut berada di situ. Mereka kawan sekelas Mira dan Intan.
Kesemua pelajar berkumpul di dalam dewan. Riuh-rendah suara pelajar-pelajar yang lain.  Begitu jugalah Mira dan Intan serta beberapa rakan mereka. Tidak sabar mendengar keputusan dari guru besar. Berdebar hati Mira. Begitu juga dengan Intan. Sedang leka berbual dengan beberapa orang pelajar lain, terdengar namanya dipanggil.
“Tahniah Mira! 8A1. Saya bangga dengan kamu Mira, saya tahu betapa susahnya kehidupan kamu dan kini, segala penat lelah kamu dah berbaloi. Tahniah sekali lagi,” kata Puan Asmah, guru besar sekolah Mira. Mengucap syukur Mira. Tiba giliran Intan. Alhamdullilah… keputusan Intan pun turut sama seperti Mira. Mira dan Intan berpelukan kegembiraan.
Dalam perjalanan pulang, Mira dan Intan yang berjalan kaki ketawa riang sambil bercerita tentang cita-cita masing-masing. Intan memang ingin menjadi seorang doktor, tapi Mira…`entahlah’. Intan yang mendengar keluhan Mira, segera menyabarkan Mira sambil memengang tangannya, kuat dan erat.
“Insya-ALLAH Mira. Selagi kita boleh berusaha dan berdoa kepada-Nya , pasti ada jalan untuk kita raih kejayaan.” Kata Intan sambil memandang Mira. Ada garis senyum di bibirnya.
“Terima kasih, Intan.” Balas Mira.
Tanpa mereka sedari, mereka telah pun sampai di hadapan pagar rumah Intan. Intan menjemput Mira untuk melepaskan lelah sebentar, namun bila teringat tentang janjinya dengan maknya, Mira batalkan saja niatnya itu.
Mira mengambil basikalnya dan mengayuh pulang ke rumah dengan hatinya berbunga riang. Tercapai sudah impiannya ingin melihat emak dan abahnya gembira dengan keputusannya nanti.  Sampai di rumah,  Mira melihat jam di dinding yang menunjukkah sudah hampir jam 12.30 tengahari. Segera Mira ke dapur dan mengeluarkan  ikan pari  dari peti sejuk. Begitu juga dengan bahan-bahan yang lain. Teringat dia pesanan emaknya pagi tadi. `Mira, masakkan asam pedas ikan pari kesukaan abah,kau! Bahan-bahannya semua sudah emak sediakan. Ada dalam peti sejuk tu…’ Tersenyum Mira bila teringat pesanan maknya.
Bermula dengan Bismillah, Mira memulakan masakannya. Satu persatu siap terhidang di atas meja makan. diperhatinya satu persatu… asam pedas ikan pari, kangkung tumis ikan bilis, telur dadar dan sedikit sambal belacan. Tidak lupa, pucuk ubi yang dikutip emaknya petang semalam segera dicelur dengan air panas lalu diletakkan ke dalam piring dan diletaknya ke atas meja bersama hidangan tadi. Pasti selera abah bertambah nanti dan emak pasti tersenyum bangga melihat anak daranya yang begitu pandai memasak. Tersenyum Mira sendirian.
Mira kembali menyambung angannya di dalam bilik. Sambil terbaring memandang siling, dia berangan-angan ke mana langkahnya selepas ini. Adakah ke menara gading atau hanya ke tingkatan enam sahaja. `Ahhh, akan aku pujuk emak… nanti.’ Bisiknya lagi.
Sedang leka mengenangkan nasib diri selepas ini, kedengaran adiknya memberi salam. Zaki, tanpa membuang masa terus ke meja makan, Mira hanya perhatikan adik kesayangannya dari balik pintu biliknya. Mira berjalan menghampiri adiknya yang sedang enak menjamu selera tanpa menoleh ke arahnya.
“Ehm… ehm… cuba makan tu tertib sikit, jangan gelojoh. Kalau tersedak nanti siapa susah… Zaki jugakan,” tegur Mira sambil mengambil air minuman untuk adiknya.
“Kak, mana emak… abah? Tak balik lagi ke mereka?” tanya Zaki sambil meneguk air yang diambil Mira tadi.
“Kejap lagi lah tu,” balas Mira lembut.
“Kak, tadi kat sekolah kecoh kata akak dapat 8A1. Betul ke kak?”
Mira membiarkan soalan Zaki tanpa jawapan. Zaki yang faham dengan sikap Mira terus bangun dan membawa pinggan serta gelas ke singki dan ditinggalnya sahaja. Itulah sikap Zaki.

Jam 8.00 malam di ruang dapur.

“Abang, petang tadi Mira tunjukkan  keputusan dia, Alhamdulillah bang… 8A1.” Terang emak kepada abah.
Mira yang berada di dalam bilik cuba memasang telinga. Tapi yang kedengaran cuma suara mak. Mira merapatkan telinganya ke dinding bilik. Kali ini Mira dengar emak bersuara lagi. Mira cuba memberanikan diri dengan keluar dari biliknya berjalan ke arah dapur, sehinggalah berada di balik pintu dapur, Mira terdengar emaknya bersuara lagi.
“Kesian dia bang, dia nak belajar… kita nak sekat pula niat dia. Tak baik, bang?”
“Kita tak mampu Mah. Nak hantar dia belajar kat universiti tu… banyak pakai duit Mah.” balas abah. “Tambahkan kuahnya tu… anak awak ni kalau masak asam pedas, kalah masakan awak tau tak?” abah menyambung katanya sambil ketawa kecil.
Mira yang bersembunyi di balik pintu dapur tersenyum dengan pujian abah. Abah memang gemar dengan masakan asam pedasnya. `Katanya, emak masak pun tak sesedap masakannya.’
“Nantilah aku fikirkan macam mana, tapi sebelum tu kau cakapkan kat dia yang Pak cik Ahmad tuan kedai makan kat sebelah kedai runcit Pak cik Abu nak kan pekerja sebagai tukang masak lauk nasi campur. Bagi tahu kat Mira tu, pergi la kerja sementara menunggu mana-mana panggilan untuk belajar.” Terang ayah lagi.
Mira yang masih bersembunyi di balik pintu dapur seakan ingin menangis mendengar kata abah. Jelas, tidak sedikitpun terpancar keriangan di wajah abah. Wajahnya yang tadi gembira terus bertukar keruh. Lemah kakinya melangkah masuk semula ke dalam biliknya. Cuba menguatkan semangat. `Emmm, mungkin sementara aje kot. Tak apalah, sekurang-kurangnya boleh aku kumpul duit. Andai ada rezeki aku, duit tu nanti boleh aku gunakan untuk keperluan aku.’ Angan Mira. 
Malas Mira ingin menonton bersama adiknya di luar. Bangun dari pembaringannya lalu berjalan menuju ke jendela dan dibukanya sedikit. Menderu angin memasuki biliknya. Kemudian dia menutup kembali.
Sedang enak membuai perasaan, Mira terdengar suara emaknya memanggil. Kelam kabut Mira membuka pintu. Hairan, selalu emak tidak pernah menganggunya kecuali jika ada ikan masin yang hendak dibungkus. `Arhh, mungkin mak hendak meminta aku memicit badannya, atau mungkin abah perlukan bantuannya,’ berteka-teki Mira sendiran. Apabila pintunya terbuka, yang berada di hadapannya bukan emak tetapi Intan.
 “Intan! Apa kau buat datang rumah aku malam-malam ni? Datang dengan siapa?” soal Mira tanpa henti.
“Oh, ini Puan Hidayah. Kawan ibu aku. Dia banyak menolong orang susah untuk melanjutkan pelajaran,” terang Intan memperkenalkan perempuan yang sebaya emak.
 Mira bersalaman dengan Puan Hidayah. Tapi, masih kehairanan. ‘Kenapa pula Intan bawa dia datang rumah aku,’ Mira sekadar bertanya dalam hati.
“Emak aku suruh dia tengok slip keputusan SPM kau tu. Lepas tu, kau dengarlah apa yang Puan Hidayah boleh lakukan nanti,” Intan memberitahu.
Mira segera masuk ke bilik. Tidak lama kemudian, Mira keluar semula dan menunjukkan slip keputusan SPMnya kepada Puan Hidayah. Puan Hidayah kelihatan tersenyum. Mira dan Intan hanya berpandangan. Menunggu reaksi Puan Hidayah yang asyik membetulkan cermin matanya. Matanya tertancap pada slip keputusan SPM Mira.
 “Beginilah. Saya boleh tolong. Ini ada borang pinjaman pengajian tinggi dari Pusat Zakat Selangor . Isi borang ini dan saya akan pastikan Mira dapat masuk mana-mana universiti  di dalam Malaysia.” Katanya dengan kepastian.
Terkebil-kebil mata Mira kurang percaya dengan berita baik ini. Intan sudah menepuk-nepuk bahu Mira. Dia lebih gembira berbanding diri Mira sendiri.
“Lepas ni, kita boleh masuk universiti yang sama. Soal pembiayaan kau tak perlu risau lagi. Puan Hidayah akan uruskan.” Intan juga yakin sangat-sangat.
Mira sudah terlonjak kegirangan. Mereka berdakapan. Emak muncul dari dapur bersama minuman. Mira berlalu dan terus memeluk emaknya.
“Mak, sekarang emak jangan susah hati. Puan Hidayah akan bantu Mira untuk membayar semua yuran pengajian. Ini semua atas doa emak. Terima kasih, mak,”
“Betul? Mira sudah boleh sambung belajar? Mak macam tak percaya,” emak sungguh terharu. Dia mendapatkan Puan Hidayah dan memegang tangannya erat-erat. “Terima kasih Puan. Terima kasih sebab tolong anak saya. Saya mahu dia berjaya. Saya tiada duit. Tapi, saya boleh berdoa untuk kejayaannya setiap masa,” air mata emak sudah tumpah.
Puan Hidayah terharu sambil berkata, “Doa itulah yang paling berharga untuk seorang anak. Tanpa doa seorang ibu, tidak mungkin seorang anak akan berjaya dalam apa pun.”

Mira mengalih pandangannya ke ruang dapur. Kelibat abahnya masih ada di situ. Pasti abahnya mendengar apa yang dikatakan oleh Puan Hidayah. Mira perhati, abah tersenyum memandangnya. Air mata Mira tumpah lagi tanpa henti. `Ya ALLAH, terima kasih segalanya.’ Doa Mira dalam hati.

Isnin, 9 Jun 2014

SELOKA SAHABAT



SELAMAT ULANG TAHUN BUAT SAHABAT KU
NUR DILA TERSAYANG
TERIMALAH HADIAH YANG TIDAK SEBERAPA INI

KALA ENGKAU MEMBUKANYA
SENYUMLAH PADA TEDDY BEAR KUNING INI
SEBAGAI PENGGANTI DIRI
TANDA AKU SAYANGKAN ENGKAU

BUNGA ITU PENYERI HARIMU
AGAR HARI INI DAN MENDATANG
HIDUPMU BERSERI-SERI HENDAKNYA

OLEH ITU,
AKU HARAP ENGKAU AKAN SENTIASA
ANGGUN DAN BERGAYA
MAKA, BAJU ITU SESUAI MENJENTIK
PANDANGAN UNTUK KALI KE DUA

NAMUN,
JANGAN LUPA UNTUK SOPAN DALAM BERGAYA
MAKA, SHAWL ITU PALING UTAMA
SEMOGA ENGKAU TETAP TERPELIHARA

SELAIN ITU,
SEMOGA REZEKIMU MELIMPAH-RUAH
LALU, DOMPET KECIL INI SEBAGAI TANDA
MOGA SUATU HARI BERKEPAL-KEPAL

AKHIR KATA,
MANISKAN BIBIRMU DENGAN SEKEPING   BISKUT
ITU SAHAJA YANG TERMAMPU DARIPADAKU
BASAHI BIBIRMU DENGAN SEKOTAK SOYA
SEMOGA ENGKAU DIMANDIKAN DENGAN KASIH SAYANG

SEBAGAI PENUTUP BICARA
ANDAI ENGKAU TERLUKA
PANDANGLAH SANIPLAST ITU
DAN KETAHUILAH ENGKAU ADA SAHABAT
UNTUK MENGUBAT LUKA

SAHABAT DUNIA AKHIRAT
NURHIDAH HALUN
SALAM SAYANG MUAHH MUAHH MUAHH



Ahad, 1 Jun 2014

TERSESAT DI BUMI SENDIRI

Sudah sekian lama aku idamkan untuk menjadi seorang penulis, tetapi tidak kutahu  bagaimanakah caranya? `Apakah aku berbakat?’ Itulah yang sering aku katakan di dalam hati. Setiap kali kata-kata puitis yang aku coretkan di atas kertas hanya dipandang sepi. Pen dan kertas memang tidak boleh dipisahkan denganku. Ibarat lagu dan irama, seiring. Jika terbit saja ilham di hati, pen dan kertas akan cepat kucari. Jari dengan pantas menulis kata-kata puitis. Tetapi sayang, tiada siapa yang sudi membaca, dan akhirnya terbiar begitu saja. Lebih parah, bila dibuang sahaja ke dalam tong sampah. Itulah aku, sentiasa mensia-siakan anugerah yang diberikan oleh-Nya.

‘Arrrr… bagaimana ye…’ mengeluhku sendirian.  ‘ Apa kata kalau aku tulis sahaja di laman mukabuku. Pasti ada kawan-kawanku yang suka dan komen.’  Mungkin dengan cara ini dapat aku kembangkan lagi bakatku yang sedia ada. `Boleh juga menjadi penghibur mereka.’ Bisik hatiku lagi.

Keesokkan harinya, seawal pagi, aku memberanikan diri memulakan bicaraku dengan kata-kata di bahagian status.  Sahaja aku mulakan dengan kata-kata jiwang.  Memancing perhatian mereka.

`Pandanglah ke arah mana pun kita, Allah tetap bersama. Menangis, bersedih macam manapun pasti ada tawa di hujungnya…’

`Kau berikan aku senyuman, lalu kutersenyuman, Namun saat kau hulurkan tanganmu aku tergamam. Mana mungkin kita bersalaman sedangkan kita bukan muhrim. Maafkan aku…’
`Sayang… andai jodohku untukmu akan kupertahankan cinta ini?’

Tidak cukup dengan ayat-ayat jiwang, aku tambah pula dengan beberapa rangkap madah seloka.
`Kasih aku hanyalah untukmu,
Tiada dua dalam anganku,
Tidakkan hilang ditelan waktu
Walau dihempas ombak biru.
Cintaku hanyalah untukmu,
Tidak pernah goyah,
Tidakkan pernah jemu,
Tidakkan terpadam dalam hatiku.

Sambil menunggu balasan komen dari rakan-rakan laman mukabuku, aku layari status-status daripada rakan-rakanku yang lain. Tiba-tiba...

“Oii, Dila dah mula berjiwang karat ke, kau?” – Suraya Sulaiman.

“Dila, kau bercinta lagi ke?”– Inda

“Oiii Dila, dah buat tebiat ke kau?” – Mat Selayang.

“Hihihihihihi… kawanku, ayat jiwangmu buatku teringat kenangan lama” – Amoi.

 Bermacam komen yang kuterima. Aku tersenyum apabila membacanya. Saban hari aku menulis kata-kata puitis di laman mukabuku.  Ada yang memuji ada juga yang mengeji.  Tapi aku biarkan saja.  Buat apa hendak  melayan mereka yang tidak tahu dan mengerti insan seni seperti aku? `Seni ke?’ Ketawaku sendirian. Bermula dari situ, aku semakin berkeyakinan. Kata-kata semangat dari kawan-kawan di laman mukabuku, menjadikan aku semakin berani.  Malah, jika tidak menulis, pasti mereka akan bertanya kepada ku, kenapa aku tidak menulis?  ` Mati idea ke?’ tanya mereka.

Tidak pernah aku meyangka sama sekali, segala tulisanku dan juga kata-kata puitisku menjadi perhatian daripada seorang sahabat baru yang kukenal melalui laman mukabuku. Dalam sibuk aku melayari internet dan melihat status serta komen dari kawan-kawan di laman mukabuku, aku terlihat ada seseorang yang mengirim pesanan ingin menjadi rakan di bahagian mesej.

“Salam perkenalan” – Nureen Mirza.

“Eh… siapa ni? Eh, ini bukan ke penulis novel APUD. Aku meneka, tapi tak apalah, boleh dapat sahabat baru.”

“ Salam perkenalan kembali. Akak ni... penulis APUD ye, jujur saya kata... saya suka cara tulisan akak. Ringkas tapi padat dan menarik." – Nur Dila.


“Terima kasih sebab sudi baca hasil tulisan akak.  Akak suka dengan bahasa Dila, puitis dan menarik. Kalau diasah dan digilap pasti akan membuahkan hasil.” – Nureen Mirza

“Terima kasih” – Nur Dila.

“Cubalah bergabung dengan Group Mari Menulis, manalah tahu boleh dapatkan ilmu. Saya perhatikan Dila ada bakat menulis. Cuba lah.” – Nureen Mirza
.
“Insya Allah dan terima kasih” – Nur Dila.

Tanpa membuang masa dan waktu, aku segera mencari Group Mari Menulis yang diperkatakan oleh sahabat baruku itu. `Ahh, ini dia.’ Pendaftaran Group Mari Menulis.  Bengkel Asas Penulisan dan Belasah Karya. `Ermmm… menarik’ kata hati kecilku dan terus membacanya satu persatu. Aku perhatikan bila tharikhnya, 23/11/13 dan aku perhatikan pula tharikh di kelendar yang sedia ada di dalam bilikku, 20/10/13. `Oh, masih ada sebulan lagi dari sekarang.’ Bisik hatiku lagi.

`Apa syaratnya ye?.’ Aku teruskan lagi membacaannya. `Berapa pula harganya ye?’ Bermacam-macam bermain di mindaku ketika itu. Perasaan membuak-buak ingin tahu membuatkan aku leka sebentar, sehingga terlajak masa untukku pergi bekerja.

Lantas, tanpa membuang masa aku memberanikan diri dengan meminta izin menyertai Group Mari Menulis. Alhamdulillah salamku disambut dan seterusnya aku telah menjadi sahabat di dalam Group Mari Menulis. Dengan bermodalkan RM 50.00, bermulalah langkah pertama aku ke dunia baru. Dunia penulisan. Dunia yang aku cari selama ini. Bukan lagi angan-angan, tapi kenyataan.` Yang penting aku suka.’ Itulah yang selalu kubisikkan di dalam sanubariku.

Dari situ bermulalah episodku, mengarang dan menulis. Apa saja yang terlintas di mindaku segera aku letakkan di bahagian status. Dari nada gembira bertukar duka, semuanya kuluahkan. Dan yang paling mengembirakan hatiku, sahabat baru semakin bertambah dan yang aku berasa amat berbangga sekali, apabila ramai juga penulis yang sudi menerima salam perkenalan dariku. Ini menimbulkan kebangkitan semangatku yang membara. Aku menjadi semakin yakin kini. Tidak mungkin aku berundur. Itu nekadku.

Semakin hari tulisanku menjadi bahan bacaan mereka. Ada yang suka, ada yang memberi teguran dan nasihat, ada yang perbaiki gaya olahan ayat. Semuanya aku terima dengan hati yang terbuka. Bagiku selagi ilmu itu tidak berbau negetif, selagi itu akan kupelajari. Untuk menjadi seorang novelis itu mungkin tidak. `Tapi siapa tahu, mungkin dengan berkat dorongan para sahabat, mungkin suatu hari aku juga bergelar novelis.’` Siapa tahu.’ Hati kecilku sekali lagi berkata.

Pepatah pun ada mengatakan, `kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.’ Kalau aku tidak mencubanya sekarang, bila lagi. Peluang sudah ada, cuma hendak dengan tidak sahaja.  `Tepuk dada tanya selera’.

Saban waktu, aku menghitung hari. Penuh debaran, penuh semangat. Apatah lagi, dalam diam tak diam aku telah pun menghasilkan cerpen, dengan hasil tulisanku sendiri.  Untuk diserahkan kepada pihak Group Mari Menulis sebagai bahan untuk dibedah dan belasah karya.  Betapa bangganya aku.  Walaupun masih ada kesalahannya, tetapi tidak mengapa, ini baru permulaan.  `Wah… Dila, dah boleh menulis kau rupanya.’ Lagi sekali hatiku berkata.

Tinggal seminggu lagi.  Dalam seminggu itu bermacam-macam yang aku fikirkan.  `Apakah aku boleh menjadi seperti mereka?’ dan aku mencuba menjaga kesihatan aku dengan sebaik mungkin malangnya dugaan datang melanda, aku di serang demam panas.  Segera aku mengambil ubat.  Aku tidak mahu ianya mengganggu keinginanku yang lama tersimpan.   `Ya Allah, izinkan aku mencuba bakat yang telah kau berikan padaku. Berikanlah kesihatan yang baik padaku. Tolonglah hambamu ini Ya Allah’ doaku saban waktu, mahupun tika solat ataupun tidak.

 Kini tibalah harinya.  Allahamdullilah, kesihatanku semakin pulih.  Walaupun masih ada sisa batuk kedengaran tapi aku yakin, esok pasti ada buatku.  Aku mula membuat sedikit persediaan.  Pen, buku nota dan tulisan-tulisan yang masih ada di simpanan aku telah pun aku letakkan di dalam beg galasku.  Peta dan alamat tempat untuk diadakan bengkel juga telah kusimpan di dalam telefon bimbitku dan kupastikan   juga bateri talefonku mempunyai kuasa yang secukupnya.  `Manalah tahu, kalau ada sesi pengambaran bersama peserta ataupun dengan penulis novel, boleh aku bergambar bersama.’ Anganku.

Sebelum aku memejamkan mata, terfikir olehku bagaimanakah  caranya hendak ke sana nanti.  Kalau memandu, risau pula tidak jumpa jalannya.  Jadi, aku bulatkan hati untuk menaiki komuter sahaja.  Terbayang sudah di kotak fikiranku, apa yang akan aku lakukan untuk sampai ke sana dengan selamat dan tidak menyusahkan sesiapa.

Jam loceng yang sentiasa berada disisiku berbunyi, dengan segera aku bangun.  Kedengaran sayup azan subuh berkumandang di masjid yang berdekatan dengan rumahku. Selesai sahaja sembahyang subuh, aku segera ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi buat anak-anakku.  Kemudian aku segera menyiapkan diriku seadanya.  Sekali lagi aku berteka-teki dengan diriku sendiri `mulut kata bawalah kereta, tapi hati kata jangan, nanti takut sesat jalan, naik aja komuter… pasti selamat. Lalu kuturutkan kata hati.

Aku pandu keretaku hingga ke Kepong Sentral. Dari situ nanti, aku akan menaiki komuter hingga ke K.L. Sentral, dan seterusnya ke Taman Datuk Harun.  Itulah perancangan awalku.  Aku perhatikan jam di telefon bimbitku.  `Arrr… masih awal lagi, aku tercongak-congak mengira waktu.  Insya Allah… moga selamat sampai.’ Doaku.

Perjalanan bergerak dengan lancar sekali.  Dalam hati berbunga riang.  Yang diimpikan kini sudah semakin berada di gengaman.  Ilmu yang diberikan akanku jadikan azimat dan bekalan untukku mengembangkan bakat yang sedia ada. Tersenyum aku sendirian.

Aku tiba di K.L Sentral seawal jam 7.30 pagi.  Aku singgah sebentar di 7 eleven. Hajat di hati pada mulanya ingin menaiki komuter seterusnya dan berhenti di Taman Dato Harun, tetapi entah bagaimana aku terus keluar ke jalan besar dan menahan sebuah teksi.  Teksi tersebut berhenti, dan aku pun membuka pintu hadapan lalu bertanya.

           “Assalamualaikum pak cik. Saya ni, nak ke Taman Sri Manja, boleh pak cik bawakan saya ke sana?” soalku.

            “Oh… naiklah nak.” Balas pak cik tersebut.  Aku segera masuk ke dalam perut teksi dan teksi itu pun terus meluncur laju.  Dalam hati masih lagi berbunga riang.  `Harap sampai awal, nanti boleh sarapan pagi dulu’ bisik hatiku.  Aku perhatikan sekelilingku, sudah berubah benar jalan di sini. Seingat aku 10 tahun yang lalu aku biasa ke sini. Namun, ialah zaman dah berubah, semakin bertambah maju.  Perjalanan masih seperti biasa, aku sedikit tidak merasa syak wasangka yang rupanya pak cik pemandu teksi ini tidak tahu jalan yang hendak dituju. Di sini lah bermulanya episod dukaku.

             “Eh! Pak cik kita ni kat mana, saya rasa macam dah lama sangat dalam teksi ni? Tengok jam pun dah menunjukkan angka 8.00 pagi.?” Kataku

              “Anak nak ke mana tadi?” soal pak cik teksi lagi.

             “Ohhh, saya nak ke Perpustakaan Awam Taman Sri Manja,” jawabku.

             “Pak cik, kenapa pak cik nak ke Taman Sentosa, saya nak ke Taman Sri Manja?

              “Oh… ye lah, terlepas simpang pula tadi, tak apa kita pusing semula.”

Aku sudah mula merasa tidak sedap hati.  Duduk aku pun sudah tidak tentu arah, sekejap aku pusing ke kanan sekejap lagi ke kiri.    Aku perhatikan tanda jalan.  Lagi sekali aku bersuara.
“Pak cik, pak cik tahu ke tidak jalan nak ke Taman Sri Manja ni?” soalku lagi. Kali ini aku perasan yang nada suaraku sedikit kasar.

             “Pak cik rasa dah betul dah simpang yang pak cik masuk ni nak? Tapi mana jalan PJS 3/32 ye?”

              “Ehhh! Pak cik jangan tanya saya, saya lagi lah tak tahu. Kalau saya tahu buat apa saya naik teksi. Baik saya pandu kereta saya sendiri. Tak, sekarang ni saya nak tanya pak cik sekali lagi… pak cik tahu ke tak jalan kat sini? Pak cik bukan orang sini ke?” Tanya ku lagi. Kali ini memang suaraku dah semakin tinggi dan kasar.

          “Memanglah tempat pak cik, nak. Tapi tak tahu pulak ada perpustakaan, yang pak cik tahu… tadika adalah” jawab pak cik tersebut.  

           “Cuba anak tanya orang yang berniaga di tepi jalan tu, dia tahu tak?” kata pak cik tu lagi. Dalam hati aku mula berkata, `eh… orang tua ni, aku pulak yang kena tanya ke?’ Lalu pak cik teksi tu pun berhenti di bahu jalan. Aku pun turun dan menghampiri mak cik tersebut lalu kuberikan salam.

           “Assalamualaikum mak cik. Mak cik saya nak tanya mak cik, tahu tak Perpustakaan Sri Manja kat mana?” soalku. 

           “Mualaikummussalam, maaf  nak… mak cik pun tak tahu, nak.” Sambil menggeleng memandang aku.  Senang sahaja mak cik tu menjawab. Hatiku sudah mulai sakit. Aku perhatikan jam di pergelangan tangan, sudah pun 8.30 pagi. Ada lagi setengah jam, untuk aku sampai ke tempat yang hendak di tuju. Masuk kali ini sudah kali kelima  aku bertanyakan soalan yang sama kepada setiap peniaga di tepi jalan. Jawapannya tetap sama. `Tidak tahu’

Riak wajahku sudah bertukar menjadi mendung.  Dalam hati, sudah bermacam-macam yang aku fikirkan. `Ya Allah, bantulah hambamu ini. Permudahkanlah urusanku dan kau tunjukkanlah jalan arahku.’ Doaku dalam hati.  Aku mulakan perjalanan dengan bacaan `Bismilahhirrahmannirrahim’. Nekadku dalam hati, akan kutemu juga tempat yang hendak ku tuju. `Biarlah lambat asal jangan tak sempat.’ Bisik hatiku lagi.

Cuaca di luar sudah menampakkan sinaran mataharinya. Bagaimana sakitnya terkena bahang panas mentari, sakit lagi hatiku di saat itu.  Sekali lagi aku pandang jam di telefon bimbitku.  Niat untuk bersarapan pagi musnah kini, kerana di waktu begini  pun, aku masih belum lagi melihat papan tanda jalan PJS 13/32.  Setiap lorong jalan kususuli, tapi tidak juga aku temui.  Sekali lagi aku bersuara.

             “Pak cik, pak cik tahu tak? Sudah berapa kali kita berpusing di tempat yang sama. Tak kan lah pak cik langsung tak pernah masuk jalan ke sini. Habis tu buat apa jadi pemandu teksi, kalau jalan di taman perumahan sendiri pun pak cik tak tahu?”

Pak cik itu sedikit pun tidak bersuara.  Malah menambahkan sakit di hati aku sahaja. Cubalah bayangkan, aku yang sudah terlewat ini, baginya  macam tiada apa yang berlaku, boleh berlagu lagi.  Kemarahanku kian memuncak, dan aku cuba untuk tidak mahu berkurang ajar dengannya.  Namun aku bersuara juga setelah agak lama kubiar pemandu teksi itu membawa teksinya tanpa haluan. Aku perhatikan di meter tambang. Dalam hati mula timbul prasangka yang bukan-bukan. `Pak cik ni, nak pekena aku ke?’

           “Pak cik, kalau pak cik dengan saya berada di negara China, tak apalah kita sesat. Ini tidak, kita berada di Malaysia pak cik? Di bumi kita sendiri, di daerah pak cik sendiri. Macam mana sampai pak cik tak tahu jalan di sini.  Nampak sangat pak cik dan anak-anak pak cik tak pernah ke perpustakaankan” tajam sindiranku.  “Tak apalah pak cik, ini akhir ihktiar saya… kita gunakan `GPS’. Pak cik ikut sahaja arahan saya” kataku lagi.

Alhamdulillah, dengan berpandukan alat `GPS’, ahkirnya tepat pada jam 10.00 pagi, perpustakaan yang kucari itu telah selamat aku temui. Dalam hati timbul rasa kesal, kenapa dari awal lagi tidak aku gunakan sahaja hikmatnya. Tetapi, ialah tak terlintas di akalku waktu memulakan perjalanan tadi.

 Masalah timbul sekali lagi bila masa aku ingin membayar tambang teksi tersebut. Terpampang jelas di depan mataku harga yang perlu aku bayar. Aku hulurkan tiga keping wang kertas rm10.00.   Pak cik  teksi tersebut memandang aku sambil berkata.

             “Nak, bayar kat pak cik rm10.00 sahaja sudah cukup.  Pak cik rasa kesal pula, sebabkan kelalaian pak cik, anak sudah terlewat.  Macam mana pak cik boleh tak terlintas nak masuk lorong ni tadi.”

             “Pak cik, jangan macam tu… pagi ini rezeki pak cik. Pak cik ambillah… saya ikhlas, Cuma saya minta, pak cik maafkan saya kerana bercakap kasar dengan pak cik.  Bukan apa pak cik, dalam menuntut ilmu… kita tak boleh terlewat walau pun seminit. Pak cik tahu kenapa? Kerana minit yang pertama itulah akan bermulanya langkah pertama kita untuk berjaya. Itu yang selalu saya terapkan dalam hati saya. Tak apalah pak cik ambil duit ni, saya ikhlas. Dan satu lagi… setiap apa pun pekerjaan yang kita buat biarlah ihklas pak cik.  Pekerjaan pak cik ni mulia tau? Jadi janganlah pak cik sia-siakan. Selepas  ini, rajin-rajinlah pusing-pusing di dalam taman ni pak cik.  Supaya tidak berlaku lagi sejarah sesat di bumi sendiri.” Kataku panjang lebar. Pak cik itu, hanya tunduk terdiam tanpa sebarang kata.  Wang yang aku hulurkan di simpannya ke dalam poket baju. Sekali lagi aku memohon maaf sebelum keluar dari dalam teksi.

            Pintu perpustakaan aku tolak, aku disambut dengan senyuman oleh Puan Monalita Mansor, salam disambut. Di situ juga aku bertemu dengan Ayahanda Chik dan juga Puan Aiza Zizan. Rupanya sesi bertemu dengan penulis sudah pun bermula. Novelis Haiza Najwa sedang berceritakan pengalaman beliau ketika menulis. Aku yang masih kebingungan hanya mampu berdiam diri. Sakit hati masih terasa.  Tapi cuma seketika sahaja, selepas itu aku kembali ceria… segala ilmu yang diberikan kusimpan rapi diingatan.  Bukan senang untuk berjaya.  Mungkin ada rahmatnya di kemudian hari.  Siapa tahukan, suatu hari nanti aku juga akan menjadi seperti mereka.  Seorang penulis yang dikenali ramai.

Di dalam bengkel tersebut berbagai ilmu yang dapat aku pelajari.  Bagaimana ingin menggunakan tatabahasa yang betul dan sebagainya.  Kata seorang guru, untuk menjadi penulis kita perlu banyak membaca, berkawan dan juga berjalan.  Dan perjalanan aku hari ini telah banyak memberikan pengajaran kepada aku. Di bengkel ini jugalah aku mengenali teman-teman baru seperti Norazlina Karim, Saufi, Siti Khadeja dan Kak Salmah Ahmad. 



Tersesat di bumi sendiri mengajar aku supaya lebih mengambil berat dengan persekitaran kita.  Memang tidak diduga, benda yang di depan mata jarang untuk kita kenali, malah yang jauh sibuk pula kita mencari.


 Majlis bersurai sekitar jam 4 petang. Terasa terlalu cepat waktu berlalu. Ilmu yang di beri amat berharga. Terima kasih kepada mereka yang menjayakan Group Mari Menulis ini yang mana dapat menyungkil bakat yang dianugerahkan dari Allah Taala. Ilmu yang dicurahkan tidak ternilai dan hanya Allah yang dapat membalas jasa baik mereka.  Sekali lagi terima kasih buat semua barisan para admin.  Terima kasih Group Mari Menulis.


Pengisian santai bersama Penulis Kak Haiza Najwa. Cantik kakak kita ni.
Gambar beramai-ramai . Bahagian depan tu le yang bertudung biru tu Cikgu Monalita, Puan Kalthom, yang bertudung merah jambu tu le Kanda Aiza Zizan dan jejaka berbaju hijau muda tu le penulis Salju Rindu namanya
A.C Jeffrie


Yang ini pula Tuan Haji Yahya.

Nampak tak? Budak tu, monyok je... kes lambat sampai le tu. Kesian pulak penyair bidasari tengok dia.